Tuesday, 30 July 2013

Memburu Lailatul Qadar



Oleh : Ustaz Danial Farhan Dolmat



Dalam ayat ketiga Surah al-Qadr, Allah menegaskan bahawa malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Kebanyakan orang menyatakan bahawa pahala beramal di malam al-Qadar adalah sama dengan pahala beramal selama seribu bulan yang bersamaan 83 tahun lebih.

Jika kita perhatikan baik-baik ayat ketiga Surah al-Qadr itu, kita akan memahami bahawa pahala beramal di malam al-Qadar sebenarnya LEBIH BAIK daripada pahala beramal selama seribu bulan, bukannya sama seperti beramal selama seribu bulan. Fahami betul-betul.

Kemudian angka 1,000 itu tidak semestinya dipakai secara harfiyah. Ada juga ulama' tafsir yang menyatakan bahawa 1,000 itu menunjukkan banyak. Sama seperti angka 7, kadangkala maksudnya tujuh dan adakala ia membawa maksud banyak. Ini merupakan kebiasaan bangsa Arab dalam menggunakan angka 1,000 dan 7 sama ada secara hakiki atau majazi.

Justeru, dapat difahami juga bahawa pahala beramal di malam al-Qadar lebih baik daripada pahala beramal selama beribu-ribu bulan.


Bilakah Lailatul Qadar?

 
Para ulama' berselisih pandangan dalam menentukan tarikh berlakunya Lailatul Qadar sehingga mencecah lebih kurang 40 lebih pandangan. Cuma pendapat yang lebih dekat untuk diterima ialah Lailatul Qadar itu berlaku di bulan Ramadan pada sepuluh malam terakhir iaitu tanggal malam ke 27. Ini merupakan pandangan Sayyiduna Ubai bin Ka'ab, Sayyiduna Umar al-Khattab, Sayyiduna Abdullah bin Umar, Sayyiduna Huzaifah bin al-Yaman, pendapat yang agak kuat di sisi mazhab Imam Ahmad bin Hanbal, satu riwayat dalam mazhab Hanafi dan ia juga merupakan pandangan majoriti ulama'.

Dalam Sohih al-Bukhari dan Muslim daripada Sayyiduna Ubadah bin Somit bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam pernah keluar pada suatu malam untuk memberitahu para sahabat tentang tarikh sebenar Lailatul Qadar. Sayangnya, baginda berhadapan dengan dua orang lelaki yang bertengkar menyebabkan baginda terlupa tarikh berkenaan. Lantaran itu, Sayyiduna Nabi bersabda, "Saya keluar untuk memberitahu kamu tentang Lailatul Qadar. Tetapi ada dua orang dalam kalangan kamu yang bertengkar membuatkan saya terlupa akan tarikhnya. Boleh jadi ia baik untuk kamu semua. Namun, carilah Lailatul Qadar itu pada malam 29, 27 dan 25."

Tetapi setelah dilupakan, adakah Nabi tahu tarikh sebenar Lailatul Qadar?

Sayyid Abdullah Siddiq al-Ghumari menulis:

"Yang sahih ialah Nabi mengetahui tarikh Lailatul Qadar berdasarkan dua dalil:

a) Imam al-Bukhari menukilkan dalam sohih beliau kata-kata Imam Sufyan bin 'Uyainah yang menyebut, "Dalam al-Qur'an, kalau Allah menyebut 'wama adraka' bererti Allah telah memberitahu Nabi. Kalau Allah menyebut 'wama yudrika' bermakna Allah tak memberitahu Nabi-Nya."

Ertinya, Allah telah memberitahu Rasulullah tentang tarikh sebenar Lailatul Qadar kerana Allah berfirman dalam ayat kedua Surah al-Qadar dengan perkataan 'wama adraka ma Lailatul Qadr?'

b) Al-Tabrani juga meriwayatkan daripada Sayyiduna Abdullah bin Unais bahawa beliau pernah bertanya Nabi akan tarikh Lailatul Qadar. Baginda menjawab, "Saya khuatir orang ramai hanya akan menghidupkan malam itu sahaja. Kalau tidak, pasti saya akan beritahu kamu bilakah tarikhnya."

Begitu juga dalam riwayat al-Bazzar bahawa baginda Nabi mengetahui tarikh Lailatul Qadar, cuma baginda tidak diizinkan oleh Allah untuk memberitahu sesiapa. Namun, baginda tetap memberi isyarat agar mencari Lailatul Qadar pada malam 27 dan 29. Atau pada tujuh malam yang terakhir di bulan Ramadan.
Apakah amalan yang boleh kita lakukan sekiranya ditakdirkan bertemu Lailatul Qadar?

Imam Sufyan al-Thawri menyatakan bahawa amalan yang paling afdhal dilakukan pada malam Lailatul Qadar ialah memperbanyakkan doa. Ini lebih disukai berbanding banyak bersolat tahajud.

Namun begitu, lebih molek jika mengikut sunnah Rasulullah yang mana baginda bersolat dan membaca ayat-ayat suci al-Qur'an secara tartil. Apabila bertemu ayat yang menceritakan tentang rahmat, baginda akan berdoa memohon rahmat. Apabila bertemu ayat yang menyebut tentang azab, baginda akan berdoa memohon keselamatan dan perlindungan. Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hambali menyatakan, "Bererti baginda Nabi telah menghimpunkan antara solat, membaca al-Qur'an, berdoa dan tafakur." Dengan erti kata lain, ini lebih afdhal untuk dilakukan pada malam Lailatul Qadar.

Sayyidah Aisyah pernah bertanya Nabi akan doa yang perlu diucapkan jika ditakdirkan bertemu Lailatul Qadar. Baginda mengajar doa yang berbunyi:


اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني.
 

"Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan suka memberi kemaafan. Oleh itu, maafkan aku."

Amalan paling minima yang boleh dilakukan jika bertemu Lailatul Qadar ialah solat Isyak pada malamnya dan Subuh pada paginya pula secara berjemaah.


Adakah wanita uzur syar'ie boleh mendapat bahagian pahala jika bertemu Lailatul Qadar?

Ya, boleh. Dengan syarat dia melakukan amalan soleh sepanjang bulan Ramadan. Walaupun tidak boleh berpuasa, tetapi dia tetap menjaga kehormatan Ramadan serta memperbanyakkan zikir dan doa juga amalan lain seperti sedekah, insya-Allah diharapkan dia mendapat bahagian pahala pada malam Lailatul Qadar. Jika ditakdirkan bertemu Lailatul Qadar, dia hendaklah memperbanyakkan doa dan zikir kerana dua amalan ini boleh dilakukan oleh wanita yang uzur. Oleh itu, jangan berasa susah hati. Beramal dan berdoalah dalam kerangka kemampuan yang ada, insya-Allah ada ganjarannya di situ.
Namun, isu yang lebih penting ialah sejauh mana usaha kita untuk bertemu malam al-Qadar? Setinggi mana keinginan kita untuk menghidupkan malam yang agung itu?

Tepuk dada, tanyalah iman. Selamat bermujahadah. Semoga Allah menerima.

1 comment:

  1. terima kasih infonya
    tentang keutamaan malam yang penuh hikmah ini
    sangat bermanfaat

    ReplyDelete

Popular Posts