Oleh: Zulqarnain
i. Pendahuluan 1
Umar: Masakan aku boleh bisa tenang? Mereka cuba bunuh aku Man! Bunuh! Mati bukan perkara yang boleh dibuat main-main! Anak-anak aku Man?! Isteri aku?!
Hazman: (Diam membisu. Dia nyata bersetuju dengan perkara tersebut. Mati bukan perkara yang boleh dibuat main)
*Pentas gelap. Lighting memainkan peranan. Fokus hanya pada watak Umar. Malap-malap menonjolkan raut wajah.
Umar: Ya Allah. Ujian apakah ini Ya Allah.. Saat aku dikejar oleh penjenayah yang bebas berkeliaran di luar sana, masih ada elitas-elitas yang mengatakan Malaysia masih lagi aman. Memberi ingat kepada kita agar bersyukur ‘lah Malaysia masih lagi aman. Celaka lah mereka Ya Allah..
*Tirai ditarik perlahan sebagai tanda teater telah melabuhkan tirai.
i.i. Pendahuluan 2
Malaysia semakin tenat. Hidup persis lakon layar blockbuster movies. Tidak pun seakan-akan pementasan teater di Istana Budaya. Tiket-tiket dijual mengikut selera kapitalis. Masharakat kebanyakan hanya mampu membeli tempat duduk di tingkat 3 sementara ruang-ruang hadapan masih lagi banyak kekosongan.
Ah! Sekadar pementasan teater murahan. Ini bukan selera golongan atasan. Tempat mereka selayaknya di hotel-hotel bertaraf 5 bintang, restoran-restoran mewah atau pun membeli-belah di bandar-bandar elit.
Sementara kita – masharakat kebanyakan – melalui hari-hari dengan penuh rasa takut. Bimbang, kiranya pelakon yang akan ditamatkan kisah mereka dalam lakon layar ini adalah kita. Ajal kita dihujung picu pistol.
ii. Malaysia semakin tenat.
Sehingga ke hari ini, bermacam kisah menyayat hati – tak kurang ngeri hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi – menghiasi dada-dada akhbar, perkongsian di laman maya dan buah mulut masharakat Twitter sehingga membawa satu persoalan, apakah Malaysia masih lagi aman untuk didiami?
Jujurlah..
Bermula dengan kisah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia ditembak mati sewaktu menunggu di persimpangan lampu isyarat, kita hampir setiap hari – atau mungkin minggu – digemparkan dengan kisah-kisah sebegini. Pegawai sekian-sekian ditembak mati. Guru sekian-sekian parah. Pentas teater apakah ini?
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia ditembak bunuh kerana dipercayai berpegang teguh pada integriti diri. Pengerusi MyWatch parah ditembak kerana punya informasi hodoh lagi hina berkenaan dengan institusi oencegahan jenayah, Polis Diraja Malaysia sementara seorang guru ditembak mati usai sahaja keluar daripada pintu pagar sekolah kerana dikhabarkan punya masalah hutang.
Itu belum dibangkitkan segala masalah ragut, kecurian, rogol, peras ugut dan bermacam-macam jenayah yang berlaku di negara kita. Malaysia adalah satu negara membangun yang punya impian Wawasan 2020 tetapi melihat akan suasana semasa, Malaysia seakan-akan terjerumus ke dalam era kegelapan dan kemunduran.
Masharakat tidak punya ruang selesa untuk berpatisipasi. Persepsi terhadap negara semakin teruk. Inflasi semakin meningkat tinggi. Kos hidup membeban tidak selari dengan bilangan not yang disangka banyak. Itu sekadar menyentuh sedikit persoalan ekonomi – atau pun jangkaan perkembangan ekonomi menggunakan logik akal – tetapi ada yang lebih perlu diberi perhatian iaitu persoalan keamanan dan keselesaan masharakat.
Adalah menjadi kebimbangan apabila institusi yang diharapkan untuk menjadi penyelamat mahu pun benteng keamanan turut dipalit dengan masalah-masalah jenayah. Kepada siapa lagi masharakat mahu mengharap belas? Sistem yang sedia ada belum cukup meyakinkan, ditambah pula dengan masalah-masalah yang baru ditimbulkan. Rentetan ini amatlah menggusarkan dan menimbulkan satu persoalan, ke mana mahu dipacu tanah air tanah tumpah darah ini?
iii. Jalan keluar.
Berbekal rasa cinta yang tidak pula nipis tidak pula tebal, penulis melihat jalan keluar kepada permasalahan-permasalahan ini perlu komitmen semua. Reformasi mahu pun transformasi ini bukan sekadar kepimpinan peneraju negara malah masharakat perlu memainkan peranan mereka.
Masharakat perlu me-reformasikan atau me-transformasikan mereka terlebih dahulu. Masharakat perlu jadi cakna komuniti. Masharakat tidak boleh lagi takut kepada golongan oppressors. Masalah umum adalah masalah bersama. Jaga kain bersama-sama, cumanya jangan diselak kain itu. Aib itu perkara peribadi. Kita budayakan sikap sayang-menyayang, hormat-menghormati.
Perubahan sistem yang tidak didokong oleh masharakat tidak akan ke mana-mana. Ide dan harapan hanya tinggal kenangan untuk terus-terusan dikenang oleh generasi masa depan. Anak-anak harus dibentuk dan dididik sejak kecil lagi. Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Ibu bapa juga perlu memelihara hubungan keluarga – baik dari segi meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga mahu pun mengelakkan masalah-masalah rumah tangga.
Pendidikan harus diberi keutamaan. Biarlah kita bergolok gadai demi masa depan anak-anak yang dicinta. Jikalau takut dibiarkan sakit tua dan ditinggalkan oleh mereka anak-anak kita, didiklah mereka bukan sahaja ‘ilmu dunia. Ajarkan mereka kasih sayang dan cinta. Bentukkan mereka kepribadian yang luhur. Matlamat hidup di dunia adalah untuk akhirat sana. Insya-Allah kita pasti senang dengan anak-anak kita, paling kurang doa daripada anak-anak yang soleh dan solehah.
iv. Penutup.
Salah satu kunci kepada perubahan adalah pendidikan. Didiklah diri agar terus berbakti membentuk masharakat ini melalui apa jua cara sekali pun. Biarlah erti hidup pada memberi.
Pemerkasaan institusi pencegahan jenayah juga perlu. Kes-kes tangkap muat seperti mengambil sesiapa sahaja sebagai ejen keamanan perlu diteliti kembali. Ejen-ejen keamanan ini mesti tinggi nilai dirinya. Prinsipnya harus dipegang sampai mati. Setiap deru nafas adalah ibadah untuk menolak segala kejahatan dan pihak bertanggungjawab perlu menilai kembali skim gaji mereka.
Jangan kita (pihak bertanggungjawab) hidup mewah tetapi masharakat kebanyakan – khusunya pihak polis – diabaikan keselesaan hidup mereka. Gaji biarlah setimpal dengan beban dan tanggungjawab mereka. Tidak mereka mengharapkan rumah mewah di atas bukit atau pun istana bertingkat-tingkat, saya percaya mereka hanya perlu sedikit wang lebihan untuk membina masa depan yang lebih cerah.
Jangan kita (pihak bertanggungjawab) hidup mewah tetapi masharakat kebanyakan – khusunya pihak polis – diabaikan keselesaan hidup mereka. Gaji biarlah setimpal dengan beban dan tanggungjawab mereka. Tidak mereka mengharapkan rumah mewah di atas bukit atau pun istana bertingkat-tingkat, saya percaya mereka hanya perlu sedikit wang lebihan untuk membina masa depan yang lebih cerah.
No comments:
Post a Comment