Saturday, 13 April 2013

Ikhwan di Mesir Yang Menghadapi Kesukaran Dalam Mentadbir


Alih bahasa oleh Durratun Naasihin

Artikel asal diterbitkan pada 13 Mac 2013 di www.almonitor.com dalam bahasa Inggeris. Baca artikel asal di sini

Presidential Guard Mesir yang berdiri diatas kereta kebal, disebalik pintu masuk Istana Presiden sementera para demonstran berdiri dihadapan pintu pagar, menunjukkan bantahan terhadap Morsi dan Ikhwanul Muslimin di Kaherah,Mesir, Feb 1, 2013. (gambar oleh Khaled Desouki/AFP/Getty Images)

     Terbukti sudah kegagalan rejim yang memerintah Mesir pasca-revolusi. Ianya menguatkan lagi kesimpulan bahawa hala tuju Mesir kepada demokrasi yang dapat berfungsi tidak akan berjalan dengan mudah mahupun aman. Muncul satu persoalan utama : Kenapakah Presiden Mohamed Morsi dan penaungnya, Ikhwanul Muslimin, gagal setakat ini dalam menerajui Mesir dalam transisi?
        Terdapat dua jawapan kepada persoalan ini. Jawapan pertama ringkas dan mudah, dengan meletakkan kegagalan itu sepenuhnya kepada ideologi Ikhwan dan kerakusan mereka terhadap kuasa. Yang kedua – jawapan yang lagi sukar dan kompleks – ialah kepada keupayaan dan kesediaan Ikhwanul Muslimin, sebagai satu agen sosial dan politikal, untuk menyesuaikan diri kepada suasana dan realiti baru yang muncul di Mesir selepas revolusi.

          Para pemerhati dan penganalisa yang lain mungkin lebih cenderung meletakkan kepentingan kepada ideologi Ikhwanul Muslimin dalam menafsirkan tindakan mereka, namun begitu, saya lebih suka untuk mengambil satu pendekatan yang lebih realistik. Seperti telah saya terangkan sebelum ini, memang benar sesuatu ideologi sangatlah penting untuk mana-mana gerakan politik, seperti dalam merekrut dan menggerakkan individu, akan tetapi, ideologi semata tidak cukup untuk membantu kita dalam memahami dan menjelaskan perlakuan dan tindakan yang diambil oleh sesebuah gerakan. Jika diteliti rekod Ikhwanul Muslimin sejak dari dulu lagi, menunjukkan sikap pragmatik mereka – dalam menjalankan pilihanraya, berkompromi dengan autokrat, bekerjasama dengan pihak sekular dan liberal, mengambil strategi yang berjaga-jaga dan lain-lain – adalah agak sukar untuk berpendapat bahawa  ketuanya memang secara tiba-tiba bertukar arah tuju sekaligus meninggalkan sikap pragmatik yang mereka amalkan selama ini.
           Justeru tidaklah menghairankan sekiranya tindakan Ihwan ini menimbulkan banyak tanda tanya, namun, ini mengukuhkan lagi fakta yang mana gerakan ini bukanlah satu gerakan yang rigid mahupun sebuah fenomena yang tetap. Oleh itu, daripada mengecam Morsi dan Ikhwan atas kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh mereka, sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah “para pemerhati”, ianya adalah lebih baik - walaupun hanya sekadar untuk menganalisa – untuk cuba memahami dan menjelaskan mengapa mereka bertindak sedemikian rupa. Begitu juga ianya merupakan amat terpesong dan tidak tepat apabila dikatakan bahawa kegagalan Ikhwan dalam beberapa bulan lepas merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana terdesaknya mereka untuk mendapatkan kuasa. Memang benar, Ikhwanul Muslimin, seperti juga gerakan gerakan politik yang lain, mahu mendapatkan sebanyak mungkin kuasa yang mereka mahu( bukankah ini merupakan idea asas bagi politik?); akan tetapi, tindakan ini bukanlah sesuatu yang di luar normal ataupun ganjil untuk sebuah gerakan yang sudah sekian lama ditindas,ditekan dan diasingkan untuk berpuluh tahun lamanya. Ingin juga saya tekankan disini bahawa ini bukanlah untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan luar biasa yang diambil oleh Morsi dan Ikhwan, namun ianya hanyalah setakat sebuah percubaan untuk memahami kerumitan era perubahan di Mesir dan segala masalah yang melandanya.

              Jadi, persoalan penting disini ialah : Jika ideologi bukanlah sesuatu yang menjadi sebab kegagalan Ikhwanul Muslimin dalam memerintah Mesir dalam beberapa bulan yang lepas, apakah ia? Antara banyak-banyak faktor, kita boleh merumuskan kegagalan ini keatas kekurangan skil pentadbiran dan kebolehan antara para ketua , ahli dan kader-kader Ikhwan atau dalam bahasa mudah, ketidakupayaan mereka dalam mentadbir.

          Meskipun Ikhwanul Muslimin mempunyai jumlah terbesar bilangan golongan professional, yang merangkumi para doktor, peguam, jurutera , guru dan lain-lain jika dibandingkan dengan gerakan politik yang lain di Mesir, namun demikian, mereka lemah dalam pengalaman teknokratik dan birokratik dan turut kekurangan bakat-bakat yang mampu membolehkan mereka untuk mentadbir dengan efektif. Ironinya disini, Ikhwan selama ini dipuji kerana struktur organisasi yang kuat dan kompeten, yang mana telah membolehkan mereka wujud untuk beberapa dekad, namun keupayaan mereka untuk menukarkan pengalaman dan kebolehan berorganisasi kepada sebuah badan pentadbiran yang efektif amatlah lemah dan terhad. Sebagai sebuah badan dakwah, Ikhwanul Muslimin mengindoktrinasikan ahli-ahlinya untuk menjadi “pendakwah”, bukannya “negarawan”. Berdekad lamanya, proses ukhwah dan pengenalan yang berlaku didalam Ikhwan secara khususnya ialah bertujuan untuk membentuk semula identiti individu-individu untuk menjadi ahli yang alim dan setia, bukannya hanya ahli-ahli politik. Bagi Ikhwan, itulah satu-satunya cara untuk mengekalkan komitmen dan kebersamaan para ahli mereka, dan juga untuk mengekalkan survival mereka dalam pada mereka menerima banyak ancaman dari rejim Mubarak yang nekad untuk menguburkan barisan ketua dan aktiviti-aktiviti mereka.
             Oleh demikian, bukanlah sesuatu yang mengejutkan, selepas kebangkitan 25 Januari 2011, Ikhwan amat susah untuk membuat perubahan daripada menjadi subjek kepada rejim kepada pemilik sesebuah rejim. Dalam erti kata lain, barisan ketua Ikhwan sedang bersusah payah untuk menjadi pembuat polisi baharu (new policy maker), selepas puluhan tahun menjadi sasaran penindasan rejim sebelumnya. Ianya menjadi lebih jelas dengan cubaan sia-sia Ikhwan untuk menerobos birokrasi Negara itu, lantas menyerlahkan lagi kelemahan pentadbiran mereka.

                Sejak penubuhannya pada tahun 1928, ahli-ahli Ikhwan telah diajar cara-cara berprotes, menentang dan mencabar rejim-rejim politik, tapi bukan cara-cara untuk mentadbir mahupun memimpin. Tambahan pula, penindasan dan penekanan hebat yang diterima oleh Ikhwan pada zaman pemerintahan Mubarak menghapuskan harapan lama Ikhwan untuk bukan sahaja berkongsi kuasa dengan rejim sebelumnya, tetapi lebih penting lagi untuk turut sama dimasukkan kedalam institusi-institusi Negara. “Kami di perlakukan sebagai rakyat kelas kedua,” beritahu seorang ahli senior Ikhwan kepada saya suatu masa dulu.

        
Tambahan pula, para kader Ikhwan langsung tidak pernah mengendali sebuah institusi awam, sama ada di peringkat lokal ataupun nasional. Mereka dihalang dari jawatan awam dan dikecualikan dari mempunyai jawatan-jawatan yang penting di dalam birokrasi negara. Tidak seperti rakan mereka di Turki, Parti Keadilan dan Pembangunan(AKP)  yang mendapat banyak pengalaman mentadbir sekitar tahun 1990-an, ketua-ketua Ikhwan tidak mempunyai akses kepada pentadbiran lokaliti dan daerah di Mesir, yang merupakan dibawah kuasa penuh parti yang memerintah, Parti Demokrasi Nasional dan penjawat awamnya yang korup. Pengalaman tertinggi yang mereka terima hanyalah cara-cara untuk mengendali masjid-masjid, sindiket-sindiket dan kumpulan-kumpulan kebajikan, dimana sudah tentulah rekod mereka sangatlah cemerlang. Tetapi ironinya disini, mereka yang mempunyai sedikit skil strategik dan pentadbiran, sebagai contoh pemikir Ikhwanul Muslimin seperti Khariat el Shater, mempunyai pandangan politik yang konservatif. Visi mereka berpandangan sempit dan lebih terdorong untuk membenci dan mengasingkan lawan-lawan mereka.

       Situasi sulit yang dapat dilihat apabila Ikhwanul Muslimin memperoleh kuasa pentadbiran memperlihatkan betapa sukarnya untuk organisasi-organisasi seperti ini untuk berubah, dalam satu malam, daripada pemain politik yang di sisi kepada politik yang pusat, serta membuat anjakan dalam pemikiran mereka daripada pihak yang diperintah kepada pihak yang memerintah.

Khalil al-Anani merupakan seorang ilmuwan Politik Timur Tengah di School of Government and International Affairs, Durham Universiti. Beliau ialah penulis kepada buku yang akan diterbitkan, “Unpacking the Muslim Brotherhood: Religion, Identity dan politic. Twitter :@khailalanani


No comments:

Post a Comment

Popular Posts