Dialog yang pertama
“Ko perasan tak baru je jap tadi ada orang mati kena bom dekat Boston, habis kecoh satu dunia. Kat Syria, Palestin, Burma (Masyarakat Rohingya) ada ribu-ribu orang mati, itupun kematian yang didaftar, kalau kematian yang tak didaftar entah berapa banyak lagilah agaknya. Tapi takde pun berita pasal diorang kecoh macam kat Boston tu, sial betul”
“Hurm... Betul tu, aku pun tak tau nak kata macam mana, media kita memang hipokrit!”“Bukan setakat tu je, orang kita pun senang termakan dakyah media barat. Tambah-tambah kalau orang macam ko!”
“macam aku?”
“Ha’ah, orang macam ko. Sebab ko poyo.”
“Cis! Agak kurang ajar di situ. Aku kira sampai tiga, baik ko lari sebelum aku sepak ko! Satu...! Dua...! Ti....
Perbualan tamat dan disambung dengan adegan kejar mengejar.
Dialog yang kedua
"Wey, ko tau tak? kat Boston ada orang pasang bom masa satu pertandingan marathon. Tak pepasal ada orang mati. Jahat betul siapa yang buat bom tu.”
“.... Kenapa ko bagitau aku pasal ni? ko nak aku buat apa? Sedih? Menangis?”“Apa maksud ko bila tanya soalan ni?”
“Diorang tu kan kapiaq! Buat apa nak peduli pasal diorang, diorang pun tak pernah peduli pasal kita. Masalah dalam umat Islam sendiri pun ramai orang yang tak ambik kisah, ada hati nak ambik tau pasal kat Boston. Ini semua poyo! Poyo macam ko!”
“Cis! Agak kurang ajar di situ. Sebelum ini ada orang panggil aku poyo, tak pepasal dapat hadiah penyepak dari aku. ko nak jugak?”
“.....”
Perbualan tamat dan disambung dengan adegan kejar-mengejar.
Dua dialog di atas adalah rekaan saya sendiri. Mungkin sedikit tidak realistik dialognya, tetapi intipati dialog itu adalah sesuatu yang releven untuk kita renungkan. Mungkin persoalan-persoalan yang timbul dalam dialog berkenaan sebenarnya tidak asing bagi kita sendiri. Mengapa ramai yang lebih ambil tahu mengenai ‘mereka’ tetapi tidak mengenai ‘kita’? Mengapa dunia boleh menitiskan air mata mengikuti kisah ‘mereka’ tetapi tidak pada ‘kita’. Apa kisah ‘kita’ belum cukup menyayat hati? Apakah kesialan yang menimpa ‘kita’ ini tampak ringan?
Memang betul isu ini boleh dianalisa dari berbagai perspektif, tetapi dalam tulisan yang singkat ini, saya hanya menumpukan pada satu sudut perspektif sahaja, iaitu peranan media dalam menimbulkan kesedaran.
Pertama sekali, saya meminta untuk kita sama-sama memerhatikan bagaimana berbezanya media ‘mereka’ dan ‘kita’ dalam melaporkan sesuatu tragedi yang menimpa pihak masing-masing.Sebagai seorang yang sering mengikuti berita dari Al-Jazeera dan beberapa media ‘kita’ yang lainnya, secara umumnya apabila dunia Islam dilanda tragedi, pemberitaan sering memfokus kepada sisi ekstrem dan ngeri sesuatu tragedi. Pembaca akan dihidangkan dengan berbagai gambar yang menakutkan,mengerikan, yang membuatkan kita tersentak, dengan harapan emosi yang cuba dibangkitkan akan menyebabkan si pembaca lebih merasakan penderitaan orang ‘kita’ sendiri. Maka tidak dihairankan sekiranya kita terus dihidangkan lagi dan lagi dengan gambar-gambar sadistik mayat saudara kita, sesuatu yang mungkin kita tidak akan dapat lihat dalam media Barat.
Berbeza dengan media barat. Saya ambil contoh tragedi yang berlaku di Newtown. Apakah teknik naratif yang digunakan oleh media barat untuk menghubungkan perasaan kita kepada ‘mereka’? Perhatikan baik-baik. Adakah media barat melaporkan berita mereka sama seperti cara kita melaporkan berita? Bukan dalam tragedi ini sahaja, bahkan untuk tragedi yang lain menimpa mereka.Sambung bertanya pada diri anda sendiri, bilakah kali terakhir anda melihat gambar mangsa tragedi yang berlaku di dunia barat yang ditonjolkan dengan cara seperti mana yang ‘kita’ laporkan mengenai mangsa di Syria atau Gaza atau Iraq atau Pakistan? Saya membayangkan, sekiranya tragedi di Newtown terjadi dalam negara ‘kita’, ketika dan saat ini kita sudahpun dihadapkan dengan gambar ngeri mayat anak-anak kecil tersebut yang tubuhnya dipenuhi peluru.
Seingat saya, kebanyakan laporan berita yang sampai kepada saya mengenai tragedi yang berlaku dalam dunia Islam, kebanyakan gambarnya berorientasikan gambar anak-anak yang berlumuran darah, anak-anak yang menjadi cacat, mayat anak-anak yang dalam keadaan mengerikan. Tuntasnya adalah gambar yang dapat membangkitkan rasa marah dan rasa tersentak apabila pertama kali melihatnya.
Bagaimana Kita mempengaruhi media kita sendiri
Tanpa perlu dinafikan dalam era ledakan maklumat dewasa ini, sesuatu berita itu lebih mudah dan cepat disampaikan. Justeru, jika sesuatu berita itu hanya terlewat lapor dalam dua jam. berita yang berkenaan mungkin tidak lagi dianggap sebagai berita terkini , terutama dengan kewujudan media sosial yang menyebabkan berita menjadi lebih cepat basi. Justeru itu, media masa kini bukan setakat perlu berlumba untuk menyiarkan berita yang paling terkini, tetapi turut bersaing untuk mendapatkan pelanggan dengan cara memaparkan berita yang paling sensasi! Inilah masalah yang paling utama melanda kita, apabila media memilih cara yang sebegini untuk mensensasikan beritanya. Pertamanya, hal ini sememangnya sesuatu yang keji yang berselindung di sebalik nama sebuah ‘keprihatinan’, dan tanpa sedar ‘keprihatinan’ tersebut berubah menjadi satu penyakit mental serta kecacatan jiwa yang luar biasa . Keduanya, sememangnya orang Islam itu bersaudara, yang mana kita ini seumpama satu tubuh yang mana jika satu anggota menjadi sakit, maka seluruh tubuh turut merasa kesakitan, tetapi itu bukan satu lesen besar untuk berlebih-lebihan dalam menjual berita mengenai saudara sendiri.
Sesuatu yang amat malang, apabila akhbar menghentikan pengeluaran gambar-gambar seperti ini, jualan akhbar juga tidak semena-mena menurun. Saya teringat sebuah pepatah melayu, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. media tidak ada alternatif lain untuk menarik minat pelanggan melainkan dengan disertakan sekali gambar-gambar ngeri seperti ini. Akhir sekali, apa yang paling kita takuti dengan lambakan gambar-gambar seperti ini adalah pembiusan jiwa. Seperti kata Ustaz Hasrizal,[2]
"Apa yang pasti, imej-imej itu menjadi seperti bius, meninggalkan rasa lumpuh dan kebas pada jiwa hingga hilang rasa sensiviti terhadap realiti. Images anesthetize dan akses tanpa had, adalah implikasi negatif daripada lambakan foto sadistik ini."
Amat malang kerana maksud asal gambar ini hanya ingin mencetuskan kesedaran, tetapi hasil pembiusan jiwa telah mematikan sensiviti seseorang. Apabila gambar ini sudah menjadi ‘biasa’, maka gambar yang lebih mengerikan perlu dipersembahkan untuk meransang serta menaikkan ‘semangat’ kerpihatinan kita, walhasil taraf sesuatu itu patut dilabel sebagai ngeri, turut berubah menjadi lebih ngeri daripada sebelum ini.
Inilah realiti yang menimpa masyarakat kita,tak berguna untuk kita menafikan realiti ini seperti kata pepatah walaupun intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.
Perbezaan media ‘kita’ dan media ‘mereka’
Bandingkan dengan media barat yang sebaliknya lebih cuba untuk memfokuskan kepada sudut kemanusiaaan dalam melaporkan sesuatu isu. Amat jarang mereka menggunakan gambar grafik yang ngeri. Walaupun begitu, tidak bermakna mereka tidak boleh memanipulasikan emosi kita, bahkan mereka amat pakar dalam berbuat demikian. Mereka sebaliknya lebih fokus untuk mewujudkan naratif berita ini persis penceritaan dalam filem, mereka akan mencipta plot demi plot, seterusnya mengembangkannya menjadi satu naratif yang mana kita semua dapat menghayatinya sebagai manusia, malah turut boleh merasa terkait dengan cerita ini. Mereka tahu bila dan bagaimana untuk memanipulasi perasaan, sehingga tanpa sedar menyebabkan kita boleh timbul rasa simpati - dan kadangkala - menjadikan seolah-olah kita ini berada di tempat mangsa. selalunya mereka akan menemubual mangsa atau waris mangsa, menyebabkan kita berasa lebih rapat dengan mangsa sekaligus menyelami perasaan mangsa, sehinggakan tragedi yang menimpa mereka dirasakan seolah seperti berlaku pada diri sendiri atau setidaknya ada kait dengan diri yang mendengar.(Saya ambil contoh bagaimana media barat seperti CNN melaporkan tragedi yang berlaku di Boston, sila rujuk sini, sini, sini, sini,dan sini)
Sidang media oleh salah seorang bapa kepada kanak-kanak yang terlibat dalam tragedi di Newtown. Si bapa menyampaikan rasa takziah kepada semua waris mangsa yang terlibat, termasuk kepada waris si penembak. Beliau juga menceritakan beliau akan senantiasa merindui senyum tawa anaknya yang telah terkorban
Nampak seperti biasa, tetapi hasilnya amat menakjubkan. Mungkin kita yang mengetahui akan hal ini merasakan tindakan ini seolah satu penipuan terancang - yang mungkin juga ada benarnya - tapi isu pokoknya adalah peri penting untuk menarik perhatian dan simpati orang ramai, kita perlu belajar bagaimana untuk menguasai teknik ini. Tidak dinafikan yang media massa arab cuba untuk mengaplikasikan teknik ini dalam sesetengah laporan mereka. Walau sebanyak mana pun duit yang mereka laburkan untuk tujuan ini , tetapi hasilnya tidaklah seberapa, tidak berpatutan dengan kos dan usaha yang diberikan oleh mereka. Jika diumpamakan sebagai sebuah perniagaan, perniagaan tersebut adalah jauh daripada menguntungkan para pelabur.
Jadi tidak keterlaluan jika saya mengatakan yang BBC dan CNN sememangnya mengawal hati dan perasaan kita. Secara diam-diam mereka menjalankan rancangan mereka, mempersembahkan sesuatu berita dalam format seperti yang saya telah sentuh sebelum ini. Hasilnya, tanpa kita sedar kita boleh timbul rasa simpati, kesian, dan sedih ke atas kematian seseorang yang langsung tiada kaitan dengan kita, atau sekurangnya kita turut menitiskan air mata apabila presiden US - individu yang mana kita semua akan ingati kerana bertanggungjawab menumpahkan darah saudara kita - menangis ketika menyampaikan ucapan takziahnya kepada mangsa pembunuhan kejam di Newtown. Ya, kita semua adalah bukti hidup terhadap ‘eksperimen’ ini. Dan oleh kerana kejayaan media ini dalam memanipulasikan perasaan kita, menyebabkan sebahagian daripada kita , yang berasa marah dan kecewa dengan sikap pilih kasih ini - walaupun mereka mempunyai niat yang amat baik - tetapi atas kejahilannya mengeluarkan kenyataan seperti yang terkandung dalam dua dialog pada permulaan post ini. Kadang-kadang ada yang melampaui batas apabila mengajuk-ajuk kematian seorang manusia, bahkan merasa bahagia atas kesialan yang menimpa orang. tidak tergambar dek akal bagaimana mereka mampu berfikir sehingga ke tahap itu.
Detik yang amat emosional, presiden Obama dilihat beberapa kali menyeka air matanya dalam satu sidang media khusus mengenai tragedi di Newtown
Saya ingin mengakhiri tulisan ini dengan mengatakan, bahawa saya sebetulnya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada media massa atas apa yang berlaku . Secara jujurnya, saya memang tak boleh. Izinkan saya untuk menerangkan dengan lebih lanjut sebabnya. Kebanyakan berita yang betul-betul meruntun hati saya mengenai apa yang berlaku dalam dunia Islam adalah berita yang saya peroleh dari media barat ini. Contohnya berita kematian yang melibatkan orang Islam yang terlebih dahulu dilaporkan oleh media BBC, jauh lebih pantas mendahului media-media yang lain. Saya sememangnya menggemari berita ini kecuali ketika berita yang dilaporkan BBC mula merewang dan mengarut sehingga menyentuh sensiviti umat Islam, maka saya berlepas diri dari menyokong laporan seperti ini . Namun tiada siapa pun dapat menyangkal bahawa media BBC sememangnya mengeluarkan berita yang berkualiti,ini terbukti apabila media di negara Arab sendiri turut menuruti jejak langkah BBC dalam mensensasikan isu yang BBC bangkitkan sehingga berhari-hari lamanya. Jadi, bagaimana harus kita menolak sepenuhnya dan menyalahkan media"kuffar"?
Malah, jika kita ingin melangkaui berita dan maklumat, saya ingin menyatakan bahawa apabila BBC dan media barat yang lain mengenakan konsep laporan"cara barat" dan lebih menumpukan kepada individu dalam melaporkan sesetengah isu yang melibatkan orang Islam, barulah perasaan lebih ‘berhubung’ dan terkait secara emosi kepada mangsa dapat saya hayati dengan lebih mendalam berbanding daripada menonton berita yang sama melalui Al-Jazeera atau al-Arabiyyah, yang turut melaporkan isu yang sama siang dan malam. Saya tidak malu untuk membuat pengakuan sedemikian. Itulah apa yang professional, psikologist, para PR dan orang-orang media cuba bereskperimen terhadap kami, dan adalah sesuatu yang membanggakan diri mereka apabila mereka berjaya mencapai tujuan yang mereka kehendaki. Suka saya peringatkan yang saya juga adalah pelanggan, sama seperti manusia lain, yang mana saya boleh bersikap kritis dalam menilai sesuatu perkara, mampu melihat sesuatu isu dari pelbagai perspektif, tetapi manusia tetap manusia, saya juga punya hati dan perasaan. dan perasaan saya ini boleh dimanipulasi dan dibolak-balikkan. Maka tidaklah dihairankan sekiranya perkataan ‘hati’ dalam bahasa Arab (Qalb) terbit daripada perkataan yang membawa maksud "membolak balik " dan juga "sesuatu yang berubah”, dan kerana sebab ini jugalah kita memohon kepada Allah Azza Wa Jalla untuk menjadikan hati kita tetap dan teguh terutama dalam keadaan yang boleh membolak-balikkan hati kita.
Sungguh, ianya amat melampau untuk menuding jari ke para "kuffar" kerana
kekurangan dan kelemahan kita dalam merangka pelan tindakan .Saya mengambil satu contoh bagaimana sebuah dokumentari yang cuba mengambil pendekatan cara "barat" dalam melaporkan tragedi yang berlaku di Pakistan, yang mana anak-anak kecil adalah antara yang menimpa musibah atas kekejaman serangan Amerika Syarikat. Kita cuba memberitahu melalui Media barat dalam percubaan menguar-uarkan pembunuhan kanak-kanak yang tidak bersalah oleh serangan bom di Pakistan, dalam percubaan untuk menciptakan emosi yang sama seperti kes pembunuhan kanak-kanak di Newtown. Pembuat filem -yang juga merupakan orang Islam- ini turut cuba meniru format laporan yang sama, tetapi malang kerana hampir kesemua gambar kanak-kanak yang disertakan ini adalah gambar mereka yang telah pun menjadi mayat, bukannya gambar mereka sewaktu hidup , sewaktu mereka masih mampu mempamerkan wajah riang serta tersenyum. Saya tidak salahkan beliau, mungkin masalah sebenar berpunca daripada sikap orang-orang Islam yang menetap di kawasan kampung atau pedalaman yang jarang merakamkan gambar anak-anak mereka. Walaupun saya bukan seorang ahli psikologi,namun saya merasakan terdapat perbezaan yang amat ketara dalam memperlihatkan gambar kanak-kanak dalam dua situasi seperti yang saya telah sebutkan sebelumnya. Gambar yang menggambarkan mereka telahpun mati dan kaku memperlihatkan mereka seolah-olah bukan sesuatu yang nyata, seperti bukan seorang manusia, sesuatu yang jauh dari realiti. Rasa kepercayaan dan kekeluargaan yang menghubungkan kita dan mangsa bukanlah alasan yang cukup untuk merasai keperitan mangsa-mangsa yang tertindas terutama jika 'kita' itu merujuk kepada berjuta-juta orang Islam yang telah pun dijangkiti wabak konsumerism di luar sana. Ini adalah zaman yang mana empati, psikologi dan persembahan berita yang baik sebenarnya yang mampu memberi kesan yang lebih mendalam. Namun, di sebalik kekurangan yang saya telah sebutkan sebelumnya, dokumentari ini menyebabkan seseorang itu lebih dapat menghayati dan berhubung dengan video ini dengan perasaan kemanusiaan dan merasai kesengsaraan mereka, tidak seperti video-video yang selalu dihidangkan sebelum-sebelumnya.
Khatimah
Saya ringkaskan pandangan saya seperti berikut - setelah meneliti keupayaan dan pengaruh yang dimiliki sesetengah rangkaian berita - kita tidak seharusnya kehilangan upaya untuk berfikir dan berperasaan peri yang layaknya bagi manusia, iaitu berkasih-sayang sesama kita. Ini adalah satu kualiti yang amat indah dan bernilai dan mesti dilindungi senantiasa. Kasih sayang seperti inilah yang seharusnya kita pamerkan, selaras dengan apa yang pernah diperbuat oleh kekasih kita, Rasulullah SAW dalam banyak kisah yang terakam dalam hidup Baginda SAW.
Kita seharusnya mula merangka strategi bagaimana untuk menjadikan isu semasa malah isu yang lebih besar yang bakal berlaku, yang mungkin terjadi di tempat yang terpisah jauh dari tempat kita berada, mampu dilihat dari dari sudut yang lebih peribadi dan lebih nyata supaya dapat membangkitkan simpati dan rasa ‘kebersamaan’ dengan mangsa.Ini amat penting supaya setiap tindakan kita untuk memperjuangkan keadilan dan keselamatan kepada mereka yang ditimpa nasib malang berlaku tanpa ada pilih kasih dan tidak dihadkan simpati dan sifat kemanusiaan kita kepada sesiapa atas faktor tempat, masa, bangsa ataupun agama.
Allāhumma thabbit qulūbanā ‘alā dīnika yā Rabb.
-------------------------
Rujukan dan bahan bacaan tambahan :
1. Newtown kids v Yemenis and Pakistanis: What explains the disparate reactions? oleh Glenn Greenweld
3. Tragedy oleh Imam Abu Eesa Niamatullah - Sebenarnya tulisan dalam post ini banyak diinspirasikan daripada tulisan Imam Abu Eesa yang menceritakan peranan media sewaktu melaporkan tragedi pembunuhan di Newtown, tapi saya telah mengolah tulisan ini supaya kelihatan releven pada situasi waktu hari ini
No comments:
Post a Comment