Friday 3 October 2014

HARAPAN KEPADA PEMUDA.

Oleh: Zulqarnain

1.

Saudara Suhaizan Kayat sewaktu Muktamar Pemuda PAS Malaysia tempoh hari telah mengangkat “Politik Budiman” sebagai pendekatan politik pemuda. Hal ini dilihat sebagai hujjah atau jawapan balas kepada tindakan politik Pemuda PAS Malaysia (PPM) sewaktu menghadapi krisis Selangor tempoh hari. Politik Budiman yang dinyatakan Suhaizan Kayat adalah;

  1. Politik berdasarkan hujah dan ilmu.
  2. Membudayakan adab al-ikhtilaf dalam menguruskan perbezaan pandangan.
  3. Berpolitik berakhlak dan etika yang tinggi. Jauhi politik fitnah dan caci maki.
  4. Budaya Syura sebagai kunci muafakat.
  5. Inklusif dalam membina jaringan dalam masyarakat.
  6. Jujur dan berani menyelesaikan konflik.
  7. Integritik dan akauntabiliti.

Gagasan Politik Budiman bukanlah blueprint yang penuh retorik. Bagi merealisasikan Politik Budiman agar ianya larut dalam masyarakat marhaen ataupun bersifat inklusif, saudara Suhaizan Kayat telah mencernakan ianya dalam yang dinamakan Agenda bertindak Pasca Muktamar;

  1. Mencetuskan dan menjuarai isu rakyat secara konsisten, sistematik dan berkesan.
  2. Memantapkan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat, gerakan masyarakat madani, NGO Islam, media, entiti anak muda dan organisasi luar negara.
  3. Menggerakkan agenda bersepadu untuk menguasai sokongan pengundi muda melayu.
  4. Meneroka pendekatan dakwah yang lebih kreatif dan berkesan.
  5. Memperkukuhkan pengurusan tarbiyah dan pengkaderan dengan lebih dinamik.
  6. Memperkasa sistem pengurusan komunikasi dalam organisasi.

Muktamar PPM yang diadakan tempoh hari sedikit sebanyak telah terpalit dengan tindakan keluar dewan oleh segelintir pemuda. Namun demikian, muslim sejati seharusnya melihat kebaikan lebih utama daripada keburukan. Gagasan Politik Budiman adalah satu gagasan politik masa hadapan dan menepati kehendak politik masa sekarang. Dan, sepatutnya gagasan inilah yang diangkat ke dalam masyarakat, bukan isu-isu murahan seperti  episod keluar dewan dan lain-lain.

Tahniah buat Suhaizan Kayat. Tahniah buat keseluruhan Ahli Jawatankuasa PPM. Muktamar tempoh hari adalah signal yang jelas bahawasanya PPM mempunyai keupayaan untuk mencorak dan menjuarai politik baru. Selamat menunaikan AMANAH MUKTAMAR – melunaskan janji Agenda bertindak Pasca Muktamar seperti mana telah disokong dan diluluskan oleh keseluruhan muktamirin.

2.

Politik Budiman seperti yang telah disebut di awal ulasan, merupakan cerminan kehendak politik masa kini dan satu unjuran awal politik masa hadapan. Hal ini secara tidak langsung adalah foundation utama kepada apa yang disebut sebagai kerajaan tanpa pembangkang, gagasan politik DS TG Haji Abdul Hadi Awang.

Kader-kader PAS (abna’ al-Harakah PAS) sepatutnya menyedari gagasan politik DS TGHA tidak dapat dicapai selagi mana tidak wujud etika politik yang betul, dan etika ini melibatkan kesemua pihak dari para pemain politik sehinggalah kepada masyarakat marhaen.

Justeru, amatlah sukar untuk melihat gagasan ini direalisasikan selagi mana tidak ada pendekatan murni terhadap isu-isu perbezaan pendapat ataupun ijtihad-ijtihad politik, kepelbagaian Jemaah (ta’adud Jemaah) dalam sebuah masyarakat, multi rasial dan idealisme masyarakat itu sendiri.

Oleh yang demikian, Politik Budiman amat berkait rapat dengan pembinaan sebuah tamadun bangsa. Dr Siddiq Fadzil menyebut (mafhumnya); pemurnian budaya politik merupakan satu keperluan yang tiada kompromi sekiranya semua pihak ingin membina tamadun di abad ini, dalam satu Majlis Dialog Masa Hadapan Negara di London suatu ketika dahulu.

Sifir mudahnya, gagasan politik kerajaan tanpa pembangkang adalah gaya politik sebuah masyarakat yang bertamadun dan Politik Budiman adalah inti kepada pembinaan politik yang bertamadun.

Sekiranya benar anda cintakan DS TG Haji Abdul Awang, selayaknya inilah yang terzahir dalam akhlak seharian. Seperti mana hadis Jibril, begitulah makam cinta kita kepada Tuan Guru. Ada yang hanya cinta dalam hati. Ada yang hanya cinta pada lafaz. Ada yang cinta dengan tindakan, yakni bukan demo cinta Tuan Guru, tetapi merealisasikan hasrat Tuan Guru dengan akhlak yang murni dan pendekatan yang syar’ie.

Semoga anak-anak kita mampu hidup dalam suasana yang lebih aman dan islami. InshaAllah amin. Bismillahirrahmanirrahim.

Saturday 27 September 2014

Sekilas Pandang Batu Pahat

Oleh: Zulqarnain


Saya mengambil sedikit kesempatan dalam kekalutan musim submission untuk mengikuti Muktamar PAS yang ke-60 yang diadakan di Batu Pahat, Johor. Muktamar ini pastinya dinanti-nanti oleh seluruh pemerhati politik tanah air untuk melihat lakaran sejarah baru politik Malaysia. Kalaulah boleh kita kiaskan, suka saya ibaratkan Johor sebagai tanah asal bagi UMNO sebelum berkembang ke seluruh Tanah Melayu, seperti mana PAS yang bermula di Gunung Semanggol, Perak tetapi sekadar bertapak di kawasan Pantai Timur Malaysia.

Menceroboh tanah asal adalah mesej yang cukup berani. Boleh jadi terkulai layu. Boleh jadi menangis berlagu (ubah suai peribahasan Melayu; “menangis tak berlagu” yang membawa maksud tangisan kesedihan).

Pada awalnya saya melihat muktamar PAS (yang juga pembangkang setia tanah air) di Batu Pahat adalah kesediaan PAS untuk menggantikan UMNO selaku pengatur politik Malaysia. General hyphotesis-nya benar. Muktamar di Batu Pahat Johor adalah strategi politik PAS untuk menggantikan label UMNO kepada label PAS. Ibarat botol budu, sekadar ditukar pembalut, isinya tetap sama. (Maafkan saya orang Kelantan. Saya tidak membenci budu).

Hal ini demikian kerana kisah-kisah Muktamar PAS seawal Muktamar Pemuda PAS Malaysia hinggalah ke penutup Muktamar PAS Pusat tidak mencerminkan keupayaan PAS untuk menggantikan UMNO dari sudut isinya. Sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang jauh lebih baik. Bermula dengan episod keluar dewan oleh segelintir pemuda, insiden bacaan doa mengisi perbahasan dasar Tuan Guru Presiden, insiden “boo” oleh para pemerhati (seperti rakaman ucapan pergulungan YB Hanipa Maidin) dan lain-lain.

Kader-kader Jemaah Islam (atau pun sering disebut sebagai abna’ al-harakah) adalah sepatutnya menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat marhaen berkenaan dengan akhlaq seorang muslim. Saya melihat inilah yang pernah ditekankan oleh Suhaizan Kayat (mafhumnya); kader-kader PAS hendaklah menjadi seperti kitab yang terbuka. Walau di mana mereka berada, masyarakat akan merujuk mereka.

Yang jelas, yang paling mudah, adalah untuk merujuk akhlaq seorang anak gerakan. Saya gagal mencari akhlaq (pada fahaman saya) yang membolehkan saya ikuti kecuali akhlaq-akhlaq mereka yang dilabel “tidak jelas fikrah”, “anwarinas”, “erdogan” dan lain-lain yang mungkin saya terlepas pandang sewaktu berbahas ataupun membuat ucapan pergulungan (manakan tidak, banyak sungguh label kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian sesetengah pak ustaz).

Di samping itu, saya juga kehairanan atas tiga perkara yang ingin saya fokuskan di sini – Munafik Haraki, Ibrah Perang Tabuk, perbahasan Muktamar.

Yang pertama adalah insiden terkutuk penyebaran whatsapp AJK Pas Pusat. Penyebaran itu bukan sahaja meyakinkan kita bahawasanya seorang yang menggelarkan mereka pejuang Islam tidak sewajarnya menyebarkan isi perbincangan bahkan betapa pentingnya mereka untuk berakhlaq islami. Tidak ada perkataan yang menghiris hati. Tidak ada sebarang niat mungkir janji. Kisah printscreen ini bukanlah satu taktik baru kerana sebelumnya beberapa printscreen yang lain telah dimuatnaik di Facebook. Malangnya tindakan tersebut tidak dikecam kerana yang menjadi mangsa bukan orang kita.

Insiden inilah yang menjadi inti kepada label Munafik Haraki yang diambil ibrahnya daripada kecaman Umar al-Khattab radiyallahu anhu kepada Hatib bin Abi  Balta’ah radiyallahu anhu kerana membocorkan strategi tentera Islam pada waktu ketika itu. Malangnya, ibrahnya hanya dikutip sampai di situ. Teguran Rasulullah SAW kepada Umar yang menyebut sesungguhnya Hatib itu pejuang Badar tidak pula diambil pengajaran oleh mereka. (Mereka melihat teguran Rasulullah SAW tidak menafikan label munafik yang dibuat oleh Umar).

Bagaimana agaknya perasaan kekasih yang dicinta, Rasulullah Muhammad SAW sekiranya berada di hadapan kita melihat akhlaq songsang (pada fahaman saya) ini diterima sebagai suatu yang halal dalam agama? (rujuk: mengambil ibrah yang tidak lengkap dan cepat memberi label kepada manusia yang lainnya).

Cerita bersambung dengan penuh rencam. Seterusnya bertebaran pula ibrah Perang Tabuk ekoran ijtihad fardhi yang diambil oleh YB Abu Urwah dan YB Hasnul baharuddin. Saya pada prinsipnya langsung tidak bersetuju dengan ijtihad fardhi yang dibuat oleh kedua-dua Adun tersebut. Itu bukanlah akhlaq orang yang berbai’ah. Bukan juga akhlaq mereka yang mewaqafkan diri mereka kepada Jemaah.

Ibrah tersebut merujuk bahawasanya Perang Tabuk adalah garisan persempadanan keimanan – antara takwa dan munafik. Kecuaian Ka’ab bin Malik dan sahabat-sahabat yang lain radiyallahu anhum telah menyebabkan mereka terlepas untuk turut sama dalam Perang Tabuk. Ekoran itu, ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Rasulullah SAW. Hukumannya cukup memeritkan.

Sirah mencatatkan mereka dipulau sesungguh-sungguhnya sehinggalah Rasulullah SAW mengumumkan bahawasanya taubat mereka telah diterima. Utusan Rasulullah SAW menyebut bergembiralah, wahai Ka’ab. Dalam konteks ini saya melihat bahawasanya pulauan itu dibuat bukanlah dengan niat membenci sebaliknya dengan penuh terpaksa, taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya. Begitulah sifat hukuman pasca Perang Tabuk.

Namun demikian, sebarang bentuk hukuman yang tidak berakhlaq itu bukanlah ibrah daripada Perang Tabuk. Itu tidak lain tidak bukan adalah cetusan emosi yang tidak dapat dibendung, tidak dikawal oleh iman. IttaquLlah. Zuhudlah dalam berhujah. Zuhudlah dalam membenarkan hujah. Zuhudlah, dalam apa jua keadaan. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta. Menghukumlah dengan bait-bait doa. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta, bukan mengangkat hina.

Yang terakhir dalam introspeksi ini adalah merujuk kepada perbahasan sepanjang muktamar. Dari sudut teknikalnya, wakil-wakil setiap negeri gagal membedakan apa itu perbahasan ucapan dasar TG Presiden dengan medan melepaskan geram, medan meluahkan rasa. Tidak selayaknya diangkat perbahasan yang sekadar memetik satu dua poin ucapan dasar lalu mengulasnya dengan unjuran ke belakang.

Kader-kader PAS seharusnya sedar bahawasanya untuk mereka terus kekal relevan sebagai pendakwah politik, muhasabah itu sentiasa perlu, tetapi bukan sewaktu perbahasan ucapan dasar. Perbahasan adalah medan berbahas inti ucapan, bukan batang tubuh TG Presiden. Apatah lagi membaca doa yang melebihi masa yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Cadangan kepada poin ucapan dasar harus dibuat sebagai tanda mereka menyokong ucapan dasar. Hujjah penolakan yang bersifat rasional harus dikemukakan sekiranya ada wakil negeri yang tidak bersetuju dengan poin-poin ucapan dasar.

Wakil-wakil perlu sedar, tidak dinamakan menyokong kalau sekadar menutup ucapan perbahasan dasar dengan lafaz, “perwakilan yang sekian-sekian menyokong ucapan dasar TG Presiden”. Pada lafaznya mungkin ya, tetapi lafaz yang sia-sia dalam konteks perbahasan ucapan dasar. Lafaz yang tidak terungkap melalui buah fikir yang bernas!

Saya cukup khuatir sekiranya hanya inilah kualiti – sebuah parti dari sudut politiknya, sebuah jamaah dari sudut yang lainnya – yang melaungkan keinginan untuk menggantikan UMNO selaku pentadbir Malaysia. Jujur saya katakan saya lebih menyokong untuk memantapkan atau mengubah kebobrokan itu melalui jalan yang sedia ada iaitu meng-islah-kan Barisan Nasional sekiranya inilah jalan ceritanya, walaupun, sejarah telah mencoretkan Anwar Ibrahim tersungkur di Penjara Kemunting, mufaraqah sudah al-fadhil Ustaz Nakhai’e dan syahidnya Ibrahim Libya si pejuang Mamali.

Walaupun sering ditekankan bahawasanya mengubah kerosakan (yang dibuat oeleh UMNO-Barisan Nasional) itu adalah seperti menggonyoh kuali hitam, biarlah kita lelah menggonyohnya sampai hilang hitam legam itu. Apakan daya, kita tidak mampu membeli kuali baru. Kalaupun beli, belum tentu boleh kita menggoreng dengan elok. Apa guna kuali baru, kalau menggoreng pun melekat-lekat! Isinya tak masak elok. Presentasinya pula sungguhlah teruk.

Namun demikian, seperti bisik saya kepada cermin, jangan pernah putus asa. Jalan juang ini tidak pernah senang. Fasbir Sabran Jamila. Berapa banyak kisah nabi-nabi yang lelahnya tetap berdakwah kepada ummat untuk menyampaikan risalah tauhid, kemudian kita membaca kisah-kisah itu untuk merasa lemah. Ingat, piala kemenangan itu bukan untuk dijulang di kehidupan yang ini!

Berjuang bukanlah semata-mata untuk melihat hidup senang pada hayat kita tetapi biarlah perjuangan ini adalah pencetus kepada kebahagiaan walaupun entah di mana pengakhiran perjuangan (kebahagiaan yang ingin dicapai) ini. Pengakhiran yang baik tidak mungkin pada logik akalnya tidak pernah bermula. Seperti mana pembukaan Kota Constantinople bermula pada Perang Khandak, begitulah perjuangan ini. Bermula dengan kesungguhan kita untuk mengubah dan kesabaran menghadapi lelahnya ujian.

Masa depan PAS akan cerah sekiranya tekad pemuda tak pernah pudar. Seperti mana kematangan Dewan Muslimat PAS sewaktu muktamar mereka. Membincangkan isu-isu nasional yang berkait dengan rakyat. Mungkin kasih sayang para ibu yang tidak sanggup melihat anak-anak mereka menderita. Nah, siapa kata muslimat tidak boleh menjadi pemimpin kalau inilah kematangan yang ditunjukkan oleh mereka. Dari sudut kemampuannya pula kita nilai setelah mereka melaksanakan tugas mereka. Majulah YB Kak Lah untuk Perdana Menteri Malaysia!







Thursday 10 July 2014

Umat Islam Tidak Boleh Berbuat Apa-apa, Mengapa Perlu Menjadi Muslim?


Di alih bahasa oleh Awan Putih dari pautan asal.


“Jangan bertanyakan kepadaku tentang apa yang telah aku tinggalkan (ditentukan), sesungguhnya  umat sebelummu telah dimusnahkan oleh kerana terlalu banyak bertanya dan tidak bersetuju dengan Nabi mereka. Jadi jika aku menyuruh kamu dengan sesuatu, maka lakukan sebanyak mana yang kamu mampu, dan jika aku melarang kamu daripada sesuatu maka jauhkanlah diri daripadanya.”  - Nabi Muhammad s.a.w. (Muslim)


‘Aku tidak boleh melakukan ini lagi’

“Umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa, “ kata lelaki itu.

“Semuanya dilarang – seni, falsafah, membaca buku yang tiada unsur keagamaan, menulis fiksyen atau puisi, menonton wayang atau televisyen, mendengar muzik, menyanyi, menari, dan juga kelihatan cantik, demi kebaikan!”

Apabila saya bercakap dengan mereka yang bergelut teruk dalam meneruskan kepercayaan mereka, selalunya berada di ambang meninggalkan Islam, saya mendapati dalam kebanyakan kes, kesakitan itu berpunca dari kesulitan untuk menyesuaikan keagamaan dan kerohanian.

Apabila jiwa kita, minda dan kehidupan membawa kita ke satu arah, dan jiwa kita membawa kita ke arah yang lain, kita seringkali menjadi lemah dan berkata kepada diri sendiri, “aku tidak boleh melakukan ini lagi.”
Tetapi dalam kebanyakan kes, kontradiksi jelas antara kita dan jiwa kita berpunca dengan bagaimana kita telah datang untuk memahami Islam--yang bukan dari tuntutan agama itu sendiri.


Refleksi dari Journal Saya

Beberapa bulan yang lalu, sewaktu saya sedang merenung kembali satu lagi kisah mengenai seorang bekas Muslim, saya mencatit buah fikiran ini dalam journal saya:

‘Rakan adik perempuan saya telah meninggalkan Islam, dan apabila ditanya kenapa, dia menjawab, “ Ia terlalu sukar.”

‘Tetapi saya tidak dapat mengawal dari mempersoalkan daripada mana dia mempelajari agama dia, kerana Nabi s.a.w bersabda, “[Malaikat] jibril datang kepadaku dan memberi khabar gembira, ‘Sesungguhnya, sesiapa yang mati dalam kalangan umatmu tanpa menyekutukan sesuatu dengan Allah akan masuk Syurga.’ “Salah seorang sahabat, Abu Zar (semoga Allah merahmatinya) bertanya dalam keadaan terkejut, “Walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri? “ dan Nabi SAW menjawab, “Walaupun dia melakukan zina dan mencuri.” Abu Zar bertanya kembali, “walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri?” dan Nabi SAW menjawab lagi, “Walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri.” Dan, masih, Abu Zar bertanya, “Walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri?” Dan, lagi, Nabi  SAW menjawab, “Walaupun dia melakukan zina dan mencuri” (Sahih Muslim).

‘Maka sesiapa yang meninggalkan Islam kerana mereka merasakan menjadi umat Islam itu terlalu sukar, mungkin tidak mengetahui takrif Islam.’



Realiti yang menyayat hati

Ia adalah salah satu perkara yang paling menyayat hati untuk disaksikan: kebanyakan lelaki dan wanita masuk Islam atau membesar di dalam rumah keluarga Islam, yang nekad untuk menyerahkan segala apa yang mereka ada “hanya kerana Allah.” Namun, bertahun (atau berbulan) kemudian, mereka berjalan dalam keadaan cedera dan dikalahkan, hampir sahaja melepaskan Islam mereka – ataupun mereka telah melepaskan Islam secara keseluruhan.

Setiap kali Allah memberi peluang kepada saya untuk bercakap dengan umat Islam yang bersusah payah atau menghampiri murtad, saya mendapati seringkali sebab biasa yang diutarakan tidak lari daripada dua perkara (kalau bukan kedua-duanya) : definisi mereka terhadap Islam adalah berdasarkan kepada kumpulan tertentu, ideologi, sheikh atau sekolah pemikiran (dan mereka tidak dapat mematuhi “peraturan” itu lagi); atau mereka telah dizalimi berulang kali oleh umat Islam, seringkali di atas nama Islam (dan mereka enggan mendedahkan diri mereka kepadanya lagi).(nota penterjemah: seperti halnya yang terjadi kepada Wafa Sultan dan Ayaan Hirsi Ali)


Anda tidak menentukan ‘apa’ itu Islam, hanya Allah yang berhak.

Satu persoalan yang saya tidak berupaya untuk menjelaskan untuk suatu jangka masa yang panjang ialah mengapa ramai umat Islam yang mengajak orang lain ke arah Islam atau sesiapa yang mengajar kelas agama tidak dapat mentakrifkan Islam sebagaimana Allah lakukan dan Pesuruh-Nya dan cukup terhenti setakat itu.
Islam pertamanya dan terutama sekali ialah berdasarkan kepercayaan dalam KeEsaan kepada Tuhan dan memperakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, dan mematuhi kepercayaan ini sehingga hujung nyawa. Pada dasarnya, kepercayaan ini terbahagi kepada dua kategori: iman dan penyerahan.

Iman kita (kepercayaan dalaman) merangkumi 6 perkara : kepercayaan kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab, Pesuruh-Nya, hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar; dan penyerahan kita (tindakan luaran) merangkumi 5 perkara : memberi keterangan untuk mempercayai Allah (baca: mengucap dua kalimah syahadah) solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan Haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup ( bagi mereka yang berkemampuan).

Sudah tentu, tidak salah untuk mengajar melebihi dari perkara asas ini, tetapi pengajaran tambahan tidak bersesuaian di dalam kelas-kelas yang bertujuan untuk mengajar agama Islam itu sendiri, khususnya kepada umat Islam baru atau pelajar-pelajar yang membayangkan mereka sedang belajar sesuatu yang asas.

Walaupun ia tidak dapat dinafikan bahawa perkara-perkara bukan asas boleh memberikan kita pemahaman yang lebih mendalam tentang Islam, amatlah penting untuk diingatkan bahawa ia tidak dapat mentakrifkan Islam. Kepada kebanyakan daripada kita, ini mungkin kelihatan seperti perkara kecil. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam yang sedang bersusah payah dan hampir murtad, memahami ini merupakan perbezaan antara ‘kekal menjadi Islam’ atau ‘melepaskannya’.


Berserah kepada Tuhan atau kepada Syeikh?

Saya terimbau beberapa tahun lalu, sewaktu saya sendiri bersusah payah untuk memahami sesetengah pendapat “Islamik”. Saya sangat tertekan sehinggakan ia memberi kesan buruk kepada Iman saya. Sewaktu itu, Islam bagi saya sangat mengelirukan dan sukar sehinggakan secara jujurnya saya merasakan yang saya tidak mampu pergi lagi. Dan apa yang membuatkan perasaan ini sangat menakutkan ialah saya betul-betul mahu bertahan, tetapi saya tidak dapat lagi menanggung senarai haram yang tidak berkesudahan (perkara-perkara yang dilarang)

Hampir di mana-mana sahaja yang saya cari, tidak kira kumpulan apa, syeikh, atau sekolah pemikiran yang umat Islam mengaku mengikuti, amalan Islam mereka secara dasarnya menjurus kepada mengikuti “hukum” dari imam yang disukai, ulama’ atau syeikh – bukannya ajaran-ajaran yang jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri.

Dan ini membingungkan saya.

.. Sehinggalah saya sedar yang shahadah saya (pengakuan keimanan) hanyalah mempunyai dua bahagian – dan “hukum-hukum” ini bukanlah dari kedua-duanya.



‘Umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa, Mengapa menjadi Muslim?’

Apabila saya memikirkan kembali kesusahan saya sendiri sebelum akhirnya memahami perbezaan antara apa yang Allah hendakkan dari saya dan apa yang kebanyakan umat Islam mengaku Allah hendakkan dari saya, saya secara jujurnya faham bagaimana sesorang  boleh percaya yang umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak, ia sememangnya tidak benar. Tetapi ia boleh difahami bagaimana sesorang boleh mempercayai sebegitu.

Jadi untuk mengelak kekeliruan yang tidak diperlukan. Ia hanyalah paling baik untuk mentakrifkan Islam dari hanya dua sumber – Allah dan Pesuruh-Nya.

Selepas ini, jika seseorang mahu mengikuti kumpulan yang diminati, mengikuti syeikh tertentu, atau mematuhi sesetengah sekolah pemikiran, mereka bebas untuk melakukan sedemikian.

Tetapi marilah kita memanggil pilihan ini apa ia sebenarnya – dan ia bukan “Islam.”

Wednesday 14 May 2014

Surat Buat Tuan Presiden

Kepada Tuan Presiden,

Sebagaimana Tuan Presiden memulakan surat Tuan Presiden dengan memetik kata-kata bekas Presiden Parti Islam se-Malaya, Dr Burhanuddin al-Helmy, maka izinkan saya memulakan coretan ringkas ini dengan pantun melayu dahulu kala;

Kalau roboh Kota Melaka
papan di Jawa saya dirikan,
kalau sungguh bagai dikata
nyawa dan badan saya serahkan.

Tuan Presiden,

Seperti surat Tuan Presiden, surat ini saya tujukan khas kepada semua saudara seagama, sebangsa dan senegara. Ini adalah ungkapan ikhlas dari hati, atas kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi bahawa hati-hati yang beriman adalah seketul daging yang mulia, dan kemuliaan itu bukan kerana bangsa semata-mata. Yang utamanya adalah kerana takwa.

DAN, takwa itu tidak akan sekali-kali membenarkan yang salah, dan menohmahkan segala yang benar. Seperti mana qudwah yang ditonjolkan oleh Khalifah Umar al-Khattab dan darah daging beliau yang masyur dalam sejarah, Umar al-Aziz, maka saya percaya keadilan adalah nukleus kepada segala-galanya.

Pertamanya, terima kasih kepada Tuan Presiden kerana meluangkan masa menulis surat tersebut. Alhamdulillah isi-isinya saya dapat, dan insyaAllah akan saya pegang erat-erat. Namun, saya pohon kebenaran untuk khilaf dalam beberapa perkara.

Tuan Presiden,

Saya kira secara keseluruhan tiada salahnya seruan Tuan Presiden. Saya percaya kasih terhadap kaum sebangsa tiada salahnya selagi mana tidak bercanggah dengan kebenaran. Inilah iktibar yang saya kutip di celah-celah mutiara sejarah silam Islam yang gemilang seperti mana qudwah yang ditonjolkan oleh Khalifah Uthman al-Affan. Namun demikian, bacaan politik saya terhadap Tuan Presiden sedikit berbeza. Tuan Presiden pada kebanyakan masa lebih mengasihi bangsa daripada kebenaran yang nyata. Tuan Presiden sering kalinya diam pada masalah-masalah negara, tetapi rajin bersuara pada hal yang lainnya.

Saya ingin sekali melihat jiwa-jiwa yang ditarbiyah ini larut dalam masyarakat – berdakwah dan membela golongan yang susah. Mereka tidak sekadar berjuang memartabatkan bangsa mereka dengan ucapan-ucapan berbisa bahkan turut membantu bangsa mereka berdiri dan berjuang di atas satu padang yang rata. Rasuah, baik dari apa jua bangsa pun, dari sudut pandang mana-mana agama pun, adalah satu barah yang jijik dan hina. Sedihnya, Malaysia dan melayu adalah pesakitnya.

Tuan Presiden,

Sebagai seorang warganegara Malaysia yang mahu melihat wujudnya bangsa Malaysia – tanpa meleburkan nilai-nilai Melayu dan utamanya nilai-nilai islami – berpendapat beberapa kenyataan Tuan Presiden mengguris hati rakan-rakan yang pernah dahulunya turut sama berlari di bendang, teman-teman yang pernah dahulu setilam dan guru-guru yang sama-sama berpeluh tatkala kelas-kelas mengalami gangguan bekalan eletrik.

Anak-anak Malaysia. Jangan kita tinggalkan yang huru-hara kepada mereka.


Sebagai sebuah organisasi dakwah, saya percaya, maqasidnya adalah mendekatkan masyarakat kepada Islam. Tetapi, berdasarkan beberapa kenyataan yang dibuat, tindakan-tindakan tersebut dilihat boleh menjauhkan lagi mereka yang masih belum menerima hidayah dan menimbulkan rasa jelek dan khuatir masyarakat Islam yang lainnya. Bukankah jalan-jalan itu adalah kepada fitnah? Bukankah kita dilarang dekat kepada fitnah? Mohon tunjuk ajar Tuan Presiden.

Mohon maaf. Seperkara lagi, saya berpendapat ketakutan (inilah) yang akan membelenggu pemikiran dan kehendak bangsa Melayu; dalam konteks yang dibicarakan oleh Tuan Presiden. Ketakutan ini boleh juga menjadi antara punca tergadainya tanah air kita. Ayuh, daripada takut, kita bertukar kepada waspada. Waspada bukan sekadar pada kaum yang lainnya, tetapi jua pada mereka yang sebangsa.

Sering kali dibicarakan, dipesan-pesan di dalam usrah, bahawa tingkatan ukhuwwah itu ada tiga. Pada tingkatan yang paling bawah adalah bersangka baik. Bersangka baik pada mereka yang berpegang pada tali Allah. Bukan pada akar-akar bangsa. Qudwah daripada yang dikasihi Rasulullah Muhammad sallahualay hi wasallam juga harus dibumi dalam kehidupan seharian. Pada mulut yang mengeji dan mencaci baginda Rasulullah SAW itulah yang baginda suapkan dengan penuh kasih sayang. Jangan pula kita kemas berpegang pada celaan Allah SWT terhadap Abu Lahab seandainya dakwah tidak secekal Muhammad.

Dakwah adalah cinta.


Penutup bicara, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua tidak mengira pada takdir bangsa yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Esa, bahawasanya berpeganglah kita pada tali kebenaran agar kita tidak hanyut daripada jalan munuju Tuhan. Jangan sekali-kali kecewa dengan dakwah kerana pesan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemberi Hidayah bahawa sekiranya Dia berkehendak nescaya seluruh alam ini boleh bergema dengan kalimah syahadah.

Kepada anak-anak Malaysia yang lainnya pula, kesatuan ini harus kita bina dan kukuhkan. Kesatuan itu ibarat sebuah rumah dan saya percaya tiangnya adalah ketaatan kepada Tuhan, dindingnya adalah keadilan dan kejujuran manakala atapnya adalah toleransi dan kebersamaan. Ranaplah rumah tanpa tiang. Tiadalah dinamakan rumah tanpa dinding dan bertambahnya malang bilamana rumah tiada beratap. Kuyuplah dilanda hujan fitnah.


Salam perjuangan.

Monday 12 May 2014

Akhlak Dalam Dakwah, Cerminan Akidah Daie



Pembinaan tamadun menurut Ibn Khaldun dalam magnum opusnya, Muqaddimah telah menetapkan bahawasanya tamadun itu tidak tertegak semata-mata kerana pembinaan fizikal tetapi turut sama didokong dengan pembinaan modal insan. Sejarah telah menjadi saksi keruntuhan-keruntuhan tamadun dunia seumpama Tamadun Rom, adalah berpunca daripada keruntuhan moral insan. Akhirnya Tamadun Rom lenyap. Yang tinggal hanya tulisan-tulisan dan cerita-cerita untuk kita ambil pengajaran [sekiranya kita dalam kalangan mereka yang mengambil pengajaran yakni Ulul Albab].

Pembinaan moral adalah satu tiang penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti tinggi. Di dalam Islam [rujuk: akhlaq] perkara inilah yang senantiasa dipegang bersama-sama dengan konsep monotoisme [rujuk: aqidah]. Bahkan, Buya HAMKA senantiasa menegaskan [rujuk: konsep tasawuf] tidak beriman tanpa amal [salih]. Hal ini dikupas khusus oleh Buya Hamka dalam bukunya “Kesepaduan Iman dan Amal Salih”.




Menyoroti permasalahan masyarakat masa kini, kita dapat melihat betapa permasalahan sosial yang kritikal adalah berpunca daripada beberapa perkara dan antaranya adalah kegagalan membumikan akhlaq dalam kehidupan seharian. Iman Abu A’la al-Maudidi dalam bukunya “Syahadatul Haq” telah menegaskan betapa kalimah syahadat itu tidak sekadar lafaz di bibir dan iktikad di hati bahkan seharusnya terbit dalam perlakuan seharian.

Lalu muhasabahnya, adakah kita beriman dengan sebenar-benar beriman? Adakah kita golongan yang disebut sebagai bertakwa yang senantiasa diulang-ulang di dalam al-Quran?

Ayuh kita imbau kembali sejarah 80’an yang mana sewaktu zaman tersebut cukup popular dengan elemen takfir [kafir mengkafir]. Hal ini tercatat dalam sejarah politik Malaysia dan seharusnya kekal dalam jalur sejarah yang diambil iktibar, bukan dalam jalur sejarah yang cukup sekadar diambil khabar. Isunya adalah penolakan sesetengah golongan terhadap perkara-perkara asas dalam agama; yakni bersangkut paut dengan akidah, syahadatul haq.


Secara konteksnya, umum percaya bahawa beberapa metode dakwah pada waktu ketika tersebut adalah bersesuaian dengan ruang lingkup zaman tersebut. Pada zaman tersebut, gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia ditekan dan natijahnya adalah lahirlah iijtihad-ijtihad yang dilihat keras dari sudut dakwah walhal tidak bercanggahan dari sudut akidah secara umumnya. Ijtihad-ijtihad yang tegas pada waktu ketika tersebut telah memperlihatkan seolah-olah pendakwah adalah pemilik syurga dan neraka.


[DAN, hal ini selayaknya kita kupas lebih lanjut dari sudut psikologi dakwah dan pendakwah.]

30 tahun berlalu. Kita melihat Tamadun Malaysia yang cuba dibina terjerat di antara dua; menuju kehancuran atau menuju kejayaan. Menuju kehancuran kerana kita tidak menuai akhlaq daripada pohon-pohon kehidupan. Ada harapan kepada kejayaan kerana baja dan siramannya adalah berdasarkan perkara-perkara basis [yang penting dan utama].

Falsafah Pendidikan Kebangsaan didirikan atas kepercayaan kepada Tuhan yang mana secara umumnya kita percaya, setiap agama menzahirkan kebaikan [penegasan: tidak semua menganjurkan kebenaran]. Masih ada harapan kerana kita melihat wujud sebilangan modal insan yang berjuang teguh [bahkan ada yang mewakafkan diri mereka] untuk mengajak kepada kebenaran [berdakwah]. Mereka berta’awun pada tujuan kebaikan. Mereka bertahaluf atas perkara-perkara yang tidak bercanggahan dengan iman.




Kita percaya jalan-jalan kejayaan walau likunya berbagai dan mehnahnya menggunung tinggi tetap akhirnya kebaikan jualah yang mengatasi keburukan, tetap akhirnya kejayaan yang baik mengatasi kegagalan yang buruk dan sesungguhnya sikap kita semestilah tidak sekadar percaya sebaliknya turut bersama mereka yang teguh menyampaikan kebenaran.


