Wednesday 14 May 2014

Surat Buat Tuan Presiden

Kepada Tuan Presiden,

Sebagaimana Tuan Presiden memulakan surat Tuan Presiden dengan memetik kata-kata bekas Presiden Parti Islam se-Malaya, Dr Burhanuddin al-Helmy, maka izinkan saya memulakan coretan ringkas ini dengan pantun melayu dahulu kala;

Kalau roboh Kota Melaka
papan di Jawa saya dirikan,
kalau sungguh bagai dikata
nyawa dan badan saya serahkan.

Tuan Presiden,

Seperti surat Tuan Presiden, surat ini saya tujukan khas kepada semua saudara seagama, sebangsa dan senegara. Ini adalah ungkapan ikhlas dari hati, atas kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi bahawa hati-hati yang beriman adalah seketul daging yang mulia, dan kemuliaan itu bukan kerana bangsa semata-mata. Yang utamanya adalah kerana takwa.

DAN, takwa itu tidak akan sekali-kali membenarkan yang salah, dan menohmahkan segala yang benar. Seperti mana qudwah yang ditonjolkan oleh Khalifah Umar al-Khattab dan darah daging beliau yang masyur dalam sejarah, Umar al-Aziz, maka saya percaya keadilan adalah nukleus kepada segala-galanya.

Pertamanya, terima kasih kepada Tuan Presiden kerana meluangkan masa menulis surat tersebut. Alhamdulillah isi-isinya saya dapat, dan insyaAllah akan saya pegang erat-erat. Namun, saya pohon kebenaran untuk khilaf dalam beberapa perkara.

Tuan Presiden,

Saya kira secara keseluruhan tiada salahnya seruan Tuan Presiden. Saya percaya kasih terhadap kaum sebangsa tiada salahnya selagi mana tidak bercanggah dengan kebenaran. Inilah iktibar yang saya kutip di celah-celah mutiara sejarah silam Islam yang gemilang seperti mana qudwah yang ditonjolkan oleh Khalifah Uthman al-Affan. Namun demikian, bacaan politik saya terhadap Tuan Presiden sedikit berbeza. Tuan Presiden pada kebanyakan masa lebih mengasihi bangsa daripada kebenaran yang nyata. Tuan Presiden sering kalinya diam pada masalah-masalah negara, tetapi rajin bersuara pada hal yang lainnya.

Saya ingin sekali melihat jiwa-jiwa yang ditarbiyah ini larut dalam masyarakat – berdakwah dan membela golongan yang susah. Mereka tidak sekadar berjuang memartabatkan bangsa mereka dengan ucapan-ucapan berbisa bahkan turut membantu bangsa mereka berdiri dan berjuang di atas satu padang yang rata. Rasuah, baik dari apa jua bangsa pun, dari sudut pandang mana-mana agama pun, adalah satu barah yang jijik dan hina. Sedihnya, Malaysia dan melayu adalah pesakitnya.

Tuan Presiden,

Sebagai seorang warganegara Malaysia yang mahu melihat wujudnya bangsa Malaysia – tanpa meleburkan nilai-nilai Melayu dan utamanya nilai-nilai islami – berpendapat beberapa kenyataan Tuan Presiden mengguris hati rakan-rakan yang pernah dahulunya turut sama berlari di bendang, teman-teman yang pernah dahulu setilam dan guru-guru yang sama-sama berpeluh tatkala kelas-kelas mengalami gangguan bekalan eletrik.

Anak-anak Malaysia. Jangan kita tinggalkan yang huru-hara kepada mereka.


Sebagai sebuah organisasi dakwah, saya percaya, maqasidnya adalah mendekatkan masyarakat kepada Islam. Tetapi, berdasarkan beberapa kenyataan yang dibuat, tindakan-tindakan tersebut dilihat boleh menjauhkan lagi mereka yang masih belum menerima hidayah dan menimbulkan rasa jelek dan khuatir masyarakat Islam yang lainnya. Bukankah jalan-jalan itu adalah kepada fitnah? Bukankah kita dilarang dekat kepada fitnah? Mohon tunjuk ajar Tuan Presiden.

Mohon maaf. Seperkara lagi, saya berpendapat ketakutan (inilah) yang akan membelenggu pemikiran dan kehendak bangsa Melayu; dalam konteks yang dibicarakan oleh Tuan Presiden. Ketakutan ini boleh juga menjadi antara punca tergadainya tanah air kita. Ayuh, daripada takut, kita bertukar kepada waspada. Waspada bukan sekadar pada kaum yang lainnya, tetapi jua pada mereka yang sebangsa.

Sering kali dibicarakan, dipesan-pesan di dalam usrah, bahawa tingkatan ukhuwwah itu ada tiga. Pada tingkatan yang paling bawah adalah bersangka baik. Bersangka baik pada mereka yang berpegang pada tali Allah. Bukan pada akar-akar bangsa. Qudwah daripada yang dikasihi Rasulullah Muhammad sallahualay hi wasallam juga harus dibumi dalam kehidupan seharian. Pada mulut yang mengeji dan mencaci baginda Rasulullah SAW itulah yang baginda suapkan dengan penuh kasih sayang. Jangan pula kita kemas berpegang pada celaan Allah SWT terhadap Abu Lahab seandainya dakwah tidak secekal Muhammad.

Dakwah adalah cinta.


Penutup bicara, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua tidak mengira pada takdir bangsa yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Esa, bahawasanya berpeganglah kita pada tali kebenaran agar kita tidak hanyut daripada jalan munuju Tuhan. Jangan sekali-kali kecewa dengan dakwah kerana pesan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemberi Hidayah bahawa sekiranya Dia berkehendak nescaya seluruh alam ini boleh bergema dengan kalimah syahadah.

Kepada anak-anak Malaysia yang lainnya pula, kesatuan ini harus kita bina dan kukuhkan. Kesatuan itu ibarat sebuah rumah dan saya percaya tiangnya adalah ketaatan kepada Tuhan, dindingnya adalah keadilan dan kejujuran manakala atapnya adalah toleransi dan kebersamaan. Ranaplah rumah tanpa tiang. Tiadalah dinamakan rumah tanpa dinding dan bertambahnya malang bilamana rumah tiada beratap. Kuyuplah dilanda hujan fitnah.


Salam perjuangan.

Monday 12 May 2014

Akhlak Dalam Dakwah, Cerminan Akidah Daie



Pembinaan tamadun menurut Ibn Khaldun dalam magnum opusnya, Muqaddimah telah menetapkan bahawasanya tamadun itu tidak tertegak semata-mata kerana pembinaan fizikal tetapi turut sama didokong dengan pembinaan modal insan. Sejarah telah menjadi saksi keruntuhan-keruntuhan tamadun dunia seumpama Tamadun Rom, adalah berpunca daripada keruntuhan moral insan. Akhirnya Tamadun Rom lenyap. Yang tinggal hanya tulisan-tulisan dan cerita-cerita untuk kita ambil pengajaran [sekiranya kita dalam kalangan mereka yang mengambil pengajaran yakni Ulul Albab].

Pembinaan moral adalah satu tiang penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti tinggi. Di dalam Islam [rujuk: akhlaq] perkara inilah yang senantiasa dipegang bersama-sama dengan konsep monotoisme [rujuk: aqidah]. Bahkan, Buya HAMKA senantiasa menegaskan [rujuk: konsep tasawuf] tidak beriman tanpa amal [salih]. Hal ini dikupas khusus oleh Buya Hamka dalam bukunya “Kesepaduan Iman dan Amal Salih”.




Menyoroti permasalahan masyarakat masa kini, kita dapat melihat betapa permasalahan sosial yang kritikal adalah berpunca daripada beberapa perkara dan antaranya adalah kegagalan membumikan akhlaq dalam kehidupan seharian. Iman Abu A’la al-Maudidi dalam bukunya “Syahadatul Haq” telah menegaskan betapa kalimah syahadat itu tidak sekadar lafaz di bibir dan iktikad di hati bahkan seharusnya terbit dalam perlakuan seharian.

Lalu muhasabahnya, adakah kita beriman dengan sebenar-benar beriman? Adakah kita golongan yang disebut sebagai bertakwa yang senantiasa diulang-ulang di dalam al-Quran?

Ayuh kita imbau kembali sejarah 80’an yang mana sewaktu zaman tersebut cukup popular dengan elemen takfir [kafir mengkafir]. Hal ini tercatat dalam sejarah politik Malaysia dan seharusnya kekal dalam jalur sejarah yang diambil iktibar, bukan dalam jalur sejarah yang cukup sekadar diambil khabar. Isunya adalah penolakan sesetengah golongan terhadap perkara-perkara asas dalam agama; yakni bersangkut paut dengan akidah, syahadatul haq.


Secara konteksnya, umum percaya bahawa beberapa metode dakwah pada waktu ketika tersebut adalah bersesuaian dengan ruang lingkup zaman tersebut. Pada zaman tersebut, gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia ditekan dan natijahnya adalah lahirlah iijtihad-ijtihad yang dilihat keras dari sudut dakwah walhal tidak bercanggahan dari sudut akidah secara umumnya. Ijtihad-ijtihad yang tegas pada waktu ketika tersebut telah memperlihatkan seolah-olah pendakwah adalah pemilik syurga dan neraka.


[DAN, hal ini selayaknya kita kupas lebih lanjut dari sudut psikologi dakwah dan pendakwah.]

30 tahun berlalu. Kita melihat Tamadun Malaysia yang cuba dibina terjerat di antara dua; menuju kehancuran atau menuju kejayaan. Menuju kehancuran kerana kita tidak menuai akhlaq daripada pohon-pohon kehidupan. Ada harapan kepada kejayaan kerana baja dan siramannya adalah berdasarkan perkara-perkara basis [yang penting dan utama].

Falsafah Pendidikan Kebangsaan didirikan atas kepercayaan kepada Tuhan yang mana secara umumnya kita percaya, setiap agama menzahirkan kebaikan [penegasan: tidak semua menganjurkan kebenaran]. Masih ada harapan kerana kita melihat wujud sebilangan modal insan yang berjuang teguh [bahkan ada yang mewakafkan diri mereka] untuk mengajak kepada kebenaran [berdakwah]. Mereka berta’awun pada tujuan kebaikan. Mereka bertahaluf atas perkara-perkara yang tidak bercanggahan dengan iman.




Kita percaya jalan-jalan kejayaan walau likunya berbagai dan mehnahnya menggunung tinggi tetap akhirnya kebaikan jualah yang mengatasi keburukan, tetap akhirnya kejayaan yang baik mengatasi kegagalan yang buruk dan sesungguhnya sikap kita semestilah tidak sekadar percaya sebaliknya turut bersama mereka yang teguh menyampaikan kebenaran.


30 tahun telah berlalu. Zaman kian berubah dan penentangan terhadap penyebaran Islam yang syumul dan benar makin kurang halangannya. Justeru kita khuatir sekiranya masih ada yang terperangkap dalam sejarah lama dan tidak pula mengambil pengajaran. Pesan al-fadhil Ustaz hafizallahu ta’ala, kita pendakwah, bukan penghukum. Kita penyebar kebenaran bukan penabur fitnah. Kita adalah kader-kader [rujuk: yang ditarbiyah]adalah diibaratkan seperti kitab-kitab terbuka. Ke mana sahaja kita melangkah, masyarakat sekeliling akan membacanya untuk dijadikan pedoman (Suhaizan Kaiat, 2014).   



Kita bukan pencetus provokasi, sebaliknya kita adalah kader-kader yang akan menjadikan setiap perkara sebagai opurtuniti – kepada dakwah.


Salam perjuangan.

Popular Posts