Friday, 3 May 2013

Respons kepada video PRU13:Misi Dajjal dan Misi Israel

oleh Awan Putih

Sebuah video yang telah mula disebarkan di laman web ialah sebuah video yang kononnya mengukuhkan lagi dakwaan bahawa apabila Pakatan Rakyat memerintah, Malaysia akan mengiktiraf Israel/ menjalankan hubungan diplomatik dengan Israel.
Penulis mula dapat tahu kewujudan video ini pada 28 April 2013, daripada sebuah page majority Kristian di Facebook yang membincangkan isu politik. Video asalnya yang bertajuk “Malaysia Prophecy from Jerusalem sepanjang 16 minit mendapat respons yang positif dari penganut Kristian yang berada di dalam page tersebut. Positif disini dimaksudkan dengan mengiyakan dan mengaminkan video ini. Secara terus terang, penulis hanya menyaksikan beberapa minit terawal video ini. Ianya hanyalah secara umumnya doa-doa dibuat dari personaliti-personaliti Kristian di Jerusalem yang mendoakan agar keputusan PRU13 ini akan membawa perubahan yang baik bagi hubungan Malaysia-Israel. Bagi yang malas untuk melihat video penuh tersebut tetapi ingin mengetahui apa yang dibincangkan, sila pergi ke sini.
Penulis terus menghantar video ini kepada seorang sahabat melalui inbox FB, sekadar ingin berkongsi. Sahabat penulis memberi amaran bahawa video itu akan menjadi viral dan akan memberi impak yang negatif kepada persepsi masyarakat Islam di Malaysia terhadap Pakatan Rakyat. Penulis mentertawakan sahabat ketika itu, kerana tidak merasakan ianya akan menjadi isu. Kerana memanglah ada terdapat nya perkataan Israel, tetapi ianya hanyalah merupakan doa-doa dari satu kumpulan Kristian yang pro-zionis. Samalah seperti doa-doa yang dibuat oleh ulama-ulama Pas terhadap kemenangan Pakatan Rakyat dan mengaitkannya kepada kebangkitan Islam. Penulis berfikir, barangkali video-video ulama Pas ini di sebarkan kepada orang bukan Islam di Malaysia untuk menakutkan mereka pula. Lawak.
Lagipun, video itu dalam bahasa Inggeris, dan amat panjang dan agak bosan. Masyarakat Melayu kita pula kebanyakannya jarang menonton video Inggeris yang tidak mempunyai sari kata, dan jarang lagi menonton dokumentari-dokumentari yang muziknya seperti satu iklan agensi pelancongan.
Tetapi akhirnya, betul juga jangkaan sahabat itu mengenai video ini. Memanglah video itu tidak menarik kerana muziknya yang tak berapa gempak. Namun, semua ahli konspirasi sejati tahu kalau diletakkan
1) muzik ala-ala The Arrivals,
2) masukkan terma-terma seperti Dajjal, Yakjuj wa Makjuj,
3) memberi sari kata yang tak berapa nak padan,
4) pendekkan minit video
sudah tentu video itu akan laris dan mula dikongsikan oleh sesetengah masyarakat Islam di Malaysia. Maka, muncullah sebuah video yang mengaitkan perkara diatas dengan Dajjal dan Israel dan memainkan lagi isu hubungan malaysia-Israel yang akan terjalin jika PR memerintah.Penulis rasa, kalau penulis ambil video iklan universiti penulis yang mengiklankan pendaftaran untuk semester yang baru, dan masukkan unsur-unsur yang penulis sebutkan tadi, sudah tentu video itu akan laku dan dipercayai sebagai satu agenda Dajal untuk memperdayakan rakyat Malaysia di perantauan.

Baiklah, disini penulis akan cuba men-debunk-kan mitos video ini dan menceraikan video ini dari kaitannya kepada Pakatan Rakyat.
Tujuan asal video ini di buat
“I thank you Lord for your heart of compassion for Malaysia. I thank you Lord for the invasion of your army in this election. I thank you Lord that you gonna stop the enemy in His tracks.”
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi rahmat kepada Malaysia. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana datangnya askar-askar mu didalam pilihan raya ini. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana Kau akan memberhentikan musuh-musuh di jalan-Mu.
“Let Malaysia new government to do the new thing. Let the new government to open their door to Israel and have good connection with Israel.”
“Biarlah kerajaan baru Malaysia membuat satu perkara baru. Biarlah kerajaan baru nanti membuka pintu kepada Israel dan mempunyai perhubungan yang baik dengan Israel.
Dari dua quotes di atas, jelas nampak bahawa tujuan doa-doa mereka didalam video ini adalah untuk mendoakan supaya kerajaan baru Malaysia mengiktiraf Israel dan berbaik-baik dengan Israel.
Err..apakah masalahnya disini? Penulis faham kenapa ianya dikaitkan untuk memburukkan Pakatan Rakyat. Ianya sejajar dengan percubaan kerajaan Barisan Nasional yang cuba menakut-nakutkan penduduk Islam di Malaysia bahawa Anwar ialah seorang yang pro-Israel dan akan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri. Namun penulis kurang faham kenapa sesetengah orang dengan mudah percaya kepada dakwaan ini melalui video sebegini. Ini adalah kerana, tiada dalam video ini disebutkan kaitan mereka dengan Pakatan Rakyat, atau tiada tertulis dalam video tersebut bahawa Pakatan Rakyat meng-endorse video ini. JIkalau lah  ada orang yang terlibat dengan video ini merupakan seorang ahli atau penyokong Pakatan Rakyat, itu merupakan pandangan peribadi mereka.
Kita perlu tahu bahawa di dunia ini, terdapat bermacam-macam kumpulan Kristian. Ada di antaranya yang menentang tindakan rejim Zionis dan berpihak kepada rakyat Palestin. Sebagai contoh, gereja-gereja di Amerika, Ireland dan Afrika Selatan yang secara umum mengecam tindakan Israel dan memulakan aktiviti memboikot produk Israel. Desmond Tutu, seorang biskop Afrika Selatan merupakan seorang tokoh dari gereja Anglican yang mempunyai pandangan sebegini. Terdapat juga kumpulan Kristian yang sebaliknya, iaitu begitu vocal memberi sokongan kepada Israel dan menentang Palestin. Kumpulan-kumpuan sebegini dapat disaksikan dengan banyak sekali di Amerika Syarikat. Contoh pastor yang berpandangan sebegini ialah John Hagee. Ada juga kumpulan gereja Kristian yang neutral atau tidak menyatakan pendirian mereka terhadap isu Israel-Palestine.
Juga ingin diberitahu disini, bahawa dalam kalangan penganut Kristian di Malaysia, terdapat juga mereka yang mempunyai pandangan dan fahaman seperti kumpulan kedua yang penulis nyatakan diatas, iaitu golongan penganut Kristian yang Pro-Israel.
 Adakah mereka ini menjadi ancaman? Penulis berpendapat bahawa ianya merupakan hak setiap orang untuk memilih ideology,fahaman dan pandangan masing-masing. Isu Palestin mungkin merupakan isu nadi umat Islam dimana semua Muslim dijangka akan secara otomatik menyebelahi rakyat Palestin, tapi  janganlah pula kita mahu paksa penganut agama lain ataupun orang bukan Islam untuk mempunyai pendirian yang sama. Disini, apa yang boleh kita lakukan ialah untuk menyebarkan kepekaan terhadap isu Palestin ini kepada mereka,mengatakan bahawa ini bukan khususnya masalah umat Islam, tetapi juga masalah kemanusiaan. Terdapat juga komuniti Kristian di Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis ini.Namun, terpulanglah kepada mereka jika mereka mahu menerimanya atau tidak.
Siapakah disebalik video asal?
Video asal dikeluarkan oleh sebuah gereja yang ditubuhkan di Florida, Amerika Syarikat yang bernama Living Bread International Church. Penulis tidak mahu masuk dengan lebih dalam lagi dengan menceritakan perbezaan teologi dalam agama Kristian(dan penulis bukanlah merupakan seorang yang pakar dalam bidang ini), namun cukuplah untuk memberitahu bahawa gereja ini adalah antara gereja yang tergolong dalam kumpulan yag pro-Israel.
Soalan yang ingin penulis utarakan disini , adakah Malaysia akan betul-betul menjadi rakan Israel apabila bertukar kerajaan nanti seperti amaran yang disebut juga dalam video kedua(PRU MISI DAJAL)?
Ianya mustahil dan disini penulis senarai TIGA sebab utama kenapa.
1. Peratus yang mempunyai pandangan Pro-Israel amat sedikit di Malaysia
Ancaman pengZionisasi Malaysia tidak akan berlaku hanya kerana bertukar kerajaan. Ini kerana peratus penganut Kristian di Malaysia amatlah sedikit, 9 peratus pada Julai 2012 menurut laman ini. Ianya sama juga seperti tuduhan tidak berasas yang mengatakan Negara kita akan mengiktiraf perkahwinan sama jenis jika PR memerintah. Ianya tidak berasas kerana peratus orang yang mengaku homoseksual di Malaysia amatlah sedikit(penulis tidak mempunyai statistic, ianya dibuat berdasarkan keadaan Malaysia yag masih konservatif,dan tidak ramai yang berani mengaku dirinya homoseksual). Ini kerana didalam system demokrasi, sesuatu pindaan terhadap undang-undang hanya dapat dilakukan jika ada sura majoriti yang menyokongnya.
Parlimen Malaysia, sejak dari PRU yang pertama sehinggalah kini, masih mempunyai majoriti wakil yang beragama Islam. Dan juga ingin ditekankan, bahawa tidak semua penganut Kristian yang cakna akan isu Isreal-Palestin merupakan seorang yang pro kepada Israel. Sesuatu yang kita perlu tahu bahwa diskusi Israel Palestin di Malaysia masih lagi terhad kepada masyarakat Islam. Kebanyak masyarakat bukan Islam tidak ambil kisah dengan isu ini. Dan juga ingin dikatakan bahawa wakil-wakil di Parlimen kita yang bukan beragama Islam juga menyebelahi Palestin. Ini dapat dilihat apabila parlimen mengusulkan untuk mengutuk tindakan kerajaan Israel yang menyerang Gaza ,dan kesemua wakil-wakil di Parlimen mengangkat tangan tanda bersetuju dengan usul itu, termasuklah semua wakil DAP .
2. Kerajaan BN memang pun sudah mempunyai hubungan ekonomi dengan Israel
Haih….Ini sangat ironi. Ironi tahap menara KLCC kebanggaan Tun Mahathir. Sudah dibuktikan di beberapa blog bahawa Malaysia mengeksport minyak kelapa sawit kepada Israel. Dan apa yang lagi lucu, dua MP dari DAP telah dihalau dari Parlimen kerana mengutarakan isu ini.
Er Teck-Hwa(note : seorang wakil berbangsa cina,DAP) inginkan Mustapa Mohamed (note : seorang Islam, UMNO)yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa untuk menjelaskan mengenai status hubungan ekonomi antara Malaysia dan Israel. Satu soalan mudah, ya atau tidak. Namun, Speaker Pandikar Amin merasakan soalan itu tidak patut ditanya kerana Mustapa telah pun duduk. Kalaupun begitu, Mustapa Mohamed perlu juga menjelaskan isu itu diluar parlimen, namun, tiada jawapan dari kementeriannya.
Jadi, jika benar orang yang mengatakan kerajaan Malaysia yang diambil oleh PR akan mengiktiraf Israel, dan menakut-nakutkan masyarakat islam di Malaysia dengan tuduhan itu, apa pula pendirian yang perlu masyarakat Islam di Malaysia ambil untuk sebuah kerajaan yang sudahpun menjalankan hubungan ekonomi dengan Israel?
3. Syeikh Yusuf Qaradhawi menyokong Pakatan Rakyat untuk PRU13
Walau bagaimana banyak pun tuduhan yang mengatakan Anwar Ibrahim seorang yang pro-Israel, Syeikh Yusuf Qaradhawi masih lagi menyatakan sokongan kepadanya dan Pakatan Rakyat. Ini boleh disaksikan dari gesaannya kepada rakyat Malaysia untuk mengundi PR. Ingin dinyatakan disini, Sheikh Qaradhawi turut menyebut Parti DAP didalam mesej tersebut.
Kenapa sokongan Syeikh Yusuf Qaradhawi ini penting dalam isu Israel-Palestin? Sudah tentu kerana personaliti ini antara yang paling vokal mengutuk kerajaan Israel ataupun mana-mana yang bersekongkol dengan Israel. Betapa banyak tulisan,ceramah, dan video beliau yang mudah didapati di internet yang memperlihatkannya sebagai seorang ulama Islam yang paling aktif dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Jika tokoh ini pun sudah tanpa ragu menyatakan sokongan kepada PR, ini membuatkan tuduhan yang mengatakan kita akan menjalin hubungan dengan Israel sungguh dangkal dan tidak relevan.
Mungkin mereka boleh mengatakan bahawa Syeikh seorang yang duduk jauh dan tidak tahu mengenai isu politik Malaysia. Maaf, seorang presiden ulama-ulama sedunia bukan kerjanya hanya duduk dan goyang kaki dalam bilik yang berhawa dingin. Personaliti ini disegani bukan kerana jubah, janggut dan kopiah nya, tetapi kerana beliau memang merupakan seorang cendiakawan dan juga seorang komentator sosial, yang sentiasa cakna dengan isu-isu dunia, dan tidak munasabah untuk dia membuat sesuatu pernyataan tanpa benar-benar membuat penyelidikan.
Apa akan jadi jika semua yang penulis katakan adalah salah dan kerajaan Pakatan Rakyat akan mengiktiraf Israel?
Mari kita buat satu situasi hipotetikal.
Jikalau selepas PRU13 , Pakatan Rakyat benar-benar menang dan menguasai Parlimen, jikalau wakil-wakil rakyat yang majoriti nya Islam, terutama yang dari PAS benar-benar juga bersetuju dengan usul untuk mengiktiraf Israel, dan jikalau Agong yang mempunyai kuasa juga bersetuju dengan usul tersebut, dan jikalau dalam masa undang-undang itu didebatkan dan dibincangkan masyarakat Malaysia langsung tidak menyuarakaan bantahan, maka Malaysia pun mengiktiraf Israel. Tony Fernandez dengan cepat membuat promosi penerbangan Air Asia X ke Tel Aviv tiga kali seminggu.
    
Agak mustahil bukan?
Namun begitu, jika situasi hipotetikal ini benar-benar berlaku, maka, kita sebagai rakyat mempunyai tanggung jawab dan kuasa untuk memaksa wakil rakyat kawasan kita untuk membantah keputusan ini dalam masa usul itu diperdebatkan.
Walaupun, jika difikirkan lagi, penulis agak ragu-ragu jika rakyat Malaysia akan secara vokal menyatakan kegusaran mereka, kerana dengan kerajaan yang sedia ada yang sudahpun menyumbang kepada rejim Zionis Israel itu pun kita masih boleh berdiam diri.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts