Friday 5 April 2013

Berjabat Tangan dengan Lawan Jantina


Tulisan asal oleh  Al-Ustadzah Ummu Ishaq Al-Atsariyyah dan  diolah semula oleh Asadullah


Bersalaman dengan lawan jantina sudah menjadi kelaziman pada zaman sekarang. Sejak kecil lagi kita sudah dididik untuk bersalaman terutama dengan orang yang lebih tua sebagai tanda hormat tanpa mengira orang tersebut adalah mahram kita ataupun bukan. Benar, banyak pendapat tentang hukum bersalaman ini namun ulama sepakat mengatakan tidak digalakkan bersalaman dengan bukan mahram. Selalu juga terjadi kekeliruan dan kerisauan apabila kita terpaksa bersalaman dengan VIP atau orang berpengaruh dalam acara penyampaian hadiah atau mana-mana acara rasmi.


Aidilfitri baru sahaja berlalu. Kegembiraannya masih tertinggal di tengah kita. Saat seorang muslim bertemu dengan saudaranya masih terdengar tahniah, ucapan selamat, “taqabballahu minna wa minkum.” Tradisi bersalaman atau berjabat tangan di negara kita saat hari raya masih terus berlangsung, walaupun sebenarnya untuk saling berjabat tangan dan meminta maaf tidak perlu menunggu hari raya2. Apabila kita melakukan kesalahan maka segera meminta maaf, dan apabila kita bertemu dengan saudara kita maka kita mengucapkan salam dan berjabat tangan.


Berjabat tangan dalam bahasa Arab disebut mushafahah dan memang perkara yang ma’ruf (kebaikan). Hudzaifah menyampaikan ucapan Rasulullah:

“Sesungguhnya seorang mukmin apabila bertemu dengan mukmin yang lain, lalu ia mengucapkan salam dan mengambil tangannya untuk menjabatnya, maka akan berguguran kesalahan-kesalahan keduanya sebagaimana bergugurannya daun-daun pepohonan.” (HR. Al-Mundziri dalam At-Targhib 3/270, Al-Haitsami dalam Al-Majma’ 8/36, lihat Ash-Shahihah no. 526).




Amalan yang pertama kali dicontohkan oleh ahlul Yaman (penduduk Yaman)3 kepada penduduk Madinah ini biasa dilakukan di tengah masyarakat kita. Kata sahabat Rasulullah yang bernama Al-Bara` bin ‘Azib:


“Termasuk kesempurnaan tahiyyah (ucapan salam) adalah engkau menjabat tangan saudaramu.” (HR. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 968, Asy-Syaikh Al-Albani dalam Shahih Al-Adabil Mufrad menyatakan: Sanadnya sahih secara mauquf)


Berjabat tangan telah jelas kebaikannya. Namun begitu, bagaimana pula kalau lelaki dan perempuan yang bukan mahram saling berjabat tangan, apakah suatu kebaikan pula? Tentu saja tidak!!! Walaupun menurut perasaan masyarakat kita, tidaklah beradab dan tidak punya tata sopan santun, apabila seorang wanita dihulurkan tangan oleh seorang lelaki dari kalangan kaum kerabatnya, lalu ia menolak untuk menjabatnya. Dan mungkin lelaki yang huluran tangannya di”tolak” itu akan tersinggung. Sebutan yang jelek pun akan disematkan pada si wanita. Padahal si wanita yang menolak berjabat tangan tersebut melakukan hal itu kerana tahu tentang hukum berjabat tangan dengan laki-laki yang bukan mahramnya.


Cikgu Mala pernah dikritik kerana mengenakan sarung tangan apabila turun bertemu pengundi di pilihanraya kecil DUN Tenang.


Rasul yang mulia dan sebagai qudwah (contoh) kita, tidak pernah mencontohkan berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahramnya. Bahkan beliau mengharamkan seorang lelaki menyentuh wanita yang tidak halal baginya. Beliau pernah bersabda:

“Kepala salah seorang ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (HR. Ath-Thabarani dalam Al-Kabir 20/210 dari Ma’qil bin Yasar, lihat Ash-Shahihah no. 226)


Asy-Syaikh Al-Albani berkata, “Dalam hadith ini ada ancaman yang keras bagi lelaki yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. Dan juga merupakan dalil haramnya berjabat tangan dengan para wanita, kerana jabat tangan tanpa diragukan masuk dalam pengertian menyentuh. Sungguh kebanyakan kaum muslimin pada zaman ini ditimpa musibah dengan kebiasaan berjabat tangan dengan wanita (dianggap sesuatu yang lazim, bukan suatu kemungkaran). Dalam kalangan mereka ada sebahagian ahlul ‘ilmi, seandainya mereka mengingkari hal itu hanya di dalam hati saja, nescaya sebahagian perkaranya akan menjadi ringan. Namun ternyata mereka menganggap halal berjabat tangan tersebut dengan beragam jalan (kaedah) dan takwil (penerangan). Telah sampai berita kepada kami ada seorang tokoh besar di Al-Azhar berjabat tangan dengan para wanita dan disaksikan oleh sebahagian mereka. Hanya kepada Allah kita sampaikan pengaduan dengan asingnya ajaran Islam ini di tengah pemeluknya sendiri. Bahkan sebahagian organisasi-organisasi Islam berpendapat bolehnya jabat tangan tersebut. Mereka berpendapat dengan apa yang tidak pantas dijadikan dalil, dengan berpaling dari hadith ini4 dan hadith-hadith lain yang secara jelas menunjukkan tidak disyariatkan jabat tangan dengan kaum wanita bukan mahram.” (Ash-Shahihah, 1/448-449)


Dalam membaiat para sahabiyyah sekalipun, Rasulullah SAW tidak menjabat tangan mereka5. Aisyah RA isteri baginda SAW mengabarkan:

Sesungguhnya Rasulullah menguji kaum mukminat yang berhijrah kepada beliau dengan firman Allah ta’ala: “Wahai Nabi, apabila datang kepadamu wanita-wanita yang beriman untuk membaiatmu….” Sampai pada firman-Nya: “Allah Maha Pengampun lagi Penyayang.” Urwah berkata, “Aisyah mengatakan: ‘Siapa antara wanita-wanita yang beriman itu mahu menetapkan syarat yang disebutkan dalam ayat tersebut’.” Rasulullah pun berkata kepadanya, “Sungguh aku telah membaiatmu”, beliau nyatakan dengan ucapan (tanpa jabat tangan).” Aisyah berkata, “Tidak, demi Allah! Tangan beliau tidak pernah sama sekali menyentuh tangan seorang wanita pun dalam pembaiatan. Tidaklah beliau membaiat mereka kecuali hanya dengan ucapan, “Sungguh aku telah membaiatmu atas hal tersebut.” (HR. Al-Bukhari no. 4891 dan Muslim no. 4811).


Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata, “Rasulullah membaiat mereka hanya dengan mengucapkan “Sungguh aku telah membaiatmu”, tanpa beliau menjabat tangan wanita tersebut sebagaimana kebiasaan yang berlangsung pada pembaiatan kaum lelaki dengan menjabat tangan mereka.” (Fathul Bari, 8/811).


Al-Imam An-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan tidak bolehnya menyentuh kulit wanita ajnabiyyah (bukan mahram) tanpa keperluan darurat, seperti untuk perubatan dan hal lainnya apabila memang tidak didapatkan doktor wanita yang boleh menanganinya. Kerana keadaan darurat, seorang wanita boleh berubat dengan doktor lelaki ajnabi (bukan mahram si wanita). (Al-Minhaj, 13/14).


Umaimah bintu Ruqaiqah berkata: “Aku bersama rombongan para wanita mendatangi Rasulullah SAW untuk membaiat beliau dalam Islam. Kami berkata, “Wahai Rasulullah, kami membaiatmu bahawa kami tidak menyekutukan Allah dengan sesuatupun, tidak akan mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kami, tidak melakukan perbuatan buhtan (fitnah/mengada-adakan) yang kami ada-adakan antara tangan dan kaki kami, serta kami tidak akan bermaksiat kepadamu dalam perkara kebaikan.” Rasulullah SAW bersabda, “Sesuai yang kalian mampu dan sanggupi.” Umaimah berkata, “Kami berucap, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih sayang kepada kami daripada sayangnya kami kepada diri-diri kami. Marilah, kami akan membaiatmu6 wahai Rasulullah!’.” Rasulullah SAW kemudian berkata: “Sesungguhnya aku tidak mahu berjabat tangan dengan kaum wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita.” (HR. Malik 2/982/2, An-Nasa`i dalam ‘Isyratun Nisa` dari As-Sunan Al-Kubra 2/93/2, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529).







Dari hadith-hadith yang telah disebutkan di atas, jelaslah larangan berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram. Kerana seorang lelaki haram hukumnya menyentuh atau bersentuhan dengan wanita yang tidak halal baginya. Al-Imam Asy-Syinqinthi berkata, “Tidaklah diragukan bahawa sentuhan tubuh dengan tubuh lebih kuat dalam membangkitkan hasrat laki-laki terhadap wanita, dan merupakan pendorong yang paling kuat kepada fitnah daripada sekadar memandang dengan mata.7 Dan setiap orang yang adil/mahu berlaku jujur akan mengetahui kebenaran hal itu.” (Adhwa`ul Bayan, 6/603).


Sebahagian orang apabila ingin berjabat tangan dengan wanita ajnabiyyah atau seorang wanita ingin berjabat tangan dengan lelaki ajnabi, ia meletakkan penghalang di atas tangannya berupa kain, sapu tangan dan semisalnya. Seolah-olah maksud daripada larangan berjabat tangan dengan ajnabi hanyalah apabila kulit bertemu dengan kulit, adapun apabila ada penghalang tidaklah terlarang. Anggapan seperti ini jelas batilnya, karena dalil yang ada mencakupinya dan sebab pelarangan jabat tangan dengan ajnabi tetap didapatkan meski berjabat tangan memakai penghalang.


Asy-Syaikh Abdul Aziz bin Baz berkata, “Tidak boleh berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram, baik si wanita masih muda ataupun sudah tua. Dan sama saja baik yang menjabatnya itu anak muda atau orang tua, kerana adanya bahaya fitnah (ujian/cubaan) yang boleh didapatkan oleh masing-masingnya.”


Asy-Syaikh juga berkata, “Tidak ada bezanya baik jabat tangan itu dilakukan dengan ataupun tanpa penghalang, kerana keumuman dalil yang ada. Juga dalam rangka menutup celah-celah yang mengantarkan kepada fitnah (ujian/cubaan).” Asy-Syaikh Ibnu Utsaimin mengatakan, “Segala sesuatu yang menyebabkan fitnah (godaan) di antara laki-laki dan perempuan hukumnya haram, berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah aku tinggalkan setelahku fitnah yang lebih berbahaya bagi laki-laki daripada fitnah wanita.


Tidaklah diragukan bahawa bersentuhannya kulit lelaki dengan kulit perempuan akan menimbulkan fitnah. Kalaupun ada yang tidak terfitnah maka itu jarang sekali, sementara sesuatu yang jarang terjadinya tidak ada hukumnya sebagaimana dinyatakan oleh ahlul ilmi. Sungguh ahlul ilmi telah menulis permasalahan ini dan mereka menerangkan tidak halalnya lelaki berjabat tangan dengan wanita ajnabiyah. Inilah kebenaran dalam masalah ini. Berjabat tangan dengan bukan mahram adalah perkara yang terlarang, baik dengan pengalas atau tanpa pengalas.


Beliau juga mengatakan, “Secara umum, tergeraknya syahwat disebabkan sentuhan kulit dengan kulit lebih kuat daripada sekadar melihat dengan pandangan mata/tidak menyentuh. Apabila seorang lelaki tidak dibolehkan memandang telapak tangan wanita yang bukan mahramnya, lalu bagaimana dibolehkan ia menggenggam telapak tangan tersebut?” (Fatwa Al-Mar`ah Al-Muslimah, 2/541-543).


Demikian masalah hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Wallahu ta'ala a'lam bish-shawab.



No comments:

Post a Comment

Popular Posts