Monday 12 May 2014

Akhlak Dalam Dakwah, Cerminan Akidah Daie



Pembinaan tamadun menurut Ibn Khaldun dalam magnum opusnya, Muqaddimah telah menetapkan bahawasanya tamadun itu tidak tertegak semata-mata kerana pembinaan fizikal tetapi turut sama didokong dengan pembinaan modal insan. Sejarah telah menjadi saksi keruntuhan-keruntuhan tamadun dunia seumpama Tamadun Rom, adalah berpunca daripada keruntuhan moral insan. Akhirnya Tamadun Rom lenyap. Yang tinggal hanya tulisan-tulisan dan cerita-cerita untuk kita ambil pengajaran [sekiranya kita dalam kalangan mereka yang mengambil pengajaran yakni Ulul Albab].

Pembinaan moral adalah satu tiang penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti tinggi. Di dalam Islam [rujuk: akhlaq] perkara inilah yang senantiasa dipegang bersama-sama dengan konsep monotoisme [rujuk: aqidah]. Bahkan, Buya HAMKA senantiasa menegaskan [rujuk: konsep tasawuf] tidak beriman tanpa amal [salih]. Hal ini dikupas khusus oleh Buya Hamka dalam bukunya “Kesepaduan Iman dan Amal Salih”.




Menyoroti permasalahan masyarakat masa kini, kita dapat melihat betapa permasalahan sosial yang kritikal adalah berpunca daripada beberapa perkara dan antaranya adalah kegagalan membumikan akhlaq dalam kehidupan seharian. Iman Abu A’la al-Maudidi dalam bukunya “Syahadatul Haq” telah menegaskan betapa kalimah syahadat itu tidak sekadar lafaz di bibir dan iktikad di hati bahkan seharusnya terbit dalam perlakuan seharian.

Lalu muhasabahnya, adakah kita beriman dengan sebenar-benar beriman? Adakah kita golongan yang disebut sebagai bertakwa yang senantiasa diulang-ulang di dalam al-Quran?

Ayuh kita imbau kembali sejarah 80’an yang mana sewaktu zaman tersebut cukup popular dengan elemen takfir [kafir mengkafir]. Hal ini tercatat dalam sejarah politik Malaysia dan seharusnya kekal dalam jalur sejarah yang diambil iktibar, bukan dalam jalur sejarah yang cukup sekadar diambil khabar. Isunya adalah penolakan sesetengah golongan terhadap perkara-perkara asas dalam agama; yakni bersangkut paut dengan akidah, syahadatul haq.


Secara konteksnya, umum percaya bahawa beberapa metode dakwah pada waktu ketika tersebut adalah bersesuaian dengan ruang lingkup zaman tersebut. Pada zaman tersebut, gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia ditekan dan natijahnya adalah lahirlah iijtihad-ijtihad yang dilihat keras dari sudut dakwah walhal tidak bercanggahan dari sudut akidah secara umumnya. Ijtihad-ijtihad yang tegas pada waktu ketika tersebut telah memperlihatkan seolah-olah pendakwah adalah pemilik syurga dan neraka.


[DAN, hal ini selayaknya kita kupas lebih lanjut dari sudut psikologi dakwah dan pendakwah.]

30 tahun berlalu. Kita melihat Tamadun Malaysia yang cuba dibina terjerat di antara dua; menuju kehancuran atau menuju kejayaan. Menuju kehancuran kerana kita tidak menuai akhlaq daripada pohon-pohon kehidupan. Ada harapan kepada kejayaan kerana baja dan siramannya adalah berdasarkan perkara-perkara basis [yang penting dan utama].

Falsafah Pendidikan Kebangsaan didirikan atas kepercayaan kepada Tuhan yang mana secara umumnya kita percaya, setiap agama menzahirkan kebaikan [penegasan: tidak semua menganjurkan kebenaran]. Masih ada harapan kerana kita melihat wujud sebilangan modal insan yang berjuang teguh [bahkan ada yang mewakafkan diri mereka] untuk mengajak kepada kebenaran [berdakwah]. Mereka berta’awun pada tujuan kebaikan. Mereka bertahaluf atas perkara-perkara yang tidak bercanggahan dengan iman.




Kita percaya jalan-jalan kejayaan walau likunya berbagai dan mehnahnya menggunung tinggi tetap akhirnya kebaikan jualah yang mengatasi keburukan, tetap akhirnya kejayaan yang baik mengatasi kegagalan yang buruk dan sesungguhnya sikap kita semestilah tidak sekadar percaya sebaliknya turut bersama mereka yang teguh menyampaikan kebenaran.


30 tahun telah berlalu. Zaman kian berubah dan penentangan terhadap penyebaran Islam yang syumul dan benar makin kurang halangannya. Justeru kita khuatir sekiranya masih ada yang terperangkap dalam sejarah lama dan tidak pula mengambil pengajaran. Pesan al-fadhil Ustaz hafizallahu ta’ala, kita pendakwah, bukan penghukum. Kita penyebar kebenaran bukan penabur fitnah. Kita adalah kader-kader [rujuk: yang ditarbiyah]adalah diibaratkan seperti kitab-kitab terbuka. Ke mana sahaja kita melangkah, masyarakat sekeliling akan membacanya untuk dijadikan pedoman (Suhaizan Kaiat, 2014).   



Kita bukan pencetus provokasi, sebaliknya kita adalah kader-kader yang akan menjadikan setiap perkara sebagai opurtuniti – kepada dakwah.


Salam perjuangan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts