Thursday 2 May 2013

PRU13



Oleh: Muslih



Ibn Umar RA berkata : saya telah mendengar rasulullah SAW bersabda :
setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya.
Seorang kepala negara akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya.
Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya.
Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya.
Bahkan seorang pembantu/pekerja rumah tangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya.
Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) dari hal yang dipimpinnya. (bukhari, muslim)

Sempena musim PRU ini, saya tertarik untuk menggariskan beberapa langkah dalam  membuat pemilihan pemimpin berdasarkan hadith dan Al-Quran.
Berdasarkan hadis di atas, kita dapat menyimpulkan bahawa setiap manusia tidak kira usia, bangsa mahupun agama mempunyai “tanggungjawab”. Setiap tanggungjawab adalah kepimpinan. Apabila kita bercakap mengenai tanggungjawab, ini sangat berkait rapat dengan amanah. Ketiga-tiga perkataan ini sangat berkait rapat dan ketiga-tiganya diberi oleh Allah berdasarkan kemampuan masing-masing.
Tanggungjawab = Amanah = Pimpinan
Hadits Ma’qil bin Yasar, dari Hasan bahawasanya Ubaidillah bin Yazid mengunjungi Ma’qil bertanya kepadanya:
Bahawasanya saya akan ceritakan kepadamu suatu hadits yang saya dengar dari Rasulullah SAW saya mendengar nabi bersabda: “tidak ada seorang hamba yang diberi tugas oleh Allah untuk memelihara segolongan rakyat, lalu ia tidak melakukan sesuai dengan petunjuk, melainkan ia tidak memperoleh bauku”
Berdasarkan hadis di atas,
CIRI PERTAMA: Berlaku sesuai dengan petunjuk

Apakah yang dimaksudkan dengan petunjuk?  Hal ini boleh dirujuk dalam
Surah An-Nisa ayat ke-59 yang berbunyi
“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah SAW dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
Jadi boleh disimpulkan bahawa petunjuk itu adalah (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya.
Abu Ja’la (Ma’qil) bin Jasar RA berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: tiada seorang yang diamanati oleh Allah memimpin rakyat  kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya surga. (Bukhari, Muslim)

CIRI KEDUA: Amanah dan tidak menipu rakyat


Apa maksud amanah?
Dari segi bahasa, amanah berasal dari perkataan Arab, bermaksud tenteram, aman, terselamat dan harmonis. 

Dari segi nilai dan akhlak, amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Dengan kata lain, amanah ialah tanggungjawab yang diterima seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut, tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab ini dilaksanakan dengan sempurna, ia merasa tenteram, aman, terselamat dan harmonis.

Penipuan yang dilakukan demi kepentingan individual adalah salah satu penindasan terhadap semua golongan. Rakyat tidak mendapat hak mereka secara mutlak. Hal ini membuatkan rakyat jelata mengambil hak orang lain pula kerana hak mereka tidak cukup. Ini membuatkan semua orang mengambil hak orang lain dan menindas mereka yang kurang mengetahui.
“Ketaatan itu sesungguhnya hanya dalam perkara makruf” [Muttafaq 'Alaih].
Dan sabda Nabi s.a.w:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
Maksudnya: “Dengar dan Taat itu wajib atas setiap muslim dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak disuruh melakukan maksiat maka apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat” [Muttafaq 'alaih].

CIRI KETIGA:Tidak suruh melakukan maksiat

Apa yang dimaksudkan dengan maksiat? Ini kerana apabila sebut sahaja maksiat, kita mesti menggambarkan lelaki dan perempuan yang berzina. Sebenarnya maksiat membawa maksud yang luas.
Maksud maksiat: penderhakaan. Kalau “asi”: orang yang menderhaka..
Dalam dewan bahasa dan pustaka, derhaka itu bermaksud tidak taat, menentang dan melawan. Jadi, apa sahaja perbuatan yang menentang, melawan atau berbau tidak taat pada Allah; maka itu adalah maksiat.
Aidz bin Amru RA, ketika ia masuk kepada Ubaidillah bin Zijad berkata: Hai anakku saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: sesungguhnya sejahat-jahat pemerintah iaitu yang kejam (otoriter), maka janganlah kau tergolong daripada mereka. (HR. Bukhari, Muslim)

CIRI KEEMPAT: Tidak bersikap kejam

Apa yang dimaksudkan dengan kejam di sini?
Kejam bermaksud tidak mempunyai perasaan belas kasihan atau pun lebih tepat lagi bersikap zalim iaitu tidak berlaku adil.
Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi SAW. bersama dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: Wahai Rasulullah SAW, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah SAW. bersabda: Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak untuk memperolehinya .
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

CIRI KELIMA: Tidak Tamak

Abu Al-Husain Al-Waraq Al-Saaburi RA; Barangsiapa mengetahui akan dirinya kasih akan sesuatu daripada dunia, maka membunuh ia akan dia dengan pedang Tamak; dan barangsiapa Tamak dalam sesuatu, maka hinalah baginya; dan dengan hinanya itu [maka] binasa[lah] ia.
Abu Maryam Al’ Azdy RA berkata kepada Muawiyah: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: siapa yang diserahi oleh Allah mengatur kepentingan kaum muslimin, yang kemudian ia sembunyi dari hajat kepentingan mereka, maka Allah akan menolak hajat kepentingan dan kebutuhannya pada hari kiamat. Maka kemudian Muawiyah RA mengangkat seorang untuk melayani segala hajat kebutuhan orang-orang (rakyat). (Abu Dawud, Termizi)

CIRI KEENAM: Menjaga kepentingan rakyat
Pemimpin perlu menjaga kepentingan rakyat dari semua aspek. Mari kita menyingkap sejarah bagi memahami serba sedikit mengenai “menjaga kepentingan rakyat”.
Pernahkah kita mendengar cerita seorang perempuan yang diganggu oleh sekumpulan pemuda yahudi?
Khalifah ketika itu ialah Muhammad bin Harun Al-Rashid, atau gelarannya Al-Mu’tasim Billah.
Kisah bermula apabila seorang wanita Muslimah diganggu oleh sekumpulan pemuda Yahudi, yang bertindak menyelak kainnya. Wanita itu menjerit sekuat hati, “Ya Mu’tasim. Ya Mu’tasim. Di mana engkau?”
Kisah ini sampai ke pengetahuan Khalifah Al-Mu’tasim di Baghdad. Baginda pun dengan segera bertindak menghantar segerombolan tentera untuk menghukum pemuda-pemuda Yahudi itu.
Sejarah Islam membuktikan bahawa pemimpinlah yang berjaya membuat umat mencapai kemuncak kedudukannya. Pemimpin itu dalam istilah politik Islam disebut khalifah dan adakah seorang khalifah yang berjiwa al-Mu'tashim pada hari ini?

KESIMPULAN
Buatlah pemilihan dengan bijak. Sesungguhnya manusia diberi akal untuk berfikir dan tahu membezakan antara baik dan buruk. Segala pemilihan yang dilakukan bakal mewarnai dan mencorak masa depan kita serta zuriat kita .Selamat berPRU!!
Moga takdir Tuhan, Allah Jalla wa 'Alaa memberi kemenangan kepada pemimpin yg adil.
Sesungguhnya, takdir Tuhan itulah yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya
والله أعلم





No comments:

Post a Comment

Popular Posts