Monday 23 December 2013

Kes Rasuah AKP di Turki



Ketua Polis Istanbul (Huseyin Capkin) meninggalkan stesen polis di Istanbul (18 Disember 2013). Gambar dari Reuters/Osman Orsal

Artikel asal karya Kadri Gursel, dari almonitor.com. Boleh dibaca dalam bahasa asal disini.

Dialih bahasa oleh Awan Putih.

Sejak pagi 17 Disember, masyarakat awam di Turki sedang mengalami kejutan gempar berikutan keputusan operasi anti-korupsi yang dijalankan secara besar-besaran, yang secara terus ada perkaitan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dan partinya  Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP). Terdapat tuduhan rasuah yang begitu berat terhadap empat menteri kerajaan yang penting yang juga dikenali sebagai mereka yang rapat dengan perdana menteri. Mereka ini ialah : Erdogan Bayraktar, menteri alam sekitar dan pembandaran; Muammer Guler, menteri dalam negeri, Zafer Caglayan, menteri ekonomi, dan Egemen Bagis, menteri hal ehwal EU.


Anak-anak lelaki kepada tiga menteri pertama disebutkan diatas telahpun ditahan polis pada pagi 17 Disember atas kesalahan merasuah dan menggunakan pengaruh. Pada 19 Disember, mereka disoal oleh pihak polis.



Pada hari yang sama, polis Istanbul melancarkan tiga operasi anti-rasuah yang berlainan dan menahan 52 orang. Di pusat operasi pertama ialah seorang warga Iran berbangsa Azeri yang bernama Reza Zarrab. Menurut maklumat yang dikeluarkan kepada pihak awam, Zarrab aktif dalam menyeludup wang ke Iran melalui Russia dan China. Ianya dikatakan bahawa Zarrab telah menubuhkan saluran-saluran rasuah dengan Guler,Caglayan dan Bagis, samaada secara terus ataupun melalui anak-anak mereka. Zarrab dituduh mengedarkan $63 million duit rasuah kepada menteri-mentari terbabit. Menurut laporan berita, Caglayan dituduh mengambil $51.5 milion dalam rasuah; Guler, $10 milion; dan Bagis,$1.5 milion.


Pada hari 19 Disember, suratkhabar harian Taraf menyiarkan rakaman polis keatas perbualan-perbualan telefon dan pengawasan visual keatas hubungan rasuah Guler dan Bagis.

Di pusat operasi kedua pula ialah Bayraktar, yang bertanggungjawab keatas badan Sosial dan Pentadbiran Perumahan(TOKI). Sebelum menjadi seorang menteri, Bayraktar merupakan pengerusi kepada TOKI yang berkuasa,antaranya mengkoordinasikan pelaburan-pelaburan perumahan negeri. Antara 22 orang yang ditahan berhubung kes ini ialah pemilik-pemilik kepada tiga firma pembinaan yang besar: Ali Agaoglu, Emrullah Turanli, dan Osman Agca. Mereka dikenali sebagai memang rapat dengan kerajaan dan menerima pulangan besar dari kontrak-kontrak TOKI. Abdullah Ogus Bayraktar, anak kepada Menteri Bayraktar, juga antara yang ditahan. Mereka ditahan atas tuduhan aktiviti pembinaan yang haram, serta memberi dan menerima rasuah.


Operasi ketiga adalah terhadap daerah Fatih di Istanbul yang dikawal oleh AKP. 33 orang, diketuai oleh Datuk Bandar Mustafa Demir telahpun ditahan. Antara kesalahan yang sedang disiasat adalah rasuah bernilai jutaan dolar yang ditujukan untuk mendapatkan permit pembinaan untuk sebuah projek yang dapat membahayakan system keretapi bawahlaut Marmaray, yang menghubungkan kawasan Asia dan Eropah bandar Istanbul.



Pendakwa Zekeriya Oz -  yang terkenal di kalangan mereka yang mengikuti penyingkiran pimpinan rejim tentera di Turki - mengkoordinasikan ketiga-tiga siasatan ini. Sebelum ini, Oz merupakan pendakwa dalam percubaan Ergenekon keatas bekas-bekas tentera dan orang awam yang dituduh merancangkan perampasan kuasa, serta kes Odatv, iaitu merupakan sebuah kes terhadap para wartawan yang mensasarkan gerakan Gulen.



Protes rakyat Turki keatas dakwaan rasuah dalam kerajaan AKP



Terdapat dua dimensi kepada operasi 17 Disember yang berjaya dirahsiakan dari kerajaan; pertama, korupsi berleluasa yang benar-benar mencabar kerajaan dan Erdogan; kedua, pendedahan kepada amalan-amalan korup, yang berlaku bukan kerana hasil pendakwa yang berkecuali dan professional, tetapi sebuah manifestasi kepada pergolakan yang dramatik antara parti AKP dan gerakan Gulen.



Namun demikian, korupsi adalah korupsi, dan legitimasi mereka yang melawan korupsi tidak akan dibahaskan. Pergolakan antara AKP dan Gulen adalah perebutan kuasa antara dua kuasa politik yang dahulunya merupakan rakan politik. Sesiapa sahaja pengikut media yang berpengetahuan sudah tentunya senang sahaja membuat kesimpulan ini.



Sejak operasi 17 Disember menjadi publik, pihak media - terutama sekali media yang rapat dengan gerakan Gulen, bersungguh-sungguh melaporkan maklumat siasatan yang sepatutnya dibiarkan tersimpan dari pengetahuan awam. Berlainan pula dengan media yang pro-kerajaan yang tidak melaporkan tuduhan-tuduhan rasuah, mahupun bukti yang telah dijumpai serta bahan-bahan visual yang telahpun diberi kepada pihak media. Media pro-kerajaan sebaliknya menyebarkan dakwaan bahawa operasi tersebut merupakan sebuah konspirasi untuk menumbangkan kerajaan yang dijalankan oleh kumpulan asing.


Pergolakan tidak simetri antara AKP (parti Erdogan) dan gerakan Gulen semakin hari semakin menampakkan perang saudara didalam negara. Ianya seolah-olah tiada pemenang yang akan muncul dari pertarungan ini, maka adalah penting untuk melihat siapa yang akan mendapat kerugian yang lebih besar. Pada saat ini, kerosakan yang paling serius sedang dikenakan terhadap Erdogan dan kerajaannya.


Satu perkara yang boleh dipersoalkan ; Kenapa tiga operasi berbeza ,yang melibatkan suspek berlainan namun semuanya berhubungkait dengan pemerintahan AKP dan korupsi menteri, dijalankan pada hari yang sama?

Jawapannya, dengan realiti Turki, adalah ; Jika dijalankan berasingan, maka dua lagi operasi sudah tentu tidak dapat dijalankan, kerana kerajaan akan terus menghalangnya.

Kerajaan Turki pula tidak lambat dalam campur tangan dalam siasatan-siasatan tersebut. Walaupun kedua-dua pendakwa yang ditugaskan dengan siasata itu tidak meminta banyak perkara, pada 18 Disember, dua lagi pendakwa diletakkan ke kes-kes ini oleh pendakwa raya Istanbul.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan





Satu lagi perkara menarik berlaku dalam institusi polis. Seramai 29 ketua polis ditugaskan semula dari jawatan mereka di Ankara dan Istanbul. Walaunpun kebanyakannya bersetuju bahawa penugasan semula ini merupakan suatu perbuatan untuk menghukum ketua polis yang menyembunyikan operasi itu dari orang atasan mereka,ataupun menyingkirkan polis-polis yang dirasakan rapat dengan gerakan Gulen, ada juga yang mempercayai bahawa tindakan tersebut sebenarnya bertujuan untuk menghalang siasatan lanjut dilakukan.



Kesemua ini menunjukkan percubaan AKP untuk mengawal kerosakan.


Sementara itu, kita boleh membuat catatan mengenai kerosakan-kerosakan yang dibawa oleh kerajaan hasil dari operasi-operasi pada 17 Disember:

Pertama : Hasil dari siasatan-siasatan tersebut, Erdogan dan partinya mengalami kerosakan yang serius dan kehilangan kredibiliti di ambang suatu acara politik yang sangat kritikal, termasuklah pilihanraya lokal pada Mac 2014 dan pilihanraya presiden serta pilihanraya utama pada pertengahan tahun 2015. Ini mungkin boleh menghasilkan kekecewaan dalam kalangan pengundi dan akan mempengaruhi keputusan pilihan raya secara negatif untuk pihak AKP.



Kedua : Kerajaan telah membuatkan orang awam mengesyaki kewibawaannya apabila ia masuk campur dalam siasatan korupsi keatas ahli-ahlinya, walaupun terdapat bukti kukuh. Jika campur tangan ini masih lagi berlaku disaat pilihanraya kecil semakin menghampiri, kehilangan jumlah pengundi akan mencerminkan kehilangan kepercayaan mereka.



Ketiga : Oleh kerana kerajaan tidak dapat menunjukkan menteri-menterinya tidak bersalah dengan bukti yang kukuh, dakwaan terhadap menteri-menteri seakan-akan benar.



Keempat : AKP di Turki telahpun melakukan taboo terbesar di Turki,iaitu taboo korupsi. Sejak tahun 2008, pihak media tidak pernah menyiarkan walaupun satu laporan rasuah yang mungkin akan mengapa-apakan kepentingan kerajaan disebabkan kawalan ketat keatas pihak media oleh kerajaan AKP. Seseorang yang tidak menyedari realit di Turki mungkin akan berfikir bahawa Turki pada pemerintahan AKP sudah tidak ada lagi kes rasuah. Operasi 17 Disember ini, membuktikan sebaliknya. Rasuah amatlah berleluasa di negara ini dan sudah pun mencapai paras yang merbahaya.



Kelima : Berkaitan dengan taboo korupsi, suatu lagi taboo telah berakar melalui kawalan ketat terhadap pihak media. Taboo ini, yang berkenaan dengan hal ehwal perniagaan, pelaburan dan tabiat perbelanjaan keluarga-keluarga parti pemerintah, maka, “taboo keluarga parti pemerintah” turut juga telah dilakukan oleh AKP. *


Keenam : Pemerintahan AKP telah mewujudkan media yang partisan dengan membenarkan surat khabar dan stesen-stesen TV yang mengalami krisis kewangan diambil alih oleh kerajaan kepada kroni-kroni pemilik. Ianya tidak musnah , namun sudah tentu kehilangan kuasa mereka disebabkan siasatan-siasatan ini. Kawalan ketat terhadap media tidak dapat memberhentikan aliran berita mengenai kes rasuah ini. Dalam masa artikel ini disiapkan, Huseyin Capkin, ketua polis Istanbul, dimasukkan kedalam senarai polis-polis yang dibuang dari jawatan mereka.

* AKP merupakan sebuah parti politikal Islam dan berbangga dengan imej mereka yang bersih dan bebas rasuah. Oleh kerana ini, terdapat beberapa taboo dalam pemerintahan AKP yang biasanya dilakukan oleh kerajaan-kerajaan sebelumnya tetapi oleh kerana imej Islamik AKP, orang dan AKP sendiri beranggapan rasuah dan korupsi tidak mempunyai tempat dalam pemerintahan Erdogan. Dengan adanya kes rasuah Disember 17 ini, AKP dilihat seperti telah melakukan dua perkara yang amat bertentangan dengan imej yang dipaparkan, lantas dikatakan sebagai melakukan taboo. (nota pengalih bahasa)






Popular Posts