Sunday 12 May 2013

Adakah Sumpahan Ilmu membuatkan Anda Seseorang yang Kurang Digemari?


Artikel asal dalam Bahasa Inggeris, diterbitkan dalam laman web MuslimMatters.com pada 2 April 2013 oleh Siraaj. Dapatkan artikel asal dalam pautan ini.


Diterjemahkan oleh Abbas Alias
Ah! Lutut dan kakiku berasa sengal dan aku sekali lagi terpaksa mengubah posisi dudukku kepada kembali bersila atas punggung yang sememangnya sudah berasa kebas sejak dari tadi. Sheikh ini--seorang yang agak muda umurnya,berpakaian sut formal ala-ala barat, telah pun meluangkan masa lebih dari 8 tahun menuntut dengan ramai alim ulama yang terkenal di Mesir, Syria, dan Arab saudi--kini sedang bergelut dalam medan peperangan yang besar dalam hidupnya dan kami semua memerhati dari tepi perlawanan ini.
Selama lebih dari satu jam, syeikh tersebut menangkis, menyangkal, menyanggah dan menghancurkan lawannya dari atas mimbar. Lawannya tak lain dan tak bukan merupakan seseorang dalam dunia internet yang membuat suatu kenyataan yang salah menggunakan kandungan Al-Quran atau Hadis atau kedua-duanya sekali. Meneladani orang-orang tua untuk mencari hikmah sememangnya suatu perbuatan yang baik, justeru aku menjeling ke arah mereka untuk melihat tauladan yang baik. Malang sekali apabila mereka yang aku lihat pada hari itu, kebanyakannya sedang terlena dalam keadaan tangan menopang kepala masing-masing. Khutbah yang disampaikan itu seolah nyanyian suara yang merdu lagi mendodoikan. Ah, seakan enak sekali untuk tidur dikala ini.
Anda mungkin telah menyedari terdapatnya jurang pemisah antara si khatib dengan apa yang disangkakannya mampu difahami oleh para jemaah. Bercakap mengenai peraturan ceramah 101, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah mengetahui kepada siapa ceramah anda akan ditujukan, walaupun beliau mengetahui kebanyakan para hadirin yang hadir terdiri daripada orang-orang Islam yang awam, ini langsung tidak membantutkan keinginan syeikh berkenaan daripada memberi ceramah yang panjang lebar yang mengandungi jargon-jargon hadis selama sejam setengah dalam khutbah Jumaat. Apakah yang mendorong sheikh yang berniat baik ini sehingga mewujudkan jurang perbezaan yang amat besar antara beliau dan para hadirinnya? Mungkinkah beliau sebenarnya menghidapi suatu penyakit yang boleh kita katakan sebagai “Sumpahan Ilmu”.

Apakah itu Sumpahan Ilmu?

Apabila saya mengatakan “sumpahan Ilmu”, "sumpahan" di situ tiada langsung ada kaitan dengan ilmu sihir yang biasanya berkait unsur-unsur mistik seperti jin."Sumpahan Ilmu" bukan juga suatu istilah formal dalam bidang psikologi.Sebaliknya ini merupakan sebuah istilah yang mula diperkenalkan oleh Robin Hogarth dan juga turut disebutkan oleh Dan dan Chip Heath dalam buku mereka yang tersenarai dalam NY Times bestseller, iaitu 'Made to Stick'(Penterjemah:dalam naskhah bahasa Inggerisnya disebut sebagai 'Curse of knowledge'). Secara mudahnya, ini menggambarkan suatu konsep dalam psikologi manusia yang mana seseorang individu yang dikurniakan kefahaman dalam satu bidang ilmu tidak mampu memahami perspektif seseorang individu lain yang tidak mempunyai kefahaman terhadap ilmu ini.
Sebagai sebuah contoh, adik beradik Heath--penulis buku yang disebutkan sebelum ini--tadi ada mengambil contoh sebuah kajian  yang dijalankan di Stanford University oleh Dr. Elizabeth Newton yang mana satu kumpulan (yang dipanggil “pengetuk”) diberitahu untuk mengguguh meja untuk memainkan beberapa irama lagu-lagu popular (seperti lagu Selamat Hari Jadi) dan memperdengarkannya kepada sebuah lagi kumpulan(yang dipanggil “pendengar”). Pengetuk tadi juga ditanya sejauh mana mereka yakin bahawa kumpulan Pendengar mampu untuk meneka lagu yang pengetuk cuba mainkan. Para Pengetuk menganggarkan kadar kejayaan pada 50%. Dalam 120 percubaan, hanya 3 tekaan sahaja yang betul, bersamaan 2.5% sahaja!
Antara sebab yang dipercayai menjurus kepada kognitif yang tidak disengajakan ini, adalah kerana tatkala si Pengetuk tadi mengguguhkan meja, lagu yang cuba ditirunya bermain secara jelas dalam benak fikiran mereka, seakan mereka sedang mendengar lagu tersebut secara langsung, maka bagi mereka iramanya adalah amat ketara.Ini berbeza dengan para Pendengar yang tidak mempunyai sebarang klu irama yang dimainkan melainkan irama bunyi ketukan meja. Perkara paling penting yang cuba dijelaskan disini adalah bukannya kegagalan para Pendengar untuk meneka dengan tepat lagu-lagu yang cuba dimainkan, tetapi sebenarnya adalah jangkaan yang jauh meleset dari para Pengetuk yang menjangkakan bahawa para Pendengar dapat meneka lagu-lagu tersebut.
Seterusnya adik-beradik Heath itu menulis:
Dalam ujikaji ini, para Pengetuk amat terkejut apabila mendapati betapa sukarnya para Pendengar untuk meneka irama lagu yang mereka mainkan. Bukankah irama itu sungguh jelas? Ekspresi muka para Pengetuk apabila seorang Pendengar meneka lagu "Selamat Hari Jadi” untuk lagu “Star Spangled Banner (lagu Negara Amerika Syarikat) adalah amat melucukan : seakan-akan mereka berfikir “Kenapakah kamu begitu bodoh?”

Dengan berpandukan pencerahan daripada kajian ini, kita sekarang sekurang-kuranya mempunyai satu alasan bagus untuk menyanggah sikap sheikh yang telah disebutkan sebelum ini -- bahawa beliau tidak secara betulnya meletakkan dirinya dalam posisi para pendengarnya. Beliau telah membuat kesilapan dalam menduga kemampuan orang awam untuk menyaring dan memahami hujah-hujahnya (sekadar perhatian kami).  Tetapi, adakah beliau seorang sahaja yang melakukan kesilapan ini? Bagaimana pula halnya dengan orang lain(termasuk kita sendiri) – mungkinkah kita juga telah melakukan kesilapan yang serupa dalam hidup kita, mungkin juga dalam kehidupan harian?

Adakah anda seorang Pengetuk?

Sikap seorang Pengetuk  merupakan suatu perkara yang paling menarik dalam seluruh ujikaji ini. Harapan mereka kepada ‘kadar kejayaan’ mereka meniru irama lagu tersebut amatlah tinggi, bahkan sehingga meletakkan kegagalan para Pendengar untuk meneka dengan tepat bukanlah kesalahan para Pengetuk, tapi para Pendengar yang sebenarnya bodoh. Jadi, formulanya adalah begini ;


1.  Pengetuk cuba untuk menyampaikan suatu mesej kepada Pendengar (lagu), yakin bahawa mereka akan memahaminya.

2.  Pendengar tidak memahami perspektif Pengetuk (meneka lagu yang salah).

3.  Pengetuk membuat kesimpulan kepada kekurangan para Pendengar (para Pendengar mesti seorang yang amat bodoh).
Bolehkah formula ini sesuai digunakan dalam situasi yang berlainan?

Seorang Muslim yang tidak mempraktikkan agama(fasiq) datang ke masjid
1.  Seorang Muslim Bertatu (Pendengar) datang ke masjid untuk bersolat (kita anggap ini ialah eksperimen permulaan).
2.  Seorang yang kerap ke Surau (Ahli Surau) cuba untuk menyampaikan pesanan kepada si Pendengar dengan memarahi si Muslim Bertatu (Pendengar) bahawa tatu itu haram!
3.  Muslim Bertatu (Pendengar) tidak memahami perspektif Ahli Surau -kepentingan mereka berbeza.
4.  Ahli Surau membuat kesimpulan bahawa dia ini merupakan seorang lelaki yang jahat dan patut diajarkan perkara sebenar kepada mereka (membuat andaian negatif).

Masalah Ahli Surau? Dia tidak memahami apa ertinya seorang yang sebelum ini tidak mempraktikkan Islam tetapi baru mula ingin kembali kepada Allah, walaupun dia(Ahli Surau) pada dahulunya juga pernah mengalami keadaan yang sama(kurang memahami agama) tetapi itu tidak membantunya untuk memahami si Muslim Bertatu tersebut. Mari kita lihat satu lagi contoh.



Seorang Ahli Surau perlu mempelajari bagaimana memberi nasihat

1.  Seorang yang kerap ke surau,Ahli Surau(Pendengar) menengking  Muslim Bertatu, dan diperhatikan oleh seorang Muslim-reformer-yang-kerap-ke-surau(Muslim Reformer).
2.  Muslim Reformer (Pengetuk) bersemuka dengan Ahli Surau(Pendengar) mengenai akhlaknya yang buruk, memberitahu bahawa akhlak itu tidak selari dengan sunnah.
3.  Ahli Surau (Pendengar) percaya bahawa ianya merupakan tugasnya untuk amar makruf nahi mungkar, dan boleh baginya untuk marah kerana Allah--dia tidak memahami perspektif Muslim Reformer (Pengetuk).
4.  Muslim Reformer membuat kesimpulan bahawa orang ini dari kalangan mereka yang kurang cerdik yang menahan ummah daripada terus maju kehadapan (andaian yang negatif), lalu mereka (Muslim Reformer) memberi sebuah nasihat yang selalunya diberi dalam keadaan baik tetapi kini diberikan secara sindiran, seperti “ anda perlu baca lebih kerap Al-Quran” ataupun “Awak perlu diam sahaja dan kembali kepada perbetulkan tajwid anda”.

Masalah dengan Muslim reformer itu? Dia selalunya merupakan seorang yang “hardcore” mengenai pandangan mereka dan selalunya mengembangkan perspektif mereka dengan pandangan yang baru. Apabila mereka menyedari kesilapan mereka, mereka akan membetulkan kesilapan itu bukan dengan mengutamakan ataupun memfokus kepada isu-isu lama dan mula memarahi dan menegur orang mengenai isu-isu baru. Dalam hal ini, agak ironi - mempunyai akhlak yang buruk ketika menegur orang lain supaya yang dinasihati itu mengamalkan akhlak yang baik, malangnya. Mari mencuba situasi yang lain pula.


Posisi Seseorang Sheikh yang berevolusi tentang sesuatu isu.



  1. Sheikh(Pengetuk) berceramah mengenai pandangannya dalam sesuatu perkara, dan berkongsikan pandangan itu kepada sesiapa yang mahu mendengar(Pendengar).
  2. Oleh kerana ilmu yang makin mendalam serta pengalaman hidupnya telah membuatkan Sheikh berkenaan menukar pandangan mengenai perkara yang sama,dan beliau mulai mengajarkan kepada hadirin mengenai pandangan barunya itu.
  3. Para Pendengar yang mengikuti pengajiannya tidak memahami mengapa Sheikh(Pengetuk) berkenaan bertindak sehingga berubah daripada memegang pandangan asalnya -- mereka masih lagi memegang dengan teguh kepada pandangan lama syeikh berkenaan. Mereka berfikir Sheikh tersebut tentulah sudah terpengaruh degan mana-mana ajaran yang terpesong.
  4. Sheikh berkenaan-yang sedar pandangan barunya tidak diterima-- mula menyelar para pendengar tadi sebagai seorang fanatik, jahil,keliru, tidak praktikal serta berfikiran dangkal. Sudah tentulah para pendengar tidak seronok mendengarnya.

Masalah dalam senario ini adalah, ketika Sheikh tersebut melalui proses transformasi pada pandangannya, kerana ingin berlaku amanah kepada ilmu, para pengikutnya tidak mengalami pengalaman yang sama beliau alami untuk mereka sampai ke pandanganya yang terbaharu. Sememangnya, kita semua adalah manusia dan terdedah kepada sikap-sikap buruk karakter manusia, sama ada orang Islam atau tidak. Di dalam buku mereka, adik-beradik Heath tadi menulis :
        
Eksperimen pengetuk/pendengar ini diulang setiap hari di seluruh dunia. Pengetuk dan pendengar adalah para CEO dan pekerja, guru dan pelajar, ahli politik dan pengundi, pemasar dan pelanggan, penulis dan pembaca. Kesemua kumpulan-kumpulan ini berpandukan kepada komunikasi yang berterusan, akan tetapi, seperti para Pengetuk dan Pendengar, mereka mengalami masalah yang amat besar oleh kerana ketidak seimbangan informasi. Apabila CEO membincangkan “merungkaikan nilai pemilik saham”, terdapat satu melodi yang bermain di kepala CEO tadi yang para pekerjanya tidak mampu untuk mendengar.



Melepaskan diri dari sumpahan ilmu.


1. Periksa diri sendiri,adakah kita punyai emosi negatif yang kuat?



Bukanlah suatu kesalahan sekiranya kita membenci perkara-perkara yang Allah SWT sendiri murka, tetapi berhati-hatilah supaya kita tidak menjadikan kelemahan seseorang sebagai sebab untuk membenci seseorang dengan cara yang tidak sepatutnya. Saya teringat kepada Sheikh Yusuf Estes yang pernah berkata kepada sahabatnya, “Bagaimana anda hendak memanggil mereka kepada Islam( mereka dirujukkan kepada Non-muslim, tetapi boleh juga merujuk kepada Muslim yang lain) jika kamu sentiasa membenci mereka?”. Dalam setiap senario yang diceritakan diatas, setiap Pengetuk dan Pendengar mempunyai jenis kejahilan mereka sendiri. Bukanlah sepatutnya para pengetuk dikehendaki untuk berdiam diri, malahan, jika mereka mendapati ada kesilapan, mereka patut berusaha untuk mengubah kesilapan tersebut. Masalah yang asas di sini adalah emosi negatif dalam diri, kerana apa yang terdapat di dalam hati secara semula jadinya akan dizahirkan dalam percakapan ataupun melalui tanda-tanda yang tidak memerlukan suara seperti memasamkan muka,mencebik bibir, pandangan mata yang tidak menyenangkan, senyuman yang sarkastik, dan selebihnya menunjukkan seseorang itu sedang menyerang saya, dan sememangnya saya akan terus bersedia untuk bertahan.



2. Jadilah seorang guru yang mengambil berat



Kebanyakan guru yang saya jumpa sejak dari zaman persekolahan sehinggalah ke kolej merupakan seseorang yang berkebolehan dalam bidang ilmu yang mereka ceburi, namun kebanyakan dari mereka hanya melihat profesion ini sebagai kerjaya semata-mata. Guru yang saya benar-benar ingati adalah mereka yang bersungguh-sungguh memastikan saya memahami apa yang diajarkan oleh mereka. Mereka memasukkan unsur humor semasa mengajar dan sanggup meluangkan lebih masa untuk mengajar kami dalam kelas tambahan. Mereka senantiasa berfikiran positif dan meletakkan kepercayaan terhadap kebolehan kami dalam menguasai sesuatu perkara baru. Seorang guru pada hari pertamanya mengajar, mungkin ada menduga para pelajar dalam kelasnya telah pun memilki ilmu-ilmu yang asas, dan guru yang benar-benar mengambil berat akan diri saya, selalunya tidak peduli jika pelajar-pelajar mereka sudah pun mempelajari ilmu asas tersebut sebelumnya atau langsung tidak mempelajarinya -- bahkan mereka akan bersungguh-sungguh membantu pelajar untuk mencapai tahap yang sepatutnya secepat mungkin.


Apabila anda sendiri mengubah sikap pemarah anda terhadap tingkah laku seseorang kepada sikap sangat berkehendak untuk melihat seseorang itu berjaya, bilamana anda mampu melihat sejauh mana orang itu berpotensi berubah kepada manusia yang lebih baik, ini secara tidak langsung mengubah seluruh pendekatan anda. Anda mula mencari pendekatan-pendekatan yang kreatif untuk mengajar, untuk bercakap, dan untuk meyakinkan pihak tadi. Anda juga mungkin cuba menggunakan analogi yang lain, atau mungkin juga anda merujuk kepada orang lain yang lebih berautoriti, anda mungkin akan meletakkan keutamaan terhadap satu perbincangan berbanding sekian banyak perbincangan yang lain, dan anda juga mungkin cuba untuk berkawan dengan seseorang untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinannya sebelum membuka mulut untuk menganjurkan perkara-perakara makruf dan mencegah perkara-perkara mungkar.

Contoh terbaik untuk keadaan ini ialah Baginda Rasulullah SAW. Apabila Abdullah bin Ubayy, ketua para munafik meninggal dunia, Baginda SAW bersolat untuknya, meminta Allah agar mengampunkannya. Walaupun selepas dari peristiwa itu, Baginda Rasulullah SAW telah mendapat perintah larangan daripada mengulangi perbuatan demikian, namun perhatikan sikap yang Baginda SAW cuba tonjolkan - Baginda SAW begitu mengambil berat terhadap Abdullah bin Ubayy, walaupun begitu banyak masalah yang timbul kerananya, walaupun dia beberapa kali membelot, Baginda tetap berdoa kepada Allah SWT untuk memberinya keampunan.


3. Mencuba bersungguh-sungguh untuk memahami dan bersahabat.

Kerap kali kita membuat andaian yang tidak tepat mengenai orang lain dan ini langsung tidak menguntungkan sesiapa. Kadang-kadang, kita menganggap bahawa oleh kerana seseorang itu beragama Islam, maka konsep yang kita cuba untuk sampaikan kepadanya sudah tentu senang sekali untuk dia fahami. Ataupun seseorang itu daripada golongan xyz, dan kesemua orang dalam golongan xyz adalah serupa - mereka semuanya mempunyai pandangan yang serupa mengenai isu yang sama, dan tiada perbezaan mahupu sedikit dalam golongan tersebut.


Saya telah mendengar dari sekian ramai khatib, tidak kiralah si khatib itu merupakan seorang ilmuwan atau orang awam, berdiri di atas mimbar dan berkata, ‘Jikalau kamu seorang yang beragama Islam, kamu tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak tahu bahawa solat fardhu lima waktu itu adalah wajib dan mesti dilakukan”. Saya memberitahu penceramah-penceramah ini tadi, bahawa mereka hanya perlu melalui zaman kanak-kanak dan remaja saya dan kemudian ulang kembali pernyataan mereka. Saya membesar sebagai seorang Islam yang percaya kepada Allah dan para Nabi, tetapi tidak tahu bahawa solat, puasa dan lain-lain merupakan perkara wajib. Ini hanyalah suatu kebetulan (melalui rahmat Allah) yang saya terjumpa sebuah buletin keluaran masjid yang menceritakan mengenai perkara ini lalu saya terus mula untuk mempraktikan Islam. Jika tidak, mungkin saya akan berterusan tidak melaksanakan bersolat, dan sentiasa menganggap bahawa saya telahpun menjadi seorang muslim yang baik dengan gaya hidup kebaratan saya. Jika saya tidak terjumpa dengan buletin itu tadi dan kehidupan saya sentiasa mengikut projeksi hidup yang kekal sebegitu, saya mungkin akan menjadi seorang Islam yang hanya bersolat raya atau bersolat Jumaat, dan masih mengganggap diri sebagai seorang muslim yang telah melaksanakan segala kebaikan yang wajib.


Terdapat satu frasa untuk ini - juga dipanggil sebagai kejahilan yang bersusun - seorang yang jahil dan tidak pula menyedari kejahilan dirinya (makna lainnya adalah anda tidak tahu perkara apa yang anda patut ketahui). Bagaimanakah seseorang itu disuruh untuk bertanggungjawab mencari ilmu mengenai sesuatu perkara jika mereka tidak mengetahui langsung yang mereka sememangnya bertanggungjawab mencari ilmu tersebut? Sesetengah orang mungkin berkata, ianya merupakan sesuatu yang am (common sense), anda boleh mengetahuinya secara tabii, dan inilah secara asasnya konsep Sumpahan Ilmu - anda tahu dan anda faham, dan ianya amat jelas bagi anda, sehinggakan anda tidak dapat mengerti mengapa hal ini tidak jelas kepada yang lain.

Jika anda ingin tahu apa yang bermanfaat bagi saya, iaitulah apabila saya mula mendekatkan diri kepada Allah, mereka yang lain dengan mudah membawa saya ke masjid tanpa meletakkan atau menambah apa-apa yang sukar seperti perbahasan feqah yang mendalam, dan tiadanya orang yang mengadili atau membuat sebarang kenyataan sarkastik mengenai kekurangan saya dalam mengamalkan Islam. Mereka hanyalah bersahabat dengan saya, lepak bersama, belajar mengenai saya, dan dalam konteks bersosial dengan saya dan melihat beberapa sikap saya yang mereka boleh tunjukkan sebagai sesuatu yang baik, memulakan islah dengan memperbaiki sifat itu, daripada menyenaraikan semua kesilapan saya dan apa-apa yang perlu saya perbaiki.



Kesimpulan

Sumpahan Ilmu ini menimbulkan pelbagai masalah. Dalam contoh pertama yang saya gunakan, ditunjukkan seorang sheikh yang tidak dapat berhubung dengan keperluan para pendengarnya. Dalam buku ‘Made to Stick”, para penulisnya memfokuskan kepada bagaimana sesuatu mesej boleh hilang apabila “Pengetuk” cuba untuk berkomunikasi dengan seorang “Pendengar” dan bagaimana hendak menyampaikan kandungan mesej tersebut supaya mesej tersebut dapat diingati dan tidak dilupakan begitu sahaja. Fokus dalam post kali ini ialah sedikit berbeza -  apakah sikap seorang “Pengetuk” terhadap seorang “Pendengar” yang disebabkan oleh Sumpahan Ilmu, dan apa yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah ini, khususnya dalam konteks berdakwah. Dalam mengemukakan masalah yang lazim ini, InsyaAllah kita boleh berdakwah dengan cara yang lebih baik dan mengambil langkah dalam memulihkan orang dengan kasih sayang, belas kasihan dan hikmah.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts