Wednesday 24 July 2013

Kami adalah Melayu-Islam, Maka Kami Berhak

Di alih bahasa oleh Awan Putih. Artikel asal diterbitkan dalam LoyarBurok pada 1 Ogos 2012.

Syahredzan Johan bertanyakan ketika di bulan mulia ini, adakah Melayu Islam punya hak yang lebih berbanding dengan yang lain?
Jadi anda sedang berpuasa. Matahari tegak di atas anda, perut anda berkeroncong dan tekak anda berasa kering. Namun skarang baru pukul 12.30 tengahari; masih lama lagi sebelum tiba waktu berbuka. Tiba-tiba, seorang bukan-Muslim muncul di hadapan anda, enak menikmati setin air kola dingin kegemaran anda. Kelihatan seperti dia amat menikmati minuman tersebut. Anda boleh membayangkan sensasi minuman yang sama membasahi tekak anda dengan segala keenakan kafein pendorong-diabetes. Jadi anda berasa tersinggung. Betapa orang ini tergamak untuk minum di hadapan anda? Apakah dia tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia, dengan hanya mahu menghilangkan dahaganya di hadapan orang Islam? Adakah dia tidak tahu bahawa orang Islam merupakan majoriti di Negara ini maka sebab itu kami perlu dihormati?
Ini adalah premis asas yang tersebar luas dalam kebanyakan orang Melayu-Islam di Negara ini. Orang Islam merupakan majoriti dan oleh itu mereka lebih berhak untuk dihormati. Sensiviti Melayu-Islam tidak sepatutnya disinggung; orang awam Melayu-Islam harus dilindungi dari sebarang ancaman, kekeliruan dan banyak lagi perkara buruk dan berbahaya yang boleh menyakiti umat. Sejak kebelakangan ini, sentimen ini telah dijulang tinggi oleh ahli-ahli politik yang oportunis. Oleh itu, kini kelihatan seolah-olah Melayu-Islam makin kurang  toleran dalam menghadapi golongan minoriti.
Melayu-Islam mempunyai hak untuk menafikan pembinaan sebuah kuil Hindu di sekitar kawasan perumahan mereka. Melayu-Islam mempunyai hak untuk menentukan apa nama yang patut digunakan untuk merujuk kepada Sang Pencipta. Melayu-Islam mempunyai hak untuk menghentikan penjualan minuman beralkohol dan menafikan pembinaan sebuah pawagam di kawasan majoriti Melayu.
Setiap Jumaat, Melayu-Islam berhak untuk melupakan sebentar kesedaran sivik mereka dengan meletakkan kereta di serata tempat seolah-olah jalan itu kepunyaan mereka. Melayu-Islam berhak untuk mengadakan ceramah agama untuk setiap sudut kejiranan hatta sehingga lewat malam.
Perdana Menteri haruslah seorang Melayu-Islam, perkhidmatan awam perlu diisi dengan Melayu-Islam dan badan-badan kerajaan perlu dilihat sebagai institusi milik Melayu, tugasan yang pertama dan terpenting adalah untuk melindungi kepentingan Melayu dan Islam.
Premis merasa lebih layak ini juga telah digunakan untuk mewajarkan penganiayaan serta diskriminasi terhadap golongan minoriti seksual dan agama, kononnya kerana termaktub dalam Perkara 3 yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Oleh itu, kita mengatakan bahawa LBGT tidak layak menerima perlindungan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan kerana orientasi seksual mereka bertentangan dengan Islam, walaupun kita mudah lupa perkara-perkara lain, seperti perjudian, juga dilarang dalam islam tetapi masih dibenarkan di Negara ini. Buku-buku telah disita dan diharamkan dan fatwa dianggap sebagai mutlak. Dalam keputusan baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan sehingga mengatakan bahawa integriti agama perlu dilindungi tanpa perlu kompromi. Adakah ‘tanpa perlu kompromi’ itu termasuk keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Negara ini?


Jangan tersilap, ini bukan semata-mata berkenaan Islam. Ini adalah berkenaan bagaimana kita mewajarkan diskriminasi, penganiayaan dan penafian secara terang-terangan terhadap hak  kebebasan asasi, semuanya atas nama agama. Ini berkenaan bagaimana kita melihat dan melayani orang lain sebagai ‘lebih rendah’ daripada kita kerana kita percaya yang kita yang lebih berhak untuk berbuat demikian. Kita membenarkan pencabulan ini kerana kita bekerja di bawah andaian sebagai Melayu-Islam, dengan hanya menjadi orang Melayu dan Islam, kita adalah berhak untuk memiliki yang terbaik di Negara ini kerana kita menduduki kedudukan yang lebih tinggi daripada yang lain daripada rakyat di luar sana.
Tiada sebarang asas undang-undang atau perlembagaan untuk mengabsahkan hal ini. Perkara 3 tidak menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dan Perkara 4 jelas memperuntukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Negara ini. Perkara 8 memperuntukkan bahawa setiap warga Negara adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata dari segi undang-undang. Perkara yang sering dipetik iaitu Perkara 153 tidak menjadikan Melayu-Islam lebih tinggi dalam undang-undang atau hakikat, ini hanya merizabkan kuota bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam hal-hal tertentu.
Jadi bagaimana sekiranya orang Islam adalah majoriti? Kita mempunyai kefahaman yang tempang mengenai demokrasi; seolah-olah dalam demokrasi, hak-hak minoriti adalah lebih rendah berbanding hak majoriti. Itulah sebabnya kita mempunyai Perlembagaan, untuk melindungi dan menjamin kebebasan asasi rakyat dari tirani golongan majoriti.
Kita seolah dapat merasakan nasib umat Islam yang menjadi golongan minoriti di negara-negara lain seperti Thailand, Filipina, Myanmar dan China. Kita menyeru kepada prinsip kebebasan beragama tatkala mendengar berita menara azan diharamkan di Switzerland atau berita burqa yang diharamkan  di Perancis. Sekiranya kita boleh menerima hak-hak minoriti orang Islam perlu dipelihara dalam menghadapi kaum majoriti, kenapa kita tidak mengambil semangat yang sama untuk melindungi hak-hak minoriti bukan Islam di tempat kita? Mengapa perlu hak-hak golongan lain boleh ditunaikan hanya selepas kita sendiri yang menganggap hak-hak itu sebagai boleh ditunaikan?
Jadi sebelum anda menyerang seseorang yang minum di hadapan anda ketika anda sedang berpuasa, tahan diri anda sebentar untuk fikirkan mengenai agama anda. Ketepikan perasaan sebagai lebih layak dan berfikir sebentar; adakah bermakna kerana anda sedang berpuasa, maka ini bermakna orang lain di sekeliling anda dimestikan untuk menyorok makanan dan minuman mereka daripada anda?
Ingat apa yang Islam telah terapkan dalam diri anda , bukan apa yang umat Islam telah memberitahu anda.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts