Monday 29 April 2013

Pernah dengar mengenai Introvert?


Dialih bahasa oleh Durratun Naasihin

Artikel asal dalam Bahasa Inggeris boleh diakses di sini.




Mengenali tabiat dan keperluan segolongan manusia yang sering disalah fahami.




Secara jujur, adakah anda mengenali seseorang yang lebih gemar bersendirian saban hari? Atau mereka yang suka perbincangan yang mendalam mengenai perasaannya atau mengenai buah fikirannya, yang mana mereka ini juga mampu memberi pembentangan dengan amat cemerlang di hadapan khalayak ramai, tetapi secara tiba-tiba kelihatan kekok jika ditempatkan dalam kumpulan yang kecil, tidak semena-mena dia berubah menjadi kurang petah serta kekok jika terlibat dalam perbincangan dalam kumpulan kecil. Atau kenalkah anda kepada mereka yang terpaksa diheret untuk hadir ke majlis keramaian, dan kemudian memerlukan sisa harinya itu untuk bersendirian supaya ‘kembali pulih’? Atau mereka yang mencebikkan bibir atau mengerutkan muka tatkala cuba dihampiri oleh seseorang yang cuba untuk bertegur sapa?

Jika anda mengenali manusia yang sedemikian, apakah anda ingin memberitahunya, bahawa dia ini "terlalu serius" atau cuba bertanyakan "apakah dia ini punya sebarang masalah?”. Adakah anda akan menganggap orang seperti ini sebagai
kera sumbang, bongkak serta angkuh? Atau anda akan melipat gandakan usaha untuk menyisihkan diri daripadanya?

Jika anda menjawab ‘ya’ kepada soalan seperti ini, ketahuilah kemungkinan besar anda sebenarnya berhadapan dengan seorang introvert, dan anda sebenarnya tidak cuba memahaminya dengan baik. Kebelakangan ini, lapangan sains telah mempelajari banyak perkara mengenai tingkah laku dan keperluan seorang introvert. Melalui satu kajian yang dilakukan  - dengan memanfaatkan teknologi brainscan - berjaya membuktikan bahawa seorang introvert memproses maklumat dengan cara yang berbeza berbanding orang lain (dan saya tidak mengada-adakan maklumat ini). Jika anda sebenarnya tidak pernah mengetahui maklumat ini sebelum daripada membaca artikel ini, usah risau kerana masih ramai lagi manusia yang tidak mengetahuinya. Walaupun golongan introvert ini boleh dianggap sebagai golongan yang ramai, tetapi mereka juga adalah golongan yang sering disalah erti dan teraniaya di Amerika, malah mungkin pada peringkat antarabangsa.[1]

Bagimana saya boleh mengetahui hal ini? Perkenalkan, nama saya Jonathan, dan saya merupakan seorang introvert.

Oh ya, sejak sekian lama saya cuba menafikan perkara ini. Tambahan pula, saya punya kemahiran sosial yang baik. Saya bukan seorang yang bermuka keruh mahupun misantropik. Biasanya, perwatakan saya bukanlah seorang yang pemalu, jauh sekali pemalu seperti orang berak di tengah jalan. Saya juga menggemari perbualan yang panjang, intim dan mampu mengikuti sesuatu perbincangan dengan penuh rasa bersemangat. Namun akhirnya saya telah mengenal pasti akan perihal diri saya, dan berkongsi perkara ini kepada teman rapat dan rakan sekerja. Dengan berbuat demikian, saya mendapati diri saya seakan terlepas daripada satu bebanan yang amat besar, beban yang terhasil daripada salah faham dan stereotaip masyarakat. Maka saya seakan rasa terpanggil untuk berkongsikan mengenai apa yang perlu anda ketahui dalam usaha untuk mengenali lebih rapat golongan introvert ini, boleh jadi introvert berkenaan merupakan ahli keluarga anda, mahupun rakan sekerja. Anda harus sedar, mungkin seseorang yang anda kenali, hormati dan berinteraksi dengannya pada setiap hari merupakan seorang introvert, dan anda berkemungkinan ‘menyeksa’ diri mereka tanpa anda sedari! Sesuatu yang amat menguntungkan sekiranya anda dapat mengesani petanda awal amaran dari mereka


Apakah itu Introversion?

Dalam konteks dunia moden, konsep "introversion" ini mempunyai sejarahnya seawal tahun 1920-an, dan mempunyai kaitan rapat dengan seorang ahli psikologi, Carl Jung. Kini, introversion merupakan kriteria utama dalam berbagai ujian personaliti, termasuklah ujian personaliti yang amat meluas penggunaannya, iaitu Myers-Briggs Type Indicator. Seorang introvert tidak semestinya seorang manusia yang pemalu. Ini kerana manusia yang  pemalu sebenarnya merupakan seorang yang bimbang atau gusar atau rendah diri dalam persekitaran sosial ; berbeza dengan seorang introvert yang secara umumnya tidak bersikap demikian. Seorang Introvert juga bukanlah misantropik, walau tidak dinafikan ada sesetengah introvert seperti Sartre yang mengatakan,"Neraka itu seumpama mengambil sarapan pagi bersama-sama orang lain”. Sebaliknya, introvert adalah seseorang yang merasakan orang lain sebagai sesuatu yang menjerihkan.

Berbeza dengan extrovert yang mendapat dorongan dan semangat dengan kehadiran orang lain, sebaliknya menjadi lesu atau melemah jika dibiarkan keseorangan. Mereka sering berasa bosan dengan diri mereka sendiri atau bosan jika keseorangan. Biarkan seorang extrovert keseorangan untuk beberapa ketika dan akhirnya dia akan mencapai smartphonenya (mereka memerlukan ransangan dari luar). Berbeza dengan golongan introvert, selepas sejam atau dua jam bersosial secara ‘aktif’, kami, introvert perlu untuk bersendirian untuk ‘mengecas’ semula tenaga. Apa yang  saya sendiri amalkan adalah bagi setiap jam yang digunakan untuk bersosial akan ditimbal balik dengan kira-kira dua jam bersendirian. Ini bukan satu tindakan anti-sosial, malah bukan juga petanda tekanan perasaaan. Disebabkan ini bukanlah satu penyakit, maka kami tak memerlukan sebarang ubat untuk merawatnya. Bagi seorang introvert, bersendiri melayan fikiran dan perasaan ibarat satu keperluan, sepertimana tubuh memerlukan tidur untuk memulihara badan, seperti mana juga tubuh memerlukan badan untuk mendapatkan khasiat. Moto kami:"Saya okay, anda okay - tetapi untuk jangka masa yang pendek sahaja”

Berapa ramai manusia yang introvert?

Saya menjalankan kajian yang mendalam mengenai persoalan ini, kebanyakannya melalui carian google. Jawapannya adalah : Lebih kurang 25%, Atau: kurang sedikit daripada separuh. Atau - jawapan yang sangat saya sukai - "mewakili golongan minoriti dalam kalangan manusia biasa, tetapi mewakili golongan majoriti dalam kalangan manusia yang berbakat.”

Adakah introvert ini disalah fahami?

Secara kasar, begitulah halnya yang sering terjadi dalam kehidupan harian,"sesuatu yang amat menyukarkan bagi seorang extrovert untuk memahami introvert yang lainnya" tulis seorang pengamat pendidikan Jill D Burrus dan Lisa Kaenzig.(Petikan yang diambil dalam perenggan sebelum ini juga sebenarnya bersumber dari mereka). Berlainan pula dengan extrovert, mudah untuk introvert memahami mereka kerana extrovert sendiri banyak meluangkan masa mempamerkan ‘warna’ sebenar mereka - dan seperti tidak dapat dielakkan -  berinteraksi dengan orang lain. namun malang kerana hubungan extrovert-introvert ini tidak bersifat dua hala. Extrovert hanya memahami secebis atau langsung tidak memahami introvert. mereka -yakni extrovert- selalu beranggapan rakan peneman, terutamanya merujuk kepada diri mereka sendiri, adalah sentiasa dialu-alukan. Tidak terbayang dek akal fikiran si extrovert, mengapa seseorang itu perlu dibiarkan bersendirian; bahkan, mereka sering berasa tersinggung sekiranya dihadapkan dengan cadangan tersebut. Seperti acap kali saya cuba menerangkan hal ini kepada rakan extrovert, pada setiap kali itulah saya merasakan mereka sebenarnya tidak memahami apa yang saya cuba sampaikan. perbuatan saya ibarat seperti menggantang asap, mengukir langit - mereka hanya mendengar untuk beberapa ketika sebelum kembali kepada sedia kala.

Adakah golongan Introvert golongan tertindas?

Saya cenderung untuk menjawab ‘ya’ mengenai persoalan ini. Satu perkara yang kentara, golongan extrovert ini terlalu ramai wakilnya dalam dunia politik, satu profession yang mana kepetahan berpidato dan  komunikasi merupakan satu anugerah. Lihatlah contoh seperti George W Bush dan Bill Clinton. Mereka seolah lebih bertenaga dan hidup apabila bersama khalayak ramai. Jika ingin dibandingkan dengan beberapa orang introvert yang pernah juga berjaya dalam karier politiknya - seperti Calvin Coolidge, Richard Nixon - yang pidato mereka disampaikan dengan jelas serta amat bertenaga tetapi tidak ‘sehidup’ dan ‘sesegar’ pidato extrovert. Dengan pengecualian khas kepada Ronald Reagan, yang amat diketahui gemar memencilkan diri dan perahsia, mungkin ini petanda utama yang menunjukkan dirinya adalah introvert. (Seperti kebanyakan aktor, setakat pembacaan saya, ramai dari kalangan introvert, dan seperti kebanyakan introvert, apabila bersosial, mereka berasa seperti berlakon), dunia politik bukanlah dunia ‘semulajadi’ golongan introvert.

Ruang awam hampir sepenuhnya didominasi oleh golongan extrovert. Ini merupakan sesuatu yang merugikan. Saya membayangkan sekiranya introvert diberi peluang menguruskan dunia, tanpa diragukan, mungkin dunia ini menjadi lebih tenang, ‘waras’ dan damai. Dikatakan bahawa Coolidge pernah mengucapkan seperti berikut,"Tidakkah kamu tahu bahawa empat per lima daripada seluruh masalah dalam dunia ini dapat diselesaikan sekiranya kita hanya duduk dan diam?"(Dikatakan juga bahawa beliau pernah mengatakan,"sekiranya kamu tidak menuturkan sesuatu, kamu sudah pasti tidak akan diminta untuk mengulanginya". Selain daripada membicarakan perihal diri sendiri, perkara seterusnya yang amat tidak disukai seorang introvert yang sejati adalah mengulangi apa yang telah diperkatakannya.)

Dengan sikap mereka - yakni extrovert - yang tidak jemu untuk bercakap dan menarik perhatian, maka tidak perlu dihairankan apabila extrovert juga telah menguasai ruang sosial, maka mereka cenderung untuk menetapkan jangkaan (expectation). Dalam masyarakat kita yang serba extrovert[2], menjadi seorang peramah dianggap sebagai menepati norma masyarakat, maka nilai ini menjadi nilai idaman, disinonimkannya dengan petanda kebahagiaan, yakin pada diri sendiri serta mempunyai kewibawaaan memimpin. Extrovert dilihat sebagai manusia yang berjiwa besar, bersemangat, peramah dan tegas dalam pendirian."Manusia peramah" ini dipuji dan diangkat martabatnya. Bandingkan penggunaan frasa yang diguna dalam menggambarkan introvert, kita mendapati frasa seperti,"sentiasa berjaga-jaga”,"penyendiri”,"tidak banyak bercakap”,"pendiam”,"berat mulut”,"suka buat hal sendiri"- seakan menggambarkan sesuatu yang sempit, sesuatu yang tidak beberapa digemari, seolah menunjukkan peribadi muka batu dan berjiwa kecil. Wanita introvert, saya jangkakan, merekalah kelompok yang paling banyak menderita. Dalam sesetengah kelompok masyarakat, khususnya di Midwest, seorang lelaki walaupun mempunyai peribadi seorang pendiam, tetapi mereka tetap masih boleh meneruskan kehidupannya seperti biasa - yakni tidak menjadi mangsa prejudis ; berbeza dengan wanita introvert yang kebarangkaliannya lebih tinggi untuk ditohmah sebagai penakut, tidak peramah serta sombong.

Benarkah Introvert sombong?

Tidak benar sama sekali. Saya merasakan salah faham yang berlaku ini berpunca daripada sikap introvert itu sendiri, mereka ini lebih cerdas, sering bertafakur, lebih suka bersendiri, tenang, berpekerti halus dan lebih sensitif berbanding extrovert. Ini mungkin juga disebabkan sikap kami yang tidak gemar berbual kosong, satu kekurangan yang mana extrovert sering salah anggap sebagai  menghina mereka. Kami ini jenis makan dalam yang berfikir sebelum berbicara, manakala extrovert pula berfikir dengan cara bercakap, mungkin ini sebabnya mesyuarat sesama mereka boleh memakan masa berjam-jam lamanya."Introvert...."seperti yang ditulis oleh rakan kami Thomas P Crouser, seorang yang tajam penilaiannya, ketika mengulas sebuah buku,"Why Should Extrovert Make All the Money"(saya tidak mengada-adakan tajuk buku itu)"ini mudah merasa terganggu dengan perbincangan dalaman yang cuba dijalankan oleh extrovert. Namun, introvert tidak menzahirkan rungutannya, sebaliknya perasaan itu dibiar terpendam dalam hati"; ini antara contoh terbaik bagaimana salah faham boleh berlaku.

erk


Yang lebih malang daripada itu adalah extrovert langsung tidak mengetahui penderitaan yang bagaimana kami terpaksa tempuhi. Kadangkala berlaku, tatkala kami terperangkap dalam persekitaran yang ‘mesra-extrovert’, yang sudah tentu suasananya 98-peratus-dipenuhi-sembang-kosong, kami tertanya-tanya"adakah extrovert boleh mendengar apa yang mereka sendiri perkatakan, tanpa perlu ‘memaksa’ kami untuk terlibat sama dalam ruang ini”. Namun, kami sedikit pun tidak membantah ibarat dalam menunduk dia menyonggeng, kerana norma masyarakat - yang standardnya banyak ditetapkan oleh extrovert - menganggap menolak daripada berbual sebagai perbuatan tidak beradab, apatah lagi bila mewujudkan ‘jurang’ antara dua pihak yang berbicara. Kami mengidamkan suatu zaman, yang mana perihal diri intovert lebih difahami, atau mungkin juga tatkala gerakan menuntuk hak golongan introvert telah maju berkembang serta membuahkan hasil. Ketika itu, mungkin tidak dianggap kurang sopan untuk menyatakan seperti ini,"Maafkan saya, saya seorang introvert. Jujur saya senang dengan awak dan saya mendapati anda sebenarnya seorang yang menarik. Tapi.. Boleh tak awak diam dan tinggalkan saya untuk bersendiri?"

Bagaimana caranya untuk menunjukkan kepada introvert yang saya menyokongnya dan menghormati pilihannya?

Pertamanya, anda perlu sedar bahawa ini bukanlah satu pilihan, bukan juga suatu gaya hidup. Sebetulnya ini adalah satu orientasi.

Keduanya, apabila anda mendapati seorang introvert sedang ‘tenggelam’ dalam pemikirannya, tak perlulah bertanya "Apa hal?" atau "Ada masalahkah?"

Ketiga, tak perlu untuk mengatakan apa-apa lagi. serius!




Jonathan Rauch adalah seorang wartawan untuk The Atlantic dan juga merupakan penulis senior untuk National Journal.



---------------------------

[1] Kerana penulis asal artikel ini berasal dari Amerika

[2] “Masyarakat kita” di sini merujuk kepada masyarakat Amerika.

Sunday 21 April 2013

Media yang hipokrit atau kita yang tertipu?

Disusun oleh: Durratun Naasihin


Dialog yang pertama
Ko perasan tak baru je jap tadi ada orang mati kena bom dekat Boston, habis kecoh satu dunia. Kat Syria, Palestin, Burma (Masyarakat Rohingya) ada ribu-ribu orang mati, itupun kematian yang didaftar, kalau kematian yang tak didaftar entah berapa banyak lagilah agaknya. Tapi takde pun berita pasal diorang kecoh macam kat Boston tu, sial betul”

“Hurm... Betul tu, aku pun tak tau nak kata macam mana, media kita memang hipokrit!”“Bukan setakat tu je, orang kita pun senang termakan dakyah media barat. Tambah-tambah kalau orang macam ko!”

“macam aku?”

“Ha’ah, orang macam ko. Sebab ko poyo.”

“Cis! Agak kurang ajar di situ. Aku kira sampai tiga, baik ko lari sebelum aku sepak ko! Satu...! Dua...! Ti....
Perbualan tamat dan disambung dengan adegan kejar mengejar.

Dialog yang kedua
"Wey, ko tau tak? kat Boston ada orang pasang bom masa satu pertandingan marathon. Tak pepasal ada orang mati. Jahat betul siapa yang buat bom tu.”

“.... Kenapa ko bagitau aku pasal ni? ko nak aku buat apa? Sedih? Menangis?”“Apa maksud ko bila tanya soalan ni?”

“Diorang tu kan kapiaq! Buat apa nak peduli pasal diorang, diorang pun tak pernah peduli pasal kita. Masalah dalam umat Islam sendiri pun ramai orang yang tak ambik kisah, ada hati nak ambik tau pasal kat Boston. Ini semua poyo! Poyo macam ko!”

“Cis! Agak kurang ajar di situ. Sebelum ini ada orang panggil aku poyo, tak pepasal dapat hadiah penyepak dari aku. ko nak jugak?”

“.....”
Perbualan tamat dan disambung dengan adegan kejar-mengejar.


Dua dialog di atas adalah rekaan saya sendiri. Mungkin sedikit tidak realistik dialognya, tetapi intipati dialog itu adalah sesuatu yang releven untuk kita renungkan. Mungkin persoalan-persoalan yang timbul dalam dialog berkenaan sebenarnya tidak asing bagi kita sendiri. Mengapa ramai yang lebih ambil tahu mengenai ‘mereka’ tetapi tidak mengenai ‘kita’? Mengapa dunia boleh menitiskan air mata mengikuti kisah ‘mereka’ tetapi tidak pada ‘kita’. Apa kisah ‘kita’ belum cukup menyayat hati? Apakah kesialan yang menimpa ‘kita’ ini tampak ringan?
Memang betul isu ini boleh dianalisa dari berbagai perspektif, tetapi dalam tulisan yang singkat ini, saya hanya menumpukan pada satu sudut perspektif sahaja, iaitu peranan media dalam menimbulkan kesedaran.
Pertama sekali, saya meminta untuk kita sama-sama memerhatikan bagaimana berbezanya media ‘mereka’ dan ‘kita’ dalam melaporkan sesuatu tragedi yang menimpa pihak masing-masing.Sebagai seorang yang sering mengikuti berita dari Al-Jazeera dan beberapa media ‘kita’ yang lainnya, secara umumnya apabila dunia Islam dilanda tragedi, pemberitaan sering memfokus kepada sisi ekstrem dan ngeri sesuatu tragedi. Pembaca akan dihidangkan dengan berbagai gambar yang menakutkan,mengerikan, yang membuatkan kita tersentak, dengan harapan emosi yang cuba dibangkitkan akan menyebabkan si pembaca lebih merasakan penderitaan orang ‘kita’ sendiri. Maka tidak dihairankan sekiranya kita terus dihidangkan lagi dan lagi dengan gambar-gambar sadistik mayat saudara kita, sesuatu yang mungkin kita tidak akan dapat lihat dalam media Barat.
Berbeza dengan media barat. Saya ambil contoh tragedi yang berlaku di Newtown. Apakah teknik naratif yang digunakan oleh media barat untuk menghubungkan perasaan kita kepada ‘mereka’? Perhatikan baik-baik. Adakah media barat melaporkan berita mereka sama seperti cara kita melaporkan berita? Bukan dalam tragedi ini sahaja, bahkan untuk tragedi yang lain menimpa mereka.Sambung bertanya pada diri anda sendiri, bilakah kali terakhir anda melihat gambar mangsa tragedi yang berlaku di dunia barat yang ditonjolkan dengan cara seperti mana yang ‘kita’ laporkan mengenai mangsa di Syria atau Gaza atau Iraq atau Pakistan? Saya membayangkan,  sekiranya tragedi di Newtown terjadi dalam negara ‘kita’, ketika dan saat ini kita sudahpun dihadapkan dengan gambar ngeri mayat anak-anak kecil tersebut yang tubuhnya dipenuhi peluru.
Seingat saya, kebanyakan laporan berita yang sampai kepada saya mengenai tragedi yang berlaku dalam dunia Islam, kebanyakan gambarnya berorientasikan gambar anak-anak yang berlumuran darah, anak-anak yang menjadi cacat, mayat anak-anak yang dalam keadaan mengerikan. Tuntasnya adalah gambar yang dapat membangkitkan rasa marah dan rasa tersentak apabila pertama kali melihatnya.



Bagaimana Kita mempengaruhi media kita sendiri
Tanpa perlu dinafikan dalam era ledakan maklumat dewasa ini, sesuatu berita itu lebih mudah dan cepat disampaikan. Justeru, jika sesuatu berita itu hanya terlewat lapor dalam dua jam. berita yang berkenaan mungkin tidak lagi dianggap sebagai berita terkini , terutama dengan kewujudan media sosial yang menyebabkan berita menjadi lebih cepat basi. Justeru itu, media masa kini bukan setakat perlu berlumba untuk menyiarkan berita yang paling terkini, tetapi turut bersaing untuk mendapatkan pelanggan dengan cara memaparkan berita yang paling sensasi! Inilah masalah yang paling utama melanda kita, apabila media memilih cara yang sebegini untuk mensensasikan beritanya. Pertamanya, hal ini sememangnya sesuatu yang keji yang berselindung di sebalik nama sebuah ‘keprihatinan’, dan tanpa sedar ‘keprihatinan’ tersebut berubah menjadi satu penyakit mental serta kecacatan jiwa yang luar biasa . Keduanya, sememangnya orang Islam itu bersaudara, yang mana kita ini seumpama  satu tubuh yang mana jika satu anggota menjadi sakit, maka seluruh tubuh turut merasa kesakitan, tetapi itu bukan satu lesen besar untuk berlebih-lebihan dalam menjual berita mengenai saudara sendiri.
Sesuatu yang amat malang,  apabila akhbar menghentikan pengeluaran gambar-gambar seperti ini, jualan akhbar juga tidak semena-mena menurun. Saya teringat sebuah pepatah melayu, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. media tidak ada alternatif lain untuk menarik minat pelanggan melainkan dengan disertakan sekali gambar-gambar ngeri seperti ini. Akhir sekali, apa yang paling kita takuti dengan lambakan gambar-gambar seperti ini adalah pembiusan jiwa. Seperti kata Ustaz Hasrizal,[2]
"Apa yang pasti, imej-imej itu menjadi seperti bius, meninggalkan rasa lumpuh dan kebas pada jiwa hingga hilang rasa sensiviti terhadap realiti. Images anesthetize dan akses tanpa had, adalah implikasi negatif daripada lambakan foto sadistik ini."
Amat malang kerana  maksud asal gambar ini hanya ingin mencetuskan kesedaran, tetapi hasil pembiusan jiwa telah mematikan sensiviti seseorang. Apabila gambar ini sudah menjadi ‘biasa’, maka gambar yang lebih mengerikan perlu dipersembahkan untuk meransang serta menaikkan ‘semangat’ kerpihatinan kita, walhasil taraf sesuatu itu patut dilabel sebagai ngeri, turut berubah menjadi lebih ngeri daripada sebelum ini.
Inilah realiti yang menimpa masyarakat kita,tak berguna untuk kita menafikan realiti ini seperti kata pepatah walaupun intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.



Perbezaan media ‘kita’ dan media ‘mereka’
Bandingkan dengan media barat yang sebaliknya lebih cuba untuk memfokuskan kepada sudut kemanusiaaan dalam melaporkan sesuatu isu. Amat jarang mereka menggunakan gambar grafik yang ngeri. Walaupun begitu, tidak bermakna mereka tidak boleh memanipulasikan emosi kita, bahkan mereka amat pakar dalam berbuat demikian. Mereka sebaliknya lebih fokus untuk mewujudkan naratif berita ini persis penceritaan dalam filem, mereka akan mencipta plot demi plot, seterusnya mengembangkannya menjadi satu naratif yang mana kita semua dapat menghayatinya sebagai manusia, malah turut boleh merasa terkait dengan cerita ini. Mereka tahu bila dan bagaimana untuk memanipulasi perasaan, sehingga tanpa sedar menyebabkan kita boleh timbul rasa simpati - dan kadangkala - menjadikan seolah-olah kita ini berada di tempat mangsa. selalunya mereka akan menemubual mangsa atau waris mangsa, menyebabkan kita berasa lebih rapat dengan mangsa sekaligus menyelami perasaan mangsa, sehinggakan tragedi yang menimpa mereka dirasakan seolah seperti berlaku pada diri sendiri atau setidaknya ada kait dengan diri yang mendengar.(Saya ambil contoh bagaimana media barat seperti CNN melaporkan tragedi yang berlaku di Boston, sila rujuk sini, sini, sini, sini,dan sini)


Sidang media oleh salah seorang bapa kepada kanak-kanak yang terlibat dalam tragedi di Newtown. Si bapa menyampaikan rasa takziah kepada semua waris mangsa yang terlibat, termasuk kepada waris si penembak. Beliau juga menceritakan beliau akan senantiasa merindui senyum tawa anaknya yang telah terkorban


Nampak seperti biasa, tetapi hasilnya amat menakjubkan. Mungkin kita yang mengetahui akan hal ini merasakan tindakan ini seolah satu penipuan terancang - yang mungkin juga ada benarnya - tapi isu pokoknya adalah peri penting untuk menarik perhatian dan simpati orang ramai, kita perlu belajar bagaimana untuk menguasai teknik ini. Tidak dinafikan yang media massa arab cuba untuk mengaplikasikan teknik ini dalam sesetengah laporan mereka. Walau sebanyak mana pun duit yang mereka laburkan untuk tujuan ini , tetapi hasilnya tidaklah seberapa, tidak berpatutan dengan kos dan usaha yang diberikan oleh mereka. Jika diumpamakan sebagai sebuah perniagaan, perniagaan tersebut adalah jauh daripada menguntungkan para pelabur.

Jadi tidak keterlaluan jika saya mengatakan yang BBC dan CNN sememangnya mengawal hati dan perasaan kita. Secara diam-diam mereka menjalankan  rancangan mereka, mempersembahkan sesuatu berita dalam format seperti yang saya telah sentuh sebelum ini. Hasilnya, tanpa kita sedar kita boleh timbul rasa simpati, kesian, dan sedih ke atas kematian seseorang yang langsung tiada kaitan dengan kita, atau sekurangnya kita turut menitiskan air mata apabila presiden US - individu yang mana kita semua akan ingati kerana bertanggungjawab menumpahkan darah saudara kita - menangis ketika menyampaikan ucapan takziahnya kepada mangsa pembunuhan kejam di Newtown. Ya, kita semua adalah bukti hidup terhadap ‘eksperimen’ ini. Dan oleh kerana kejayaan media ini dalam memanipulasikan perasaan kita, menyebabkan sebahagian daripada kita , yang berasa marah dan kecewa dengan sikap  pilih kasih ini - walaupun mereka mempunyai niat yang amat baik - tetapi atas kejahilannya mengeluarkan kenyataan seperti yang terkandung dalam dua dialog pada permulaan post ini. Kadang-kadang ada yang melampaui batas apabila mengajuk-ajuk kematian seorang manusia, bahkan merasa bahagia atas kesialan yang menimpa orang. tidak tergambar dek akal bagaimana mereka mampu berfikir sehingga ke tahap itu.


Detik yang amat emosional, presiden Obama dilihat beberapa kali menyeka air matanya dalam satu sidang media khusus mengenai tragedi di Newtown
Saya ingin mengakhiri tulisan ini dengan mengatakan, bahawa saya sebetulnya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada media massa atas apa yang berlaku . Secara jujurnya, saya memang tak boleh. Izinkan saya untuk menerangkan dengan lebih lanjut sebabnya. Kebanyakan berita yang betul-betul meruntun hati saya mengenai apa yang berlaku dalam dunia Islam adalah berita yang saya peroleh dari media barat ini. Contohnya berita kematian yang melibatkan orang Islam yang terlebih dahulu dilaporkan oleh media BBC, jauh lebih pantas mendahului media-media yang lain. Saya sememangnya menggemari berita ini kecuali ketika berita yang dilaporkan BBC mula merewang dan mengarut sehingga menyentuh sensiviti umat Islam, maka saya berlepas diri dari menyokong laporan seperti ini . Namun tiada siapa pun dapat menyangkal bahawa media BBC sememangnya mengeluarkan berita yang berkualiti,ini terbukti apabila media di negara Arab sendiri turut menuruti jejak langkah BBC dalam mensensasikan isu yang BBC bangkitkan sehingga berhari-hari lamanya. Jadi, bagaimana harus kita menolak sepenuhnya dan menyalahkan media"kuffar"?
Malah, jika kita ingin melangkaui berita dan maklumat, saya ingin menyatakan bahawa apabila BBC dan media barat yang lain mengenakan konsep laporan"cara barat" dan lebih menumpukan kepada individu dalam melaporkan sesetengah isu yang melibatkan orang Islam, barulah perasaan lebih ‘berhubung’ dan terkait secara emosi kepada mangsa dapat saya hayati dengan lebih mendalam berbanding daripada menonton berita yang sama melalui Al-Jazeera atau al-Arabiyyah, yang turut melaporkan isu yang sama siang dan malam. Saya tidak malu untuk membuat pengakuan sedemikian. Itulah apa yang professional, psikologist, para PR dan orang-orang media cuba bereskperimen terhadap kami, dan adalah sesuatu yang membanggakan diri mereka apabila mereka berjaya mencapai tujuan yang mereka kehendaki. Suka saya peringatkan yang saya juga adalah pelanggan, sama seperti manusia lain, yang mana saya boleh bersikap kritis dalam menilai sesuatu perkara, mampu melihat sesuatu isu dari pelbagai perspektif, tetapi manusia tetap manusia, saya juga punya hati dan perasaan. dan perasaan saya ini boleh dimanipulasi dan dibolak-balikkan. Maka tidaklah dihairankan sekiranya perkataan ‘hati’ dalam bahasa Arab (Qalb) terbit daripada perkataan yang membawa maksud "membolak balik " dan juga "sesuatu yang berubah”, dan kerana sebab ini jugalah kita memohon kepada Allah Azza Wa Jalla untuk menjadikan hati kita tetap dan teguh terutama dalam keadaan yang boleh  membolak-balikkan hati kita.
Sungguh, ianya amat  melampau untuk menuding jari ke para "kuffar" kerana kekurangan dan kelemahan kita dalam merangka pelan tindakan .Saya mengambil satu contoh bagaimana sebuah dokumentari yang cuba mengambil pendekatan cara "barat" dalam melaporkan tragedi yang berlaku di Pakistan, yang mana anak-anak kecil adalah antara yang menimpa musibah atas kekejaman serangan Amerika Syarikat. Kita cuba memberitahu melalui Media barat dalam percubaan menguar-uarkan pembunuhan kanak-kanak yang tidak bersalah oleh serangan bom di Pakistan, dalam percubaan untuk menciptakan emosi yang sama seperti kes pembunuhan kanak-kanak di Newtown. Pembuat filem -yang juga merupakan orang Islam- ini turut cuba meniru format laporan yang sama, tetapi malang kerana hampir kesemua gambar kanak-kanak yang disertakan ini adalah gambar mereka yang telah pun menjadi mayat, bukannya gambar mereka sewaktu hidup , sewaktu mereka masih mampu mempamerkan wajah riang serta tersenyum. Saya tidak salahkan beliau, mungkin masalah sebenar berpunca daripada sikap orang-orang Islam yang menetap di kawasan kampung atau pedalaman yang jarang merakamkan gambar anak-anak mereka. Walaupun saya bukan seorang ahli psikologi,namun saya merasakan terdapat perbezaan yang amat ketara dalam memperlihatkan gambar kanak-kanak dalam dua situasi seperti yang saya telah sebutkan sebelumnya. Gambar yang menggambarkan mereka telahpun mati dan kaku memperlihatkan mereka seolah-olah bukan sesuatu yang nyata, seperti bukan seorang manusia, sesuatu yang jauh dari realiti. Rasa kepercayaan dan kekeluargaan yang menghubungkan kita dan mangsa bukanlah alasan yang cukup untuk merasai keperitan mangsa-mangsa yang tertindas terutama jika 'kita' itu merujuk kepada berjuta-juta orang Islam yang telah pun dijangkiti wabak konsumerism di luar sana. Ini adalah zaman yang mana empati, psikologi dan persembahan berita yang baik sebenarnya yang mampu memberi kesan yang lebih mendalam. Namun, di sebalik kekurangan yang saya telah sebutkan sebelumnya, dokumentari ini menyebabkan seseorang itu lebih dapat menghayati dan berhubung dengan video ini dengan perasaan kemanusiaan dan merasai kesengsaraan mereka, tidak seperti video-video yang selalu dihidangkan sebelum-sebelumnya.

Khatimah
Saya ringkaskan pandangan saya seperti berikut - setelah meneliti keupayaan dan pengaruh yang dimiliki sesetengah rangkaian berita - kita tidak seharusnya kehilangan upaya untuk berfikir dan berperasaan peri yang layaknya bagi manusia, iaitu berkasih-sayang sesama kita. Ini adalah satu kualiti yang amat indah dan bernilai dan mesti dilindungi senantiasa. Kasih sayang seperti inilah yang seharusnya kita pamerkan, selaras dengan apa yang pernah diperbuat oleh kekasih kita, Rasulullah SAW dalam banyak kisah yang terakam dalam hidup Baginda SAW.
Kita seharusnya mula merangka strategi bagaimana untuk menjadikan isu semasa malah isu yang lebih besar yang bakal berlaku, yang mungkin terjadi di tempat yang  terpisah jauh dari tempat kita berada, mampu dilihat dari dari sudut yang lebih peribadi dan lebih nyata supaya dapat membangkitkan simpati dan rasa ‘kebersamaan’ dengan mangsa.Ini amat penting supaya setiap tindakan kita untuk memperjuangkan keadilan dan keselamatan kepada mereka yang ditimpa nasib malang berlaku tanpa ada pilih kasih dan tidak dihadkan simpati dan sifat kemanusiaan kita kepada sesiapa atas faktor tempat, masa, bangsa ataupun agama.


Allāhumma thabbit qulūbanā ‘alā dīnika yā Rabb.


-------------------------

Rujukan dan bahan bacaan tambahan :




3. Tragedy oleh Imam Abu Eesa Niamatullah - Sebenarnya tulisan dalam post ini banyak diinspirasikan daripada tulisan Imam Abu Eesa yang menceritakan peranan media sewaktu melaporkan tragedi pembunuhan di Newtown, tapi saya telah mengolah tulisan ini supaya kelihatan releven pada situasi waktu hari ini

Thursday 18 April 2013

Rindu Semalam


Oleh: Zulqarnain


Masih basah kenangan indah
          Zaman cemerlang era gemilang
Ketika Rasul ada di sisi
          Para sahabat mentadbir bumi

Zaman nubuwwah era khulafa’Islam
          laksana api yang menyala
Menerangi teman dan juga sahabat 
Bahang panasnya membakar lawan
            
Di celah itulah

            Kami mengatur langkah

            Membina sebuah tho’ifah


Di sini bara 
Tak pernah padam 
Digenggam kukuh 
 Sebuah azam

Ayuhlah para mujahid
          Ayuhlah para mujahidah
Kita tinggalkan zaman fitnah
Agar tertegak kalimah Allah
          Agar terbangun
Dunia Baru Islam !



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Segala puji bagi Allah,Tuhan sekalian alam.Selawat serta salam buat junjungan Rasulullah SAW,keluarga,para sahabat dan sesiapa sahaja yang terus menerus  mematuhi perintah Allah swt serta mengikut risalah-risalah baginda  hingga ke akhir zaman,insyaAllah.Mata rantai ini kan tetap tersambung,jitu !


     Bait-bait lagu Zikr-Dunia Baru Islam nyata mengalun penuh makna,menyuburkan kembali ingatan tentang  hari-hari semalam yang telah lama kita tinggalkan.Kedengaran agak retorik,agak hiperbola di sini,seolah-olah kitalah Tariq bin Ziyad nya yang gagah perkasa,memimpin barisan pejuang Islam dengan semangat ‘menang ataupun syahid’ , menakluk Andalus ,ataupun kitalah Sultan Muhammad al-Fatih nya,’hero’ Istanbul yang memerintah Kota Constantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul.Namun,walau siapa pun kita,ber’bin’ dan ‘binti’ kan siapa,bumi mana kita berpijak sekali pun,beruntunglah bagi mereka yang dalam hatinya masih segar ingatan tentang hari-hari semalam di mana Islam berada di puncak kegemilangan,masih bermain-main lagak hebatnya panglima Islam menghunus pedang,menyusun atur strategi perang.Beruntunglah,bukan sahaja mereka,bahkan kita yang dalam hatinya memasang impian,mengirim doa terus  ke langit ke 7,moga-moga hari semalam menjelang kembali seperti mana janji Rabbi di sebalik helaian Qur’ani.Jasad ini mungkin tidak berada dalam era 800 tahun yang lalu di mana Andalus indah dengan Islam sebagai tulang belakangnya,tidak juga dalam era 300 tahun yang lalu di mana Turki gah di mata dunia,tetapi  tekunnya pembacaan demi pembacaan,gigihnya kajian demi kajian membuka mata hati,menyentuh hati nurani untuk terus mengimani setiap langkah bermakna pejuang Islam terdahulu.


     Namun,tersemat seribu satu kisah akan jatuh bangun empayar- empayar hebat Islam itu.Andalus memang indah,dahulu dan sekarang.Indahnya Andalus dahulu kerna cahaya tauhid yang dibawa Islam itu sendiri ,namun indahnya ia sekarang sekadar  menutup segala noda dan perbuatan keji yang pernah dilakukan ke atas umat Islam terdahulu.Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair digubah untuk mengungkapkan keindahannya, dan keilmuan sains dan teknologinya sering menjadi bahan paparan media. Memang Andalus hebat.Tetapi ia bukanlah seindah yang digambarkan.Dalam menelusuri kisah kehebatan Andalus,muncul seorang Tariq bin Ziyad,tokoh yang muncul dari misteri sejarah,melakar kejayaan luar biasa menguasai Semenanjung Iberia dalam sekelip mata,bersama Musa bin Nusair,wakil khalifah di Afrika Utara.Akibat fitnah,mereka dipanggil pulang ke Damsyik lalu lenyap dalam misteri sejarah yang matinya tidak bernisan,hidupnya tiada catatan.Pilu.Pernah satu ketika,angkatan perang di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad seolah-olah lemah semangat lalu Tariq berkata “Wahai saudara-saudaraku,lautan ada di belakang kalian,musuh ada di depan kalian,ke manakah kalian mahu lari ?Demi Allah,apa yang kalian miliki hanya kejujuran dan kesabaran…” Melihat kembali lemahnya semangat barisan pejuang di bawah pimpinan Tariq sehingga mahu menyerah sebelum beraksi,teringat hadis sabda Rasulullah yang berbunyi :


“Seburuk-buruk sifat yang ada pada seorang lelaki ialah kedekut kerana takut miskin dan lari dari medan perjuangan.” [Abu Daud]

           Sebagaimana lenyapnya Tariq bin Ziyad dalam misteri sejarah,begitu juga Sultan Muhammad al-Fatih apabila dibuang negeri dari Konstantinopel ke Pulau  Saint Helena sehingga baginda mengehembuskan nafas yang terakhir,masih di tanah asing bukan di tanah tumpah darahnya.Pilu.Namun,jerih perjuangan mereka masih,akan dan selalu segar dalam lipatan sejarah,menjadi obor membakar semangat menjulang tinggi dalam sanubari ansarullah kini.”Allahu Akbar ! Allahu Akbar !” ,lalu membahana laungan keramat itu memenuhi segenap ruang angkasa Konstantinopel seakan-akan ingin runtuh langit kota itu.Ya !Sultan Muhammad al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng Byzantium.Maka bersemarak lagi dan lagi laungan takbir oleh barisan pejuang Islam sambil memasuki kota tersebut,lalu tanah Konstantinopel menjadi saksi pertumpahan darah juang yang mungkin setiap titisan menjadi saham buat mereka di negara abadi nanti.Tentara Uthmaniyyah akhirnya berhasil menembusi kota Konstantinopel melalui Pintu Edirne lalu berkibarlah bendera Daulah Uthmaniyyah di puncak kota bersejarah itu.Begitulah keindahan dan kegemilangan empayar-empayar Islam terus-menerus mewarnai sejarah ditambah dengan kalimah tauhid yang tertegak mensejahterakan sekelian alam.Namun harus selalu kita ingat bahawa hukum Allah adalah hukum yang paling sempurna dan tepat.

“Pedang itu tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh orang Muslim.Ia digunakan semata-mata dengan perasaan perikemanusiaan demi kepentingan umat yang lebih luas.”
[Sahih Muslim,III : m/s 938]

     Walau bagaimanapun,langit tak selalunya cerah,mehnah dan tribulasi sentiasa menjengah lalu mengubah helaian sejarah yang dahulunya tersisip kemas dan indah.Konstantinopel buat julung-julung kali menjadi saksi pengkhianatan umat Muhammad saw sendiri yang selama ini berteduh di bawah lembayung rahmat Allah yang Esa,sanggup menggulingkan pemerintah kota itu,dan sejak itu,baginda digantikan dengan sultan-sultan boneka sehinggalah Revolusi Turki berlaku pada tahun 1924,didalangi oleh Mustafa Kamal Attarturk.Kisahnya sama di Al-Andalus iaitu di Valencia.Muslimah dilarang menutup muka,serban diharamkan dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di lading milik paderi.Tidak cukup dengan itu,pengkhianat-pengkhianat itu menghancur binasakan hamam (tempat mandi berwap di Turki) dengan alasan tidak mahu umat Islam mandi,biar kotor dan jijik.Selain itu,anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum.
     Betapa pentingnya rentetan perjalanan gemilangnya Islam dahulu sehingga sesiapa sahaja yang ke Turki mahupun Sepanyol,jika hanya berkejar mahu merakam gambar,berjalan di lorong-lorong kecil sambil membeli belah tanpa membuka mata hati ,amatlah rugi.Mungkin juga tanah yang suatu ketika dahulu pernah disimbahi darah para ansarullah terus mekar harum merentasi ruang dan masa,terus-menerus mentarbiyyah setiap jiwa yang singgah ke sana.Kembara Ustaz Hasrizal memberi jawapannya.
“Semasa saya bertugas di Ireland Utara dahulu, ramai juga daripada kalangan saudara baru Irish yang memeluk Islam, yang mendetikkan minat kepada Islam, adalah semasa mereka datang berkunjung ke Turki”.

“Budi bahasa orangnya!” kata seorang saudara baru.

“Kebersihannya” kata seorang yang lain.

“Azannya” beritahu seorang lagi.

Macam-macam.
Seolah-olah kembara mereka mampu mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.Seperti firman Allah swt dalam surah al-Hajj :

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. [Al-Hajj 22:46]

     Menelusuri setiap rentetan perjalanan dalam  pahit manis kisah kehebatan Islam ini mampu membawa kita kepada Dia,Pencipta yang Agung.Kerna itu,yang dahulunya tak suka membaca lagikan tentang sejarah,kini helaian-helaian sejarah semalam yang dibelek-beleknya,yang tak suka menulis,kini rancak bercerita,yang kurang ‘berperasaan’ kini makin ekspresif dalam melontarkan idea.Semuanya kerana Dia.Alhamdulillah.Moga-moga perubahan demi perubahan membawa kita langkah demi langkah dekat dengan Dia yang Mencipta segala-galanya, mudah-mudahan mekar dan suburnya cinta dalam hati kita terhadap Allah yang satu itu berpanjangan,berkekalan merentas ruang dan masa dan moga-moga Islam kembali tertegak di segenap pelosok alam sebagaimana hebatnya ia pada masa yang lalu,moga sejarah itu berulang kembali.Moga-moga juga roh perjuangan mereka subur dalam sanubari kita,ansarullah.Mimpi kita mimpi menangnya Islam ! InsyaAllah !
Nabi Muhammad saw berkata : “Kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya sifat syahid dan keimanan yang kuat dan binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan.” [Tarmizi dan Nasa’i]
Wallahu’alam.


Popular Posts