Tuesday, 9 April 2013

Antara Makmum dan Imam, Harapan dan Realiti


Oleh: Durratun Naasihin



Selalunya orang tegur supaya jangan terlampau idealistik dalam memilih calon pasangan. Ini kerana ramai muslimat di luar sana yang terlampau ‘kreatif’ dalam mengkhayalkan 'bakal imamku'. Lihat sahaja pada hiperbola yang digunakan dalam lambakan cerpen/puisi 'duhai imamku' atau yang seerti dengannya. Bosan.


Tetapi bukan kaum wanita sahaja yang gemar berimaginatif dalam menentukan apa yang sepatutnya ada dalam ciri-ciri seorang 'imam'. Orang lelaki turut ditimpa penyakit ini. Sudah tentu 'imam' yang dimaksudkan oleh kaum wanita adalah berbeza dengan 'imam' yang dimaksudkan oleh kaum lelaki. Hihi.

Saya maksudkan, kaum lelaki mengharapkan bakal pemimpin atau pemerintah yang terlampau idealistik : pemimpin islam seharusnya begini dan begitu, serta mampu melakukan begini dan begitu, solat malamnya sahaja sekian-sekian, amalan sunatnya pula adalah sekian-sekian serta sebagainya. Perangai ini kian tampak tatkala seorang tokoh islamis berjaya memenangi jawatan yang ditandinginya. Benar, islamis dari seluruh dunia turut menyambut baik berita kemenangannya dan tiada yang berkecuali.

Dalam keseronokan dan keasyikan meraikan kemenangan tokoh islamis ini, para penyokongnya seakan hilang kewarasan dalam berfikir. Tokoh ini dipersepsikan bahawa ia–yang akan dipanggil sebagai presiden selepas ini–mampu menyelesaikan serba-serbi masalah rakyat. Malah mereka–para penyokong presiden–sampai kesuatu tahap sehingga mengkhabarkan yahudi-yahudi di Israel sedang meraung kesedihan dan ketakutan tatkala mendengar berita kemenangan presiden baru ini. Walhal gambar yang digunakan adalah gambar seorang anak yahudi yang meratapi kematian bapanya sambil ditenangkan saudara-maranya–yang terdiri daripada yahudi juga. Tidak cukup dengan itu, digambarkan sinar Islam telah terbit, cahaya Islam bakal menerangi seluruh alam persis zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Cerita-cerita kezuhudan si presiden dan isterinya pun tersebar dalam kadar yang pantas.

Kemenangan Morsi di Mesir disambut dengan gembira oleh para penyokongnya.

Salah? Memang tak salah. Jauh sekali jika dikatakan perbuatan itu suatu jenis dosa. Bagi saya, setiap sesuatu itu perlu ada batasannya walaupun  hukumnya adalah halal/harus. Bukanlah suatu kesalahan dalam kita meletakkan harapan dan cita-cita yang tinggi, tetapi apa yang dikhuatiri nanti sekiranya orang yang kita harapkan itu tidak mencapai paras yang kita sendiri telah tetapkan. pada ketika itu–saat si presiden gagal mencapai paras yang ditetapkan– para penyokong yang sebegini akan hilang kewarasan akal buat kali kedua. Mereka dijangka akan mula merapu dan skeptikal serta prejudis terhadap semua perkara. Kononnya mereka ingin menyucikan tokoh presiden dari tercalit sebarang keburukan. Maka kambing-kambing hitam akan diwujudkan atas tujuan ini.

Saya tidak bermaksud supaya tanda aras kita tidak boleh ditetapkan tinggi, malah jauh sekali saya memaksudkan supaya tidak langsung diletakkan tanda aras. Bodohlah saya jika beranggapan begitu. Saya juga turut merasakan perlunya untuk meletakkan tanda aras yang tinggi sebagai suatu kayu pengukur untuk kita sebagai pemerhati bagi menilai sejauh mana pencapaian pemimpin kesayangan kita. Tetapi sebagaimana lazimnya, tanda aras itu harus dianggap sebagai ideal untuk pemimpin ini capai.

Pemimpin walau sehebat mana sekalipun pasti tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Kita perlu berdepan dengan kenyataan bahawa dalam perjalanan hidup ini, manusia juga mempunyai kelemahan-kelemahan di samping kekuatan-kekuatannya. Saya bukanlah–dan tidak mungkin–menjadi seorang idealis tulen. Saya lebih senang untuk melalui kehidupan sebenarnnya, dan bukan melalui kehidupan yang dikhayalkan wujudnya dalam kotak pemikiran.


Sebab itu, saya tidak gemar dengan orang yang seboleh-bolehnya ingin menampilkan diri mereka laksana seorang wira yang bebas dari kecacatan : malah saya merasa loya dengan orang yang sentiasa menganggap lawannya penuh tercalit kelemahan dan kecacatan sementara dirinya serba suci, serba lengkap.


Malas berfikir dan Alasan penyedap diri

Untuk menyembunyikan ketakupayaan kita, kita melindunginya dengan mencari sesuatu yang absolute ( absolutisme ) atau dengan maksud yang lain, berselindung di belakang sesuatu ideal yang absolute. Biar saya terangkan dengan lebih lanjut, seolah kita memprojeksi atau menyandarkan segala keinginan, hasrat, cita-cita, impian malahan semua yang menjadi aspirasi dan harapan kita kepada suatu entiti di luar dari diri kita yang kita baluti dengan mitos atau yang kita nobatkan sebagai ikon.

Kesan daripada pemahaman tersebut, kita terus-menerus bersikap, “kenapa kita perlu bersusah payah berfikir atau menganalisis”. Kenapa? Hal ini kerana kita serahkan saja kepada personaliti atau tokoh super tersebut. Itulah tanggungjawab mereka, tetapi untuk diri kita adalah sekadar cukup menjadi pengikut atau pendokong setianya. Selamanya kita akan terus berselindung di bawah bayang-bayang 'kehebatan' entiti tersebut.

Kita terus terperangkap dalam dunia ciptaan kita sendiri, kekal dalam zon-zon selesa kita. Tahap intelektual kita memandom kerana selama ini kita sentiasa mengelak daripada menerima asakan untuk berfikir secara langsung.  Kita sudah terbiasa membebankan tanggungjawab untuk kerja-kerja tersebut ( wacana, memikir dan menganalisis ) pada tokoh yang kita pilih ; dan memadai bagi kita untuk 'menjual diri' kehulu dan kehilir bahawa kononnya kami lah jemaah dan pengikut setia ( disciple ) ikon tersebut.  

Maka kita mencipta seribu satu alasan untuk melepaskan diri daripada rasa bersalah atau membenarkan tindakan kita untuk terus kekal di takuk lama. Kedengaranlah kata-kata seperti, "percayalah suatu hari nanti Islam akan kembali gemilang, yang penting kita telah berusaha ". Maka inilah lesen besar untuk terus berada dalam zon selesa, terus mengulangi kesilapan yang sebelumnya kerana alasan ini sentiasa releven dan sememangnya acap kali diguna. Mereka terperangkap dalam 'sistem Islam' mereka sendiri,  Islam bagi mereka seperti suatu sistem yang rigid dan setelah pendekatan yang mereka buat gagal, mereka akan mula dari titik permulaan yang sama serta langkah-langkah yang sama tetapi mengharapkan pengakhiran yang berbeza. Bila ada yang cuba keluar dari kitaran ini, pihak tersebut akan dituduh sebagai lari dari perjuangan asal. Walhal sebenarnya bukanlah demikian, matlamat akhir tetap sama cuma pendekatan telah diolah agar sesuai dengan persekitaran semasa.

Antara alasan penyedap diri yang lain adalah 'Kami pengikut syeikh sekian-sekian, kami percaya bahawa beliau adalah mujaddid untuk zaman ini ', dan mereka hanya berbangga hanya menjadi pengikut syeikh yang berkenaan. Segala kata-kata syeikh berkenaan akan diterima bulat-bulat tanpa berfikir panjang, takdir Tuhan jemaah mereka sememangnya berjaya merevolusikan cara gerakan Islam berdakwah di negara mereka, tetapi malang bila mereka turut tergelincir bersama-sama syeikh mereka atas sikap taksub yang menebal. Ada juga yang sememangnya malas berfikir dan alasan melepas diri mereka adalah 'cukuplah bagi kami hanya dengan menantikan imam zaman–yakni imam mahdi yang dijanjikan–yang akan muncul dan menegakkan keadilan'.


Berpaling 180 darjah

Jika kita teliti lembaran-lembaran sejarah, maka kita akan mendapati banyak kisah mengenai pihak yang beralih arah 180 darjah dari idealisme perjuangan mereka yang dahulu. Kita telah melihat walau betapa baik sekalipun seseorang tokoh atau ikon itu, apabila ia berada di puncak kekuasaan ianya akan berhadapan dengan realiti baru. Kadang kala realiti itu datang dalam rupa yang pelbagai, boleh jadi atas rupa desakan atau tarikan yang menjerumuskan ke arah yang bertentangan dengan pendirian atau prinsip asal seseorang itu.

Jadi tidak keterlaluan jika saya beranggapan semakin lama seseorang memegang tampuk kekuasaan, semakin tinggi kecenderungannya untuk melakukan hal-hal yang tidak selari dengan idealisme awal fasa hidupnya. Dunia memang kaya dengan contoh-contoh manusia yang melakukan hal demikian sejak dari azali lagi. Berapa ramai wira atau ikon yang melawan tirani akhirnya berpelakuan hampir sama dengan tirani yang ditentangnya dahulu.




Gamal Abdel Nasser pada awalnya dipuji dan dikagumi oleh bangsa Arab dan dunia Islam atas ketegasannya terhadap imperialis-imperialis Barat dan Israel, tetapi terbukti menjadi seorang diktator dan menggagalkan proses pendemokrasian di Mesir.




Saya bawakan contoh-contoh kontemporari kerana mereka lebih dekat masanya dengan zaman kita, kita boleh telusur sejarah pemimpin-pemimpin seperti Nicolea Ceausescu dari Romania, Ferdinand Marcos dari Filipina, Stalin dari Rusia, dan ramai lagi pemimpin dari Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin.

Mereka yang hebat berpidato dengan menyajikan retorik yang memukau belum tentu cekap dan pandai mentadbir. Begitu juga yang pandai dan cekap mentadbir pula, mungkin tidak pandai berpidato malah ada yang diajuk kerana gagap !  Sebab itulah konsep ‘complementary’ atau kesalingan penting dalam upaya lengkap-melengkapi. Inilah realiti kehidupan yang harus kita akui. Mungkin ustaz yang selama ini melihat dari luar dan tidak mengalami sendiri sepak terajang dalam bersiyasah cukup mudah mendabik dada, kononnya dialah yang terlebih arif dalam segala. Bila sudah merasai sendiri asam garam dalam bersiyasah, mungkin selepas ini dia mampu lebih rasional dan meninggalkan dunia idealistik. Mungkin?


–––––––-

Rujukan :

Minda Tertawan : Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa

Patah Balek : Catatan terpenting reformasi

No comments:

Post a Comment

Popular Posts