Friday, 6 September 2013

Isu Serangan ke atas Syria; Antara Assad,Amerika dan Mujahidin


oleh Abbas Alias
Disclaimer : Pendapat di dalam artikel ini tidak mewakili pendapat penulis-penulis lain dalam Cakna Anak Perantau.

Setelah video-video dan gambar yang memaparkan puluhan(atau ratusan) orang Syria yang terkena serangan kimia muncul di alam maya, tiada yang lain dipaparkan di rancangan berita sekarang, iaitu, kemungkinan serangan ketenteraan keatas rejim Bashar Assad di Syria yang akan dilakukan oleh kuasa-kuasa Barat.

             21 Ogos yang lalu, ketika sesetengah dunia muslim sayu mengenangkan kejadian yang berlaku di Mesir, kita digemparkan pula dengan gambar-gambar dan video kanak-kanak dan wanita Syria yang mati tanpa berdarah, akibat serangan kimia. Walaupun telah beratus ribu warga Syria mati sebelum-sebelum ini akibat perang saudara di Syria, dan ramai lagi yang menjadi pelarian, seolah-olah, angka maut yang besar ini tidak dipedulikan oleh warga dunia. Hanya ketika dunia mengetahui bahawa serangan kimia telah dilakukan, barulah kita mendengar kuasa-kuasa besar yang selalu melantik diri sendiri sebagai penyelamat,iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Perancis mengutarakan isu serangan ketenteraan keatas rejim Bashar Assad .

Hipokrisi Kuasa-kuasa Barat :"War on Terror" terhadap Iraq dan Afghanistan



          Di dalam dunia yang ideal, masyarakat dunia akan mengalu-alukan perbuatan altruistik ini dan akan memandang murni akan mana-mana kuasa besar yang sanggup berbahas begitu semangat akan kepentingan untuk menyokong revolusioner di Syria. Namun begitu, tidak pula dalam konteks ini. Masih segar di memori masyarakat dunia dengan drama ‘War On Terror’ yang diterajui oleh Amerika Syarikat yang turut disokong oleh Britain, Perancis dan negara-negara yang lain. War On Terror ini belum pula habis sepenuhnya, walaupun dengan penarikan kembali beratus ribu tentera AS dari Iraq oleh Obama. Walaupun secara rasminnya, perang keatas Iraq telah pun tamat,namun begitu, negara-negara seperti Yemen, Afghanistan dan Pakistan hampir setiap hari dijatuhkan keatas mereka bom dari jentera drone, sebuah jet yang dikawal dari jauh untuk melancarkan serangan keatas "teroris". "Teroris" ini pula kebanyakannya golongan petani yang biasa termasuklah wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.


          Tahun 2003, Amerika Syarikat dan Britain menipu warga mereka sendiri dan warga dunia apabila mengesahkan mengikut perisikan mereka bahawa Saddam Hussain di Iraq mempunyai WMD, ataupun Weapon of Mass Destruction(Senjata yang mengakibatkan kerosakan secara besar-besaran). Fail-fail tebal dibentangkan dalam House of Commons (Dewan Parlimen mereka) di Britain yang dikatakan mengandungi siasatan oleh badan perisikan yang memberi kepastian bahawa WMD benar-benar terdapat di Iraq. Tony Blair, perdana menteri Britain ketika itu, mendapat sokongan majoriti dari dewan tersebut untuk meneruskan rancangannya menurunkan tentera UK di Iraq. Afghanistan pula sudahpun mula diserang pada tahun 2001 yang mengakibatkan kejatuhan rejim Taliban.

           Begitu juga Amerika Syarikat yang bersungguh-sungguh menggesa PBB untuk menyerang Iraq. Colin Powell, Setiausaha AS pada ketika itu membentangkan kepada PBB mengenai isu WMD di Iraq dan peranan dunia untuk memberhentikan keupayaan Iraq dari melancarkan WMD tersebut.


         Alasan untuk perang ini ,walaupun lebih menjurus kepada efek dari serangan teroris keatas Amerika pada 11 September 2001, turut dikatakan sebagai suatu misi untuk membebaskan rakyat Iraq dari rejim Saddam Hussain, yang tidak dinafikan memang merupakan seorang diktator. Salah satu kejahatan terbesar Saddam Husain ialah apabila melakukan serangan kimia keatas puak Kurd di Halabja,Iraq pada tahun 1988 yang mengakibatkan kematian antara 3000 ke 5000 orang Kurd (Oh, jika anda tertanya, Saddam Hussain serta puak Kurd di Halabja merupakan Sunni islam). 


         Amerika Syarikat pada ketika itu tidak pula menghantar tentera untuk “menyelamatkan” orang Kurd, ini kerana pada tahun itu, Iraq merupakan kuasa di Timur Tengah yang kuat menentang Iran, musuh Amerika Syarikat. (Lucunya sejurus selepas serangan kimia keatas populasi Halabja, Amerika Syarikat meletakkan kesalahan serangan ini ketas Iran, dengan mengatakan siasatan CIA menunjukkan sebegitu. Namun, untuk persediaan sebelum perang Iraq pada tahun 2003, CIA pula membetulkan tuduhan mereka, dengan mengatakan bahawa Saddam Husseinlah yang bertanggungjawab keatas pembunuhan beramai-ramai di Halabja. Ini juga menunjukkan betapa senang badan-badan perisikan dan kerajaan-kerajaan Barat menggunakan informasi dan fakta yang kelihatan sah dan saintifik untuk membentuk pandangan dunia.) Perihal WMD yang dicanang-canangkan sebagai wujud dibawah kuasa Saddam Hussain pula tidak dijumpai setelah tentera Amerika serta sekutunya mendarat di negara Iraq. Mereka kemudian mengakui fakta yang disandarkan adalah fakta yang salah; i.e, tiada WMD di Iraq.


Propaganda sama untuk membina sokongan perang ke atas Syria


             Kembali pula kepada cerita Syria pada masa kini, selepas berita mengenai serangan kimia pada 21 August lalu, yang juga merupakan sehari selepas penyiasat-penyiasat dari UN masuk ke Syria untuk membuat penyiasatan khusus mengenai apakah ada pihak yang menggunakan senjata kimia ( tuduhan mengenai ada pihak yang menggunakan senjata kimia telah pun dibuat sebelum ini dan PBB menerima 14 laporan mengenai penggunaan bahan kimia dalam perang saudara di Syria, tetapi hanya dapat masuk ke Syria pada hujung bulan Ogos), kita sekali lagi mendengar suara-suara yang ingin menyerang Syria dari Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.


            30 Ogos 2013, Perdana Menteri Britain, David Cameron membentangkan motion debatnya di House of Commons di hadapan semua ahli parlimen Britain untuk melancarkan serangan keatas rejim Assad di Syria, secara khusus mengatakan dunia tidak boleh berdiam diri apabila Assad melancarkan serangan kimia ini. Setelah berbahas selama beberapa jam, ahli parlimen Britain mengundi dan keputusannya; 285 tidak bersetuju untuk Britain melibatkan diri dalam serangan keatas Syria, manakala 272 bersetuju. David Cameron dikalahkan secara tipis dan Britain tidak akan menyertai mana-mana serangan keatas Syria.

David Cameron, perdana menteri Britain ketika membahaskan isu keterlibatan Britain dalam serangan keatas Syria.



                Amerika Syarikat,apabila ditinggalkan oleh sekutu terkuatnya dalam hal serangan keatas Syria, tidak pula berputus asa. John Kerry, Ketua Setiausaha AS serta Presiden Obama tidak putus-putus menyeru pembuat-pembuat polisi di Amerika serta rakyat Amerika untuk menyokong tindakan Amerika Syarikat (AS) yang ingin menyerang Syria. Dua hari yang lepas (4 Sep 2013), Dewan Senat AS telah meluluskan resolusi untuk menyerang Syria secara terhad dan Kongres pula akan bersidang untuk mengundi keatas resolusi yang sama. Media-media utama Amerika Syarikat mengulangi lagi peranan mereka pada sebelum tahun 2003 iaitu menjadi mesin propaganda untuk kerajaan Amerika Syarikat.


           Perlu juga diketahui disini bahawa pelan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan keatas Syria tidak sama seperti perang keatas Iraq yang dilakukan tahun 2003, dimana beratus ribu tentera Amerika Syarikat diturunkan di Iraq. Kali ini, AS menjanjikan rakyatnya yang sudah jemu dan trauma dengan perang dan kematian anak bangsa mereka di negara orang ( hampir 4,500 tentera AS terkorban di Iraq, beratus-ratus ribu lagi cedera), bahawa AS tidak akan menurunkan tentera di Syria;  hanya roket yang akan dilancarkan dari beberapa buah kapal US Navy yang berada berdekatan Syria. Jet pejuang Amerika juga tidak akan terlibat. John Kerry, Senator Mc Cain, Chuck Hagel( ketua pertahanan AS) dan Presiden Obama berkali-kali mengeluarkan pernyataan bahawa tiada rakyat Amerika yang akan secara fizikal pergi berperang ke Syria, oleh itu, rakyat AS tidak perlu bimbang akan jumlah yang akan terkorban.

Obama bertemu dengan beberapa pembuat-pembuat polisi Amerika Syarikat sebelum pergi ke pertemuan G20.

           
             Kini, ketika artikel ini ditulis, kumpulan Presiden Obama sedang sibuk berjumpa dengan ahli-ahli Kongres Amerika untuk memujuk mereka supaya menyokong Presiden apabila undian dibuat kelak. Berita baru sekarang pula ialah AIPAC, sebuah badan lobi pro-Israel yang sungguh berpengaruh dalam politik AS, berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuk ahli-ahli Kongres supaya menyokong Obama untuk melancarkan serangan keatas Syria. Alasannya, jika Assad dibiarkan bergitu sahaja, ini akan menguatkan posisi Iran di Timur Tengah, dan Iran yang kuat adalah berita buruk bagi Israel. Lebih kurang 250 pemimpin dari AIPAC akan pergi ke Capitol Hill(tempat bersidang Kongres Amerika) untuk memujuk pembuat-pembuat polisi Amerika ini.

              Majoriti rakyat Amerika Syarikat tidak mahu negara mereka terlibat dalam perang saudara di Syria, ini jelas disaksikan dalam survey yang dibuat Reuters dimana 56 peratus rakyat Amerika tidak mahu terlibat, hanya 19 peratus sahaja yang katakan ya untuk menyerang Syria.

Reaksi Pemimpin-pemimpin Arab 


           Reaksi dari pemimpin-pemimpin Arab pula, secara majoriti menyokong tindakan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan keatas Syria. Liga Arab menyelar Syria dan terus tanpa apa-apa siasatan menyalahkan serangan kimia keatas Assad. Antara negara-negara Arab yang menyokong tindakan kuasa-kuasa barat untuk menyerang Syria ialah Saudi Arabia, Qatar, UAE. Negara Turki(walaupun bukan Negara Arab) turut juga menjadi suara yang lantang dalam menyokong serangan keatas Syria. Terbaru, John Kerry mengatakan beberapa Negara Arab bersetuju untuk menanggung kos serangan ini. Dalam erti kata lain, negara-negara Arab ini tidak lain dan tidak bukan ingin membayar kuasa-kuasa Barat untuk menyerang Syria dan Bashar Assad. Tidak menghairankan, kerana negara-negara yang disebut ini sememangnya diketahui berseteru dengan negara Iran, yang merupakan sekutu Syria (Mesir juga antara negara Arab yang tidak bersetuju Syria diserang oleh Amerika dan sekutunya). Sentimen sektarian syiah dan sunni turut dimainkan dan adalah antara paling tinggi di negara-negara Islam ketika ini, dan Malaysia juga tidak lari dari fenomena anti-syiah yang secara tiba-tiba menjadi semakin lantang.


Apa pula pendirian dunia Islam?


            Sesungguhnya, situasi Syria amat rumit khususnya kepada umat Islam yang inginkan keadilan keatas kezaliman yang dilakukan oleh Assad. Perasaan berbelah bahagi ini turut dirasakan oleh golongan progresif dan mereka yang berhaluan kiri. Bashar Assad memang seorang diktator kejam, zalim dan bertanggungjawab dalam membunuh beratus-ratus ribu rakyatnya sendiri. Penyeksaan yang berlaku dalam penjara-penjara Syria keatas mereka yang berani menentang Assad banyak sudah diceritakan didalam berita dan media-media. Namun begitu,pada masa yang sama, Amerika Syarikat dan kuasa Barat yang lain amat ketara mahu masuk ke arena ini kerana kepentingan geopolitik yang lain.


               Apa yang terjadi di Syria pada mulanya sama sahaja seperti di Tunisia, Mesir dan Yemen, iaitu ingin bangkit melawan diktator. Namun, kemasukan secara beramai-ramai pejuang dari tempat lain seperti Libya, Afghanistan,Iraq dan negara-negara Arab yang lain telah meledakkan apa yang sebelumnya sebuah protes tanpa senjata terhadap pemerintah , kepada sebuah perang saudara. Senjata api pula dibekalkan oleh negara-negara Arab seperti Saudi Arabia,Qatar melalui sempadan di Turki( Ironi di sini kerana dalam isu Mesir, Saudi Arabia memihak kepada pihak tentera/Jeneral Sisi). Beratus-ratus ribu rakyat Syria terpaksa menjadi pelarian kerana ketidakstabilan yang dihasilkan ini. Inilah juga sebabnya mengapa sesetengah ulama yang berpendapat,mana-mana protes terhadap kerajaan ,walaubagaimana zalim pun ia adalah tidak sah, kerana akhirnya akan mengakibatkan keburukan yang lebih lagi, seperti isu Syria ini. (Penulis tidak bersetuju dengan pandangan ini, namun isu ini memerlukan ruang dan masa yang lain untuk dihuraikan.)


Peranan Mujahidin dari Luar


          Ini mungkin agak sensitif dimana rata-rata masyarakat muslim di Malaysia mengagungkan mujahideen di Syria, namun, perlu diakui, ada diantara golongan mujahideen dari luar ini membuat semberono apabila masuk ke Syria. Antaranya ialah membuat undang-undang sendiri, selain bertindak sembarangan dalam membunuh masyarakat Kristian dan Syiah yang tidak terlibat. Salah satu kes ialah apabila peuang mujahideen menembak seorang remaja berumur 15 tahun dihadapan ibubapanya sendiri, akibat pejuang mujahideen dari luar yang salah faham dengan dialek tempatan. Mereka ini mengingatkan remaja tersebut  mengutuk Nabi Muhammad, namun sebenarnya apa yang diungkapkan oleh remaja tersebut merupakan ungkapan biasa di kawasan itu yang tiada pun bermaksud untuk mengutuk Baginda Rasulullah SAW.( Cerita yang lebih lanjut boleh didapat disini.)

          Isu Syria ini pula dibentukkan sebagai isu binari; hitam atau pun putih.  Mereka yang mengkritik mujahideen terus dicop sebagai pro-syiah,pro-assad. Sama juga jika ada di kalangan progresif yang mengkritik tindakan Amerika, sekaligus membuatkan orang mengecopnya sebagai mereka yang menyokong Bashar Assad. Perspektif binari ini juga dapat disaksikan di protes-protes yang dilakukan dalam dan luar negara. Sebuah protes yang menentang campur tangan Amerika Syarikat menjadi seakan-akan protes yang menyokong rejim Bashar, dengan longgokan bendera Syria yang mempunyai jalur merah(selalunya digunakan oleh penyokong Assad) serta poster-poster Assad. Begitu juga dengan protes terhadap kezaliman rejim Assad, yang turut menyaksikan mereka yang membawa poster-poster golongan pejuang-pejuang mujahidin, ataupun memanggil Amerika Syarikat untuk masuk campur. Seolah-olah, seseorang itu tidak dapat mempunyai pendirian yang mengkritik Assad, para mujahidin(yang dari luar) serta kuasa-kuasa Barat yang berkepentingan sendiri , mengecam kezaliman yang dibuat oleh semua pihak , tidak kira samaada dari pihak mujahidin mahupun pihak rejim Assad.

Nasib Rakyat Syria yang Biasa dan Perang Sektarian yang Melimpah



                Apa yang dikesalkan disini ialah nasib rakyat Syria sendiri. Beberapa temubual yang dilakukan bersama pelarian Syria ataupun mereka yang menetap di Syria, jelas menunjukkan mereka sudah letih dan jemu dengan keadaan ini. Masyarakat dunia seolah-olah membutakan mata kepada krisis pelarian Syria yang sudahpun mencecah jumlah dua juta (angka dari PBB) dan hidup dalam keadaan yang sangat daif sekali. Jenayah pula tidak terkawal, dan nasib wanita-wanita Syria sangatlah tragik sekali di kem-kem pelarian ini, dengan ada banyaknya kes cabul serta rogol. Jika dunia Islam serta barat betul-betul ingin "menyelamatkan wanita dan kanak-kanak Syria", kem pelarianlah tempat utama yang memerlukan pertolongan ini. Hulurkanlah bantuan kemanusiaan, bukan campur tangan kuasa tentera. 

Dianggarkan , jumlah pelarian Syria mencecah angka dua juta ,lebih banyak dari pelarian Palestin.



       Perang saudara ini telah mengakibatkan angka kematian yang tragis. Sentimen sektarian syiah-sunni melimpah keluar dari Syria dan mengakibatkan pergaduhan,dan pembunuhan di tempat-tempat yang lain. Lebanon dan Iraq menyaksikan peningkatan serangan berunsur sektarian. Komuniti muslim di tempat yang begitu jauh dari Syria, iaitu Australia turut terkena sama,walaupun pada skala yang kecil ( sebuah kes dimana gangster Sunni menyerang kedai sebuah lelaki Syiah).



           Warga Syria bukan sebuah warga yang homogenous, yang mana semuanya mempunyai pandangan sama. Perlu diingatkan bahawa dalam menentukan nasib Syria, warga Syria sendiri lah yang perlu kita tanya, dan bukan ahli politik yang berkepentingan, namun rakyat Syria yang biasa. Apa yang mereka mahu dan inginkan? Kita tidak tahu kerana media kita sibuk menemu bual atau memaparkan berita mengenai mereka yang asing, tidak kira mujahideen yang baru datang ataupun pembuat-pembuat polisi dari Capitol Hill serta sheikh-sheikh negara minyak.

Kesimpulan


                 Kuasa-kuasa barat terutama sekali Amerika Syarikat dan Britain tidak perlu berlakon dalam drama ini, sebagai mereka yang prihatin kepada nasib masyarakat Syria. Keprihatinan masyarakat dunia terhadap isu Syria pula tidak menghalalkan tindakan AS dan sekutunya untuk melancarkan serangan ke atas Syria. Dunia Arab yang lain, seperti biasa, seperti tiada tulang belakang, tanpa segan silu mengajak masuk sebuah kuasa luar untuk menyelesaikan masalah yang mereka sendiri terbabit dalam menghasilkannya.

                 Rakyat Malaysia pula perlu melihat isu Syria dengan perspektif yang luas, mengambil kira konteks geopolitik Timur Tengah, dan bukannya menelan sahaja sentimen atau propaganda Syiah versus Sunni yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Kita sekarang sudah tiba di keadaan yang begitu sedih sekali dimana isu umat Islam dibahaskan oleh orang luar yang berkepentingan. Manakala di negara-negara Islam lain pula sibuk dengan perang sektarian. Penulis terkenang ungkapan yang biasa kita dengar,tetapi kini diubah sedikit.

" Sunni dengan Syiah bergaduh, Barat tepuk tangan".



P.S Kumpulan penyiasat-penyiasat dari PBB berkenaan serangan kimia di Syria belum mengeluarkan keputusan mengenai siasatan mereka. Manakala Amerika Syarikat, Perancis dan Britain sudahpun dengan pastinya mengatakan gas yang digunakan ialah gas sarin, dan mengatakan pihak Assad yang melancarkan serangan ini. Gas sarin merupakan sebuah gas yang diharamkan penggunaannya dalam perang. Duta Syria ke PBB pula menyalahkan pihak Mujahidin yang menyalah gunakan senjata kimia yang dibekalkan oleh kuasa-kuasa luar terhadap mereka. Antara bukti yang ditimbulkan oleh duta Syria tersebut ialah laporan berita dari Turki beberapa bulan yang lepas mengenai penangkapan ahli mujahidin dari Jabhat al Nusra yang ingin menyeledup masuk tong gas sarin  ke Syria. Berita ini dilaporkan oleh media-media yang pro Syria seperti media Syria sendiri, Iran, serta Russia. Guardian, sebuah media bebas dari UK ada membincangkan isu ini disini

No comments:

Post a Comment

Popular Posts