Thursday, 29 August 2013

Esei Hari Merdeka, dari Murid Kelas 4 Berkat.


oleh Abbas Alias


Soalan :  Tuliskan sebuah esei mengenai sambutan kemerdekaan anda pada tahun lepas. Masukkan tema kemerdekaan dan nilai-nilai murni dan apa harapan anda untuk hari kemerdekaan pada tahun ini.



Nama :   hayy yaqzan                                                           Kelas : 4 Berkat


                      Sebulan sebelum hari merdeka, cikgu memberitahu bahawa kami perlu membawa bendera malaysia yang kecil ke sekolah setiap kali perhimpunan pada hari Isnin. Selepas cikgu berlalu pergi, saya dan teman-teman rapat saya duduk berbincang. Saya sebenarnya ragu-ragu sebab tidak tahu dimana untuk mendapatkan bendera Malaysia. Ini merupakan perbincangan kami.


Saya : Korang, korang beli ka nak buat sendiri bendera Malaysia ni?

Kawan A : Aku nak beli, tapi aku tanya mak aku dulu kalau dia ada duit ka tidak.

Kawan B : Aku punya ayah sudah ada bendera itu di kereta nya, aku cabut saja tiap hari isnin bawa ke sekolah.

Saya : Kau kaya, senang lah. Ayahmu kerja pegawai kerajaan, tidak ada bendera lebih kah?

Kawan B : Kalau ada pun aku akan bagi kepada gadis baru tu. Dia tiada kawan. Maaflah haha, aku nak berkawan dengan nya.

Kawan A : Alah, susah susah kita lukis saja atas kertas
.
Saya : Tapi bintang bucu 14 ku tak pernah jadi. Mesti cacat. Dan bendera nanti akan dikibarkan, mesti tercabut dari kayunya atau terkoyak.

              Begitulah  perbincangan kami. Loceng sekolah berbunyi menandakan tempoh sekolah pada tengahari itu sudah tamat. Saya pun menuju keluar pagar dan berjalan pulang ke rumah sambil memikirkan halnya bendera saya. Apabila melepasi kawasan tempat letak kereta para guru, saya perasan sudah ada banyak kereta guru yang meletakkan bendera malaysia di kereta masing-masing. Ada yang letak satu, ada juga yang letak banyak. Saya tundukkan kembali kepala saya.


            Berjalan kaki selama 20 minit ke rumah dari sekolah selalunya sesuatu yang tidak saya sukai. Kerana hari panas sudah tentu baju saya basah oleh peluh. Saya pula tidak dibenarkan memakai topi, kerana topi adalah antara barangan yang tidak boleh dibawa ke sekolah. Nanti pengawas rampas. Tetapi pada hari itu, kepala saya asyik memikirkan mengenai halnya bendera saya. 


              Ayah saya tiada mempunyai kerja tetap setelah dipindahkan ke pekan ini. Dua tahun dahulu kami hidup senang sedikit berbanding sekarang. Tetapi kami dipaksa pindah kerana negara ini memerlukan elektrik yang akan dihasilkan oleh empangan. Empangan yang dibuat pula bukan dibuat begitu sahaja, berekar-ekar kawasan hutan perlu ditebang. Ayah amat berang kerana kawasan itulah tempat kami tinggal dan berburu binatang. Tetapi cikgu di sekolah ini memuji tindakan negara yang membina empangan. Katanya, setiap orang perlu membuat pengorbanan untuk negara. "Jangan tanya apa yang negara lakukan untuk kamu, tanya apa yang kamu sudah buat untuk negara", kata cikgu muda dari seberang itu. "Saya juga telah mengorbankan kesenangan di bandar asal saya untuk datang kemari mengajar kamu. Tetapi kamu masih tidak menghargai perngorbanan kami" sambung cikgu dari seberang itu lagi.


             Selepas kelas tersebut, saya ada tanya kawan saya, B yang pernah ke seberang, apa yang ada di sana , kerana ingin tahu apa yang cikgu tinggalkan untuk mengajar ke sini. B, anak pegawai kerajaan sudah pernah pergi ke bandar seberang pada cuti tempoh hari. B memberitahu saya bahawa di sana, di luar sekolah mereka, ada tempat menunggu bas yang berbumbung. Pelajar tidak perlu menunggu duduk di tepi parit bawah terik panas untuk tunggu bas. Dan hampir tiada yang berjalan kaki. 

 "Oh mereka semua duduk dekat-dekat situ kah?" tanya saya.

