Kepada Tuan Presiden,
Sebagaimana Tuan Presiden memulakan surat Tuan Presiden dengan
memetik kata-kata bekas Presiden Parti Islam se-Malaya, Dr Burhanuddin
al-Helmy, maka izinkan saya memulakan coretan ringkas ini dengan pantun melayu
dahulu kala;
Kalau roboh Kota Melaka
papan di Jawa saya dirikan,
kalau sungguh bagai dikata
nyawa dan badan saya serahkan.
Tuan Presiden,
Seperti surat Tuan Presiden, surat ini saya tujukan khas kepada
semua saudara seagama, sebangsa dan senegara. Ini adalah ungkapan ikhlas dari
hati, atas kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi bahawa
hati-hati yang beriman adalah seketul daging yang mulia, dan kemuliaan itu
bukan kerana bangsa semata-mata. Yang utamanya adalah kerana takwa.
DAN, takwa itu tidak akan sekali-kali membenarkan yang salah, dan
menohmahkan segala yang benar. Seperti mana qudwah yang ditonjolkan oleh
Khalifah Umar al-Khattab dan darah daging beliau yang masyur dalam sejarah,
Umar al-Aziz, maka saya percaya keadilan adalah nukleus kepada segala-galanya.
Pertamanya, terima kasih kepada Tuan Presiden kerana meluangkan masa
menulis surat tersebut. Alhamdulillah isi-isinya saya dapat, dan insyaAllah
akan saya pegang erat-erat. Namun, saya pohon kebenaran untuk khilaf dalam
beberapa perkara.
Tuan Presiden,
Saya kira secara keseluruhan tiada salahnya seruan Tuan Presiden.
Saya percaya kasih terhadap kaum sebangsa tiada salahnya selagi mana tidak
bercanggah dengan kebenaran. Inilah iktibar yang saya kutip di celah-celah
mutiara sejarah silam Islam yang gemilang seperti mana qudwah yang ditonjolkan
oleh Khalifah Uthman al-Affan. Namun demikian, bacaan politik saya terhadap
Tuan Presiden sedikit berbeza. Tuan Presiden pada kebanyakan masa lebih
mengasihi bangsa daripada kebenaran yang nyata. Tuan Presiden sering kalinya
diam pada masalah-masalah negara, tetapi rajin bersuara pada hal yang lainnya.
Saya ingin sekali melihat jiwa-jiwa yang ditarbiyah ini larut dalam
masyarakat – berdakwah dan membela golongan yang susah. Mereka tidak sekadar
berjuang memartabatkan bangsa mereka dengan ucapan-ucapan berbisa bahkan turut
membantu bangsa mereka berdiri dan berjuang di atas satu padang yang rata.
Rasuah, baik dari apa jua bangsa pun, dari sudut pandang mana-mana agama pun,
adalah satu barah yang jijik dan hina. Sedihnya, Malaysia dan melayu adalah
pesakitnya.
Tuan Presiden,
Sebagai seorang warganegara Malaysia yang mahu melihat wujudnya
bangsa Malaysia – tanpa meleburkan nilai-nilai Melayu dan utamanya nilai-nilai
islami – berpendapat beberapa kenyataan Tuan Presiden mengguris hati
rakan-rakan yang pernah dahulunya turut sama berlari di bendang, teman-teman
yang pernah dahulu setilam dan guru-guru yang sama-sama berpeluh tatkala
kelas-kelas mengalami gangguan bekalan eletrik.
Anak-anak Malaysia. Jangan kita tinggalkan yang huru-hara kepada mereka. |
Sebagai sebuah organisasi dakwah, saya percaya, maqasidnya adalah
mendekatkan masyarakat kepada Islam. Tetapi, berdasarkan beberapa kenyataan
yang dibuat, tindakan-tindakan tersebut dilihat boleh menjauhkan lagi mereka
yang masih belum menerima hidayah dan menimbulkan rasa jelek dan khuatir
masyarakat Islam yang lainnya. Bukankah jalan-jalan itu adalah kepada fitnah?
Bukankah kita dilarang dekat kepada fitnah? Mohon tunjuk ajar Tuan Presiden.
Mohon maaf. Seperkara lagi, saya berpendapat ketakutan (inilah) yang
akan membelenggu pemikiran dan kehendak bangsa Melayu; dalam konteks yang
dibicarakan oleh Tuan Presiden. Ketakutan ini boleh juga menjadi antara punca
tergadainya tanah air kita. Ayuh, daripada takut, kita bertukar kepada waspada.
Waspada bukan sekadar pada kaum yang lainnya, tetapi jua pada mereka yang
sebangsa.
Sering kali dibicarakan, dipesan-pesan di dalam usrah, bahawa
tingkatan ukhuwwah itu ada tiga. Pada tingkatan yang paling bawah adalah
bersangka baik. Bersangka baik pada mereka yang berpegang pada tali Allah.
Bukan pada akar-akar bangsa. Qudwah daripada yang dikasihi Rasulullah Muhammad
sallahualay hi wasallam juga harus dibumi dalam kehidupan seharian. Pada mulut
yang mengeji dan mencaci baginda Rasulullah SAW itulah yang baginda suapkan
dengan penuh kasih sayang. Jangan pula kita kemas berpegang pada celaan Allah
SWT terhadap Abu Lahab seandainya dakwah tidak secekal Muhammad.
Dakwah adalah cinta. |
Penutup bicara, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru
kepada semua tidak mengira pada takdir bangsa yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang
Maha Esa, bahawasanya berpeganglah kita pada tali kebenaran agar kita tidak
hanyut daripada jalan munuju Tuhan. Jangan sekali-kali kecewa dengan dakwah
kerana pesan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemberi Hidayah bahawa
sekiranya Dia berkehendak nescaya seluruh alam ini boleh bergema dengan kalimah
syahadah.
Kepada anak-anak Malaysia yang lainnya pula,
kesatuan ini harus kita bina dan kukuhkan. Kesatuan itu ibarat sebuah rumah dan
saya percaya tiangnya adalah ketaatan kepada Tuhan, dindingnya adalah keadilan
dan kejujuran manakala atapnya adalah toleransi dan kebersamaan. Ranaplah rumah
tanpa tiang. Tiadalah dinamakan rumah tanpa dinding dan bertambahnya malang
bilamana rumah tiada beratap. Kuyuplah dilanda hujan fitnah.
Salam perjuangan.
No comments:
Post a Comment