Sunday 22 September 2013

Gene Sharp: Perjuangan tanpa-keganasan ala Machiavelli

Dialih bahasa oleh Durratun Naasihin daripada artikel asal yang ditulis oleh John-Paul Flintoff yang bertajuk “Gene Sharp: The Machiavelli on non-violence” yang diterbitkan dalam The NewStatesman pada 3 Januari 2013.

Dalam sejarah panjang perjalanan dunia akademik dan perbezaan pendapat, Gene Sharp pernah dipenjarakan dan dianiaya, tetapi tidak sesekali dia berdiam diri. Idea yang dicetusnya terus-menerus menjadi inspirasi gerakan melawan di seluruh pelusuk dunia.





Gene Sharp bukanlah seorang pencinta damai (pacifist) yang biasa. “Ketika saya menyampaikan kuliah, saya sering menerima rungutan daripada pencinta damai yang lain,” kata ahli akademik, yang akan menjejak usia 85 tahun pada bulan ini. “mereka akan berkata yang saya ini tidak tulen. Mereka berkata apa yang saya cadangkan sebenarnya ‘masih konflik’.” Orang-orang tentera mungkin lebih memahami dirinya. Seorang pesara tentera kolonel AS , Robert Helvey, mendengar kuliah Sharp 20 tahun lampau dan memujuk beliau untuk melawat burma, yang mana para pemberontak ada meminta Sharp untuk memberikan nasihat kepada mereka.

Beliau menulis risalah. “Saya tidak mengetahui situasi Burma dengan mendalam,” dia mengimbas kembali. “ maka saya terpaksa menulis secara umum: sekiraya satu-satu gerakan itu mahu menumbangkan diktator, bagaimana seharusnya mereka perlu perbuat”. Risalah itu, From Dictatorship to Democracy(1993), mengandungi idea Sharp yang sudah terkenal di seluruh buana – kuasa itu hanya diperoleh daripada rakyat kepada mereka yang akan menggunakannya, dan persetujuan ini boleh ditarik balik. Kesemua rejim bergantung pada  sekumpulan tunggak penyokong, dan dengan perancangan yang baik, penentang mampu melenyapkan sokongan kumpulan ini secara aman.
Buku ini pada asalnya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Burma. “dan saya ingat hanya setakat itu sahaja,” Menurut Sharp. Tetapi buku ini dipamerkan dalam kedai-kedai buku di Bangkok. Dari situ, tiada siapa mengetahui bagaimana sebenarnya buku ini tersebar. Dan ini telah terjadi–di merata tempat. “saya masih lagi berasa takjub. Buku ini tidak tersebar disebabkan propaganda atau promosi jualan tetapi semata-mata kerana orang ramai melihatnya sebagai sesuatu yang berguna, dan penting.”
“saya tidak menyangka betapa bergunanya risalah ini nanti,” Srdja Popovic mengesahkannya, seorang pemimpin Otpor, satu gerakan yang menjatuhkan Slobodan Milosevic di Serbia pada tahun 2000. Yang lain menggambarkan kesan daripada membaca hasil kerja Sharp sebagai ‘menggasak minda’ (mind-blowing), kerana tulisannya berjaya membuktikan sesuatu yang kelihatan mustahil itu sebenarnya tidak mustahil dilaksanakan.
Selama lebih 20 tahun From Dictatorship to Democracy diedarkan secara rahsia di lebih 40 negara. Risalah ini pernah dicetak di Moscow sebelum FSB (pengganti kepada KGB) menyerbu pencetaknya. Kemudian buku ini dijual di dua kedai buku persendirian di Rusia – keduanya, secara ajaib, telah terlibat dalam kebakaran tidak lama kemudian.
Penggiat filem British iaitu Ruaridh Arrow mula mendapat tahu mengenai hasil kerja Sharp sewaktu membuat liputan mengenai Orange Revolution di Ukraine. Kemudian dia nekad untuk mempelajarinya dengan lebih lanjut, dan hasil daripada kajiannya maka terhasillah satu filem, How to Start a revolution, yang mana telah ditayangkan di lebih dari 22 buah negara dan menjadi filem sensasi bawah tanah melalui gerakan Occupy.
Kini, idea Sharp mula mencuri perhatian daripada kalangan arus perdana juga. Akhirnya buku  From Dictatorship to Democracy mempunyai cetakan yang rasmi di UK. Malah Ketua Biskop Canterbury menjemput Sharp untuk bertemu dengan para biskop yang datang dari serata dunia. Dan tak lupa juga All-Party Parliamentary Group on Conflict Issues meminta beliau untuk berucap kepada para Ahli Parlimen, rakan-rakan dan pegawai kanan kerajaan dalam Dewan Rakyat British. Bilik itu padat – terima kasih kepada penonton aktivis gerakan Occupy – dan beliau menerima tepuk sorak yang gemuruh oleh penonton. Beliau juga dicalonkan untuk anugerah Keamanan Nobel (Noble Peace Prize ), dan awal bulan lepas dalam Parlimen Sweden, beliau dianugerahi dengan apa yang dipanggil Nobel Alternatif (Alternative Nobel), iaitu the Right Livelihood Award.
Selepas lama menyepi daripada dunia akademik secara serius, Sharp secara tiba-tiba mendapat ilham bahawa orang ramai di seluruh dunia telah bersedia untuk mendengar teorinya berkenaan kuasa –dan bagaimana untuk merebutnya. “Ini merupakan satu pengalaman yang aneh,” menurut beliau.  Tetapi adakah sanjungan yang diberikan terlalu melampau? Gerakan Occupy kebanyakannya telahpun  makin menghambar dan Arab Spring tidak menjanjikan kejayaan yang baik seperti mana yang diharapkan oleh orang ramai. Adakah beliau risau andai reputasinya akan jatuh semula?  “ Saya langsung tidak risaukan mengenai reputasi saya. Apa yang saya ingin tekankan bahawa menjatuhkan satu-satu rejim tidak bermakna menghasilkan satu nirvana politik. Anda pasti akan menghadapi cabaran yang besar selepas daripada itu. Saya senantiasa jelas akan hal ini. “
“Tetapi orang ramai sering mendakwa penentangan tanpa-keganasan tidak berupaya menghasilkan apa-apa. Selepas apa yang terjadi di Tunisia dan Mesir, orang ramai kini sudah tidak boleh lagi menafikan perubahan rejim secara tanpa-keganasan sebagai sesuatu yang mustahil. Teori lama yang mengatakan ‘hanya peperangan’ yang hanya mampu membawakan alternatif yang berkesan. Saya merasakan teori lama itu sudah tidak releven. Malah ini bukan lagi soalan teologi – ini adalah soalan emperikal.” dia kemudian memetik kata-kata Kenneth Boulding: “That which is, is possible.’ The breakthrough has happened.
Secara peribadinya, Sharp merupakan seorang yang lemah. Kami bertemu pada satu hari pada musim sejuk di sebuah hotel di Westminster. Kami memerhatikan satu tugu peringatan tentera melalui salah satu daripada tingkapnya. Dia berjalan dengan perlahan, dengan bertongkat, dan bertutur dengan amat perlahan; bercakap dengan beliau, saya mendapati adalah perlu untuk tunduk kehadapan untuk menangkap butir perbicaraannya.
Semenjak tahun 2004, dia menguruskan institusi Albert Einstein (AEI) melalui dua bilik dalam rumahnya di Boston berdekatan Lapangan Terbang Logan. Meja pejabatnya bertimbun dengan kertas dan keseluruhan pejabatnya berantakan. Kekurangan ruang merupakan salah satu masalahnya. “anda boleh membayangkan betapa banyak barang yang saya tidak boleh cari sekarang,” ujar beliau. “saya tidak boleh menjumpai kamus thesaurus, atau kamus The Oxford English. Saya tidak mengetahui di mana terletaknya naskhah Politics yang ditulis Aristotle...Kesemuanya itu ada dalam kotak; masih kekal dalam kotak walaupun saya telah berpindah ke sini setahun yang lampau. Saya merindukan kesemua itu sepanjang masa. Kami mungkin ada 20 hingga 30 kotak seperti itu. Saya tak boleh mencari dalam kesemuanya, kerana itu akan mencuri masa yang berharga daripada membuat sesuatu yang lebih penting.”
Sebenarnya susunan yang tidak seberapa ini yang membuka ruang kepada tuduhan, yang diulang-ulang dengan kerap oleh rejim di Venezuela, Iran dan tempat lain, yang bahawa AEI adalah sebuah gerakan yang dibiayai oleh CIA. Institusi ini mengambil nama sempena Einsten kerana, sebagai seorang pemuda berumur 25 tahun yang menjadi pengingkar turut hati nurani (concsientious objector) sewaktu era peperangan korea, Sharp menentang draf dengan menggunakan taktik ketidakpatuhan masyarakat (civil disobedience), dan Einstein menyokong beliau pada ketika itu. Sharp menetap di New York dan sedang menulis sebuah buku mengenai Mahatma tatkala dia mengetahui yang Einstein, juga, turut mengagumi Gandhi. “saya menulis kepada beliau di Princeton dan memberitahunya bahawa saya akan ke penjara kerana mengingkari pengerahan tenaga– oh, lagi satu, saya ada menulis buku ini.” Einstein telah menulis kata pengantar untuk buku ini.
Pada tahun 1953, Sharp telah dijatuhi hukuman dua tahun penjara kerana mengelak-draf. Kedua Ibubapanya, seorang pastor dan seorang guru sekolah, sudah pasti merasa kecewa. “Mereka cuba memujuk saya supaya menjadi lebih munasabah dengan memohon untuk diiktiraf sebagai pengingkar turut hati nurani (concsientious objector), tetapi hakikatnya saya sebenarnya membantah perkara kerahan tentera itu sendiri.” Mereka hanya melawatnya hanya sekali sewaktu beliau dalam penjara. Tak lama kemudian, selepas Ibunya meninggal dunia, Sharp mendapati bahawa intan payung cinta pertama ibunya telah terbunuh sewaktu Peperangan Dunia Pertama di Perancis – maka sudah pasti ibunya lebih memahami mengenai tindakannya membantah servis ketenteraan berbanding bapanya. “tapi bapanya juga turut menyokong, akhirnya.”
Selepas pembebasannya, Sharp berkhidmat sebagai setiausaha peribadi kepada A J Muste, yang telah digelar oleh majalah Time sebagai Pencinta damai (pacifist) nombor 1 di Amerika Syarikat, kemudian berkhidmat sebagai jurutaip di Wall Street, dan menyambung analisisnya mengenai Gandhi. Motif segala tindakannya, seorang perlu ambil perhatian, bukanlah kerana sentimental.”saya tidak mengagumi Gandhi semata-mata kerana beliau ‘baik’. Dia bukan bodoh. Beliau mempunyai pendapatnya mengenai kuasa dan perlunya untuk berjuang  mengenai itu, sekiranya difahami luar daripada konteks, boleh jadi dari seseorang seperti Mao Tse-tung. Beliau seorang yang cekal.”
Sebagai setiausaha Muste, Sharp telah menerima pengunjung dari sebuah akhbar British, Peace News, yang telah menawarkannya pekerjaan. Maka beliau berpindah ke London. Dengan berpusat di King’s Cross, Peace News mempunyai kadar edaran mingguan sekitar 14000. Sharp membuat lipuatan mengenai demonstrasi dan sidang akhbar Kementerian pertahanan. Beliau kemudiannya berjaya merebut peluang untuk menyambung pelajaran di Oxford untuk DPhil. (Beliau sudahpun mempunyai BA dan MA daripada Ohio State University.)
Pada waktu ini, beliau sudah pun merangka satu teori umum mengenai penentangan tanpa-keganasan, yang banyak berasaskan pandangan Gandhi dan teori politik klasik seperti Thomas Hobbes. Penyelia beliau di All Soul College, John Plamenatz merupakan ahli falsafah dan rakan seperjuangan pemerintahan-dalam-buangan Yugoslav (Yugoslav government-in-exile). Plamenatz menasihati Sharp untuk tidak hanya memfokuskan pada teori semata-mata, tetapi sebaliknya menimbang juga bukti anekdot daripada pemerintahan diktator yang sebenar dan juga revolusi yang pernah berlaku.
Jadi, tinggal dalam rumah yang dikongsi bersama di All Saints Road di Oxford, Sharp mulai mengumpul pelbagai contoh yang akhirnya menjadi sejarah yang luas mengenai usaha pragmatik penentangan tanpa-keganasan. Berdasarkan pengalaman lalu, idea ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi akhirnya kesan yang diperoleh daripada kajiannya merupakan sesuatu yang benar-benar penting.


Bagi Sharp, kepercayaan utama kepada perjuangan tanpa-keganasan adalah perlu untuk sesuatu teknik itu untuk berjaya. Namun hasil daripada kajiannya menunjukkan perjuangan tanpa-keganasan ini amat ramai diperjuangkan oleh mereka yang tidak mempunyai etika atau nilai-nilai dalam agama yang menentang keganasan.  Beliau mula menyedari akan perihal ini tatkala sedang duduk di perpustakaan membelek surat khabar untuk mencari info mengenai penentangan tanpa-keganasan di India. “Saya sedang mencatit dengan tangan mengenai keterangan yang terdapat dalam surat khabar India atau Inggeris mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam konflik ini. Hal ini menjadi jelas bahawa para penentang itu bertindak demikian semata-mata tanpa ada kepercayaan untuk menjadi seperti itu. Saya berhenti seketika daripada mencatit nota. Adakah patut saya menulis akan hal ini atau mengabaikannya? Saya tetap menulisnya. Tidak lama kemudian, saya menyedari bahawa ini bukanlah satu masalah yang serius sebaliknya satu peluang besar. Maka saya menyimpulkan bukanlah satu keperluan untuk mengubah ramai orang untuk mempercayai prinsip-prinsip tanpa-keganasan sebelum mempercayai keperluan meninggalkan sebarang keganasan sewaktu konflik.”
Apa yang sering terjadi pada masa lampau adalah individu yang mencuba melakukan perubahan telah melakukannya secara spontan, serta secara intuitif. Bagaimana lebih efektif apa yang mereka mampu perbuat, dia tertanya, sekiranya mereka mempunyai idea yang lebih bernas mengenai apa yang pernah diperbuat oleh orang sebelum mereka?
Dia mempunyai satu misi iaitu untuk membuktikan betapa efektifnya tindakan politik tanpa-keganasan pernah terjadi, dan berapa kali ianya terjadi - tidak khusus kepada yang berkaitan dengan konflik yang mungkin menjurus kepada peperangan sahaja, malah juga praktikal untuk penentangan yang kecil secara relatifnya. Lebih daripada beberapa tahun beliau habiskan untuk menyiapkan senarai ini, yang akhirnya menjadi senarai 198 kaedah penentangan tanpa-keganasan. Dalam karya magnum opusnya yang diterbitkan pada tahun 1973, The Politics of Non-violent Action, Sharp memberi contoh untuk setiap kaedah yang dicadangnya, yang diambil daripada rekod sejarah dari seluruh pelusuk buana. Nombor 67, “Para pekerja melarikan diri” (flight of workers), telah dikatakan pernah ditunjukkan oleh Nabi Musa AS dan Bani Israel sebagai cara mereka untuk memanifestasikan ketidaksetujuan  terhadap kelakuan Firaun.


Nombor 90, “keengganan membayar cukai” (revenue refusal), seperti yang pernah dibuat sewaktu zaman China purba apabila mereka yang enggan membayar cukai telah bertindak menanam segala harta benda mereka dan menyembunyikan di bukit apabila mereka mengetahui ada pengutip cukai sedang datang menuju ke arah mereka. Nombor 57, “tindakan ala Lysistratic”(Lysistratic non-action), mungkin atau mungkin tidak pernah diperbuat oleh para wanita zaman Greek Purba yang ingin menamatkan peperangan dengan menolak untuk bersama dengan lelaki-lelaki yang gila berperang (seperti yang ditonjolkan oleh Aristophanes), tetapi Sharp menjumpai bukti bahawa taktik yang sama telah digunakan oleh para wanita di Negara Iroquois dan juga semasa zaman penjajahan di kawasan yang kemudiannya dikenali sebagai selatan Rhodesia. (Tindakan ini juga telah dilakukan di Kenya pada tahun 2009 oleh penunjuk perasaan wanita–termasuk juga isteri kepada perdana menteri di situ.)
Sesetengah kaedah yang diberi kelihatan amat tidak menarik serta tampak biasa, contohnya Nombor 2, “Surat oleh pembangkang atau sokongan”, tetapi kaedah ini juga boleh menjadi sesuatu yang efektif, dan dalam sesetengah konteks untuk melakukan hal ini juga memerlukan keberanian. Kaedah yang lain memerlukan keberanian fizikal, seperti Nombor 171 –”Masuk campur tanpa-keganasan”(non-violent interjection), seperti yang pernah ditunjukkan oleh seorang lelaki cina yang tidak dikenali yang berdiri di hadapan kereta kebal di Dataran Tiananmen pada Jun 1989. Atau Nombor 66, “Langsung tidak-berkerjasama secara peribadi”(Total personal non-cooperation). Semasa Perang Dunia ke-Dua terdapat seorang pengingkar turut hati nurani(c0nscientious objector) di AS yang bernama Corbett Bishopp enggan untuk makan, berpakaian sendiri, hatta enggan untuk berdiri. Badannya yang lemah terpaksa di usung keluar masuk dari satu mahkamah ke tempat lain termasuk ke pelbagai sel penjara. Dia diberi makan secara paksa melalui tiub. Akhirnya, disebabkan liputan yang meluas dalam media surat khabar, beliau dibenarkan pulang tanpa sebarang syarat.

seorang lelaki cina yang tidak dikenali yang berdiri di hadapan kereta kebal di Dataran Tiananmen pada Jun 1989