"Bukan! Mak aku kata siapa berani suruh anak umur 9 tahun berjalan seorang diri pulang ke rumah. Disana ramai penjahat! Kau jalan sendiri mereka culik kau!" jawab B.


           Jawapan itu membuat saya hairan. Lebih baik lagi hidup disini dari hidup sana, kataku kepada B.

"Ah kau ni macam orang bodoh. Di sana senang, banyak tempat membeli belah yang berhawa dingin. Guru-guru muda macam cikgu kita itu suka ke tempat begitu. Dan mereka ada panggung. Skrin panggung mereka lebih besar dari panjang kelas kita!Mereka duduk di kerusi empuk!ada kusyen!" jawab B lagi.


           B gelak ketawa selepas itu. Saya memandang sekeliling. Kerusi kayu yang sandarnya ada yang sudah patah. Kerusi yang kakinya tinggal tiga. Yang kaki empat pun belum tentu duduk kami rata. Kerana lantai simen tidak sekata. 


           Saya meneruskan perjalanan saya. Beg amat berat. Buku teks lima buah subjek, termasuk buku kerja dan buku latihan semua dibelakang bahu.Bukannya cikgu akan menggunakan buku teks setiap hari.  Hendak tinggalkan sahaja di rumah, nanti di denda cikgu. Hendak ditinggalkan di sekolah, tidak dibagi.


           Saya kembali memikirkan rumah lama di pekan yang kini sudah dimusnahkan. Saya teringat perjumpaan orang orang tua mengenai notis dari bandar, mengarah kami berpindah. Kami akan diberikan duit pampasan, kata notis tersebut. Duit pampasan yang lepas dua tahun pun tidak muncul muncul. Datang beberapa orang dari luar dan bandar, ayah mengatakan mereka ini aktivis.Mereka orang prihatin. Saya hairan, hampir semua mereka orang berkulit putih.Sedikit sahaja orang kami. Mereka mendokumentasikan nasib kami dan berjanji akan menyebarkan berita penindasan ke luar negara. Saya tidak faham apa yang mahu dihebahkan keluar negara. Apa bukan lagi baikkah kalau dihebah kan untuk dalam negara ini sahaja?


           Saya berhenti seketika di blok kedai. Tekak saya sangat haus,tetapi saya tiada duit.Botol air saya sudah kehabisan likuid. Sebuah kedai itu saya perasan ada menjual beberapa bendera Malaysia. Saya tidak perlu tengok harga saya sudah tahu saya tidak akan mampu membelinya. Tokay kedai itu pula saya tidak nampak dimana. Mungkin berada di belakang kedai. Saya lihat tepi-tepi saya. Seorang pun tidak ada. Ada makcik yang menjual kuih muih tetapi dia membelakangi saya. Cepat-cepat tangan saya mengambil salah satu bendera itu dan ingin terus berlari ke rumah. Saya akan bayar bila ada duit nanti, ini saya janji.


             Kemudian saya merasakan  kolar baju uniform saya ditarik dan terdengar bunyi suara tengking, kuat sekali. Rupanya tokay itu bukan dibelakang kedai, saya sendiri tidak perasan dia di sebalik rak di belakang saya. Kepala saya ditamparnya. Tokay itu berang dan membuat bising. Orang-orang dari kedai sebelah keluar untuk melihat.Salah seorang dari orang-orang itu adalah cikgu. Cikgu kemudian memarahi saya dan berjanji akan membawa kes ini ke pengetahuan ibu bapa dan gurubesar.


             Hari Isnin kemudian, dikala semua murid-murid berdiri tegak dengan bendera mereka, saya berdiri di atas pentas, di hujung sekali, tiada berbendera. Itu lah denda biasa untuk kanak-kanak nakal yang memalukan nama sekolah. Guru besar dan guru disiplin berucap, dan menyebutkan erti kemerdekaan, serta turut menuding ke arah saya sebagai anasir-anasir yang menggagalkan makna sebenar kemerdekaan. 

            Tema tahun lepas adalah janji ditepati. Saya telah berjanji di dalam hati akan membayar untuk bendera yang saya ambil awal. Dan saya tepati janji saya pada sebulan selepasnya, kepada tokay tersebut. Tapi bendera turut saya tidak dapat. Itu denda untuk budak nakal, kata tokay. 

           Cikgu tanya  apa erti kemerdekaan bagi saya? Maaf, tahun ini, saya tiada juga berbendera.



Banyak kesalahan tatabahasa! Tidak menjawab soalan esei, tiada nilai murni! Jumpa saya waktu rehat!


No comments:

Post a Comment

Popular Posts