Sunday, 4 August 2013

Deja Vu! Rundingan Damai Israel-Palestin Hanya Akan Menemui Kegagalan

tulisan asal oleh Phyllis Bennis, pada 1 Ogos 2013. Dialih bahasa oleh Awan Putih

artikel asal dikeluarkan di Mondoweiss

Sedikit pengenalan, John Kerry,setiausaha bagi negara Amerika Syarikat memulakan rundingan damai Israel-Palestin pada 1 Ogos 2013. Wakil bagi Israel ialah Tzipi Livni iaitu Menteri Keadilan untuk Israel, manakala Palestin diwakili oleh Saeb Erakat, Ahli Parlimen bagi Palestinian Authority. Rata-rata suara Palestin tidak bersetuju dengan rundingan damai kerana tidak ramai yang merasakan Palestinian Authority merupakan mandat atau wakil suara untuk mewakili keseluruhan warga Palestin. Palestinian Authority mempunyai reputasi sebagai anjing suruhan Israel dan Amerika Syarikat, dan terlibat dengan banyak kes rasuah. Rundingan-rundingan sebelumnya pula kebanyakannya gagal kerana rundingan berat sebelah yang lebih menguntungkan Israel dan tidak merangkumi 'Right of Return' bagi pelarian Palestin. Israel tetap berkeras membina penempatan-penempatan untuk orang Yahudi sahaja di dalam kawasan Tebing Barat sejak sekian lama, iaitu melepasi sempadan yang digariskan pada 1967, dan ini lebih merumitkan pembahagian kawasan dan mengecilkan Tebing Barat. Penulis (Phyllis Bennis) beranggapan bahawa rundingan ini hanyalah sebuah aksi untuk mengukuhkan pengaruh AS di Timur Tengah. Bennis juga menyatakan kerisauan akan impak kegagalan rundingan ini kepada kempen BDS(Boikot, Divesmen dan Sekatan) yang semakin laju dibuat oleh negara-negara dunia pertama. Penulis berpendapat bahawa kesanggupan Perdana Menteri Israel,Benjamin Netanyahu untuk membuat rundingan adalah impak dari aksi-aksi BDS seperti Kesatuan Eropah yang baru-baru ini meluluskan untuk menyekat pembiayaan kepada entiti-entiti di penempatan haram Israel -Awan Putih

Setiausaha Negara, John Kerry memulakan rundingan aman awal minggu ini di Washington.
 
 
Cubaan terkini Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dalam rundingan Timur Tengah patut dinamakan rundingan damai Einstein. Menurut saintis ulung itu, membuat perkara yang sama berulang kali dan menjangkakan keputusan yang berbeza adalah definisi untuk kegilaan. Pada kali ini pula, nampaknya Kerry benar-benar mempercayai, walaupun ada bukti-bukti untuk sebaliknya, bahawa percubaan terkini dalam industri yang telah wujud berdekad-dekad lamanya yang dipanggil “rundingan damai” mungkin akan benar-benar berhasil. Namun , malang pula untuk Kerry, perkiraan politik nya akan terhapus begitu sahaja kerana realiti politik yang kelam dan sukar.

Apa-apapun kepercayaan yang dipegang Kerry, masa yang dipilih untuk membuat rundingan ini amat jelas berkait-rapat dengan krisis-krisis yang tercetus di rantau Timur Tengah.  Perang sivil di Syria yang semakin teruk, pergeseran sektarian dan  Islam-sekular yang semakin meningkat di rantau tersebut, dan kudeta ketenteraan yang disokong oleh Pentagon terhadap Ikhwanul Muslimin di Mesir, semua ini menunjukkan kelemahan dan kegagalan polisi Amerika Syarikat di Timur Tengah. Kegagalan AS untuk respon secara berstrategik kepada cabaran-cabaran ini sudah tentu suatu sebab kenapa mereka tergesa-gesa memulakan rundingan Israel-Palestin, tidak kisahlah bahawa sejarah menunjukkan kegagalan rundingan-rundingan damai yang terdahulu. Ini mungkin merupakan suatu tindakan yang berguna – sebagai suatu distraction, dan menguatkan jaminan penyokong-penyokong Israel, dan juga percubaan untuk mengukuhkan dakwaan sebuah empayar yang sudah lemah bahawa ia masih lagi berkuasa.

Namun, disebalik semua alasan yang disebutkan, rundingan ini juga akan berjumpa kegagalan yang sama seperti kegagalan diplomasi selama 22 tahun yang sebelum-sebelum ini.


Sebahagian daripada masalah ini terletak sepenuhnya keatas misi AS seperti yang dinyatakan oleh Kerry untuk rundingan ini: ‘menamatkan konflik, menamatkan tuntutan”. Bukannya menamatkan penjajahan, bukan untuk menamatkan pengepungan keatas Gaza, bukan untuk mengakhiri berdekad lamanya perampasan dan pembuangan pelarian-pelarian Palestin. Sekadar ingin menamatkan tekanan, pertikaian – tidak kisahlah versi realiti yang manakah yang akan menjadi status terakhir yang dipersetujui secara rasmi. Kemudian, dalam dunia angan-angan Kerry, kesemua tuntutan warga Palestin akan secara tiba-tiba hilang, dan orang-orang Palestin, sesungguhpun hak-hak mereka yang diiktiraf antarabangsa masih belum dicapai, akan senyum, memuji pemimpin-pemimpin mereka yang berani, dan secara sopannya bersetuju untuk mendiamkan diri sahaja. (Tuntutan Israel pada masa akan datang pula tidak akan diakhiri, kerana, sudah tentulah, tuntutan Israel berkisar mengenai “keselamatan”, selama-lamanya sah dan tidak boleh dirunding, manakala tuntutan Palestin pula, iaitu untuk penentuan nasib sendiri, kedaulatan, kesamaan, dan untuk kembali – hanyalah sekadar isu politikal dan kurang penting.)

 

 

Pelantikan Martin Indyk selaku envoy AS untuk rundingan ini merupakan petunjuk yang mengukuhkan lagi bahawa tiada seorang pun yang berniat untuk mengubah rangka kerja diplomasi yang gagal selama 22 tahun lepas yang diketuai oleh AS. Indyk, bekas duta AS ke Israel, juga merupakan bekas pengarah kajian untuk AIPAC, sebuah lobi pro-Israel yang sangat berkuasa, dan juga merupakan pengasas bersama Washington Institute for Near East Policy, sebuah institusi yang mempunyai kaitan dengan AIPAC, telah menjadi orang penting untuk diplomasi Israel-Palestin yang dikawal oleh AS untuk bertahun-tahun. (Dalam masa beberapa tahun lepas, telah menjadi kebiasaan untuk melihat Indyk, Dennis Rose, Aaron Miller dan lain-lain yang bertanggungjawab kepada 22 tahun kegagalan diplomasi AS di Timur Tengah. Mereka-mereka ini bergantung kepada status “veteran” sebagai suatu tauliah untuk menyambung kerjaya mereka.)

Rundingan ini, seperti yang sebelum-sebelumnya, akan mengabaikan undang-undang dunia, dan sebaliknya akan berdasarkan kepada penerimaan terhadap perbezaan kuasa yang wujud antara penjajah dan yang dijajah. Pengadil AS yang pro-Israel akan menentukan posisi Israel dan “kompromi-kompromi” yang diusulkan oleh Israel sebagai sesuatu yang “munasabah”. Israel akan terus membina dan meluaskan penempatan-penempatan di Jerusalem Timur dan Tebing Barat yang dijajah, berdasarkan daripada beribu-ribu permit yang sudahpun dikeluarkan, sementara akan menawarkan sedikit penangguhan dalam meluluskan permit-permit baru – dan inilah yang akan dipanggil sebagai kompromi besar yang dibuat oleh Israel. Lebih dari 600,000 orang Israel akan tetap duduk di penempatan besar bersaiz bandar yang ekslusif untuk Yahudi sahaja di seluruh Tebing Barat dan Jerusalem Timur, dan rundingan ini akan dibuat berdasarkan pemahaman bahawa dalam apa-apa perkiraan terakhir, Israel akan dibenarkan untuk menyimpan semua blok-blok penempatan yang utama, akuifer-akuifer(tempat pemprosesan air), dan lebih 80% para peneroka Israel akan tetap duduk di tempat yang sama mereka diami sekarang.

Kerry dengan bangganya mengumumkan bahawa rundingan pada kali ini lain dari yang lain – ianya berdasarkan Inisiatif Kedamaian Arab tahun 2002. Namun, beliau tidak menyebut mengenai “pembetulan” yang dikenakan oleh AS dan Israel kepada pelan tersebut, yang melucutkan nilai dan potensi sebenar pelan ini. Pelan ini pada asalnya menawarkan negara-negara Arab sebuah normalisasi(menjalinkan hubungan diplomatik) dengan Israel hanya setelah penarikan penuh ke sempadan 1967, dan solusi yang adil kepada masalah pelarian mengikut resolusi PBB 194 yang menjanjikan hak mereka untuk kembali ke tanah asal. Versi baru Kerry ini mengabaikan para pelarian ( sehingga kini) dan mengambil bahasa AS-Israel mengenai sempadan-1967-bersama-penukaran (yang selalunya disebut dalam satu perkataan). “Penukaran” tanah ini, sudah tentunya, bermaksud Israel dapat menyimpan kesemua Bandar penempatannya, hampir semua para peneroka haram Israel, dan kesemua sumber air Palestin, sementara orang-orang Palestin akan ditawarkan beberapa padang pasir yang tidak dibangunkan kecuali Gaza, atau mungkin sebuah tawaran untuk meletakkan Bandar yang bermajoriti Palestin dalam Israel, seperti Nazareth, di bawah bidang kuasa “negara” Palestin yang bakal dihasilkan. (Kemungkinan besar juga tiada kompromi yang akan dibincangkan mengenai Gaza – pengepungan Israel keatas Gaza akan dibiarkan begitu sahaja, dikuatkan pula oleh kerajaan pasca kudeta di Mesir yang menutup terowong-terowong dan mengetatkan penutupan pintu Rafah – dan para diplomat Palestinian Authority kemungkinan besar tidak akan memasukkan Gaza sebagai strategi utama rundingan mereka.)

 

Orang-orang Palestin pula, sudah tentu, akan dijangkakan untuk menerima kompromi-kompromi Israel yang “munasabah” seakan-akan kedua-dua pihak, si penjajah dan yang dijajah, mempunyai kewajipan yang sama dibawah undang-undang antarabangsa. ( oh ya, undang-undang antarabangsa tidak akan mempunyai peranan disini.) Harganya, jika orang-orang Palestin menolak tawaran-tawaran Israel yang sungguh munasabah ini, ialah penghinaan AS dan mungkin juga dunia kerana akan digambarkan sebagai menyekat sebuah usaha kearah perdamaian. Kini, beberapa buah negara yang membangun (Afrika Selatan, Brazil) sedang beralih kearah posisi yang lebih adil kepada Israel-Palestin. Sekatan yang baru dibuat oleh  Kesatuan Eropah kepada pembiayaan entiti-entiti penempatan haram Israel, yang diumumkan sebelum pengumuman Kerry bahawa adanya rundingan baru serta penerimaan Israel kepada rundingan ini, juga amatlah penting, sebuah renungan kepada impak besar yang terhasil walaupun Tel Aviv dikenakan sekatan yang baru sedikit. Gerakan masyarakat awam untk boikot, divesmen dan sekatan (Boycott,Divestment and Sanctions,BDS) terus meningkat,dan ianya masih tidak jelas bagaimanakah kerajaan-kerajaan yang kini berpaling dari posisi AS akan merespon kepada kegagalan rundingan yang dikawal AS ini, terutama sekali jika AS mendakwa bahawa kegagalan ini merupakan salah Palestin.

Pencabulan yang dibuat oleh Israel terhadap undang-undang antarabangsa, Konvensi Geneva, resolusi-resolusi PBB dan banyak lagi tetap wujud. AS tidak pernah berusaha untuk menamatkan pencabulan-pencabulan ini sebagai gol rundingan damai ini, - apatah lagi sebagai sebuah kondisi awal. Jika AS berbuat demikian, Israel terpaksa akan menamatkan penjajahannya keatas kawasan-kawasan 1967 sekaligus mengiktiraf hak kepulangan pelarian Palestin – menamatkan pencabulan sepatutnya tidak memerlukan rundingan. Inilah sebabnya, secara umumnya, rundingan ini akan gagal. Sehinggalah rundingan ini dibuat bukan berdasarkan sokongan AS kepada kuasa Israel tetapi kepada undang-undang antarabangsa, hak manusia, dan kesamaan kepada semua, “rundingan damai” ini,termasuklah yang terbaru, Edisi Einstein, akan tetap akan menempuh kegagalan.

 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts