Friday, 5 April 2013

Sindrom Daie Romantis (Bahagian Pertama)

Oleh : Awan Putih



Merungkai permasalahan yang ada dalam kalangan ‘manusia’ usrah



“Jadi, pada pendapat Nur, bagaimanakah kita hendak membaik pulih keadaan masyarakat di Malaysia sekarang”

Selepas beberapa saat berdiam diri, Nur dengan mata yang bercahaya dan suara yang yakin, menjawab,

“Kita kena buat semua orang paham Islam,kena kembali kepada Islam.”

Mereka yang  lain mendengar merasa puas dengan jawapan tersebut,mengangguk serta mengiyakan jawapan Nur.
Perbualan tamat.





Mungkin babak diatas sesuai untuk filem ‘Islamik’ Melayu sekarang, di mana pada saat watak Nur ingin menjawab, kamera memfokuskan kepada wajahnya, dan menampakkan betapa intense nya pandangan mata Nur (bukan nama sebenar), serta sebuah lagu yang menaikkan semangat ( lebih baik dimainkan lagu Can Atilla – 1453, lagu kegemaran video usrah) berkumandang menjadi lagu latar pengakhiran babak tersebut. Hati yang melihat pun merasa turut bersemangat dan kemudiannya terus ingin menjadi lebih ‘islamik’. Pergilah para penonton filem tersebut ke kompter riba, iPad, smartphone untuk meng’update’ kehebatan filem tersebut di status Facebook masing-masing, dalam masa yang sama ingin menampakkan kepada ramai bahawa dirinya sudahpun menyaksikan filem yang baru.


Oh tunggu dulu. Perbualan diatas bukanlah merupakan babak dari sebuah fiem Islamik,mahupun video-video yang dikeluarkan oleh abang-abang/kakak-kakak senior untuk adik-adik yang bakal direbut apabila universiti dibuka nanti. Konteks perbualan diatas ialah sperti ini;


Watak tersebut berada di dalam sebuah kelas Educational Policy. Kelas tersebut meminta para pelajar berbincang dengan rakan ataupun dalam kumpulan kecil mengenai tajuk yang dibawakan pada hari itu. Tajuk yang dibawakan menyentuh mengenai masalah yang melanda sesebuah masyarakat remaja yang suka ponteng sekolah, pelajar bermasalah, dan yang terjerumus ke dalam gejala yang tidak sihat. Dalam perbincangan ilmiah tersebut, duduklah dua pelajar yang kedua-duanya menyertai usrah (panggilan glamour bagi mereka : dai’e) bersama membincangkan permasalahan yang dibawa. Maka selepas membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan tajuk, berlakulah dialog diatas, dimana salah seorang dari mereka bertanya kepada yang satu lagi, apakah solusi untuk masalah-masalah yang dikemukakan. Lalu dijawablah dengan sahabat tadi, bahawa solusinya ialah, kita perlu kembali kepada Islam, dan berhenti setakat itu. Jawapan yang selamba. Ayat yang diulang berkali-kali setiap usrah. Ayat yang menjadi solusi kepada setiap permasalahan di muka bumi. Disini, saya akan memanggil Nur, Daie Romantis.

Usrah Utopia

Sejak beberapa tahun yang lalu, kolej-kolej persediaan dan universiti-universiti di Malaysia, terutamanya institusi awam menampakkan satu perkara yang positif, iaitu dengan meledaknya gerakan usrah dan aktiviti-aktiviti islamik di kalangan pelajar. Kisah remaja-remaja wanita yang masuk kolej tidak memakai tudung, tetapi sewaktu di kolej mengenakan tudung, malah memakai tudung labuh mahupun purdah, serta kisah remaja lelaki yang ‘otai’, kaki perempuan, kaki ‘clubbing’ berubah menjadi lelaki yang paling rapat dengan masjid, merupakan kisah-kisah yang sudah biasa didengari sekarang. Banyak kisah remaja yang menemui hidayah, samalah juga dengan beberapa kisah para artis yang sudah kembali kepada Islam yang sebenar. Tidak dinafikan, kumpulan-kumpulan usrah antara  yang banyak bertanggungjawab dalam membawa perubahan ini. Para daielah yang bersengkang mata,berpenat lelah mengejar mengajar ‘adik-adik’ dalam kesungguhan mereka membawa saudara seislam kembali kepada Islam yang sebenar. Ini semua merupakan sesuatu yang terpuji, dan memang patut kita hargai.  Selain dari kemanisan iman dan ukhwah, turut sama disajikan kepada adik-adik oleh para daie ini tadi ialah cerita kegemilangan zaman Islam dahulu, kehebatan tokoh-tokoh Islam terdahulu dan juga kepandaian saintis-saintis Islam terdahulu. Herein lies the problem.


Penulis merasakan, disamping melahirkan lebih ramai adik-adik yang semakin sopan pakaiannya, semakin labuh tudungnya, semakin betul bacaan AlQurannya, secara tidak sengaja, mungkin sesetengah usrah telah melahirkan adik-adik yang semakin dangkal fikirannya.


Oops, maaf jika ayat sebelumnya agak kasar, tetapi, itulah realiti sebenarnya yang dirasakan oleh penulis. Mungkin ya, kita berjaya melahirkan individu yang lebih Islami dari segi luaran dan amali, tetapi kita lupa pada aspek minda dan pemikiran setiap individu. Sesetengah usrah lebih mahir melahirkan individu-individu yang hanya tahu mengulang apa yang naqib/naqibah mereka kata. Ianya agak ironik, kerana suatu terma yang selalu digunakan dalam aktiviti usrah ialah dalam mengubah manusia dari menjadi ‘robot’ kepada ‘manusia’. Robot disini dimaksudkan orang yang tidak beragama,atau kehilangan agama lantas tidak mempunyai matlamat hidup yang tetap, hanya mengikut apa yang ditetapkan oleh sistem jahiliyyah. Hidup dan matinya untuk sistem jahiliyyah. Objektif usrah pula dikatakan untuk melahirkan ‘manusia’, yakni, hidup hatinya, dan sedar pemikirannya akan kewujudan dan keagungan Tuhan.


Namun begitu, adakah kita benar-benar telah bertukar menjadi ‘manusia’, selepas keluar dari “zaman jahiliyyah” masing-masing? Ataupun, sebenarnya kita ini hanyalah menukar program robot tersebut kepada menjadi yang lebih islamik, samalah seperti industri filem di Malaysia yang berkejaran dalam menghasilkan drama dan filem Islamik, akan tetapi, hanya pada nama?

Robot islamik yang penulis maksudkan disini tidak lain tidak bukan ialah daie romantis yang disebutkan sebelum ini. Mengenakan pakaian yang lebih islamik, perbualan seharian kearah perkara-perakara islamik, post di status lebih islamik( ataupun lebih ramai lagi yang lebih suka berkongsi gambar-gambar yang mempunyai ayat-ayat islamik dari melontarkan fikiran sendiri). Dalam dialog yang dikemukakan diatas, salah satu ciri-ciri daie romantis ialah tidak dapat memberi solusi yang lebih jelas dan praktikal. Daie romantis mempunyai satu pandangan dimana masyarakat Islam dalam mindanya ialah masyarakat yang utopia, seluruhnya sempurna dan islamik.







Penulis terkenang akan sebuah cerpen yang giat dikongsikan di Facebook suatu masa dahulu, dimana penulis cerpen tersebut membayangkan Malaysia yang islamik pada zaman akan datang. Dimana semuanya mendengar nasyid, tidak ada sampah langsung, tidak seorang pun pemimpin yang korupsi, dan lebih lucu, semua orang memakai jubah dan kopiah,manakala wanita pula semuanya memakai tudung labuh dan jubah. Lucu kerana cerpen tersebut berlatarkan Kuala Lumpur bukannya Muscat, lucu juga kerana Kuala Lumpur mempunyai masyarakat majmuk dimana tidak semua menganut agama Islam.


Kuala Lumpur islamik yang digambarkan dalam cerpen tersebut menghantui minda-minda daie romantis. Mengarut! Sedangkan semasa era yang disifatkan sebaik-baik zaman tetap ada golongan yang berbuat salah( pencuri, penzina).


Sindrom ini menjadi semakin tenat apabila selalu dihidangkan didalam usrah dan aktiviti-aktiviti, ayat yang berbunyi “Kita perlu kembali kepada Islam yang sebenar”. Betul, tidak ada masalah dengan pernyataan tersebut. Yang menjadi masalah disini ialah seringkali daie berhenti disitu sahaja, seperti Nur di dalam perbincangan diatas. Tiada diberitahu apakah langkah-langkah yang hendak dilakukan untuk mencapai Islam yang sebenar. Kalau adapun, ianyalah cukup setakat memperbaiki diri sendiri. Bagaimana pula dengan masyarakat yang tenat? Daie romantis tidak dapat menjawab persoalan ini.

Tangga tersekat-sekat?

Sesetengah kumpulan usrah menekankan kepentingan memperbaiki diri sendiri, sehinggakan menghadkan kapasiti ahli-ahli usrah kepada hanya fokus kepada pembaikan diri sendiri. Kembali kepada tujuh anak tangga yang asalnya dibuat oleh Ikhwanul Muslimin dan kemudiannya diadaptasikan ke usrah-usrah di Malaysia. Interpretasi kumpulan usrah yang dangkal akan meletakkan bahawa tidak boleh melangkah ke tangga-tangga teratas jika tangga-tangga bawah belum sempurna. Maka, individu muslim perlu dijadikan, barulah ke keluarga muslim dan masyarakat muslim,seterusnya negara muslim.

Memang betul, untuk menegakkan Islam di sekeliling kita, kita sudah tentu perlu menegakkan Isam di dalam diri kita. Tetapi janganlah pula sehinggakan kita tidak melibatkan diri dalam usaha membaik-pulih masyarakat pada masa yang sama, ataupun penglibatan dalam hal ehwal yang memberi kesan kepada negara.  Selalu juga kita perhatikan sesetengah “budak-budak usrah”  tidak menyertai persatuan-persatuan pelajar ataupun persatuan berkebajikan yang bukan islamik, hanya bercampur gaul dengan diri mereka sendiri. Acapkali juga kita melihat budak-budak usrah langsung tidak mahu mengambil tahu hal ehwal politik negara sendiri kerana alasan “belum sampai ke tahap itu”.


Berbalik kepada persoalan mengapa daie romantis gagal dalam menjawab dengan lebih lanjut persoalan kepada masalah sosial yang melanda masyarakat, daie romantis tidak berusaha untuk mengambil tahu hal ehwal masyarakat. Mereka hanya sibuk berdoa,mengadakan solat hajat, dan mengumpul derma untuk Palestin, tetapi usaha konkrit tidak pula difikirkan. Boikot pula sekadar bermusim. Malah, masyarakat lain di negara sendiri yang ditindas tidak pula diambil peduli. Bagaikan kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan. Begitu juga dengan hal ehwal politik, mereka sibuk dengan kemenangan Mursi di Mesir, tetapi menjauhkan diri dari politik Malaysia. Seperti robot, mereka secara berjemaah meng-share di Facebook, berita-berita kemenangan di Mesir, seperti yang dilakukan oleh nuqaba mereka. Oh ya, haruslah bukan berita dari portal berita yang sebenar, tetapi gambar-gambar Morsi beserta caption. Begitu juga dengan isu-isu yang melanda umat islam yang tertindas. Hanya cakna apabila nuqaba mereka berkongsi gambar, yang mana nuqaba juga turut cakna apabila nuqaba mereka yang berkongsi gambar, dan seterusnya. Selesai proses pengongsian gambar-gambar secara berjemaah di Facebook(untuk menampakkan lagi ukhwah fillah, lebih baik satu usrah tukar gambar profile sama-sama), habislah luput isu tersebut didalam fikiran mereka, kembalilah mereka kepada berkongsi perkara islamik yang lain pula, cinta, pesanan ustaz, hidayah dan lain-lain. Persis seperti robot.


Mengapa penulis mengaitkan tidak mengambil tahu hal ehwal masyarakat dengan gagal menyediakan langkah-langkah untuk ‘kembali kepada Islam’? Ini kerana, kita akan hanya tahu mekanisme sesuatu itu hanya apabila kita menceburkan diri dalam aktiviti tersebut, yakni, apabila kita mengaktifkan diri. Apabila kita menceburkan diri dalam masyarakat, menjadi partisipan yang aktif, barulah kita boleh mengetahui dengan lebih lanjut dimanakah silapnya arah tuju masyarakat. Selepas proses mengenal pasti ini, barulah minda kita boleh mula aktif berfikir langkah-langkah untuk membetulkan kembali kesilapan yang kita nampak. Daie perlulah menyediakan pelan tindakan yang realistik, yang mengambil kita konteks masyarakat tersebut, bukannya hanya  memberikan jawapan yang samar-samar seperti “Kita kena kembali kepada Islam”.


Sejarah lampau yang Romantis

Daie romantis juga terlalu diulit dengan nostalgia zaman Islam yang lampau, sehinggakan mengaburi pandangan matanya untuk melihat ke hadapan dengan jelas. Seringkali, didalam usrah, perjalanan hidup ini disamakan dengan berada di dalam sebuah kereta api. “Kereta api ini ingin menuju ke destinasi Islam, anda sekarang berada di stesennya, belum tentu anda akan dapat pergi ke stesen seterusnya,mungkin maut menemui anda sebelum sempat bertemu stesen seterusnya, mahukah anda sertai sekarang keretapi ini? Pilihan di tangan anda,’ kata daie kepada adik usrah. Adik usrah, dengan semangat yang berkobar-kobar kerana baru sahaja disajikan dengan video-video mengenai zaman islam yang gemilang menjawab dengan semangat, “Ya!” lalu melangkah kedalam keretapi imaginari tersebut, menuju ke destinasi Islam.

Akan tetapi, dengan masalah daie romantis dan usrah utopia sekarang yang terlalu mengagungkan zaman Islam yang lampau, ianya seakan-akan , keretapi yang bergerak kehadapan mempunyai penumpang-penumpang yang tekun melihat kebelakang; meneropong ke stesen yang sudah dilalui beberapa hari yang lalu, sepanjang perjalanan. Pemandangan di hadapan, di kiri, di kanan langsung tidak dipedulikan dek kerana terlalu fokus dan terlalu merindui stesen yang sudah pun lama dilalui. Samakah pengalaman perjalanan seorang penumpang yang asyik meneropong ke belakang sepanjang masa, dengan penumpang yang melihat di semua sudut; sawah padi yang sedang dia lalui, memandang kehadapan ke jambatan yang akan ditempuhi keretapi tersebut, dan sesekali memandang kebelakang ke rumah-rumah yang semakin kecil ditinggalnya?


Sudah tentu tidak! Samalah juga dengan seseorang yang ingin “mengembalikan masyarakat kepada Islam”. Jawapan samar , sejarah yang ditabur bunga-bunga hanya sesuai untuk usrah pada peringkat pelajar tingkatan dua, bukannya pelajar tahun kedua di universiti! Semakin kita melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dalam akademik, seperti dari sekolah menengah ke kolej, daripada kolej ke universiti, begitu jugalah sepatutnya sesebuah usrah. Apabila di sekolah rendah, buku teks mempunyai banyak gambar-gambar dan kartun-kartun. Apabila di sekolah menengah, gambar semakin berkurang. Di kolej dan universiti, gambar-gambar dalam sesebuah buku rujukan hanyalah merupakan gambar rajah atau gambar yang berkaitan dengan perkara yang diterangkan. Buku rujukan universiti, tulisannya semakin kecil, mukasurat semakin banyak. Kita boleh pula membaca buku-buku ini untuk akademik, tetapi, peliknya, untuk usrah pula, bahan rujukan masih lagi mahu perkara-perkara yang banyak gambar hiasan! Pembodohan apakah ini?



Akan bersambung...

baca bahagian dua di sini.

9 comments:

  1. jadi, boleh x saudara cadangankan idea yang paling muntij supaya masyarakat dapat kembali kepada islam, mengambil kira juga faktor tidak semua mad'u adalah sama, ada juga mad'u yang ingin kita sentuh tidak betul2 faham islam seperti saudara sudah faham sekarang, malah ada juga yg langsung tidak peduli isu ummah(xkisah apa yg berlaku di sekeliling asalkan dirinya tiada masalah, malah ada juga yg masih xsolat?

    ReplyDelete
  2. dalam buku al muntalaq, dalam bab duduklah bersama kami kita beriman sejenak, sub bab puisi menjadikan perkataan menarik, muhammad ahmad ar-rasyid menjelaskan dengan baik kepentingan puisi/sastera/ romantik(mengikut istilah saudara)
    dalam dakwah. Pada zaman syeikhul islam ibn Taimiyyah, bagaimana ketika itu al haq kalah dengan bidaah hanya kerana kekuatan puisi yg dimiliki oleh ahli bid'ah. manhaj puisi/sastera ini sangat penting saudara, jangan kerana jiwa kita ini tidak romantis, kita mahu paksa semua orang tidak romantis. jangan terlalu keras saudara, bersederhanalah. saya rasa tidak menjadi masalah pada awal dakwah pada mad'u untuk melihat kembali masa lampau islam kita untuk menungkatkan izzah mereka pada islam kemudian barulah kita beransur2 tunjukkan big picture islam dan dakwah pada mereka, xkanlah kita mahu terus datang pada mereka dan tunjukkan big picture, nnt ramai yg lari. xsemua orang sama ya akhi.

    ReplyDelete
  3. saya pelik lah golongan mcm awak ni, suka sgt cerita/mengkritik benda2 cabang. sedangkan, byk lagi tanggungjawab dai'e, untuk membetulkan aqidah(perkara pokok) yg dah x betul dlm masyarakat skrg. 'tggjawab kita melebihi masa yg kita ada'. drpd awak tulis post pjg2 ni,yg mengkritik tntg usaha dakwah seseorang yg bukan malaikat(perfect), [dan sy pun tlh buang masa dgn baca post ni dan comment], lebih baik awak gi dakwah kwn2 awak yg masih x mengamalkan cara hidup islam.

    ReplyDelete
  4. terimakasih dan tahniah saya ucapkan kepada saudari syakirah dan saudara mohd hafizan. dalam beratus-ratus penduduk muka bumi yang membaca artikel ini, hanya kalian berdua yang setakat ini meluangkan masa untuk memberikan pandangan kalian. saya benar-benar hargai komentar2 ini. Inilah tujuan blog ini, untuk menjana idea dan pertukaran buah fikiran. Malahan saya amat gembira melihat kesemua komentar merupakan kritikan dan bukannya " MasyaAllah, saya sgt setuju dgn pandangan enti". (In saying that, tidak lah salah kalau sesiapa yang ingin menggunakan ruang komen ini untuk menyatakan tanda setuju).

    Kepada saudari syakirah, penulis tidak merasakan bahawa ianya merupakan perkara cabang. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca blog kami. Blog kami memang bertujuan untuk menjadi blog yang 'not just another usrah blog'. Lalu kami menyentuh perkara-perakara yang kami rasakan penting dan selalu diketepikan oleh golongan usrah2. Tetapi,tidaklah kami memaksa saudari untuk terus membaca jika tidak berminat. Boleh lah saudari pergi ke blog-blog usrah/islamik yang lain.

    Kepada saudari Mohd Hafizan, penulis merasakan bahawa dia telah pun memberi sedikit hint mengenai apa solusinya didalam artikel di atas. Dan juga ingin diingatkan,bahawa ini hanyalah merupakan bahagian pertama. Penulis memang berniat untuk menjelaskan solusi dari pandangan penulis pada bahagian seterusnya. Bukan apa tuan, tetapi, salah satu sindrom Daie Romantis ini mempunyai attention span yang sgt sedikit. Kalau lebih dari 4 mukasurat, alamatnya, solusi itu tidaklah dibaca. Ingin juga diterangkan disini, yang dikritik penulis ialah 'DAIE' bukannya 'MAD'U'...ertikata lain, penulis menegur sikap orang-orang yang sudah lama berada di dalam usrah, mereka yang bertaraf pelajar universiti tetapi masih berpemikiran seperti mereka yang di sekolah menengah. Sementara menunggu bahagian kedua, bolehlah kalian-kalian memikirkan juga bagaimana solusi masalah ini.

    Ahorangi

    ReplyDelete
  5. Assalamualiakum wbt, :)

    Pada pandangan saya untuk bahagian ini, artikel ini lebih kepada kritikan, yang saya tidak nafikan mungkin berdasarkan observation dan pengalaman yang telah dilalui oleh penulis.

    Sepanjang pembacaan saya, saya masih belum berjumpa solusi kepada permasalahan yang cuba diketengahkan oleh penulis.

    In shaa Allah, dalam sambungan seterusnya, mungkin?
    I'm waiting for it. :)

    Walaubagaimanapun, pada pandangan saya, setiap dai'e mempunyai cara yang tersendiri untuk menyentuh hati mad'u nya. Kerana itulah dakwah ini dipanggil sebagai satu seni. :)
    Jika diajukan soalan, "bagaimana menyentuh hati mad'u?" Saya pasti tiada jawapan betul atau salah yg dapat diberikan. Kerana ianya bergantung kepada keadaan mad'u; apa yang telah dia alami, apa paradigma nya, dan lain2. Paling penting, doa daripada seorang dai'e kepada mad'u nya jangan pernah terhenti.

    Apa2 pun, dalam berdakwah kita bukan sekadar mengenakan bahasa rasional, malah bahasa emosi. Kerana apabila dikaitkan dengan 'menyentuh hati', emosi adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. 'At-tariq ilal qulub' adalah salah satu pembacaan yang baik.

    Saya bersetuju dengan pernyataan saudara Mohd Hafizan,"..jangan terlalu keras saudara, bersederhanalah. saya rasa tidak menjadi masalah pada awal dakwah pada mad'u untuk melihat kembali masa lampau islam kita untuk menungkatkan izzah mereka pada islam kemudian barulah kita beransur2 tunjukkan big picture islam dan dakwah pada mereka.."

    Untuk peringkat awal, tiada masalah untuk kita bawa mereka merenung sejenak tntg sejarah islam, kerana itu sangat penting adanya FOLLOW UP kepada mad'u. :)

    Saya menunggu solusi kepada permasalahan yang telah dirungkaikan, dalam penulisan yg seterusnya.

    p/s: apabila menulis, cuba lahirkan perasaan kasih sayang dan menegur untuk membetulkan keadaan. Balance kan emosional dan rasional, in shaa Allah. :)

    Dai'e tidak pernah berhenti dalam menyampaikan ilmu.
    Dan, tidak pernah berhenti apabila dikritik.
    Kerana apabila ada yg menegur, diterima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.
    Hakikatnya, selabuh mana pun tudungnya, dia tidak pernah lari daripada membuat kesilapan.
    Dai'e belajar setiap masa, tidak kira apa mediumnya! :)

    wallahu'alam.

    ReplyDelete

  6. Oh, jika kalian sudi untuk perhatikan tulisan ini dengan lebih cermat, saudara akan temui golongan yang ditempelak oleh saudara Ahorangi bukanlah seorang Da'ie yang baru setahun dua terlibat dalam jemaah. Perhatikan frasa yang berikut,

    "sejarah yang ditabur bunga-bunga hanya sesuai untuk usrah pada peringkat pelajar tingkatan dua, bukannya pelajar tahun kedua di universiti!"

    Perhatikan lagi tatkala saudara Ahorangi secara sinis menempelak kedangkalan 'Daie romantis' dalam menilai isu-isu semasa.

    Apabila berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa, 'daie romantis' ini nampaknya tidak lebih hanya setaraf kualiti biasa seorang buruh atau petani. Saya tidak nampak alasan-alasan yang lebih baik daripada apa yang saya cuba gambarkan di atas. Pnadangan mereka hanya disimpulkan dalam satu frasa mudah, "Kita kena buat semua orang paham Islam,kena kembali kepada Islam.”


    Kita akan memerhatikan daie romantis ini sering mengulang premis "Islam adalah penyelesai segala masalah","Islam adalah satu sistem yang lengkap" ,tetapi tiba-tiba mitos lain muncul dalam penghayatannya, dunia yang kompleks dan penuh simpang-siur gagal difahami sepenuhnya untuk membolehkan idealisme agama diterapkan atas manusia dan kemanusiaannya.

    Sebenarnya saudara Ahorangi masih lagi berlembut dalam melontarkan buah fikirannya. :)

    Durratun Naasihin

    ReplyDelete
  7. saya faham yang ditempelak ialah seorang dai'e, dan saya simpulkan saudara Ahorangi telahpun menempelak seorang dai'e melalui tulisan diatas berdasarkan pemerhatian kasar saudara Ahorangi.

    persoalannya, bagaimanakah saudara begitu pasti usrah pada "level university" hanya membincangkan isu2 romantis?
    dan bagaimanakah saudara begitu pasti apa yang diucapkan oleh seorang dai'e pada masyarakat umum itulah juga yang dipelajarinya di usrah "level university"nya itu?

    saya begitu optimis bahawa usrah pada peringkat "level universiti" tidaklah seperti sangkaan saudara Ahorangi, ia tidaklah sebegitu romantis seperti yang saudara sangkakan. saya yakin skop perbincangannya adalah lebih besar dan meliputi isu semasa dan politik.

    tetapi, apabila seorang dai'e berada dalam masyarakat umum, pendekatan "romantis" ini menjadi pilihan sebahagian dai'e. Pendekatan 'romantis' pada masyarakat umum bukannya bermaksud dai'e itu tidak peduli isu semasa, politik dan sebagainya pada usrah "level unuversity"nya, tetapi hanyalah sebagai strategi menarik lebih ramai mad'u.

    Saudara perlu sedar, setiap mad'u berbeza cara pandang terhadap isu semasa dan politik, hanya kerana mereka belum faham islam, lantas melihat politik dan isu semasa dengan kaca mata bukan islam yang sebenar dan juga melihat politik hanyalah pembangunan fizikal semata-mata, dan mungkin kalau kita mahu ajak mereka untuk ditarbiyyah ketika itu, dengan menerangkan padanya ttg politik islam, sedangkan ketika itu mereka tidak izzah sedikitpun dengan islam, mereka mungkin menolak tarbiyyah dengan mentah2, hanya kerana dangkalnya pemahaman islamnya ketika itu.

    Apakah menjadi kesalahan sekiranya seorang dai'e itu hanya mahu mad'unya mengenal islam terlebih dahulu sebelum mengenalkan politik islam padanya? Tidak perlu terburu- buru saudara.

    Don't judge a book by it's cover, jangan judge sesebuah pertubuhan dakwah dan dai'e hanya kerana apa yang saudara nampak di mata kasar saudara sahaja.

    dan saya begitu yakin ini bukanlah satu pembodohan, bahkan ia adalah satu strategi yang baik untuk merelakan mad'u ditarbuyyah dan ke arah melahirkan mad'u yang mampu melihat isu semasa dan politik kaca mata islam yang syumul yang kita izzah dengannya ini.

    tuntasnya, saya mahu saudara faham dan hadam, apa yang saudara lihat dan sangkakan itu tidaklah seperti hakikatnya yang sebenar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih. saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan apa yang dicadangkan oleh saudara Mohd Hafizan. Saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh saudara. Seperti disebutkan oleh pembaca budiman Pensel Saya, ini merupakan artikel kritikan. saya setuju mengenai cara- cara untuk menarik mad'u. tetapi, saya di artikel ini tidak mensasarkan golongan mad'u. jadi,mungkin kita boleh beranjak dari perbualan mengenai menarik mad'u. kerana pendapat kita lebih kurang sama sahaja. Cumanya, memandangkan saya ingin fokus kepada kritikan, saya tidak mahu menulis panjang mengenai cara memenangi hati mad'u. bukan ruang di artikel ini. mungkin Saudara Mohd Hafizan boleh menulis satu artikel mengenainya?

      Baguslah jika ada usrah yang tidak seperti saya nyatakan diatas. Alhamdulillah,semoga lebih banyak usrah-usrah demikian. Saya sudah menyertai banyak usrah, dan boleh dikatakan, terdapat juga kelompok usrah-usrah seperti yang saya kritik kan di atas (disamping terdapat usrah-usrah yang bernas dan mencabar minda). oleh kerana kewujudan kelompok inilah saya menulis kritikan di atas. institusi jemaah/usrah tidak sempurna ,saudara. Tidak saya tulis kalau tidak saya kasihkan institusi-institusi sebegini.

      Ramai , sangat ramai kisah-kisah budak keluar dari usrah dan mengutuk kembali usrah mereka atas alasan-alasan yang saya berikan dalam artikel diatas. Ramai dari mereka menulis dengan bahasa yang lagi kasar dan kesat dari saya gunakan.Tetapi,tidaklah pula saya menjustifikasikan penggunaan tona serius saya dalam artikel ini dengan perangai budak-budak ini. Artikel ini bolehlah dinilai sebagai satu self-criticism kerana saya juga menganggap diri saya dalam institusi ini.

      saya lihat, komen-komen terhadap artikel ini lebih fokuskan kepada gaya bahasa saya, nada artikel ini daripada menjawab persoalan-persoalan yang saya nyatakan. Saya sebenarnya kurang berminat untuk menjadi defensif, kerana ianya akan melarikan fokus kepada apa yang saya ingin bawakan.

      Akhir sekali, dunia penulisan memang banyak bahan-bahan yang mengkritik. ini adalah perkara biasa. Sastera Melayu kita juga kaya dengan karya-karya kritikan. Saya berpendapat ianya adalah satu budaya yang sihat, ianya menyedarkan kita dan membuat kita mencerminkan diri dan lihat dimana silapnya kita. Ingin juga dikatakan, tidak semua karya berunsur kritikan itu disertakan solusi. Saya ambil contoh, sesetengah puisi Usman Awang, ataupun A Samad Said. Kalau saudara perasan, ada banyak karya mereka yang berunsur kritikan, ada yang lembut, ada yang kasar. tak semua mencadangkan penyelesaian. Kenapa begini?

      Sebab ingin pembaca memikirkan mengenai apa yang dikritik itu. Mungkin ingin pembaca berfikir sendiri, dan datang dengan penyelasaian. Mungkin juga penyelasaian apa yang mereka kritik itu sesuatu yang sudah jelas(obvious) cuma perlu ditunjukkan lagi.

      Tapi jgn risau saudara, insyaAllah, selagi hayat dikandung badan, selagi tangan boleh menaip, otak boleh berfikir, akan saya susuli dengan bahagian kedua. Dimana saya ingin berkongsi apa yang saya fikirkan boleh diubah pada institusi-institusi usrah. Tetapi itulah, itu merupakan solusi cadangan saya. Ingin juga dengar solusi-solusi yang lain. Balik kepada tujuan blog ini dilakukan, untuk menjana perbincangan yang lebih mendalam lagi.

      Terima kasih sekali lagi atas teguran dan nasihat yang saudara Mohd Hafizan dan juga Pensel Saya (Ingin juga menulis gaya Usman Awang, mengkritik tetapi santun)

      Delete
  8. "The geatest mistake of the movement,"Malcolm said," has been trying to organize a sleeping people around specific goals. You have to wake the people up first, the you'll get action."
    "Wake them up to their exploitation?" the interviewer interjected.
    "No," Malcolm replied,"to their humanity, to their own worth."- Malcolm X, By Any Means Necessary.

    -Artikel yang cukup menarik dan menyusun kekusutan masalah usrah yang terlalu romantis, modul dan isi yang terlalu mencandui minda naqib dan anak usrah sehingga khayal dalam utopia. Jazakallahu khair and best wishes-


    ReplyDelete

Popular Posts