Banyak kaedah yang disenaraikan memerlukan penyertaan lebih daripada seorang untuk menjayakannya. Kaedah Nombor 193, “Membebankan sistem pentadbiran”(overloading of administrative systems), telah digunakan dan berjaya memberi impak yang besar terhadap AS semasa Perang Vietnam dan baru-baru ini dalam melumpuhkan sistem komputer yang dikendalikan oleh pihak kerajaan.
Jika dinilai secara keseluruhannya, senarai 198 kaedah mengenai penentangan tanpa-keganasan ini boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori. Kategori yang pertama bolehlah diletakkan bawah tajuk umum seperti “protes”, atau “meningkatkan kesedaran”. Untuk kategori yang kedua pula digambarkan oleh Sharp sendiri sebagai tidak berkerjasama – menolak untuk berunding dengan sistem atau pihak yang anda tidak suka(seperti contohnya, tidak membeli barangan keluaran syarikat yang mengeksploitasi pekerja, atau tidak mahu menaiki kapal terbang demi untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida). Kategori ketiga pula datang dengan keterangan sebagai campur tangan secara aktif dalam mencabar status quo, mungkin dengan menawarkan alternatif kepada sesuatu yang sedia ada. Inovasi ini tidak semestinya ‘alternatif’ yang difahami dengan makna pejoratif. Bukan juga bermakna inovatif ini senantiasa negatif, dalam erti kata yang berkaitan penyisihan atau pemusuhan. Kesatuan Sekerja Jepun, pekerja yang majikannya yang menggunakan penghantaran tepat-pada-masa, mencipta mogok “go-strike”  untuk menyokong tuntutan mereka untuk bayaran yang lebih baik. Pada tahun 2011 sebuah perpustakaan di Milton Keynes telah diugut bakal ditutup untuk pemotongan belanjawan, penduduk tempatan menyertai gerakan yang mendesak untuk mengeluarkan setiap buku yang terdapat di situ, sehingga meninggalkan rak-rak di situ terbiar kosong; mereka membantah pelan penutupan itu dengan menunjukkan bahawa mereka memang menggunakan perpustakaan tersebut.
Taktik yang digunakan amat bijaksana dan amat jelas, walaupun tampak biasa, tetapi sekiranya dinilai dari sudut ini, kita boleh lihat ketidakupayaan orang lain yang mana, apabila didesak dengan situasi yang sama, mungkin memilih taktik yang berlainan – melontar cat kepada datuk bandar, umpamanya, atau menyeru kepada mogok lapar.  
Mereka yang skeptik sering mengatakan bahawa gerakan rakyat awam yang menyeru kepada usaha politik tanpa-keganasan ini sebenarnya “tidak mampu untuk menjatuhkan Nazis”. Daripada mereka terhenti setakat debat mengenai sama ada gerakan tanpa-keganasan ini “mungkin boleh” menjatuhkan Nazis, Sharp menggalakkan kita untuk mempertimbangkan bagaimana Nazis akan berdepan penentang tanpa-keganasan, baik di Jerman atau negara jajahan Jerman. Hasil kerjanya ada menyediakan beberapa kisah yang mengagumkan mengenai penentangan tanpa-keganasan terhadap Nazis, yang sering dirujuk oleh para sejarahwan ketenteraan. Terdapat banyak contoh yang boleh disenaraikan di sini, tetapi contoh-contoh individu tidak beberapa penting. Pokok utama di sini adalah, jika bukan disebabkan oleh penentangan daripada mereka, selalunya hanya bersifat sederhana, rejim Hitler mungkin bertindak lebih buruk daripada apa yang kita ketahui sekarang ini. Dalam erti kata yang lain: sekiranya lebih ramai yang berani bangkit melawan, kezaliman pihak Nazi mungkin dapat dicegah. Untuk membuat kenyataan ini bukan bermakna menghakimi apa yang pernah diperbuat oleh orang-orang dahulu. Tetapi tidak lain daripada mencabar diri kita sendiri, sekarang. Kerana memang mudah untuk membayangkan yang kita semua bertindak secara berani sekiranya kita berada di Jerman pada ketika itu, tetapi rangkaian contoh yang dibawakan oleh Sharp ini sebenarnya menggasak kita untuk bertanya sama ada wujud sesuatu yang perlu kita perbuat sekarang, mengenai sesuatu yang sedang berlaku ketika ini.
Cabaran ini tidak hadir dengan bungkusan yang cantik. Hasil kerja Sharp dikira menakjubkan kerana ketelitiannya, dan kerana kehalusannya. Profesor Thomas Schelling, yang memenangi Anugerah Nobel pada 2005 atas kajiannya megenai teori permainan, memberitahu saya bahawa apabila pertama kali berjumpa beliau di Oslo pada 1960-an, Sharp memberikannya “lebih kurang 800 mukasurat manuskrip untuk dibaca semasa penerbangan pulang ke London dan pulang ke AS”. Schelling menawarkan Sharp kerja di Harvard, sementara, beliau memberi tahu saya, supaya Sharp boleh meringkaskan lagi manuskripnya. Sebaliknya yang telah berlaku, Sharp memanjangkan lagi manuskripnya.
Sewaktu di Harvard-lah yang membuatkan beliau mula menjarakkan dirinya daripada aliran asalnya iaitu kiri, mungkin untuk menjadikan hasil kajiannya lebih diterima pembaca dalam kalangan arus perdana, dengan bekerjasama dengan pihak  yang selama ini beliau mengelakkan diri. Beliau tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa pengkajian beliau di Harvard adalah sebahagiannya dibiayai oleh Jabatan Pertahanan AS. “Sesetengah pihak mungkin melihat kesediaan atau penerimaan saya terhadap tajaan sebagai amat mengejutkan. Saya telah menegaskan selama bertahun-tahun bahawa pihak kerajaan–dan juga kumpulan yang lain–sepatutnya menaja dan menjalankan kajian untuk mencari alternatif kepada keganasan.”
Salah seorang pelajar bawah seliaan Sharp selepas beliau menetap di Boston adalah Peter Ackerman, yang telah memilih untuk membina masa depan di Wall Street. Pada tahun 1983, Ackerman telah melabur dengan jumlah yang banyak untuk Institut Albert Einstein yang baru ditubuhkan, dengan pejabat yang terletak di Dataran Harvard dan mampu memuatkan sehingga 12 orang. Namun semenjak sedekad yang lalu, keduanya mula ada perselisihan faham. Ackerman mahu berubah dari hanya terus memfokuskan kepada kajian kepada mula menyebarkan hasil kerja. Beliau menubuhkan satu badan baru, the International Centre on Non-violent Conflict, untuk menerbitkan dan menyebarkan dokumentari, buku dan permainan komputer yang mendidik kepada gerakan penentangan tanpa-keganasan.
“Gene merupakan salah satu peribadi yang penting dalam hidup saya,” Ackermen memberitahu saya, melalui satu perbualan telefon yang panjang, “dan membina asas intelektual kepada apa yang saya sedang perbuat dewasa ini. Namun yang lebih penting adalah tidak mendewa-dewakan beliau –  Sebaliknya memahami sumbangan yang telah beliau perbuat dan memahami  bidang tersebut telah pun kukuh.”
Sebaik Ackermen menghentikan tajaan, pendapatan AEI jatuh merundum dari sejuta dolar setahun kepada hanya $160,000. Penulisan Sharp, yang telah banyak diterjemahkan dan diterbitkan secara rahsia, hanya menjana sedikit pendapatan. (Beliau masih memberikan kebanyakannya untuk dimuat turun secara percuma)
Komitmen Sharp kepada kerjanya, dan perjuangannya yang tidak mengenal penat lelah untuk memperoleh bantuan kewangan, sedikit sebanyak menjelaskan mengapa beliau tidak pernah berumah tangga.  “Saya hampir berkahwin dua atau tiga kali,” ujar beliau, “pada lewat 20-an dan pertengahan 30an, di AS dan juga di Norway. Saya berasa sesal, tetapi perkahwinan itu sudah tidak terjadi. Adakah peribadi saya musnah? tidak. Mungkin ini satu kekurangan dalam peribadi saya.”
Beliau mempunyai sanak saudara yang bertaburan di serata pelusuk AS tetapi jarang bertemu mereka. “Kadang-kala mereka akan datang dan singgah menetap di Boston. Dan saya ada juga berbual dengan mereka melalui telefon sekali-sekala. Adakah saya berasa sunyi? Ya, tapi itu bukanlah sesuatu masalah yang besar.” Beliau berasa tidak selesa ketika membicarakan perihal hidupnya. “Orang ramai terlalu menumpukan kepada siapa diri saya, berbanding dengan apa yang ingin saya sampaikan.”
Pada tahun 2004, bagi mengelakkan daripada terus terkubur, beliau memindahkan AEI ke dalam rumahnya. “Kami terpaksa membuang sedikit sebanyak perabot pejabat kami. Kami meninggalkannya di jalanan untuk orang-orang kutip sekiranya mereka berminat. Saya tahu saya tidak akan berhenti, walau apa yang terjadi, tetapi hal ini tetap amat menyedihkan.” Hanya satu daripada kakitangan yang mengikut untuk bersama beliau. Baru digaji semenjak dua tahun lepas, Jamila Raqib telah melarikan diri dari Afghanistan bersama-sama keluarganya ketika dia berusia hanya lima tahun. Dia merupakan lepasan jurusan pengurusan perniagaan(business management), tetapi mempunyai minat tersendiri mengenai hal dunia. (Tahun ini merupakan tahun yang menarik, 2001,” ujar dia, dalam ucapan singkatnya). Dia melihat satu iklan mengenai kerja kosong di AEI dan terus memohon. “Saya tidak pernah tahu apa-apa mengenai Gene sebelum ini, mahupun institusi tersebut.”
Raqib telah diberi peringatan bahawa kerja ini tiada jaminan, tetapi baru-baru ini telah menggenapkan 10 tahun berkerja dengan Sharp. “Saya sememangnya beruntung kerana terlibat dalam kerja ini,” ujar dia.”saya tidak boleh membayangkan kerja yang lebih penting.” Dia mengetahui sejak dari awal lagi sekiranya dia berminat untuk menyumbang, dia perlu mempelajari banyak perkara. Saya mula meluaskan pembacaan mengenai pelbagai perkara, dari buku-buku besar hingga ke monograf, serta banyak lagi kerja-kerja yang masih belum diterbitkan. Untuk sedekad atau lebih kami mempunyai perkumpulan yang terlibat dalam melakukan perkara ini. Terdapat banyak perkara yang terkandung fail dan tiada siapa selain daripada Gene dengan ingatan institusi(institutional memory)
Kini Sharp sudah mula terkenal, AEI sudah mula dibanjiri dengan persoalan dari pihak media serta orang ramai yang meminta nasihat. Mereka berusaha untuk memenuhi permintaan kesemuanya. “Saya sering menasihati orang ramai supaya berjaga-jaga dengan penasihat asing–termasuklah saya,” ujar beliau. “Orang ramai perlu memahami sendiri situasi mereka, memahami secara tanpa-keganasan, dan belajar untuk berfikir secara strategik.”
Walaupun dengan pendirian beliau yang sebegini, Sharp masih tetap menjadi sasaran serangan pengikut teori konspirasi. “Ini kerana beliau telah berhubung, sejak bertahun-tahun, dengan pihak ketenteraan dan Republicans dan sesiapa sahaja yang beliau rasakan mampu memberi sokongan terhadap ideanya bahawa hasil kerjanya bukanlah lembik, gedik, dan idealistik lagi pencinta damai,” kata Stephen Zunes, profesor untuk kajian politik dan hubungan antarabangsa di University of San Francisco. “Malangya, dengan berbuat demikian, telah memberikan ruang kepada ahli teori konspirasi yang beraliran ekstrem kiri bahawa beliau ini adalah sebahagian daripada rancangan imperialis AS yang cuba mewujudkan kudeta halus.”
Menurut pemerhatian Sharp, segala kaedah yang telah beliau dokumentasikan boleh digunakan baik pihak baik mahupun pihak jahat – silih berganti. Beliau tidak melihatnya sebagai satu masalah. “Dalam negara AS, semasa perjuangan hak sivil – kedua-dua belah pihak ada menggunakan taktik ini. Dalam boikot bas, apabila rakyat kulit hitam telah mengatur perkongsian-kereta sebagai protes terhadap undang-undang pengasingan, pihak lawan mereka telah enggan untuk membekalkan gasolin dan membatalkan polisi insuran terhadap kereta mereka. Saya berpendapat bahawa itu bukan sesuatu yang baik untuk dilakukan, tetapi itu sudah pasti lebih baik berbanding pembunuhan.”
Apa yang beliau harapkan lebih daripada yang lain adalah orang ramai mula belajar untuk melawan tanpa melibatkan keganasan berbanding menggunakan ketenteraan dan keganasan. “Pihak kerajaan tidak perlu untuk memerangi keganasan lagi sekiranya orang ramai yang mungkin menjadi pengganas dididik untuk melawan menggunakan taktik ini.” ( Antara pihak yang telah membeli buku ini baru-baru ini, melalui pendedahan, adalah mereka yang pernah menganggotai IRA)
Sharp tidak pernah mendakwa bahawa setiap yang menggunakan kaedah tanpa-keganasan ini bakal membuahkan kejayaan. “Namun orang ramai yang menuduh yang kaedah ini tidak mungkin berjaya langsung mungkin meletakkan piawaian yang tinggi dalam menentukan kejayaan penentangan tanpa-keganasan lebih tinggi daripada apa yang mereka tetapkan terhadap peperangan. Berapa banyak peperangan yang telah kalah, berapa ramai yang terkorban dalam peperangan tanpa mencapai apa yang mereka perjuangkan?”
John-Paul Flintoff merupakan seorang pengarang dan wartawan
Nota editor: Versi cetakan untuk artikel ini telah merujuk Sharp “memegang jawatan” (holding tenure) di Oxford dan Harvard. Sharp telah memaklumkan kami bahawa hal yang sebenarnya, beliau telah mengambil ijazah kedoktoran di Oxford dari 1960-1968, dan di Harvard beliau menjadi penyelidik di Centre for International Affairs dari 1965 hingga 1997. Tulisan ini telah dikemas kini dengan sewajarnya



Friday 13 September 2013

Manusia Melayu Islam

karya Zulqarnain


i. Pendahuluan


“Bila kita lihat manusia terbiar larat,
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat,
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas,
Harus kita tegas sembah seluruh sara belas.”



Kita Ini Tetamu Senja, A. Samad Said (rangkap 4)

ii. Kisah Besi Putih



Gambar hiasan. Diambil dari 'Walk of Life' oleh fotografer Che Ahmad Azhar



Sambil menelaah karya Faisal Tehrani – Tuhan Manusia, saya sempat memerhatikan gelagat pemuda pemudi kota. Seperti kebiasaan hujung-hujung minggu, warga kota mengambil peluang ke Jalan TAR, SOGO, KLCC dan bermacam lagi.

Mata terlekat seketika pada helaian kertas putih itu tatkala membaca perenggan ini -



“Mereka rasa lebih moden, lebih progresif. Islam pula selama ini pun telah dimomokkan sebagai agama konservatif, ortodoks, mengekang hak asasi, anti kemajuan dan pembangunan, dan tak kurang pula yang mengaitkan Islam dengan terorisme.


Saya memejam mata, menghela nafas dan mendengar suaranya begitu dekat di telinga saya, “Institusi keluarga Melayu telah runtuh, nilai tradisionalnya telah digantikan dengan nilai sekular. Rempuhan globalisasi pula mengancam kepupusan kita.”” (Tuhan Manusia, pg 24)



Saya tergamam. Tembakannya tepat kena pada jiwa. Lalu saya memerhati gelagat warga kota di sekeliling. Apakah sekadar telahan semata-mata atau pun adalah benar perkara itu wujud dalam kalangan masyarakat kita, umumnya Melayu-Islam.


Saya memerhati jauh dari ekor besi putih – yang kadangkalanya menjadi kepala, Anak-anak muda mengambil tempat duduk yang dikhaskan kepada golongan yang memerlukan. Saya memerhati lagi, warga tua berdiri memenuhi segenap ruang besi putih.

Kita tidak sekadar diserang pelbagai sudut oleh isme-isme malah hancurnya sopan santun budi bahasa. Melayu yang dimomokkan hanya tinggal nama. Melayu yang dipertahankan bagi melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Kini tiada lagi Melayu yang benar-benar Melayu. Melayu yang tikamnya dengan pantun. Tegurnya penuh sopan santun.

Setelah dinilai ditimbang menggunakan sukatan Islam, Melayu masa kini ternyata telah kurang nilai adab dan nilai akhlak. Nilai-nilai yang diasimilasikan cantik molek dengan budaya masharakat Melayu. Tuhan Manusia yang ditulis pada lewat 2007 itu menduga dengan tepat sekali. Lantaran demikian, ad-deen yang dianjurkan oleh Islam hilang praktiknya dalam masharakat.

Islam dilihat seolah-olah terhad pada agama yang dirujuk pada kad pengenalan diri. Islam terhad pada sambutan Maulidur Rasul. Islam terhad pada kalimah Allah. Islam terhad pada cuti-cuti umum (perayaan). Islam terhad pada solat, zakat dan haji. Kesilapan hanya mampu didiamkan daripada terus menjadi buah mulut masharakat dengan pergi umrah berkali-kali. Umrah yang tidak ada kesan pada diri.


Gambar Hiasan


Lantas Islam dipersalahkan kerna praktik yang tidak kena oleh penganutnya. Penganut yang memilih-milih Islam mana yang mahu dijadikan praktik diri.

“Bila kita lihat manusia lupa tempat,
Atau segera sesat puja pangkat puja darjat,
Segera kita insaf—kita punya kiblat,
Segera kita ingat— kita punya tekad.”

Kita Ini Tetamu Senja, A. Samad Said (rangkap 3)


iii. Manusia dan Budaya.


Setiap manusia itu fizikalnya sama. Punya dua mata, dua telinga, dua tangan dan dua kaki. Persoalannya, kenapa mereka tidak sama? Perbandingan antara fizikal dan juga gaya hidup mereka. Fizikal manusia itu sama tetapi yang membezakan mereka ialah gaya hidup. Bagaimana mereka menghidupkan kehidupan?

Manusia akan dididik sejak kecil oleh budaya setempat. Andai baik budaya itu, maka baiklah generasi harapan. Andai buruk budaya itu, maka gelaplah masa depan. Hang Tuah terkenal dengan; “Takkan Melayu hilang di dunia.” Ya benar, Melayu tidak akan hilang di dunia. Tetapi Melayu hanya akan tinggal pada nama. Melayu yang telah hilang budaya mereka.

Menelusuri budaya masharakat Melayu, kita boleh bersetuju bahawa Melayu pasca globalisasi mempunyai krisis identiti yang sangat membimbangkan. Jika dahulunya aktiviti sosial seperti clubbing adalah budaya masharakat barat namun pada masa kini, budaya itu dilihat sebagai budaya dunia, budaya gloabalisasi dan masharakat Melayu antara masharakat yang terjebak dengan gejala ini.

Oleh yang demikian, kita mahu tidak mahu boleh bersetuju bahawa gejala-gejala yang tidak sihat ini adalah antara punca (selain daripada sikap masharakat setempat, sistem pendidikan et al) kenapa masharakat masa kini dibelenggu dengan masalah-masalah seperti kelahiran anak luar nikah, rogol, kes-kes kecurian dan lain-lain lagi.

Harus kita segera ingat, kita pegang erat-erat, jangan kita lepas, jangan kita mahu terlalu bebas— Islam datang sebagai solusi, jangan kita memilih Islam mana yang mahu dipakai pada diri.

Perkara-perkata seperti kesedaran sivik juga masih rendah dalam masharakat kita walaupun Pengajian Sivik telah pun diperkenalkan dalam silibus pengajian hampir 8 tahun yang lalu.  8 tahun yang tiada kesan pada masharakat, malah hari ke hari semakin melarat.

Ke mana mahu kita tuding jari lagi?



Permasalahan-permasalahan ini sekiranya tidak segera diubat, nescaya makin liat untuk dikerja buat. Masharakat yang sedar (kaum muda utamanya) perlu melihat masalah ini adalah masalah mereka. Masalah yang perlu difikirkan dan diusahakan jalan penyelesaiannya bersama-sama.


Saya percaya kerja buat ini memakan masa, tetapi jika bukan kita alamaknya mungkin hilang ‘lah asal identiti diri. Masharakat perlu diajak untuk kembali kepada asal jalan kehidupan dan teman-teman sekeliling, rakan-rakan sebaya—adalah sasaran kita yang pertama. Perubahan itu mesti demi anak-anak kita. Masa depan mereka tidak boleh dibiarkan selamanya kelam. Perlu ada mentari untuk menunjuk jalan dan siapa lagi mahu menjadi mentari itu kalau bukan kita sendiri.

“Kalau hidup ingin merdeka,
Tiada tercapai hanya berkata,
Ke muka maju sekata, maju kita,

Melemparkan jauh jiwa hamba.”

Jiwa Hamba, Usman Awang (rangkap 3)

Gambar Hiasan

iv. Penutup



“Celakalah saya makilah saya,

Akan ku sambut bertahan hati,
Ada yang suka ada yang benci,
Hiasan hidup di alam maya.”

Nikmat Hidup, HAMKA (rangkap akhir)



Popular Posts