Saturday 6 April 2013

Mengapa Bangsa Turki Sukar untuk Bertoleransi ?



Diterjemahkan oleh Durratun Naasihin

Seorang Penulis Turki yang juga seorang aktivis hak asasi manusia, Adalet Agaoglu memegang poster mendiang Hrant Dink (seorang wartawan berbangsa armenia) sambil berdiri berhampiran tempat Dink dibunuh, berhadapan bangunan syarikat akhbar Agus, sempena memperingati ulang tahun kelima kematiannya di Istanbul pada 12 Januari 2012. (foto oleh REUTERS/Murad Sezer)

Tulisan Asal oleh Mustafa Akyol untuk Al-Monitor Turkey Pulse. Tulisan ini telah diterbitkan pada 8 Mac 2013. Artikel Asal boleh diakses di sini.




Dalam satu tulisannya dalam Al-Monitor yang bertajuk, "Just How Tolerant Are Turks?" (Terjemahannya: Sampai manakah tahap toleransi bangsa Turki?), Semih İdiz telah melakukan kerja yang amat baik dalam menghuraikan mengapa bangsa Turki tidak seharusnya menjadi terlalu autoritatif dalam menghadapi toleransi kepada negara lain.Selepas menjelaskan 'kekurangan sensiviti terhadap hak-hak kaum minoriti di Turki', beliau meneruskan dengan memperingatkan kita dengan kata-katanya "Seseorang yang tinggal di dalam rumah kaca tidak seharusnya membaling batu".

Sebagai seorang yang berbangsa Turki yang ingin bersikap kritis terhadap bangsanya sendiri,saya boleh bersetuju dengan pendapat saudara İdiz. Di samping itu,saya tertanya-tanya mengapa bangsa Turki boleh berada di tangga pertama sebagai salah satu masyarakat yang paling kurang toleransi di dunia.(Kebanyakan daripada masyarakat Turki, misalnya,enggan berjiran dengan mereka yang terdiri dari kalangan yahudi dan kristian).Dua persoalan baru bermain dalam fikiran saya:

1. Adakah bangsa Turki memang seperti ini sejak azali, atau sebenarnya sikap tidak toleran ini sesuatu yang baru?
2. Apakah faktor atau sebab utama di sebalik sikap tidak toleran ini?Adakah benar ini berasal dari “pandangan Islam, atau faktor fahaman nasionalisme yang menjadikan Islam sebagai teras utamanya”, seperti mana yang dicadangkan oleh saudara İdiz?



Mengenai persoalan saya yang pertama,saya yakin bahawa sikap anti-Kristian (malah, sikap anti-Islam) merupakan sikap yang baru muncul dalam masyarakat Turki. Itupun jika kita ingin merujuk kepada kerangka perspektif jangka masa panjang sejarahnya. Ini kerana negara yang digelar Turki ini suatu ketika dahulu pernah berada di bawah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah selama berabad-abad lamanya, yang mana negara ini merupakan negara berbilang etnik serta berbilang agama, hinggakan pelbagai komuniti dapat hidup sebelah-menyebelah.Dalam erti kata yang lain, mempunyai jiran yang beragama kristian mahupun Yahudi tidak menjadi satu masalah kepada masyarakat muslim pada era Turki Uthmaniyah; malah perkara ini diterima sebagai satu perkara lumrah dalam kehidupan. Pada lewat kurun ke-19,iaitu sewaktu era reformasi liberal,melihat elit pemerintah daripada kalangan mereka yang beragama Kristian mahupun Yahudi adalah perkara yang biasa. Bahkan satu pertiga daripada parlimen kerajaan Turki Uthmaniyah, yang pertama kali bersidang pada tahun 1876m adalah terdiri daripada ahli bukan Islam - yang sudah tentu mewakili bilangan perwakilan yang cukup besar yang tak terbayang oleh masyarakat Turki ketika ini.


Apa yang sebenarnya merosakkan kemajmukan masyarakat Turki Uthmaniyah,serta sikap toleransi yang mendasar, bukanlah melalui sesuatu yang berasal daripada “cara pandang Islamik”, tetapi berasal daripada sesuatu yang lebih moden, iaitu idealogi sekular: Nasionalisme. (Bahkan,sebenarnya “cara pandang islamik” ini yang menggalakkan sikap toleransi, melalui tradisi penghormatan kepada 'Ahli Kitab').Antara kajian akademik yang menyokong pandangan ini adalah sebuah karya terbaru dari seorang sejarawan Nicholas N. Doumanis : 'Before the Nation:Muslim-Christian Coexistence and its Destruction in Late-Ottoman Anatolia".Dalam bukunya yang diterbitkan oleh Oxford University Press, Dr Doumanis merujuk kepada satu "arkib lisan yang mengandungi hasil temubual lebih daripada 5000 orang pelarian," hasilnya menunjukkan terdapat satu zaman dimana orang Islam dan Kristian boleh "bekerja malah lepak bersama, menghadiri perayaan satu sama lain, malah berdoa kepada tokoh agama yang sama".






Nasionalisme (dalam segenap sisi) bukan sahaja telah meruntuhkan tradisi kemajmukan masyarakat Turki Uthmaniyah, tetapi juga telah menjana kebencian dan kebimbangan yang menghantui masyarakat Turki Uthmaniyah, ini termasuklah juga sikap ketidaktoleransi sesama warga Turki seperti yang dikritik Saudara İdiz. Malah, beliau juga benar dalam menyatakan, nasionalisme seperti ini juga mempunyai kaitan dengan Islam, kerana menjadi seorang Muslim sering dianggap sebagai satu prasyarat menjadi orang Turki.


Walaubagaimanapun, kita sepatutnya melihat nasionalisme turki ini sebagai satu idealogi yang sekular semata-mata, dan inilah sebabnya mengapa sesetengah nasionalis Turki yang tegar merupakan seorang yang bulat hati kepada sekularnya, Mereka sememangnya membenci golongan Yahudi dan Kristian , tetapi atas semangat Ke"Turki"an, dan bukannya sebab "Islam". Maka tidaklah menghairankan apabila nasionalis yang sama seringkali memandang orang Arab dan Kurdi dengan pandangan berisi kebencian. Walhal yang sepatutnya, mereka boleh dianggap sebagai saudara seagama jika dilihat dari sudut pandangan Islam.


Malah, jika diteliti kes jenayah yang dilakukan terhadap golongan Kristian Turki kebelakangan ini, seperti yang dinyatakan oleh saudara İdiz (pembunuhan seorang paderi Roman Katolik iaitu Father Andrea Santoro, penyembelihan tiga orang missionari di Malatya, dan pembunuhan terancang seorang Journalis berbangsa Armenia, Hrant Dink ) dipercayai secara meluas, bahawa kesemuanya itu dirancang oleh "deep state": Satu pertubuhan rahsia yang berusul daripada organisasi Kemalis yang lama, yang mana sudah tentunya kuasa sekular. Tambahan pula, hanya golongan Kemalis yang secara umumnya menimbulkan dakyah anti-Kristian dalam dekad yang lepas, pada tahun 2001 umpamanya, mereka telah secara terbuka menyelar "kegiatan missionary" dan menganggapnya sebagai "satu ancaman kepada negara". (Untuk pencerahan yang lebih dalam mengenai isu ini, bolehlah merujuk kepada tulisan Mustafa Akyol yang bertajuk Who Threatens Turkey's Christian ?)


Semua ini tidaklah bermaksud retorik anti-Kristian (khususnya anti-missionary) atau anti-semitik yang taksub di Turki tidak mempunyai pendokongnya daripada penganut Agama Islam. Tetapi apa yang kita lihat, sikap prejudis ini lebih ramai pendokongnya yang terdiri daripada pengikut sekular, bahkan sudah timbul suara-suara dari Islamis yang menyeru kepada toleransi, dialog dan kemajmukan.


Akhirnya, berikut adalah maklumat yang menarik yang diambil daripada 'survey of Values' di Turki seperti yang diterbitkan oleh Bahçeşehir University pada tahun 2011, dan maklumat ini juga dipetik oleh Saudara İdiz dalam tulisannya yang dirujuk sebelum ini. Sepertimana yang saudara İdiz telah terangkan sebelum ini, kajian ini mendedahkan realiti sebenar masyarakat Turki yang mendukacitakan; dengan hasil 48% daripada responden menyatakan tidak mahu "orang Kristian" sebagai jiran mereka. Tetapi ada pendedahan yang lebih mengejutkan yang selama ini telah terlepas pandang: mewakili peratusan  yang lebih besar iaitu 54% daripada keseluruhan responden; menolak satu lagi jenis kumpulan sebagai jiran mereka; "penyokong syariah". "Penyokong syariah" yang dimaksudkan ini berkemungkinan dituju kepada wanita yang mengenakan hijab serta lelaki berjanggut panjang--mereka mewakili sebahagian daripada masyarakat Turki yang mana kebanyakan sekular berasa tidak senang.






Berdasarkan kesemua perkara yang telah dibentangkan, inilah pendapatku: 

Ya, sememangnya wujud masalah toleransi dalam masyarakat Turki, walau bagaimanapun sikap ini tidak terhasil secara langsung daripada mana-mana "cara pandang Islamik" , tetapi hanyalah disebabkan kebencian semata-mata, dan takut akan "perbezaan". Dalam erti kata yang lain, ini adalah masalah yang lazim kita perhatikan dalam kebanyakan masyarakat. Tetapi kes di Turki ini agak berbeza dengan yang lain kerana ada satu lagi faktor yang tambah memburukkan keadaan, iaitulah ideologi nasionalisme yang disokong penuh oleh kerajaan, yang mana sejak sekian lama - hampir seabad- "mendidik" setiap anggota masyarakatnya melalui moto xenofobia; "Orang Turki itu tidak punya rakan melainkan Orang Turki".



Mustafa Akyol adalah penulis untuk Al-Monitor's Turkey Pulse, kolumnis bagi dua buah syarikat akhbar di Turki, Hürriyet Daily News dan Star. Tulisannya juga pernah diterbitkan dalam Foreign Affairs, Newsweek, The New York Times, The Washington Post, The Wall Street Journal dan The Guardian.



No comments:

Post a Comment

Popular Posts