Oleh : Durratun Naasihin
Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.
(Surah Al-Maidah: 54-56)
Ayat diatas dan dibawah jelas menyuruh kita berdakwah dengan penuh kasih sayang, berhikmah, berstrategi namun tegas menegakkan kebenaran kepada sesiapa sahaja--bukan hanya untuk orang Islam sahaja. Ini dapat disaksikan pada ayat dibawah iaitu "sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka". Hal ini kerana, orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya terangkum dan termasuk untuk kedua-dua pihak orang Islam lebih-lebih lagi orang bukan Islam.
Firman Allah:
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah Al-Mujadila: 22)
Dan dalam surah mumtahinah ayat 7, Allah juga berfirman:
Firman Allah:
Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Jadi, jelas kita pun perlu berkasih sayang dengan orang bukan Islam tapi tidaklah sehingga menggadaikan agama Islam--kita perlu tegas sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 54-56. Hal ini kerana, ayat di atas jelas mengatakan "Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam)'. Kerabat itu merujuk kepada keturunan iaitu kita semua keturunan Nabi Adam, Umat yang satu pada asalnya semuanya mengaku Allah itu satu dan Islam agama yang satu dan Rasul Nabi Muhammad Pesuruh Allah.
Jadi, adalah merupakan tugas kita memberi penjelasan kepada mereka agar mereka insaf dan memeluk Islam.
Firman Allah:
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
(Surah Al-Baqarah: 213)
(Surah Al-Baqarah: 213)
Firman Allah:
Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan agama yang satu (agama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.
(Surah Yunus: 19)
Maka, tiada kompromi dalam agama untuk sesiapa sahaja, tidak kiralah sama ada terhadap orang Islam mahupun bukan Islam. Orang Islam tidak boleh melakukan apa sahaja seperti kezaliman, kemungkaran dan lebih-lebih lagi menolak syariat Islam atas sebab mereka saudara seislam kita.
Firman Allah:
“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya?”
(Surah An-Nahl ayat 44-45)
Hadis Nabi SAW:
Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: “Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?” Kata mereka: “Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!” Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?” Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: “Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Begitu juga bukan Islam, kita sebagai orang Islam perlu bagi penjelasan secara berterus terang dan tidak berkias bahawa sekian-sekian ajaran dan perintah adalah ajaran Islam dan menyatakand dengan jelas dan berhemah bahawa kita tidak akan berkompromi dalam hal-hal seperti ini. Apa-apa yang jelas dan benar mengenai perintah Allah dan Rasul-Nya, kita perlu terangkan secara tegas beserta penuh kasih sayang bukan dengan celaan dan cemuhan kerana itulah cara sebenar Nabi Muhammad SAW berdakwah dan berurusan dengan orang Islam. Lebih-lebih lagi orang bukan Islam yang dahagakan hidayah Islam. Banyak lagi kisah-kisah dan peristiwa Nabi SAW berdakwah dan berurusan dengan orang bukan Islam sebagai contoh:
-Kisah Di Thaif
-Kisah Nabi Memberi Makan kepada Orang Yahudi yang buta
-Kisah Nabi dilempar dengan sampah dan tahi sewaktu hendak ke masjid kemudian nabi menziarahi yahudi tersebut kerana yahudi tersebut sakit.
Hikmahnya, mereka yang bukan Islam memeluk Islam atas keindahan cara Nabi Muhammad SAW berdakwah. Sudah menjadi lumrah nak berdakwah memang akan kena cemuh dan halang oleh orang bukan Islam tapi kita kena tengok juga kepada potensi yang ada pada orang bukan Islam itu untuk menerima Islam. Dan juga jangan kata orang bukan Islam menghalang dakwah Islam, orang Islam sendiri pun begitu juga. Tak dinafikan.
Firman Allah:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.
(Surah Al-Maidah: 44)
Firman Allah:
Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.
(Surah Al-Mujadila: 16)
Jadi, sama-samalah kita umat Islam renung-renungkan.
Firman Allah:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan lanjut dan bumi (seraya berkata), “Ya Robb kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka dipeliharalah kami dari siksa neraka.”
(Surah Ali-Imran:190-191)
Sabda Rasulullah SAW apabila merujuk firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 190, “Binasa atau celakalah mereka yang memamah ayat itu (membacanya) dan tidak mahu memikirkan padanya.” (Hadis riwayat Ibn Mardawayh dan Abd bin Humayd dalam Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni)
Baginda Nabi SAW bersabda:
"Dengarlah, apakah kalian mendengar, - sesungguhnya - sepeninggalanku nanti akan ada pemimpin-pemimpin (iaitu yang zalim), barangsiapa yang memasuki mereka lalu membenarkan kedustaan mereka serta menolong kezaliman mereka, dia tidak termasuk golonganku dan tidak akan mendatangi telagaku, barangsiapa tidak memasuki mereka, tidak membantu kezaliman mereka dan tidak membenarkan kedustaan mereka, dia termasuk golonganku, aku termasuk golongannya dan dia akan mendatangi telagaku".
Dikeluarkan oleh al-Tirmizi (no. 2259) dari Ka'ab bin Ujrah, dan disahihkan oleh Imam al-Tirmizi sendiri katanya "Sahih Gharib", juga disahihkan oleh al-Albani katanya "Sahih" (Sahih al-Tirmizi, no. 2259), dan juga disahihkan oleh Muqbil Hadi al-Wadi'i dalam al-Sahih al-Musnad mimma Laisa fi al-Sahihain (no. 1098).
Kesimpulannya, ISLAM itu SYUMUL dan TIDAK MENYUSAHKAN UMATNYA. Sebab itu kita diajak supaya berfikir dan bersederhana (WASATHIYAH) dalam agama. Bukan terlalu longgar atau terlalu ekstrem. Moga kita semua sentiasa mendapat hidayah serta kefahaman yang menyeluruh mengenai Islam. Aamiin.
No comments:
Post a Comment