30 tahun telah berlalu. Zaman kian berubah dan penentangan terhadap penyebaran Islam yang syumul dan benar makin kurang halangannya. Justeru kita khuatir sekiranya masih ada yang terperangkap dalam sejarah lama dan tidak pula mengambil pengajaran. Pesan al-fadhil Ustaz hafizallahu ta’ala, kita pendakwah, bukan penghukum. Kita penyebar kebenaran bukan penabur fitnah. Kita adalah kader-kader [rujuk: yang ditarbiyah]adalah diibaratkan seperti kitab-kitab terbuka. Ke mana sahaja kita melangkah, masyarakat sekeliling akan membacanya untuk dijadikan pedoman (Suhaizan Kaiat, 2014).   



Kita bukan pencetus provokasi, sebaliknya kita adalah kader-kader yang akan menjadikan setiap perkara sebagai opurtuniti – kepada dakwah.


Salam perjuangan.

Wednesday 12 March 2014

Bagaimana Kita Masih Boleh Kehilangan Sebuah Pesawat Pada Tahun 2014

Dialih bahasa oleh Awan Putih . Artikel asal, How It's Possible to Lose an Airplane in 2014 muncul di laman Wired.com pada 11 Mac 2014 oleh Jordan Golson.

Imej : Pedro Moura Pinheiro/Flickr


Pada zaman dimana kita semua mempunyai GPS di dalam saku, OnStar dalam kereta dan NSA yang menjejaki sesiapa sahaja, dan dimana sahaja, ianya masih boleh berlaku, walaupun jarang sekali , untuk sebuah pesawat komersial lesap begitu sahaja.

Inilah yang nampaknya telah terjadi kepada pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang setelah lebih kurang sejam meninggalkan Kuala Lumpur untuk menuju ke Beijing awal pagi Sabtu lepas. Sehingga Isnin, kumpulan-kumpulan mencari dan menyelamat dari sembilan buah negara termasuklah Amerika Syarikat belum menemui jejak pesawat Boeing 777-200 mahupun 239 penumpang pesawat tersebut.


Apapun yang berlaku,ianya berlaku dengan begitu pantas dan melibatkan malapetaka yang besar, kata pakar-pakar penerbangan. Kerana kejadian ini terjadi di atas lautan- dijangkakan Laut Cina Selatan, tetapi  berkemungkinan juga Teluk Thailand - bermakna ianya akan mengambil masa berbulan ataupun bertahun untuk kita mengetahui secara tepat apakah sebenarnya yang telah terjadi. Lautan merupakan tempat yang sangat luas, dan usaha mencari petunjuk-petunjuk akan berlaku dengan lambat. Para penyiasat mengambil masa dua tahun untuk menemui data dari perakam suara kotak hitam milik pesawat Air France Penerbangan 447, yang terhempas di atas lautan Atlantik pada 1 Jun,2009.


 “ Ianya mudah,  amat-amat sukar untuk mencari apa-apa benda di dalam air,” kata kolonel pesara, Kol. J. Joseph, bekas juruterbang Marine Corps dan konsultan penerbangan.


Yang paling menggerunkan, pesawat ini seolah-olah lesap begitu sahaja, tanpa meninggalkan jejak. Kapten pesawat yang mempunyai lebih 18,000 jam pengalaman penerbangan tidak memberi apa-apa amaran, dan tidak membuat panggilkan kecemasan. Tiada apa petunjuk bahawa terdapat apa-apa yang tidak kena dengan pesawat itu pada ketika ianya terputus hubungan. Ini bukanlah sesuatu yang sangat ganjil, kerana keutamaan pertama kru penerbangan dalam masa kecemasan ialah menangani situasi yang ada. “Aviate,navigate,then communicate (Menerbangkan,mengemudi kemudian berkomunikasi)” adalah mantra yang dipegang. Juruterbang sebuah syarikat penerbangan dan juga seorang blogger,Patrick Smith berkata bahawa radio yang senyap tidak menggusarkannya.


 “Ia sebenarnya sesuatu yang luar biasa untuk terdapatnya distress message ,” katanya. “Ia akan memilih antara satu dari dua jalan. Pertama, apabila terdapat suatu melapetaka dan tiba-tiba tiada masa untuk menghantar mesej distress tersebut. Kedua, kru-kru telah dilatih supaya komunikasi dengan pangkalan darat ialah tidak semustahak keperluan untuk menangani apa-apa perkara yang memerlukan perhatian segera.”


Ini mungkin menerangkan mengapa Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Kapten Fariq Ab.Hamid tidak memberitahu kawalan trafik apa masalah yang dihadapi mereka,ataupun membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan. Namun, kenapakah ianya masih boleh terjadi bahawa kawalan trafik udara tidak tahu lokasi tepat dimana MH370 berada sebelum ianya terputus hubungan?


Jawapannya : Kerana pesawat berada di atas lautan.


Tiada Penjejak Radar untuk Pesawat Komersil di atas Lautan


Ianya merupakan sebuah salah faham, tanggapan bahawa juruterbang sentiasa berkomunikasi dengan pusat kawalan trafik sepanjang masa, ataupun pesawat diperhatikan di radar pada setiap masa. Sejurus selepas sebuah pesawat berada lebih dari 100 atau 150 batu dari pantai, radar tidak lagi berfungsi. Ianya mudah, radar tidak mempunyai jarak yang cukup untuk ia mengesan pesawat. (Jarak spesifik dari pantai berubah-ubah dengan jenis radar, keadaan cuaca, dan faktor-faktor lain). Pada waktu itu, pesawat awam berkomunikasi dengan radio berfrekuensi tinggi. Kru penerbangan pula sentiasa pada poin-poin yang ditentukan ketika penerbangan, memberi informasi mengenai posisi pesawat, halaju, dan ketinggian. Ianya bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila radio senyap sahaja diantara poin-poin tersebut kerana perjalanan pada 35 000 kaki di udara selalunya tidak berlaku apa-apa yang menarik. Terdapat juga pesawat udara yang mempunyai sistem komunikasi dimana juruterbang tidak perlu membuat apa-apa panggilan; pengurusan komputer penerbangan tersebut menghantar informasi melalui pautan satelit.

Walaupun system pengurusan penerbangan moden menggunakan GPS untuk pengemudian, ianya hanya memberitahu pesawat itu dimana ia berada - GPS itu tidak memberitahu pusat kawalan trafik dimana pesawat itu berada. Sama seperti jika anda membawa iPhone anda ke tengah-tengah padang pasir Mojave; GPS anda hanya akan memberitahu anda lokasi anda, namun anda tidak dapat menggunakan Find My Phone kerana ketiadaan liputan talian telefon mobil. Walaupun boleh mengunakan data aliran(streaming) dari pesawat secara langsung melalui satelit, kos untuk melaksanakan sistem sebegitu di seluruh industri akan mencecah berbilion-bilion dolar, kata Smith.


Namun, amat tidak mungkin untuk pesawat MH370 terhempas secara senyap-senyap tanpa sesiapa mengetahuinya, kata Joseph. Banyak pesawat-pesawat komersil mempunyai beacon pencari (locator beacon) kecemasan yang kru penerbangan boleh mengaktifkan dengan serta-merta. Ia juga akan turut diaktifan dalam beberapa situasi, seperti apabila berlaku impak antara pesawat dengan air -- namun ia tidak begitu efektif pada di air yang dalam. Dan walaupun sistem penerbangan awam tidak mempunyai radar atau teknologi penjejakan lain di laut, ajensi tentera dan keselamatan sudah tentu akan memiliki teknologi sedemikian. Mungkin terdapat kapal, pesawat atau satelit kerajaan yang dapat menangkap beberapa petunjuk, seperti kesnya apabila sebuah jet pejuang Soviet menembak dan menyebabkan terhempasnya Korean Air Lines pesawat 007 pada tahun 1983.


“Saya benar-benar akan terperanjat jika insiden ini (pesawat MH370) tidak direkodkan pada radar data seseorang,” kata Joseph.


Aliran-aliran data yang lain mungkin boleh memberi lebih banyak petunjuk. Reuters melaporkan bahawa pesawat MH370 dilengkapi teknologi ACARS, sebuah penyelenggaraan komputer yang mampu menghantar data ke syarikat penerbangan, memberi amaran kepada mekanik mengenai bahagian-bahagian yang memerlukan pembaikian ataupun penambahbaikkan. Walaupun sistem ini biasanya tidak menghantar data dalam real-time, ianya menghantar informasi secara berkala ketika penerbangan. Data sebegini boleh memberi petunjuk, namun hanya selepas berlakunya apa-apa kejadian. ACARS membantu para penyelidik untuk mengenal pasti mengapa pesawat Air France 447 terhempas. Walaupun Boeing menyediakan sistem yang lebih maju, iaitu Airplane Health Management yang menyediakan penyelesaian pada masa sebenar dan turut mengawasi penerbangan, pesawat MH370 tidak menggunakan sistem ini.



Kawasan Serpihan adalah besar, Dan Lautan pula Lebih Besar

Namun demikian, jika sesebuah kapal terbang terhempas, ianya pasti akan terhempas di sesebuah tempat, maksudnya mestilah ada sesuatu di luar sana. Namun setelah hari ketiga pencarian dijalankan, para penyiasat masih tidak menemui apa-apa petunjuk mengenai kapal terbang ini. Ini luar biasa, namun bukanlah tidak pernah berlaku.
Penerangan yang paling ketara sekali ialah kapal-kapal pencarian dan penyelamat tidak mencari di tempat yang betul kerana mereka tidak pasti di mana kapal terbang ini jatuh, kata Smith. Kemungkinan juga, walaupun sangat tidak mungkin, bahawa kapal terbang ini sebahagian besarnya masih utuh selepas terjunam kedalam air dan tenggelam.


Terdapat banyak spekulasi mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku, dan pesawat-pesawat telahpun terhempas sebelum-sebelum ini diatas pelbagai alasan dari kebakaran yang berlaku dalam penerbangan kepada juruterbang yang sengaja membawa kapal terbangnya terhempas dan, sudah tentu, insiden terorisme. Suatu kegagalan yang membawa kepada kemalangan pada pesawat itu--sebagai contoh kegagalan atau kehilangan suatu komponen yang penting, ataupun suatu letupan juga merupakan satu lagi kemungkinan.


Pakar-pakar penerbangan berkata ianya merupakan sangat awal , dan terlalu sedikit informasi yang diketahui, untuk membuat spekulasi mengenai apa yang telah terjadi. Namun ramai yang bersetuju bahawa apapun yang berlaku, ianya berlaku dalam masa yang pantas dan secara tiba-tiba , dan sudah tentu berlaku di altitud yang tinggi, menyebabkan serpihan berselerak di kawasan yang sungguh luas.


 “Jika sesuatu malapetaka buruk yang terjadi, ianya terjadi pada tujuh batu di atas sana,”kata Joseph. ”Angin pada altitud itu kadang-kadang melebihi 100 knot. Dengan kelajuan angin sebegitu, serpihan-serpihan yang kecil akan diselerakkan di pelbagai tempat yang lain-lain.”


Mana-mana bahagian aerodinamik,seperti bahagian sayap ataupun bahagian ekor pesawat akan diterbangkan dimana-mana seperti sebuah beg plastic ditiup angina. Serpihan yang berat seperti enjin atau gear pendaratan akan menjunam terus. Minyak dan likuid-likuid lain akan berselarakan, meninggalkan bukti yang sangat sedikit. Ini yang berlaku apabila kapal angasa Columbia berkecai ketika memasuki bumi pada 1 Februari 2003. Bezanya, kejadian itu berlaku diatas darat. Untuk mencari serpihan di lautan luas adalah jauh lebih sukar.


Jordan Golson merupakan seorang wartawan teknologi dan automatif di Durango,Colorado. Ikutinya di @jlgolson di twitter.

Popular Posts