Sunday 26 May 2013

The F Word bagi Cauvinis Lelaki : Feminisme

Oleh Abbas Alias
Penafian : Post ini mungkin tidak sesuai dibaca oleh mereka yang dogmatik, tidak mahu mendengar pandangan orang lain, dan suka mengkafirkan orang. Jika anda mempunyai salah satu atau lebih simptom-simptom di atas, penulis mencadangkan bahawa anda berhenti membaca.


Beberapa tahun lepas, dunia feminis dikejutkan oleh sebuah kumpulan feminis yang muncul dari Eropah Timur, iaitu FEMEN. FEMEN, seperti kumpulan feminis yang lain, mereka turut memperjuangkan hak wanita-wanita yang ditindas dan diperlakukan secara zalim, seperti di negara Ukraine khususnya(tempat kelahiran FEMEN). Isu-isu seperti pelacuran, perdagangan seks, agensi perkahwinan yang menyasarkan gadis-gadis Ukraine, dan kerajaan Ukraine yang menindas menjadi isu awal yang diperjuangkan oleh kumpulan ini. Ini bukanlah suatu yang mengejutkan kerana kumpulan-kumpulan feminis lain juga sudah biasa menceburkan diri dalam perjuangan ini. Apa yang mengejutkan ialah metodologi yang mereka gunakan untuk memprotes ketidakadilan yang mereka saksikan; iaitu dengan mengadakan protes secara topless(tidak memakai baju).
Isu FEMEN kembali hangat diperbincangkan apabila mereka melancarkan kempen International Topless Jihad Day pada 4 April 2013. Kempen ini dibuat sebagai reaksi sokongan terhadap seorang feminis Tunisia,Amina Tyler yang dikecam hebat dan diancam keselamatannya akibat meletakkan gambarnya yang tidak berbaju ke internet. Selain daripada itu, kempen ini disasarkan untuk menyelamatkan semua wanita Muslim dari terus terperangkap dalam apa yang FEMEN sifatkan seperti sebuah patriarki Islam yang menyekat kebebasan wanita. Ingin dinyatakan disini bahawa FEMEN bukanlah semata-mata menyasarkan Islam sahaja, ini ialah satu salah tanggapan yang dipopularkan oleh puak Islamis yang jumud. FEMEN sebelum ini turut menyasarkan kerajaan Russia, Kerajaan Ukraine, pentadbiran Euro Cup dan lain-lain institusi bukan Islam. Maka salahlah untuk kita menuduh FEMEN sebagai mempunyai agenda tertentu untuk menjatuhkan Islam. Respons dari dunia Islam pula ialah gerakan kempen Muslim Women Against Femen yang dimulakan dalam Facebook.






Diambil dari page Muslim Women Against Femen.


Sehingga artikel ini ditulis, metodologi FEMEN masih giat didebatkan dalam dunia Feminisme sendiri, bukan sahaja oleh orang-orang Islam. Ingin juga dinyatakan disini bahawa, kebanyakan orang Islam (selain dari feminis yang beragama Islam) hanya mula mengikuti dan melibatkan diri dalam perbincangan ini setelah FEMEN secara terang-terangan menyasarkan serangan terhadap Islam (satu lagi contoh reaksi dan bukannya progresif). Namun, sejak tertubuhnya FEMEN, kaedah dan objektif mereka telah dipertikaikan dan dibincangkan oleh dunia feminisme. Ada yang bersetuju, mengatakan bahawa terpulanglah kepada mereka untuk memilih cara yang dirasakan sesuai untuk mencapai objektif mereka, dengan menekankan konsep hak dan kebebasan bersuara. Dari golongan yang tidak bersetuju pula mengatakan bahawa metodologi itu menggagalkan tujuan utama feminisme, iaitu dengan mengehadkan wanita kepada badannya sahaja. Logik FEMEN untuk membuat protes sebegitu pula ialah kerana badan wanita sentiasa diobjekkan dan di eksploitkan oleh media dan pihak lelaki selama ini, sudah tiba masanya untuk wanita mengambil semula badan mereka(reclaim their bodies) dan ianya terpulanglah kepada mereka selaku pemilik badan sendiri untuk berbuat apa sahaja dengan nya, termasuklah dalam mengetengahkan sesuatu isu.


Baiklah, penulis ingin tinggalkan perbincangan mengenai FEMEN kerana ini bukan tujuan utama penulis dalam artikel kali ini. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai respons feminis-feminis lain(sama ada bukan Islam atau yang Islam), anda bolehlah membaca di sini, sini, dan juga penulis syorkan pembaca menonton sebuah episod The Stream, sebuah rancangan Al Jazeera yang menjemput beberapa Feminis Muslim untuk berdiskusi mengenai FEMEN. Namun, pautan-pautan ini hanyalah secebis pendapat dari beratus-ratus artikel respons dunia feminis terhadap FEMEN yang boleh dicari dalam Internet.


The F word : Feminism



Penulis mengharapkan  satu wacana mengenai feminisme dalam dunia kerangka Islamis dapat dimulakan. Apabila disebut sahaja terma(feminis) itu, ianya bagaikan menyebut satu perkataan kesat. Rata-rata penduduk Islam baik di Malaysia mahupun di luar negara merasa tidak selesa dengan perkataan ini. Mereka yang memperjuangkan feminisme dalam dunia Islam seringkali dilontarkan pelbagai kritikan peribadi oleh mereka yang menganggap diri mereka lebih Islamik ; sebagai contoh, sekumpulan ahli surau yang mengkritik wanita-wanita feminis Muslim sebagai mereka yang mendokong ideologi sekular, terpengaruh dengan idea-idea Barat. Kita tidak perlu lihat jauh, tengok sahaja bagaimana reaksi Islamis terhadap NGO Sisters In Islam(SIS) di Malaysia. Hanya kerana pendokong-pendokong SIS terdiri dari mereka yang bukan agamawan atau mempunyai latar belakang dalam mempelajari Islam secara formal/tradisional, mereka diserang secara peribadi dan dicemuh. Golongan fasis agama seakan-akan melarang para wanita untuk mengetengahkan isu penting yang mana wanita sendiri mengalaminya, hanya golongan agama sahaja yang boleh membincangkan isu hak-hak wanita.


Tiada yang memberi perhatian kepada isu yang dibawa oleh mereka. Pada hemat penulis, isu-isu yang diperjuangkan oleh SIS sebenarnya adalah satu isu yang legit. Isu-isu seperti ketidakadilan dalam pengamalan poligami oleh sesetengah  lelaki di Malaysia, kepincangan perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia yang tidak adil bagi wanita dan ibu-ibu tunggal, perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang dipersetujui oleh ibu bapa akibat sebab-sebab yang meragukan,seperti contohnya baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa rogol dikahwinkan oleh keluarganya dengan lelaki yang merogolnya. Masyarakat Islam selalu salah sangka bahawa mereka yang memperjuangkan feminisme ini ialah mereka yang menolak hukum Islam. Ianya membawa kepada persoalan, apakah benar feminisme betul-betul bertentangan dengan ajaran Islam?

Pembawaan Idea Feminisme yang Pelbagai



“Third wave feminism is essentially saying that feminism must not be divorced from looking at people’s class, culture, religion and other ideologies and really kinda connecting those…..taking women from the margin, and expanding the notion of feminism to include women who might not agree on everything but who do agree that feminism and supporting women and girls around the world is really important.” Hind Makki
"Keluk ketiga gerakan feminisme menekankan perlunya gerakan ini tidak berpisah tiada daripada melihat masyarakat dari sisi seperti kelas masyarakat, budaya, agama, dan ideologi yang berlainan, dan apa-apa sahaja yang menghubungkan kesemua itu...mengumpulkan sokongan wanita daripada mereka yang  bersimpati, dan mengembangkan wacana feminisme itu sehingga menyertakan wanita yang mana tidak bersetuju dengan kesemua perkara tetapi boleh bersetuju dengan feminisme dan menyokong perjuangan wanita dari seluruh dunia; itu adalah lebih penting." Hind Makki


Seperti Islamisme itu sendiri, dimana ianya mempunyai pelbagai jalur, dan muncul dalam pelbagai rupa dan warna, berbeza mengikut konteks geografi dan ekonomi, begitu jugalah feminisme. Sekali imbas melihat sejarah feminisme, kita akan saksikan betapa dinamiknya gerakan ini, bukannya statis seperti yang disangkakan oleh golongan Islamis yang jumud/fasis. Sejarah first wave feminism yang memperjuangkan hak-hak wanita pada abad ke 19 dan awal abad ke 20 di Amerika dan Britain berakhir dengan wanita yang diberikan hak untuk mengundi (Saudi Arabia,negara yang kononnya mengamalkan undang-undang Islam, masih tidak membenarkan rakyat wanita mereka untuk mengundi dalam pilihan raya). Second wave feminism pula bermula apabila wanita mula meminta hak-hak kesamarataan di ruang publik seperti di institusi kerja dan insitutusi pendidikan,selain turut memberi definisi baru untuk ruang personal seperti seksualiti dan sikap-sikap wanita. Tahun 1980-an menyaksikan kemunculan third wave feminism di negara-negara yang merasai kezaliman Imperialis. Feminis di dunia ketiga merasakan idea-idea feminis dari Barat diwarnai dengan superioriti Imperialisme. Feminis-feminis terawal dari dunia Arab dan Asia Selatan(India dan Pakistan) membantah feminisme yang tidak inclusive terhadap wanita-wanita yang bukan berkulit putih atau bukan dari kelas tengah. Isu-isu yang diperjuangkan oleh sesetengah feminis Barat ataupun ala Barat mirip seperti kelahiran imperialisme yang dijinakkan dengan wajah feminism, dengan gerakan “feminisme” yang ingin “menyelamatkan” wanita-wanita yang bukan kulit putih dari “budaya,agama dan lelaki” mereka.


Namun begitu, wujud golongan penulis dan aktivis feminisme dari dunia Islam. Dan golongan ini juga bukanlah sebuah golongan yang homogenous(semuanya sama aliran). Ada yang merupakan wanita muslim yang mempraktikkan Islam dalam hidupnya (practicing Muslim), ada wanita Muslim liberal, dan ada juga yang sekular,malahan ada wanita yang ateis tetapi masih mempertahankan warisan Muslimnya. Ada juga yang dikotori dengan nilai-nilai superioriti Imperialisme. Ada yang memperjuangkan hak-hak dunia-dunia ketiga, hak-hak mereka yang ditindas. Ada yang beraliran kanan, ada yang beraliran kiri dalam dunia politik.


Salah satu perkara yang amat menarik dari respons feminis terhadap kempen Femen yang menyasarkan wanita Islam ialah pembelaan wanita-wanita Islam oleh feminis-feminis yang sekular dan liberal amat memberansangkan. Lihat sahaja pautan kepada rancangan The Stream dari Aljazeera, dimana ahli-ahli panelis merangkumi feminis Muslim dari pelbagai aliran dan metodologi sama-sama mengecam tindakan FEMEN yang merendah-rendahkan suara wanita Islam yang turut bergiat aktif dalam gerakan feminisme. Turut sama menyertai dalam membela wanita-wanita Islam juga adalah feminis yang bukan islam.


Feminisme di Asia Tenggara suatu masa Dahulu



Dunia Asia tenggara kita juga tidak kurang hebatnya dalam perjuangan hak-hak wanita. Malahan, wanita-wanita Asia Tenggara sejak berabad-abad lamanya boleh dikatakan progresif. Ahli-ahli antropologi menyedari wanita-wanita dari puak-puak di rantau Asia diberikan layanan yang mulia dan istimewa oleh lelaki-lelaki mereka. Wanita-wanita rantau Asia pada abad-abad yang lalu juga boleh dikatakan agak liberal dari segi seksualiti. Pengembaraan oleh tokoh-tokoh kembara Eropah seperti Marco Polo, Tokoh Arab seperti Ibn Batutta dan pencatat pengembaraan tokoh Cina, Laksamana Zheng He ada menyebut mengenai budaya lelaki Asia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memuaskan wanita-wanita mereka.


Dengan kedatangan Islam ke rantau Asia tenggara ini, penduduknya menggarapkan struktur sosial yang diwarisi dari zaman pra-Islam. Wanita sebagai pemimpin sebuah kerajaan bukanlah sesuatu yang diatas normal bagi rantau asia tenggara. Sebagai contoh, Kerajaan islam Aceh beberapa kali dipimpin oleh wanita. Orang Jawa popular dengan kisah-kisah keperwiraan srikandi-srikandi perangnya yang sehingga kini dihormati oleh warga Indonesia tidak kira lelaki ataupun wanita. Antara feminis yang paling awal muncul di rantau ini pada abad ke 20, Raden Ajeng Kartini, wanita Indonesia yang antara paling awal dalam memperkenalkan kepentingan pendidikan diberi kepada gadis-gadis di Indonesia. Rantau Asia Tenggara moden juga menyaksikan munculnya pemimpin-pemimpin dari golongan wanita seperti Gloria Macapagal Arroyo di Filipina, Megawati Sukarno Putri, serta Aung Saan Suu Kyi di Burma. Ketika mana Amerika Syarikat yang dipandang sebagai penjaga liberti seluruh dunia masih lagi gagal mempunyai presiden dari kalangan wanita, negara-negara yang dikira sebagai dunia ketiga sudah pun mempunyai wanita sebagai pemgang tampuk pemerintahan.(Walaupun diakui wanita-wanita ini bukanlah antara contoh pemimpin yang berkaliber ataupun adil, yang dipandang disini ialah keterbukaan masyarakat asia tenggara dalam memilih pemimpin dari golongan wanita).



Diskusi Feminis dalam Rangka Islamik




Malahan dalam dunia Islam sendiri, perjuangan hak wanita tidaklah begitu asing dan lari dari ajaran Islam. Apakah ianya menyalahi hukum-hukum Islam apabila kita perjuangkan supaya gadis-gadis diberikan pedidikan sama seperti rakan-rakan lelaki mereka? Adakah ianya haram jika membela nasib wanita-wanita malang yang dirogol,atau dibelasah oleh suami atau ahli keluarga lelaki mereka? Lelaki yang menyalah gunakan hukuman poligami sehingga tidak mampu menampung hidup isteri-isteri dan anak-anaknya juga merupakan satu pencabulan undang-undang Islam yang sepatutnya berasaskan keadilan. Dan bukanlah Islamik jika wanita yang dirogol di bunuh pula oleh keluarganya kerana telah menjatuhkan maruah keluarga,seperti yang banyak dipraktikkan oleh keluarga Islam dari Negara Asia Selatan.


Penulis nampak keperluan golongan-golongan wanita Islamis untuk mengambil dan memperjuangkan isu-isu sebegini. Jika golongan Islamis mengutuk sesentengah pernyataan Sisters In Islam atau pun NGO-Ngo lain sebagai tidak bertepatan dengan hukum syariah, maka, tanggungjawab untuk membela hak-hak wanita yang ditindas perlulah diambil oleh mereka-mereka yang mempunyai ilmu tentang hukum Islam. Lebih-lebih lagi kerana mereka juga seorang wanita. Janganlah hanya sekadar menjadi reaktif apabila isu-isu wanita muncul. Para lelaki Islamis juga janganlah terlalu takut dengan seorang wanita yang empowered. Belajarlah dari kisah Zainab al Ghazali di Mesir( penulis ambil terus seorang tokoh Ikhwanul Muslimin, pertubuhan kegemaran Islamis di Malaysia).


Penulis juga merasakan, dalam ketiadaan atau kekurangan NGO Islamis yang lantang membela nasib wanita-wanita malang ini, kewujudan Sisters in Islam sangatlah perlu untuk memberi suara kepada mangsa penindasan. Jika NGO atau parti-parti Islamis ingin menjadi proaktif, ceburkan lah diri dalam bidang feminisme, warnakan lah dengan corak Islam seperti yang mereka mahukan. Jangan hanya tahu mengkritik hanya setelah timbul isu-isu.



Para Ummul Mukminin merupakan contoh terbaik bagi feminis yang berpasakkan Islam atau mereka yang ingin menceburkan diri dalam Feminisme Islamik. Dunia Islam juga menyaksikan ramai tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan wanita yang dihormati ilmu mereka. Rabiatul Al Basri merupakan antara wali Allah yang terawal selepas kewafatan Nabi SAW. Guru kepada tokoh sufi terkenal, Ibn Arabi merupakan seorang wanita yang disegani pada zaman mereka,Fatimah al-Muthanna dari Cordova, serta turut diberikan penghormatan yang tinggi oleh Ibn Arabi dalam tulisan-tulisannya. Boleh dikatakan, pada zaman Islam yang benar diamalkan, tidak wujud isu kesamarataan atau keadilan untuk wanita, kerana kedua-dua para lelaki dan wanita tidak terlibat dalam sistem atau pandangan budaya yang menindas wanita. Namun begitu, apabila sistem dunia menahan wanita dari bangkit keluar dari rantaian kemiskinan, penindasan dan kekurangan pendidikan, menjadi tugas semua manusia tidak kira lelaki atau wanita untuk mengembalikan hak-hak kepada wanita. Inilah konsep adil dalam Islam, meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Salah faham mengenai Feminisme



Bukanlah disini penulis mahukan kesamarataan sepenuhnya antara wanita dan lelaki. Samarata itu juga memberi banyak definisi. Lelaki dan wanita tidak mungkin dapat disamakan secara total, kerana sudah terbukti proses-proses biologi tubuh badan dan psikologi jantina membezakan antara lelaki dan wanita. Sesungguhnya tidaklah semua kesamarataan itu baik. Third Wave Feminisme bukan meminta kesamarataan semata-mata, namun, panggilan utamanya ialah keadilan(Fairness, not equality per se). Dalam rangka inilah feminis perlu digerakkan oleh gerakan Feminisme Islamik. Sesungguhnya, tidak maju sesebuah komuniti itu jika wanitanya tidak terbela. Apabila golongan wanita terbela dan diberikan keadilan seperti yang digariskan oleh Islam yang sebenar, maka, barulah kita dapat memberi kestabilan kedalam dunia Islam yang penuh kacau bilau ini.


Kebanyakan kritikan-kritikan terhadap feminisme timbul kerana salah faham bahawa gerakan feminisme ingin meletakkan taraf wanita di atas lelaki, atau memperjuangkan hak wanita dengan mengorbankan keadilan atau kebebasan hak-hak lelaki. Ramai juga yang melatah, menganggap perjuangan wanita-wanita feminis hanya lah berasaskan “Kami mahu apa-apa yang lelaki mahu”. Dengan salah sangka ini lah terdengar suara-suara sinis dari pihak-pihak yang menyindir, “Kalau mahu apa yang lelaki mahu, nah pergi lah kerja sebagai buruh di tempat pembinaan” ataupun sengaja tidak membantu menolong wanita dalam tugas-tugas yang membebankan kerana para feminis wanita mengatakan wanita mampu melakukan apa sahaja yang lelaki mampu buat. Seperti yang disebutkan sebelumnya, apa yang diperjuangkan hanyalah keadilan, bukanlah kesamarataan secara sepenuhnya.

Penulis akhiri dengan kata-kata dari apa yang penulis rasakan pejuang terunggul gerakan Islamik Feminisme.

Orang yang baik antara kamu adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

No comments:

Post a Comment

Popular Posts