Monday 29 April 2013

Pernah dengar mengenai Introvert?


Dialih bahasa oleh Durratun Naasihin

Artikel asal dalam Bahasa Inggeris boleh diakses di sini.




Mengenali tabiat dan keperluan segolongan manusia yang sering disalah fahami.




Secara jujur, adakah anda mengenali seseorang yang lebih gemar bersendirian saban hari? Atau mereka yang suka perbincangan yang mendalam mengenai perasaannya atau mengenai buah fikirannya, yang mana mereka ini juga mampu memberi pembentangan dengan amat cemerlang di hadapan khalayak ramai, tetapi secara tiba-tiba kelihatan kekok jika ditempatkan dalam kumpulan yang kecil, tidak semena-mena dia berubah menjadi kurang petah serta kekok jika terlibat dalam perbincangan dalam kumpulan kecil. Atau kenalkah anda kepada mereka yang terpaksa diheret untuk hadir ke majlis keramaian, dan kemudian memerlukan sisa harinya itu untuk bersendirian supaya ‘kembali pulih’? Atau mereka yang mencebikkan bibir atau mengerutkan muka tatkala cuba dihampiri oleh seseorang yang cuba untuk bertegur sapa?

Jika anda mengenali manusia yang sedemikian, apakah anda ingin memberitahunya, bahawa dia ini "terlalu serius" atau cuba bertanyakan "apakah dia ini punya sebarang masalah?”. Adakah anda akan menganggap orang seperti ini sebagai
kera sumbang, bongkak serta angkuh? Atau anda akan melipat gandakan usaha untuk menyisihkan diri daripadanya?

Jika anda menjawab ‘ya’ kepada soalan seperti ini, ketahuilah kemungkinan besar anda sebenarnya berhadapan dengan seorang introvert, dan anda sebenarnya tidak cuba memahaminya dengan baik. Kebelakangan ini, lapangan sains telah mempelajari banyak perkara mengenai tingkah laku dan keperluan seorang introvert. Melalui satu kajian yang dilakukan  - dengan memanfaatkan teknologi brainscan - berjaya membuktikan bahawa seorang introvert memproses maklumat dengan cara yang berbeza berbanding orang lain (dan saya tidak mengada-adakan maklumat ini). Jika anda sebenarnya tidak pernah mengetahui maklumat ini sebelum daripada membaca artikel ini, usah risau kerana masih ramai lagi manusia yang tidak mengetahuinya. Walaupun golongan introvert ini boleh dianggap sebagai golongan yang ramai, tetapi mereka juga adalah golongan yang sering disalah erti dan teraniaya di Amerika, malah mungkin pada peringkat antarabangsa.[1]

Bagimana saya boleh mengetahui hal ini? Perkenalkan, nama saya Jonathan, dan saya merupakan seorang introvert.

Oh ya, sejak sekian lama saya cuba menafikan perkara ini. Tambahan pula, saya punya kemahiran sosial yang baik. Saya bukan seorang yang bermuka keruh mahupun misantropik. Biasanya, perwatakan saya bukanlah seorang yang pemalu, jauh sekali pemalu seperti orang berak di tengah jalan. Saya juga menggemari perbualan yang panjang, intim dan mampu mengikuti sesuatu perbincangan dengan penuh rasa bersemangat. Namun akhirnya saya telah mengenal pasti akan perihal diri saya, dan berkongsi perkara ini kepada teman rapat dan rakan sekerja. Dengan berbuat demikian, saya mendapati diri saya seakan terlepas daripada satu bebanan yang amat besar, beban yang terhasil daripada salah faham dan stereotaip masyarakat. Maka saya seakan rasa terpanggil untuk berkongsikan mengenai apa yang perlu anda ketahui dalam usaha untuk mengenali lebih rapat golongan introvert ini, boleh jadi introvert berkenaan merupakan ahli keluarga anda, mahupun rakan sekerja. Anda harus sedar, mungkin seseorang yang anda kenali, hormati dan berinteraksi dengannya pada setiap hari merupakan seorang introvert, dan anda berkemungkinan ‘menyeksa’ diri mereka tanpa anda sedari! Sesuatu yang amat menguntungkan sekiranya anda dapat mengesani petanda awal amaran dari mereka


Apakah itu Introversion?

Dalam konteks dunia moden, konsep "introversion" ini mempunyai sejarahnya seawal tahun 1920-an, dan mempunyai kaitan rapat dengan seorang ahli psikologi, Carl Jung. Kini, introversion merupakan kriteria utama dalam berbagai ujian personaliti, termasuklah ujian personaliti yang amat meluas penggunaannya, iaitu Myers-Briggs Type Indicator. Seorang introvert tidak semestinya seorang manusia yang pemalu. Ini kerana manusia yang  pemalu sebenarnya merupakan seorang yang bimbang atau gusar atau rendah diri dalam persekitaran sosial ; berbeza dengan seorang introvert yang secara umumnya tidak bersikap demikian. Seorang Introvert juga bukanlah misantropik, walau tidak dinafikan ada sesetengah introvert seperti Sartre yang mengatakan,"Neraka itu seumpama mengambil sarapan pagi bersama-sama orang lain”. Sebaliknya, introvert adalah seseorang yang merasakan orang lain sebagai sesuatu yang menjerihkan.

Berbeza dengan extrovert yang mendapat dorongan dan semangat dengan kehadiran orang lain, sebaliknya menjadi lesu atau melemah jika dibiarkan keseorangan. Mereka sering berasa bosan dengan diri mereka sendiri atau bosan jika keseorangan. Biarkan seorang extrovert keseorangan untuk beberapa ketika dan akhirnya dia akan mencapai smartphonenya (mereka memerlukan ransangan dari luar). Berbeza dengan golongan introvert, selepas sejam atau dua jam bersosial secara ‘aktif’, kami, introvert perlu untuk bersendirian untuk ‘mengecas’ semula tenaga. Apa yang  saya sendiri amalkan adalah bagi setiap jam yang digunakan untuk bersosial akan ditimbal balik dengan kira-kira dua jam bersendirian. Ini bukan satu tindakan anti-sosial, malah bukan juga petanda tekanan perasaaan. Disebabkan ini bukanlah satu penyakit, maka kami tak memerlukan sebarang ubat untuk merawatnya. Bagi seorang introvert, bersendiri melayan fikiran dan perasaan ibarat satu keperluan, sepertimana tubuh memerlukan tidur untuk memulihara badan, seperti mana juga tubuh memerlukan badan untuk mendapatkan khasiat. Moto kami:"Saya okay, anda okay - tetapi untuk jangka masa yang pendek sahaja”

Berapa ramai manusia yang introvert?

Saya menjalankan kajian yang mendalam mengenai persoalan ini, kebanyakannya melalui carian google. Jawapannya adalah : Lebih kurang 25%, Atau: kurang sedikit daripada separuh. Atau - jawapan yang sangat saya sukai - "mewakili golongan minoriti dalam kalangan manusia biasa, tetapi mewakili golongan majoriti dalam kalangan manusia yang berbakat.”

Adakah introvert ini disalah fahami?

Secara kasar, begitulah halnya yang sering terjadi dalam kehidupan harian,"sesuatu yang amat menyukarkan bagi seorang extrovert untuk memahami introvert yang lainnya" tulis seorang pengamat pendidikan Jill D Burrus dan Lisa Kaenzig.(Petikan yang diambil dalam perenggan sebelum ini juga sebenarnya bersumber dari mereka). Berlainan pula dengan extrovert, mudah untuk introvert memahami mereka kerana extrovert sendiri banyak meluangkan masa mempamerkan ‘warna’ sebenar mereka - dan seperti tidak dapat dielakkan -  berinteraksi dengan orang lain. namun malang kerana hubungan extrovert-introvert ini tidak bersifat dua hala. Extrovert hanya memahami secebis atau langsung tidak memahami introvert. mereka -yakni extrovert- selalu beranggapan rakan peneman, terutamanya merujuk kepada diri mereka sendiri, adalah sentiasa dialu-alukan. Tidak terbayang dek akal fikiran si extrovert, mengapa seseorang itu perlu dibiarkan bersendirian; bahkan, mereka sering berasa tersinggung sekiranya dihadapkan dengan cadangan tersebut. Seperti acap kali saya cuba menerangkan hal ini kepada rakan extrovert, pada setiap kali itulah saya merasakan mereka sebenarnya tidak memahami apa yang saya cuba sampaikan. perbuatan saya ibarat seperti menggantang asap, mengukir langit - mereka hanya mendengar untuk beberapa ketika sebelum kembali kepada sedia kala.

Adakah golongan Introvert golongan tertindas?

Saya cenderung untuk menjawab ‘ya’ mengenai persoalan ini. Satu perkara yang kentara, golongan extrovert ini terlalu ramai wakilnya dalam dunia politik, satu profession yang mana kepetahan berpidato dan  komunikasi merupakan satu anugerah. Lihatlah contoh seperti George W Bush dan Bill Clinton. Mereka seolah lebih bertenaga dan hidup apabila bersama khalayak ramai. Jika ingin dibandingkan dengan beberapa orang introvert yang pernah juga berjaya dalam karier politiknya - seperti Calvin Coolidge, Richard Nixon - yang pidato mereka disampaikan dengan jelas serta amat bertenaga tetapi tidak ‘sehidup’ dan ‘sesegar’ pidato extrovert. Dengan pengecualian khas kepada Ronald Reagan, yang amat diketahui gemar memencilkan diri dan perahsia, mungkin ini petanda utama yang menunjukkan dirinya adalah introvert. (Seperti kebanyakan aktor, setakat pembacaan saya, ramai dari kalangan introvert, dan seperti kebanyakan introvert, apabila bersosial, mereka berasa seperti berlakon), dunia politik bukanlah dunia ‘semulajadi’ golongan introvert.

Ruang awam hampir sepenuhnya didominasi oleh golongan extrovert. Ini merupakan sesuatu yang merugikan. Saya membayangkan sekiranya introvert diberi peluang menguruskan dunia, tanpa diragukan, mungkin dunia ini menjadi lebih tenang, ‘waras’ dan damai. Dikatakan bahawa Coolidge pernah mengucapkan seperti berikut,"Tidakkah kamu tahu bahawa empat per lima daripada seluruh masalah dalam dunia ini dapat diselesaikan sekiranya kita hanya duduk dan diam?"(Dikatakan juga bahawa beliau pernah mengatakan,"sekiranya kamu tidak menuturkan sesuatu, kamu sudah pasti tidak akan diminta untuk mengulanginya". Selain daripada membicarakan perihal diri sendiri, perkara seterusnya yang amat tidak disukai seorang introvert yang sejati adalah mengulangi apa yang telah diperkatakannya.)

Dengan sikap mereka - yakni extrovert - yang tidak jemu untuk bercakap dan menarik perhatian, maka tidak perlu dihairankan apabila extrovert juga telah menguasai ruang sosial, maka mereka cenderung untuk menetapkan jangkaan (expectation). Dalam masyarakat kita yang serba extrovert[2], menjadi seorang peramah dianggap sebagai menepati norma masyarakat, maka nilai ini menjadi nilai idaman, disinonimkannya dengan petanda kebahagiaan, yakin pada diri sendiri serta mempunyai kewibawaaan memimpin. Extrovert dilihat sebagai manusia yang berjiwa besar, bersemangat, peramah dan tegas dalam pendirian."Manusia peramah" ini dipuji dan diangkat martabatnya. Bandingkan penggunaan frasa yang diguna dalam menggambarkan introvert, kita mendapati frasa seperti,"sentiasa berjaga-jaga”,"penyendiri”,"tidak banyak bercakap”,"pendiam”,"berat mulut”,"suka buat hal sendiri"- seakan menggambarkan sesuatu yang sempit, sesuatu yang tidak beberapa digemari, seolah menunjukkan peribadi muka batu dan berjiwa kecil. Wanita introvert, saya jangkakan, merekalah kelompok yang paling banyak menderita. Dalam sesetengah kelompok masyarakat, khususnya di Midwest, seorang lelaki walaupun mempunyai peribadi seorang pendiam, tetapi mereka tetap masih boleh meneruskan kehidupannya seperti biasa - yakni tidak menjadi mangsa prejudis ; berbeza dengan wanita introvert yang kebarangkaliannya lebih tinggi untuk ditohmah sebagai penakut, tidak peramah serta sombong.

Benarkah Introvert sombong?

Tidak benar sama sekali. Saya merasakan salah faham yang berlaku ini berpunca daripada sikap introvert itu sendiri, mereka ini lebih cerdas, sering bertafakur, lebih suka bersendiri, tenang, berpekerti halus dan lebih sensitif berbanding extrovert. Ini mungkin juga disebabkan sikap kami yang tidak gemar berbual kosong, satu kekurangan yang mana extrovert sering salah anggap sebagai  menghina mereka. Kami ini jenis makan dalam yang berfikir sebelum berbicara, manakala extrovert pula berfikir dengan cara bercakap, mungkin ini sebabnya mesyuarat sesama mereka boleh memakan masa berjam-jam lamanya."Introvert...."seperti yang ditulis oleh rakan kami Thomas P Crouser, seorang yang tajam penilaiannya, ketika mengulas sebuah buku,"Why Should Extrovert Make All the Money"(saya tidak mengada-adakan tajuk buku itu)"ini mudah merasa terganggu dengan perbincangan dalaman yang cuba dijalankan oleh extrovert. Namun, introvert tidak menzahirkan rungutannya, sebaliknya perasaan itu dibiar terpendam dalam hati"; ini antara contoh terbaik bagaimana salah faham boleh berlaku.

erk


Yang lebih malang daripada itu adalah extrovert langsung tidak mengetahui penderitaan yang bagaimana kami terpaksa tempuhi. Kadangkala berlaku, tatkala kami terperangkap dalam persekitaran yang ‘mesra-extrovert’, yang sudah tentu suasananya 98-peratus-dipenuhi-sembang-kosong, kami tertanya-tanya"adakah extrovert boleh mendengar apa yang mereka sendiri perkatakan, tanpa perlu ‘memaksa’ kami untuk terlibat sama dalam ruang ini”. Namun, kami sedikit pun tidak membantah ibarat dalam menunduk dia menyonggeng, kerana norma masyarakat - yang standardnya banyak ditetapkan oleh extrovert - menganggap menolak daripada berbual sebagai perbuatan tidak beradab, apatah lagi bila mewujudkan ‘jurang’ antara dua pihak yang berbicara. Kami mengidamkan suatu zaman, yang mana perihal diri intovert lebih difahami, atau mungkin juga tatkala gerakan menuntuk hak golongan introvert telah maju berkembang serta membuahkan hasil. Ketika itu, mungkin tidak dianggap kurang sopan untuk menyatakan seperti ini,"Maafkan saya, saya seorang introvert. Jujur saya senang dengan awak dan saya mendapati anda sebenarnya seorang yang menarik. Tapi.. Boleh tak awak diam dan tinggalkan saya untuk bersendiri?"

Bagaimana caranya untuk menunjukkan kepada introvert yang saya menyokongnya dan menghormati pilihannya?

Pertamanya, anda perlu sedar bahawa ini bukanlah satu pilihan, bukan juga suatu gaya hidup. Sebetulnya ini adalah satu orientasi.

Keduanya, apabila anda mendapati seorang introvert sedang ‘tenggelam’ dalam pemikirannya, tak perlulah bertanya "Apa hal?" atau "Ada masalahkah?"

Ketiga, tak perlu untuk mengatakan apa-apa lagi. serius!




Jonathan Rauch adalah seorang wartawan untuk The Atlantic dan juga merupakan penulis senior untuk National Journal.



---------------------------

[1] Kerana penulis asal artikel ini berasal dari Amerika

[2] “Masyarakat kita” di sini merujuk kepada masyarakat Amerika.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts