Friday, 3 October 2014

HARAPAN KEPADA PEMUDA.

Oleh: Zulqarnain

1.

Saudara Suhaizan Kayat sewaktu Muktamar Pemuda PAS Malaysia tempoh hari telah mengangkat “Politik Budiman” sebagai pendekatan politik pemuda. Hal ini dilihat sebagai hujjah atau jawapan balas kepada tindakan politik Pemuda PAS Malaysia (PPM) sewaktu menghadapi krisis Selangor tempoh hari. Politik Budiman yang dinyatakan Suhaizan Kayat adalah;

  1. Politik berdasarkan hujah dan ilmu.
  2. Membudayakan adab al-ikhtilaf dalam menguruskan perbezaan pandangan.
  3. Berpolitik berakhlak dan etika yang tinggi. Jauhi politik fitnah dan caci maki.
  4. Budaya Syura sebagai kunci muafakat.
  5. Inklusif dalam membina jaringan dalam masyarakat.
  6. Jujur dan berani menyelesaikan konflik.
  7. Integritik dan akauntabiliti.

Gagasan Politik Budiman bukanlah blueprint yang penuh retorik. Bagi merealisasikan Politik Budiman agar ianya larut dalam masyarakat marhaen ataupun bersifat inklusif, saudara Suhaizan Kayat telah mencernakan ianya dalam yang dinamakan Agenda bertindak Pasca Muktamar;

  1. Mencetuskan dan menjuarai isu rakyat secara konsisten, sistematik dan berkesan.
  2. Memantapkan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat, gerakan masyarakat madani, NGO Islam, media, entiti anak muda dan organisasi luar negara.
  3. Menggerakkan agenda bersepadu untuk menguasai sokongan pengundi muda melayu.
  4. Meneroka pendekatan dakwah yang lebih kreatif dan berkesan.
  5. Memperkukuhkan pengurusan tarbiyah dan pengkaderan dengan lebih dinamik.
  6. Memperkasa sistem pengurusan komunikasi dalam organisasi.

Muktamar PPM yang diadakan tempoh hari sedikit sebanyak telah terpalit dengan tindakan keluar dewan oleh segelintir pemuda. Namun demikian, muslim sejati seharusnya melihat kebaikan lebih utama daripada keburukan. Gagasan Politik Budiman adalah satu gagasan politik masa hadapan dan menepati kehendak politik masa sekarang. Dan, sepatutnya gagasan inilah yang diangkat ke dalam masyarakat, bukan isu-isu murahan seperti  episod keluar dewan dan lain-lain.

Tahniah buat Suhaizan Kayat. Tahniah buat keseluruhan Ahli Jawatankuasa PPM. Muktamar tempoh hari adalah signal yang jelas bahawasanya PPM mempunyai keupayaan untuk mencorak dan menjuarai politik baru. Selamat menunaikan AMANAH MUKTAMAR – melunaskan janji Agenda bertindak Pasca Muktamar seperti mana telah disokong dan diluluskan oleh keseluruhan muktamirin.

2.

Politik Budiman seperti yang telah disebut di awal ulasan, merupakan cerminan kehendak politik masa kini dan satu unjuran awal politik masa hadapan. Hal ini secara tidak langsung adalah foundation utama kepada apa yang disebut sebagai kerajaan tanpa pembangkang, gagasan politik DS TG Haji Abdul Hadi Awang.

Kader-kader PAS (abna’ al-Harakah PAS) sepatutnya menyedari gagasan politik DS TGHA tidak dapat dicapai selagi mana tidak wujud etika politik yang betul, dan etika ini melibatkan kesemua pihak dari para pemain politik sehinggalah kepada masyarakat marhaen.

Justeru, amatlah sukar untuk melihat gagasan ini direalisasikan selagi mana tidak ada pendekatan murni terhadap isu-isu perbezaan pendapat ataupun ijtihad-ijtihad politik, kepelbagaian Jemaah (ta’adud Jemaah) dalam sebuah masyarakat, multi rasial dan idealisme masyarakat itu sendiri.

Oleh yang demikian, Politik Budiman amat berkait rapat dengan pembinaan sebuah tamadun bangsa. Dr Siddiq Fadzil menyebut (mafhumnya); pemurnian budaya politik merupakan satu keperluan yang tiada kompromi sekiranya semua pihak ingin membina tamadun di abad ini, dalam satu Majlis Dialog Masa Hadapan Negara di London suatu ketika dahulu.

Sifir mudahnya, gagasan politik kerajaan tanpa pembangkang adalah gaya politik sebuah masyarakat yang bertamadun dan Politik Budiman adalah inti kepada pembinaan politik yang bertamadun.

Sekiranya benar anda cintakan DS TG Haji Abdul Awang, selayaknya inilah yang terzahir dalam akhlak seharian. Seperti mana hadis Jibril, begitulah makam cinta kita kepada Tuan Guru. Ada yang hanya cinta dalam hati. Ada yang hanya cinta pada lafaz. Ada yang cinta dengan tindakan, yakni bukan demo cinta Tuan Guru, tetapi merealisasikan hasrat Tuan Guru dengan akhlak yang murni dan pendekatan yang syar’ie.

Semoga anak-anak kita mampu hidup dalam suasana yang lebih aman dan islami. InshaAllah amin. Bismillahirrahmanirrahim.

Saturday, 27 September 2014

Sekilas Pandang Batu Pahat

Oleh: Zulqarnain


Saya mengambil sedikit kesempatan dalam kekalutan musim submission untuk mengikuti Muktamar PAS yang ke-60 yang diadakan di Batu Pahat, Johor. Muktamar ini pastinya dinanti-nanti oleh seluruh pemerhati politik tanah air untuk melihat lakaran sejarah baru politik Malaysia. Kalaulah boleh kita kiaskan, suka saya ibaratkan Johor sebagai tanah asal bagi UMNO sebelum berkembang ke seluruh Tanah Melayu, seperti mana PAS yang bermula di Gunung Semanggol, Perak tetapi sekadar bertapak di kawasan Pantai Timur Malaysia.

Menceroboh tanah asal adalah mesej yang cukup berani. Boleh jadi terkulai layu. Boleh jadi menangis berlagu (ubah suai peribahasan Melayu; “menangis tak berlagu” yang membawa maksud tangisan kesedihan).

Pada awalnya saya melihat muktamar PAS (yang juga pembangkang setia tanah air) di Batu Pahat adalah kesediaan PAS untuk menggantikan UMNO selaku pengatur politik Malaysia. General hyphotesis-nya benar. Muktamar di Batu Pahat Johor adalah strategi politik PAS untuk menggantikan label UMNO kepada label PAS. Ibarat botol budu, sekadar ditukar pembalut, isinya tetap sama. (Maafkan saya orang Kelantan. Saya tidak membenci budu).

Hal ini demikian kerana kisah-kisah Muktamar PAS seawal Muktamar Pemuda PAS Malaysia hinggalah ke penutup Muktamar PAS Pusat tidak mencerminkan keupayaan PAS untuk menggantikan UMNO dari sudut isinya. Sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang jauh lebih baik. Bermula dengan episod keluar dewan oleh segelintir pemuda, insiden bacaan doa mengisi perbahasan dasar Tuan Guru Presiden, insiden “boo” oleh para pemerhati (seperti rakaman ucapan pergulungan YB Hanipa Maidin) dan lain-lain.

Kader-kader Jemaah Islam (atau pun sering disebut sebagai abna’ al-harakah) adalah sepatutnya menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat marhaen berkenaan dengan akhlaq seorang muslim. Saya melihat inilah yang pernah ditekankan oleh Suhaizan Kayat (mafhumnya); kader-kader PAS hendaklah menjadi seperti kitab yang terbuka. Walau di mana mereka berada, masyarakat akan merujuk mereka.

Yang jelas, yang paling mudah, adalah untuk merujuk akhlaq seorang anak gerakan. Saya gagal mencari akhlaq (pada fahaman saya) yang membolehkan saya ikuti kecuali akhlaq-akhlaq mereka yang dilabel “tidak jelas fikrah”, “anwarinas”, “erdogan” dan lain-lain yang mungkin saya terlepas pandang sewaktu berbahas ataupun membuat ucapan pergulungan (manakan tidak, banyak sungguh label kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian sesetengah pak ustaz).

Di samping itu, saya juga kehairanan atas tiga perkara yang ingin saya fokuskan di sini – Munafik Haraki, Ibrah Perang Tabuk, perbahasan Muktamar.

Yang pertama adalah insiden terkutuk penyebaran whatsapp AJK Pas Pusat. Penyebaran itu bukan sahaja meyakinkan kita bahawasanya seorang yang menggelarkan mereka pejuang Islam tidak sewajarnya menyebarkan isi perbincangan bahkan betapa pentingnya mereka untuk berakhlaq islami. Tidak ada perkataan yang menghiris hati. Tidak ada sebarang niat mungkir janji. Kisah printscreen ini bukanlah satu taktik baru kerana sebelumnya beberapa printscreen yang lain telah dimuatnaik di Facebook. Malangnya tindakan tersebut tidak dikecam kerana yang menjadi mangsa bukan orang kita.

Insiden inilah yang menjadi inti kepada label Munafik Haraki yang diambil ibrahnya daripada kecaman Umar al-Khattab radiyallahu anhu kepada Hatib bin Abi  Balta’ah radiyallahu anhu kerana membocorkan strategi tentera Islam pada waktu ketika itu. Malangnya, ibrahnya hanya dikutip sampai di situ. Teguran Rasulullah SAW kepada Umar yang menyebut sesungguhnya Hatib itu pejuang Badar tidak pula diambil pengajaran oleh mereka. (Mereka melihat teguran Rasulullah SAW tidak menafikan label munafik yang dibuat oleh Umar).

Bagaimana agaknya perasaan kekasih yang dicinta, Rasulullah Muhammad SAW sekiranya berada di hadapan kita melihat akhlaq songsang (pada fahaman saya) ini diterima sebagai suatu yang halal dalam agama? (rujuk: mengambil ibrah yang tidak lengkap dan cepat memberi label kepada manusia yang lainnya).

Cerita bersambung dengan penuh rencam. Seterusnya bertebaran pula ibrah Perang Tabuk ekoran ijtihad fardhi yang diambil oleh YB Abu Urwah dan YB Hasnul baharuddin. Saya pada prinsipnya langsung tidak bersetuju dengan ijtihad fardhi yang dibuat oleh kedua-dua Adun tersebut. Itu bukanlah akhlaq orang yang berbai’ah. Bukan juga akhlaq mereka yang mewaqafkan diri mereka kepada Jemaah.

Ibrah tersebut merujuk bahawasanya Perang Tabuk adalah garisan persempadanan keimanan – antara takwa dan munafik. Kecuaian Ka’ab bin Malik dan sahabat-sahabat yang lain radiyallahu anhum telah menyebabkan mereka terlepas untuk turut sama dalam Perang Tabuk. Ekoran itu, ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Rasulullah SAW. Hukumannya cukup memeritkan.

Sirah mencatatkan mereka dipulau sesungguh-sungguhnya sehinggalah Rasulullah SAW mengumumkan bahawasanya taubat mereka telah diterima. Utusan Rasulullah SAW menyebut bergembiralah, wahai Ka’ab. Dalam konteks ini saya melihat bahawasanya pulauan itu dibuat bukanlah dengan niat membenci sebaliknya dengan penuh terpaksa, taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya. Begitulah sifat hukuman pasca Perang Tabuk.

Namun demikian, sebarang bentuk hukuman yang tidak berakhlaq itu bukanlah ibrah daripada Perang Tabuk. Itu tidak lain tidak bukan adalah cetusan emosi yang tidak dapat dibendung, tidak dikawal oleh iman. IttaquLlah. Zuhudlah dalam berhujah. Zuhudlah dalam membenarkan hujah. Zuhudlah, dalam apa jua keadaan. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta. Menghukumlah dengan bait-bait doa. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta, bukan mengangkat hina.

Yang terakhir dalam introspeksi ini adalah merujuk kepada perbahasan sepanjang muktamar. Dari sudut teknikalnya, wakil-wakil setiap negeri gagal membedakan apa itu perbahasan ucapan dasar TG Presiden dengan medan melepaskan geram, medan meluahkan rasa. Tidak selayaknya diangkat perbahasan yang sekadar memetik satu dua poin ucapan dasar lalu mengulasnya dengan unjuran ke belakang.

Kader-kader PAS seharusnya sedar bahawasanya untuk mereka terus kekal relevan sebagai pendakwah politik, muhasabah itu sentiasa perlu, tetapi bukan sewaktu perbahasan ucapan dasar. Perbahasan adalah medan berbahas inti ucapan, bukan batang tubuh TG Presiden. Apatah lagi membaca doa yang melebihi masa yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Cadangan kepada poin ucapan dasar harus dibuat sebagai tanda mereka menyokong ucapan dasar. Hujjah penolakan yang bersifat rasional harus dikemukakan sekiranya ada wakil negeri yang tidak bersetuju dengan poin-poin ucapan dasar.

Wakil-wakil perlu sedar, tidak dinamakan menyokong kalau sekadar menutup ucapan perbahasan dasar dengan lafaz, “perwakilan yang sekian-sekian menyokong ucapan dasar TG Presiden”. Pada lafaznya mungkin ya, tetapi lafaz yang sia-sia dalam konteks perbahasan ucapan dasar. Lafaz yang tidak terungkap melalui buah fikir yang bernas!

Saya cukup khuatir sekiranya hanya inilah kualiti – sebuah parti dari sudut politiknya, sebuah jamaah dari sudut yang lainnya – yang melaungkan keinginan untuk menggantikan UMNO selaku pentadbir Malaysia. Jujur saya katakan saya lebih menyokong untuk memantapkan atau mengubah kebobrokan itu melalui jalan yang sedia ada iaitu meng-islah-kan Barisan Nasional sekiranya inilah jalan ceritanya, walaupun, sejarah telah mencoretkan Anwar Ibrahim tersungkur di Penjara Kemunting, mufaraqah sudah al-fadhil Ustaz Nakhai’e dan syahidnya Ibrahim Libya si pejuang Mamali.

Walaupun sering ditekankan bahawasanya mengubah kerosakan (yang dibuat oeleh UMNO-Barisan Nasional) itu adalah seperti menggonyoh kuali hitam, biarlah kita lelah menggonyohnya sampai hilang hitam legam itu. Apakan daya, kita tidak mampu membeli kuali baru. Kalaupun beli, belum tentu boleh kita menggoreng dengan elok. Apa guna kuali baru, kalau menggoreng pun melekat-lekat! Isinya tak masak elok. Presentasinya pula sungguhlah teruk.

Namun demikian, seperti bisik saya kepada cermin, jangan pernah putus asa. Jalan juang ini tidak pernah senang. Fasbir Sabran Jamila. Berapa banyak kisah nabi-nabi yang lelahnya tetap berdakwah kepada ummat untuk menyampaikan risalah tauhid, kemudian kita membaca kisah-kisah itu untuk merasa lemah. Ingat, piala kemenangan itu bukan untuk dijulang di kehidupan yang ini!

Berjuang bukanlah semata-mata untuk melihat hidup senang pada hayat kita tetapi biarlah perjuangan ini adalah pencetus kepada kebahagiaan walaupun entah di mana pengakhiran perjuangan (kebahagiaan yang ingin dicapai) ini. Pengakhiran yang baik tidak mungkin pada logik akalnya tidak pernah bermula. Seperti mana pembukaan Kota Constantinople bermula pada Perang Khandak, begitulah perjuangan ini. Bermula dengan kesungguhan kita untuk mengubah dan kesabaran menghadapi lelahnya ujian.

Masa depan PAS akan cerah sekiranya tekad pemuda tak pernah pudar. Seperti mana kematangan Dewan Muslimat PAS sewaktu muktamar mereka. Membincangkan isu-isu nasional yang berkait dengan rakyat. Mungkin kasih sayang para ibu yang tidak sanggup melihat anak-anak mereka menderita. Nah, siapa kata muslimat tidak boleh menjadi pemimpin kalau inilah kematangan yang ditunjukkan oleh mereka. Dari sudut kemampuannya pula kita nilai setelah mereka melaksanakan tugas mereka. Majulah YB Kak Lah untuk Perdana Menteri Malaysia!







Popular Posts