Monday 15 April 2013

Sindrom Daie Romantis (Bahagian kedua)

oleh Awan Putih
Solusi bagi sindrom Dai’e Romantis pada pendapat penulis


kerana penulis dilabel tidak romantik, disini disertakan bunga kegemaran penulis untuk menyangkal dakwaan tersebut.




            Selesai sesi perkongsian muhasabah terhadap permasalahan kami, kami yang duduk bersila di dalam bulatan(halaqah) bersiap sedia mengangkat tangan untuk membaca doa sebelum menangguhkan majlis. Tetapi sosok hebat itu seakan-akan kaget melihat kami mahu mula berdoa,

“Eh, itu saja? Selesai sudah kah sesi ini?”

Kami merenung wajahnya, dan kemudian berpandangan antara satu sama lain, kaku tidak faham apa lagi yang dia mahukan.

“Kita dah kritik perlakuan diri sendiri, dah buat muhasabah. Mana pergi resolusi? Apa tindakan kita selepas ini?”


        Perbualan di atas merupakan sebuah perbualan dimana penulis bersama sahabat-sahabat berusrah dengan seorang figura yang penulis kagumi. Dimana kalau selalunya kami hanya membincangkan isu-isu semasa, dan kemudiannya mengkritik pihak-pihak yang bertanggung jawab (yang juga kadang-kadang merangkumi diri kami sendiri), kami akan berasa puas bahawa sudut pandang kami sudah di’enhanced’.  Kami tidak lagi seperti ‘robot-robot’ di luar yang tidak menyedari putaran kejam (vicious cycle) sistem dunia, kami sedar kini masalah yang kami hadapi. Mata kami terbuka sudah. Pandangan kami tidak lagi mengikut acuan jahiliyyah, tetapi kami mencuba sedaya mungkin untuk memandang dunia dari kaca mata seorang hamba.

        Tetapi, malangnya, sampailah pada hari yang kami ditegur oleh sosok tersebut, kami tidak pernah secara mendalam,dan berterusan, membincangkan mengenai apa tindakan yang perlu dilakukan seterusnya. Selain daripada jawapan samar-samar yang penulis sebutkan acap kali pada bahagian pertama “Kita perlu kembali kepada Islam”, kami sebelum ini selalu memandang  bahawa pernyataan ‘kembali kepada Islam’ hanyalah dari segi amal semata-mata. Kami merasa cukup dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat, disamping amalan-amalan wajib. Kami sudah mula menggelarkan diri kami mujahid/mujahidah dengan setakat membawa usrah-usrah, membuat program berciri Islam kepada rakan-rakan dan lain-lain. Kami juga merasakan bahawa dengan doa dan amal ibadah kami sahaja, dan boikot bermusim yang kami lakukan, serta jumlah share di facebook yang kami adakan, satu hari nanti, Palestin akan dibebaskan. Hak penduduk Muslim Rohingya akan diiktiraf. Chechnya akan kembali aman. Dan seterusnya.

Sehinggalah kami ditanya mengenai apakah resolusi yang akan kami buat untuk mengatasi pelbagai masalah yang kami nampak?

               Maka, disini, penulis ingin menyambung perbincangan isu yang penulis bawakan pada bahagian pertama. Di mana pada bahagian pertama penulis mengetengahkan sindrom-sindrom daie romantis(menurut pandangan penulis), pada kali ini, penulis ingin pula menyambung perbincangan itu dengan cuba mengetengahkan beberapa contoh solusi, pada pandangan penulis. (Nota : Penekanan disini pada pandangan penulis kerana kami di Cakna Anak Perantau meraikan perbezaan pendapat.)


RESOLUSI.

Menurut kamus online Merriem-Webster, Resolution bermaksud (selain daripada yang berkaitan dengan imej dan bunyi)


1.the act or process of resolving: as

a: the act of analyzing a complex notion into simpler ones

b: the act of answering :

c: the act of determining


Apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu, resolusi merupakan satu tindakan  ataupun proses penyelesaian masalah dimana kita

1) menganalisa sesuatu yang kompleks kepada sesuatu yang lebih mudah,

2) menyediakan jawapan dan

3) membuat keputusan.


Bezakan pengertian menyeluruh yang di atas dengan jawapan  “Kita perlu kembali kepada Islam yang sebenar”. Bezakan pengertian menyeluruh di atas dengan tindakan kita yang hanya sekadar meningkatkan amal ibadah. Bezakan dengan tindakan kita terhadap isu Palestin. Bezakan dengan reaksi kita dengan isu liberalisme, feminisme, sekularisasi,imperialisasi dan mana-mana lagi yang dianggap sebagai ancaman terhadap gerakan Islamism, ataupun proses islamisasi.

Apabila berjumpa dengan sesuatu isu, sudahkah kita menganalisa? Adakah kita berfikir untuk memberi jawapan yang realistik, yang mengambil kira seluruh konteks sesuatu permasalahan? Dan setelah semua ini dilakukan, sudahkah kita mencapai keputusan mengenai apa tindakan yang ingin kita bawa? Dalam menganalisa pula, apa yang perlu diambil kira?  Jelas bahawa terdapat beribu persoalan yang boleh dicambahkan daripada  sesuatu isu.


Proses penganalisaan


Terdapat perbezaan yang besar mengenai  cara seseorang yang menyelesaikan masalah selepas dia menganalisa berbanding dengan seseorang yang tidak menganalisa apabila berhadapan dengan  masalah.


Sebagai contoh, penulis ingin kembali kepada dialog permulaan dalam Bahagian Pertama, diantara Nur dan sahabat-sahabatnya. Anggaplah sekarang, watak Nur sudah tidak lagi menjadi Daie Romantis tetapi Daie yang Realistik. Sekarang, marilah kita mulakan perbincangan antara Nur dan kawan-kawannya, mengenai permasalahan yang sama.


Sahabat 1 : “ Jadi pada pendapat Nur, apakah yang perlu dilakukan untuk mengatasi semua masalah masyarakat di Malaysia ini,”

Nur : Wah,tadi banyak yang kita bincangkan. Masalah yang mana satu ya? Mari kita bincangkan satu persatu. (Memecahkan sesuatu yang kompleks kepada komponen-komponen)

Sahabat : Baiklah, kita mulakan dengan masalah budak yang suka ponteng kelas.

Nur : Hmm….saya pun tidak mempunyai jawapan yang khusus untuk ini sekiranya saya tidak menganalisa apakah sebab-sebab budak-budak ini ponteng kelas. Ramai pelajar tidak menyukai kelas, sepertilah saya sendiri. Saya tidak menggemari sesetengah kelas yang mata pelajarannya saya tidak minat. Tetapi, tidak pula saya dan awak ponteng kelas sewaktu di zaman persekolahan dulu. Saya ingin bertanya kembali, kenapa dahulu kita tidak ponteng kelas? (Proses penganalisaan berlaku disini)

Sahabat : Oh sudah tentu sebab walaupun sesetengah kelas itu bosan, tetapi sekolah secara general merupakan satu environment yang menyeronokkan. Kita ada sukan, ada ramai kawan-kawan. Cikgu-cikgu juga baik hati, dan lucu!

Sahabat 2 : Saya pula takutkan ibubapa saya. Jika mereka dapati saya ponteng sekolah, sudah tentulah saya akan dihukum mereka.

Sahabat 3 : Bukankah ianya suatu dosa kalau kita ponteng sekolah. Itu yang saya fikirkan.

Nur  : Tengok,  seperti mana ada banyak sebab kenapa kita tidak ponteng sekolah, begitulah juga untuk sebaliknya. Terdapat pelbagai faktor kenapa seseorang itu sanggup ponteng sekolah. Mungkin keadaan sekolah itu tidak menyeronokkan, dengan cikgu-cikgu yang tidak supportive. Mungkin budak-budak ini sebenarnya mempunyai masalah dalam pelajaran. Kita kena ingat, di negara yang kita belajar sekarang, majoriti sekolah-sekolah ada kelas khas untuk budak-budak yang dyslexic, yang mempunyai attention deficit disorder, dll. Tapi di Malaysia, jarang sekolah yang mempunyai pendidikan khas untuk pelajar-pelajar begini. Para cikgu pula tidak diberi latihan yang sesuai untuk menangani pelajar-pelajar yang mempunyai masalah . Tahu-tahu, pelajar dikatakan bodoh. Mari kita lihat dari sudut lain pula. Mungkin sebab mereka ponteng kelas adalah kerana cikgu yang terlalu garang, apabila ditanya soalan, diherdik pula mereka. Mungkinkah…..(percubaan untuk mencari jawapan, melihat isu dari pelbagai sudut pandang)



Lihat! Nur dan sahabat-sahabat tidak hanya memberi jawapan luas yang samar-samar seperti keadaan sebelumnya dalam bahagian pertama. Ini lah yang penulis ingin tekankan disini. Daie-daie romantis seringkali tidak menganalisa sesuatu masalah. Kita bukan mahukan mereka melahirkan buah fikiran yang “100 peratus baru” , tetapi isunya adalah beberapa persoalan lama boleh diolah dari sudut pandang yang berbeza dan diungkap dengan perkataan dan susunan kata yang berlainan. Penganalisaan yang sunyi daripada timbangan yang mendalam juga hanya melahirkan buah-buah fikiran yang dangkal serta gagal melahirkan alternatif-alternatif yang konkrit dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Apakah relevansinya proses-proses ini kepada sindrom Daie Romantis kita? Baiklah,  kita ambil contoh mudah, isu yang sangat popular dikalangan budak-budak usrah, iaitu isu Palestin. Yang dikongsikan beramai-ramai selalunya gambar-gambar beserta doa-doa untuk menolong rakyat Palestin. Ini tidak salah. Tetapi ianya pelik jika kita hanya berkongsi perkara-perkara yang hanya bertujuan meraih simpati dan doa untuk Palestin (dan melepas geram kepada Zionis) semata-mata,sepanjang masa. Penulis pernah melakukan suatu eksperimen yang mudah. Dimana ketika isu Palestin melonjak naik, dan semua orang sibuk hendak memboikot McDonald, penulis berkongsi di laman sosial mengenai kewujudan hubungan ekonomi diantara Malaysia dan Israel. Penulis mengemukakan persoalan boikot atau lebih tepat lagi, ‘sanction’. Tetapi, menurut pemerhatian penulis, tidak seorang pun yang menyumbang kepada diskusi yang diutarakan oleh penulis. Satu lagi eksperimen sosial yang penulis buat sendiri ialah dengan berkongsi artikel-artikel dari laman berita. Artikel tersebut panjang dan menganalisa sejarah antagonisasi antara Hamas dan Israel, tetapi sekali lagi, artikel tersebut kurang mendapat sambutan dikalangan “mujahid/mujahidah’ Facebook.


Mengapa penulis merasakan ianya penting?

      Apakah tidak penting untuk kita memperluaskan pengetahuan kita mengenai konteks krisis Palestin-Israel dalam membaca isu ini?  Supaya kita lebih nampak akan solusi nya, yang lebih konkrit? Supaya pengetahuan mengenai konteks dapat membantu kita dalam menganalisa. Supaya kita boleh berhujah, bukan hanya menggunakan hujah agama semata-mata.(Penulis berniat untuk menghuraikan isu Palestin lebih lanjut dalam satu artikel yang lain, jika mempunyai masa, insyaAllah).

Daie perlu meluaskan pembacaan dan mempelbagaikan sumber bacaan


Kegagalan daie-daie untuk menganalisa tidak lain tidak bukan adalah dari kekurangan ilmu yang meluas. Penekanan di sini : Meluas. Daie ,Insya Allah , sudah mempunyai ilmu. Tetapi ilmu yang meluas? Kembali kepada Daie-Romantis-yang-sudah-menjadi-Realistik, Nur dan para sahabat tidak mungkin akan dapat mengaitkan masalah budak-budak yang ponteng dengan masalah ‘disability’,seperti dyslexia, ADD dan lain-lain masalah psikologi jika mereka tidak mempunyai ilmu mengenai perkara tersebut.  Kerana, selain dari mengambil mata pelajaran Educational Policy, mereka juga belajar mengenai psikologi pelajar. Tapi,bukanlah mereka ini akan menjadi guru pendidikan khas. Mereka sebenarnya akan menjadi guru Bahasa Inggeris.

        Nur dan kawan-kawan, walaupun akan menjadi guru Bahasa Inggeris, tidak sahaja belajar subjek-subjek yang berkenaan dengan Bahasa Inggeris seperti tatabahasa, syntax, penulisan, dan lain-lain, tetapi turut juga diperluaskan ilmu mereka dengan subjek-subjek seperti Polisi dan Psikologi. Beginilah sepatutnya Daie Realistik. Daie Realistik perlu aktif memperluaskan ilmu-ilmu. Bukan hanya kepada sesetengah topik sahaja. Ataupun daripada sesetengah sumber sahaja. Jika di universiti kita belajar bukan sekadar bidang yang kita ambil semata-mata, begitu jugalah sepatutnya usrah peringkat dai'e. Jika di universiti, kita digalakkan memperbanyakkan bahan rujukan untuk dijadikan referens, begitu jugalah seorang daie dalam menyampaikan kepada mad’u, bukan sekadar bahan-bahan haraki Ikhwanul Muslimin sahaja. Penulis menyebut di bahagian pertama mengenai penggunaan buku-buku bertaraf rendah untuk usrah. Kalau di universiti kita menggunakan buku rujukan taraf tinggi, usrah yang kita bawa, yang audiens nya ialah pelajar universiti juga,  sepatutnya perlulah buku yang bertaraf tinggi juga. Buku yang dapat meluaskan sudut pandangan mereka. Buku yang dapat menjana pemikiran mereka. Sebagai contoh, buku sejarah yang akademik, bukan cerita sejarah yang difiksyenkan.

Melihat sesuatu dari pelbagai sudut

               Nur, sebagai model Daie Realistik turut melihat sesuatu isu itu dari pelbagai sudut pandang. Dia mengambil kira pelbagai faktor dalam menganalisa masalah pelajar ponteng kelas. Faktor pelajar, faktor sistem sekolah, faktor guru, adalah sebahagian diantara faktor-faktor yang dihuraikan oleh Nur kepada sahabat-sahabatnya. Memerhati sesuatu permasalahan dari pelbagai sudut, meletakkan diri ke dalam situasi yang dibincangkan dapat membantu seseorang memperluaskan pandangan mereka terhadap sesuatu isu. Semakin luas pandangan, semakin banyak dan pelbagai jugalah solusi  kepada masalah yang dapat mereka fikirkan. Lebih indah sekiranya kita dapat menyoroti sesuatu isu dari pelbagai sudut pandang daripada pelbagai ‘isme-isme’ yang wujud , di mana kita membahaskan sesuatu isu itu seperti mesin memeras tebu - yang mana manis tebu itu kita ramai-ramai dapat mengecapi nikmatnya disamping dapat menyisih hampas-hampas. Tanpa sedikit pun kita menafikan hakikat sebagai seorang muslim kita perlu menilai sesuatu menurut neraca timbangan syarak.
              Malik Bennabi, dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Masyarakat, juga menyebut perkara yang sama.  Pada pendapatnya, salah satu sifat orang islam yang ideal (di dalam bukunya, dia menggunakan terma Lelaki Pasca-Muwahhid (Post-Muwahhid Man)untuk seorang islam yang ideal) ialah mempunyai ‘civilizational vision’. Civilizational vision ini dihuraikan sebagai seseorang yang dapat melihat  kebenaran dari setiap sudut, mempunyai pandangan yang original dan tidak berasaskan dari ideologi kolionalisme dan imperialisme, dan juga multi-dimensional,yakni, selain daripada mengambil kira konteks budaya atau sejarah sesuatu masyarakat, mengambil kira juga ekonomi ,sosial, politik, psikologi ,masa dan pelbagai lagi faktor dalam menganalisa sesuatu isu.

              Ianya seperti kita yang berada di dalam sebuah rumah, di mana kita mendapati bahawa siling rumah kita telah bocor. Untuk pergi ke sumber kerosakan ini, tidak cukup bagi kita untuk hanya melihat dari bawah siling tersebut. Perlu juga kita untuk melihat di sebalik siling . Oleh itu, kita perlu keluar dari rumah untuk satu sudut pandang yang lain. Sudah tentulah pandangan kita dari luar rumah lebih komprehensif dari  pandangan apabila kita mendongak keatas siling dari dalam rumah. Selain dari membaiki, sudah tentu lagi baik bagi kita untuk menyiasat punca kebocoran itu, supaya ianya tidak berulang lagi.

Sejarah yang ditabur bunga ros

       Perkataan romantis disini sebenarnya hanyalah satu terma yang digunakan untuk menempelak sekumpuan dai'e yang mempunyai pandangan yang terlalu utopia terhadap zaman-zaman Islam yang lampau, serta pandangan utopia mengenai zaman Islam yang mereka inginkan. Seperti penulis pernah sebutkan dalam bahagian pertama, mereka ini mengungkitkan perkara yang manis-manis sahaja yang berlaku. Sesuatu yang mereka perlu sentiasa diingatkan, Sejarah peradaban Islam bukan bertahan hanya dengan mentari, malah guruh, ribut dan petir yang diatasi. Bukanlah disini terma romantis itu untuk mengkritik orang yang sukakan seni, seperti salah satu komen pada bahagian lalu. Disini, penulis mengaku kesalahan itu terletak diatas diri penulis kerana tidak jelaskan dengan terang mengenai penggunaan terma Dai'e Romantis dalam artikel-artikel ini.

              Mengenai sejarah, seperti yang dikatakan, mungkin boleh dipertahankan jika kita hanya menunjukkan perkara yang baik-baik untuk menimbulkan perasaan izzah terhadap Islam. Tetapi tidak bagi dai'e, atau pun mad'u yang telah pun berada dalam usrah lebih dari setahun -dua tahun. Apakah kesan romantisasi sejarah kepada pemikiran dan pandangan dai'e? Di sini, penulis ingin berkongsi suatu kisah.

       Penulis berpeluang untuk menghadiri suatu sesi pengenalan sebuah persatuan yang memperjuangkan hak West Papua. West Papua merupakan satu kawasan yang secara undang-undang nya diklasifikasikan sebagai Indonesia, tetapi sesetengah penduduk West Papua tidak mahu berada di dalam Republik Indonesia kerana isu penindasan terhadap budaya, bahasa, agama, dan identiti mereka. Di dalam sesi tersebut, terdapat beberapa pelajar Indonesia yang datang mendengar. Dalam sesi Q&A, maka berdirilah beberapa pelajar Indonesia ini mengkritik penyampai yang dikatakan bias (memandangkan itu persatuan pro- West Papua, sudah tentulah wujudnya bias). Mereka membela tindakan Indonesia dengan mengatakan sudah adanya perjanjian yang dibuat, selain daripada menuduh sesetengah penduduk West Papua dipengaruhi oleh agenda-agenda yang dibawa Barat. Mereka menuduh bahawa Barat mencemburui keamanan Indonesia. Berkali-kali pelajar tersebut mengangkat buku rujukannya yang pro-Indonesia, mengatakan penyampai sepatutnya membaca buku tersebut untuk memahami isu itu dengan lebih mendalam. Tidak pula dia mahu mengiktiraf bahawa wujudnya buku-buku yang berlainan pendapat untuk dia memahami sudut pandangan dari pihak West Papua.

       Pelajar-pelajar ini langsung tidak menyebut atau cuba menjawab mengenai isu penindasan penduduk West Papua oleh tentera Indonesia. Mereka membawa fakta sejarah yang sememangnya diadun oleh nasionalis mereka, untuk menjustifikasikan aksi ini. Secara logiknya, niat tidak boleh menghalalkan cara. Ini dihafal oleh setiap pelajar yang menyertai usrah.

       Inilah yang sebenarnya berlaku terhadap dai’e yang bersifat Romantis terhadap sejarah. Apabila asyik disajikan dengan keadilan dan kehebatan khilafah yang terdahulu, mereka ingat setiap pemimpin Islam pada zaman Khilafah itu bersifat adil dan zuhud seperti Umar Abd Aziz. Semuanya berani dan gagah seperti Salahuddin Al Ayubi. Semuanya pintar seperti Muhammad al Fateh. Apabila dipersoalkan pula dengan peribadi tidak baik sesetengah pemimpin Islam pada zaman khilafah, sebagai contoh, lukisan tidak bermoral di dinding Qusayr Amra, pemborosan seorang khalifah di Baghdad sehinggakan rakyat di Mesir kebuluran, sejarah revolusi Abbasiyah yang menjatuhkan khalifah Umayyah, pertelingkahan antara waris-waris khalifah yang sering mengakibatkan pembunuhan dan macam-macam lagi titik hitam dalam sejarah islam yang lampau, daie romantis mungkin terkelu tidak tahu untuk menjawab.

               Seperti pelajar Indonesia tadi yang hanya nampak negaranya sahaja yang betul, begitulah  didalam fikiran daie Romantis  hanya wujud semua yang indah belaka mengenai zaman khilafah. Sukar untuk menelan dan mengakui bahawa terdapatnya ‘bad apples’ sepanjang sejarah khilafah berlaku. Kita sepatutnya perlu ketahui dan mengakui bahawa sejarah kita tidak semuanya manis. Barulah boleh kita belajar dari sejarah. Jika kita hanya mengajarkan sejarah yang baik-baik sahaja, maka, terhasillah dai'e yang konfiden tidak kena pada tempat seperti pelajar Indonesia yang penulis sebutkan tadi. (Ingin dijelaskan disini bahawa penulis tidak mempunyai apa-apa pandangan diskriminasi terhadap Indonesia mahupun penduduknya secara general, tetapi hanyalah pelajar ini yang dimaksudkan)
              Kesan daripada romantisasi sejarah juga, daie romantis yang tidak mengakui zaman kegelapan khilafah akan gagal mengambil pengajaran dari sejarah supaya jangan diulangi pada masa yang akan datang. Fikirannya dan pandangannya yang telah dikaburi oleh sejarah yang tidak lengkap akan membawanya kepada satu tanggapan yang sangat utopia terhadap kerajaan Islam akan datang. Kerajaan Islam yang dia mahukan. Apa pula tindakannya jika terdapat kepincangan dalam perjalanan sesebuah sistem Islam? Mungkin kerana berpandangan utopia sebeginilah kita melihat beberapa penggerak-penggerak gerakan Islam melatah apabila dilihat perjalanan menuju sistem Islam itu tidak ketara ke-Islam-nya.  Hanya kerana ditukarkan terma, terus dikatakan parti Islam itu meninggalkan perjuangan Islam. Ianya seperti yang dihuraikan oleh sahabat penulis, Durratun Nasihin dalam karyanya Antara Makmum dan Imam,Harapan dan Realiti.

         Kerap sekali penulis mendengar keluhan para dai’e yang ‘takut’ untuk kembali berkhidmat ke Malaysia. Takut kerana masyarakat Malaysia sangat teruk Islamnya. Berpendapat bahawa korupsi sosial,ekonomi di negara sudah berada di tahap yang teruk amat. Sudah terlalu jahil.  Ini lah dia kesan diulit pandangan utopia ini tadi! Kerana yang diinginkan terlalu sempurna, mereka lari dari realiti masyarakat sekarang. Berapa ramai dai’e yang sekembalinya keluar dari universiti,masuk ke tempat kerja, berhenti dalam kerja-kerja dakwah mereka kerana ‘sedar’ dengan masyarakat sebenar, dan merasa tugas yang perlu dipikul terlalu berat sehinggakan melepaskan beban itu terus.


Bercampur Gaul dengan orang-orang yang tidak sealiran pemikiran.


             Salah satu solusi untuk sindrom ini ialah untuk daie romantis ini tadi bergiat aktif di luar daripada ‘comfort zone’ nya. Jangan hanya berkawan dengan orang yang berusrah sahaja (atau kes yang lebih ekstrem, bersama jemaah sahaja). Bagi mereka yang ada pengalaman bercampur gaul dengan orang yang diluar kenalan-kenalan mereka sahaja, mereka akan mendapat satu sudut pandang yang berbeza, selain mendapat pengalaman dalam cara-cara mendekatkan diri dengan golongan yang jauh dari Islam. Masalah-masalah sosial yang muncul boleh mereka fikirkan cara-cara yang sesuai untuk golongan-golongan ini. Ahmad Boestamam, dalam bukunya Dr. Burhanuddin : Putera Setia  Melayu Raya, pernah menceritakan suatu kisah perbualan di antara Burhanuddin Helmy dan seorang Melayu komunis yang ateis. Ahmad Boestamam begitu kagum dengan kebijaksanaan Burhanuddin Helmy yang berhujah mengenai ketuhanan bukan seperti orang-orang Islam selalunya, yang kerap kali menggunakan terma-terma islamik dari AL-Quran. Dia berhujah dengan menggunakan bahasa dan contoh-contoh serta konsep yang sesuai dengan ateis itu tadi. Sehinggakan mereka yang mendengar kagum dengan Burhanuddin Helmy, seorang bekas pelajar pesantren dan Universiti Islam.

                Penulis pernah tergelak sendiri apabila membaca satu komen di laman sosial Facebook daripada seorang Islam kepada seorang Non-Muslim yang mempersoalkan kenapa perlunya kita menyebelahi Palestin pada setiap masa? Jawapan Muslim tadi,  selepas mengherdik si Non-Muslim itu ialah, “Sebab dah dalam Quran tu Yahudi sentiasa akan perangi Islam !”.  Banyak lagi jawapan dari para pengkomen yang baran yang menggunakan jawapan-jawapan dari kerangka al-Quran.  Masalahnya, seorang non-Muslim tidak mungkin akan mengetahui isi Al-quran, sudah tentu hujah itu tidak akan berhasil dalam meyakinkannya untuk menyebelahi Palestin.
    
               Daie-daie Romantis perlu menyedari bahawa Islamik itu bukan sahaja pada post-post yang secara terang-terangan ada tertulis ayat-ayat Allah. Islamik juga pada kita berkongsi penindasan yang dilakukan terhadap binatang ternakan akibat salah laku. Islamik itu juga mereka yang berkongsi akan perlunya mengitar semula untuk menjaga alam sekitar. Islamik itu juga pada  penggunaan  terma Negara Kebajikan.  Bukan lah disini ingin mengecam atau menyuruh memberhentikan berkongsi ayat-ayat Islamik yang mengandungi al-quran atau hadis, tetapi, mungkin juga kita boleh memperluaskan apa yang kita kongsikan supaya dapat menarik minat  mereka-mereka yang bukan Islam ataupun mereka yang menjauhi Islam. Supaya tidak akan muncul ayat-ayat sini sebegini “Alah mereka ni hanya Palestin sahaja yang difikirkan, orang asli di Malaysia juga sedang dalam kefakiran, tidak pula dipedulikan.”

Kesimpulan        

Daie yang kita mahukan, seorang yang berpengetahuan luas. Ini hanya akan dapat dicapai hanya jika seseorang dai'e itu aktif memperluaskan ilmunya, memperluaskan rangkaian kenalannya dan merapatkan jurang antara dia dan orang yang tidak sealiran pemikiran dengan cara bergaul dengan mereka. Kita mahukan daie yang boleh menarik minat mereka yang  bukan sahaja  budak usrah, tetapi luar dari kelompok usrah. Kita mahukan daie yang boleh berhujah dengan  fakta, bukan emosi semata. Kita inginkan mereka yang berpandangan jauh, seperti pemain catur yang boleh mengagak apa langkah lawannya, dan bersedia untuk pelbagai kemungkinan ,seperti Sun Tzu dalam ‘Art of War’ yang sering menasihatkan laksamana-laksamana untuk berfikir kedepan, lebih jauh dari lawan mereka( think ahead of their opponent).

            Ingin penulis tekankan disini bahawa penulis bukanlah mahu menghapuskan daie yang pandai menyentuh hati, berpuitis, manja dengan adik-adik, berkasih sayang dan  lain-lain sifat lembut. Sudah dijelaskan bahawa penggunaan Romantis yang penulis gunakan untuk artikel ini bukanlah merujuk sifat-sifat seorang Daie yang sebegitu, namun lebih menjurus kepada pemikiran dan psikologi seorang daie. Tidak dinafikan  ada banyak lagi langkah-langkah yang boleh diambil untuk membaiki diri kita sendiri sebagai seorang muslim/muslimah. Selain dari segi spiritual, fizikal, dan adab, mungkin cara pemikiran kita juga perlu diperbaiki. Barulah ini ‘paradigm shift’ yang sebenar. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts