Sunday 30 June 2013

Masa dan Masyarakat

Oleh Durratun Naasihin

Who has seen the wind?
Neither I nor you:
But when the leaves hang trembling,
The wind is passing through.

Who has seen the wind?
Neither you nor I:
But when the trees bow down their heads,
The wind is passing by.

Christina Rossetti, The Golden Book of Poetry (1947)

Walaupun tiada siapa yang dapat melihat angin, tapi semua orang tahu bahawa angin itu wujud apabila memerhatikan dedaunan yang bergoyang. Dengan memerhati pokok yang sama juga, seseorang itu dapat mengetahui kewujudan masa. Kewujudan masa dapat diketahui bukan melalui daun-daun yang bergoyang, sebaliknya melalui perubahan warna daun--dari hijau kepada kekuningan serta petanda-petanda yang lain.

Itulah masa, satu entiti yang tidak dirasakan kewujudannya dengan sendiri, melainkan kita perlu merasai kewujudannya melalui entiti yang lain. Baik dari entiti yang hidup dan bernyawa(seperti daun yang berubah warna, binatang yang kecil menjadi besar),hinggalah dengan memerhati entiti yang tidak bernyawa (contohnya besi menjadi karat).

Menariknya mengenai ‘masa’ ini, walaupun semua orang merasa ‘keberadaannya’, tetapi ‘masa’ itu kekal menjadi suatu yang amat misteri. Terutama sekali selepas Albert Einstein berjaya menemukan teori relativiti (theory of relativity) yang sekaligus merevolusikan pemahaman kita mengenai masa. Secara tidak semena-mena, ‘masa’ itu menjadi sesuatu yang fleksibel--seperti sifatnya getah. Tiada terbayang oleh sesiapa bahawa ‘ruang’ dan ‘masa’ itu sebenarnya saling berkaitan. Bukan itu sahaja, frasa semudah ‘sekarang’ seolah hilang maknanya yang sudah sedia maklum. Apa yang lebih utama--dan apa yang saya ingin tekankan dalam ruangan ini--adalah peraliran masa. Persoalan bagaimana kita melihat dan merasai ‘keberadaan’ masa sendiri. Ya, memang betul kita semua dikurniakan masa yang sama panjang, tetapi adakah seorang petani merasakan kepentingan masa itu serupa dengan seorang broker di Wall Street? Terutama sekali dalam soal menjaga dan menepati masa.

Konsep 'masa' itu bukan semudah yang dilihat (kredit gambar: contemporarysurrealism)


Masa dalam masyarakat melayu

Konsep masa dan waktu orang melayu sifatnya adalah tidak menekan. Jika diperhatikan, jam yang menghitung masa ini merupakan suatu objek yang masih baru diperkenalkan dalam budaya melayu. Detik tanda jam ini sama sekali berlainan dengan konsep masa dan waktu orang melayu. Ini kerana, orang melayu menghitung perjalanan masa melalui perbandingan dengan alam dan bukannya dihitung pada kadar minit dan saat. Orang melayu mengira waktu dengan mudah sekali seperti pagi, tengahari, petang, senja dan malam. Misalnya, apabila ditanya bila kenduri akan bermula, maka jawapan yang diberi mungkin “waktu tengahari selepas matahari naik”. begitu juga apabila orang melayu tatkala ingin menetapkan tarikh, jawapan yang mungkin diterima pula adalah “selepas musim menuai” atau “selepas musim buah”. Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah perihal konsep masa dan waktu untuk orang melayu yang cukup menarik kerana tidak menekan. Persoalan: Apakah kerana konsep masa dan waktu dalam masyarakat Melayu yang tidak menekan ini menyebabkan mereka kurang mementingkan aspek menepati masa? Seperti yang biasa kita ungkapkan dalam frasa ‘janji melayu’. Saya rasa tiada keperluan untuk menerangkan maksud ‘janji melayu’ kerana semua orang melayu sudah sedia maklum akannya.


Budaya ‘Jam Karet’

Budaya ‘janji melayu’ ini juga wujud dalam masyarakat Indonesia, cuma di sana, budaya ini dinamakan budaya ‘jam karet’. ‘Karet’ jika diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, maknanya adalah getah, cukup menggambarkan konotatif di sebalik frasa ‘jam macet’. Secara tidak langsung memberi gambaran seolah ‘masa’ mereka yang amat fleksibel. Budaya ini dimanifestasikan dengan pengurusan masa yang teruk, tarikh akhir sesuatu tugas yang seringkali tidak dipatuhi, tetamu boleh membatalkan janji temu pada saat-saat akhir, projek dijalankan melampaui masa yang dirancang. Jika diminta alasan mengapa demikian, berikut adalah alasan-alasan yang sering digunakan:
1. Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas (macet)
2. Ada ‘emergency’
3. Terlupa
4. Bertembung dengan agenda lain, serta bermacam-macam lagi
Malah di Indonesia, masih lagi boleh diterima andai seseorang itu terlewat hingga sejam untuk janji temu. Maka tidak dihairankan sekiranya seorang ahli psikologi sosial berwarganegara Amerika Syarikat, iaitu Robert Levine(dalam bukunya A Geography of Time) menamakan Indonesia sebagai negara yang paling relaks/longgar berhubung aspek kecepatan masa berbanding 31 buah negara yang dikajinya. Kajian Robert Levine merupakan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan, dan saya akan menceritakannya dengan lebih lanjut dalam sub-topik yang seterusnya.

"Cuba lihat jam, bukankah masih awal lagi?"
Buya Hamka turut merakamkan budaya ‘janji melayu’ atau ‘jam macet’ ini dalam sebuah bukunya, “Bohong di dunia”. Buya Hamka mengaitkan sikap tidak menepati masa ini dengan sikap bohong. Menurut beliau, menepati janji itu sendiri pun sudah dikira sebagai satu sikap yang luar biasa bagi masyarakat kita, kerana memungkiri janji itu adalah sesuatu yang lumrah. Buya hamka membawakan contoh jika mesyuarat yang dirancang pada jam lapan, tetapi hanya bermula pukul 10 lebih kurang. seterusnya beliau menyatakan sikap ini tidaklah disesalkan benar, kerana kata orang, di negara-negara yang kehidupannya masih bergantung kepada bidang pertanian, cara orang berfikir turut lembap - selambat tumbuh padi dan kacang. Lainlah jika hidup di negara perindustrian yang mana kehidupan seseorang itu menjadi ‘cepat kaki ringan tangan’, barulah berubah pula perkara janji itu - semua ini berkait rapat dengan penciptaan jam dan saya akan menjelaskan mengapa.



JAM DAN SEJARAHNYA

Sesungguhnya telah banyak tulisan yang telah dihasilkan bagi menerangkan peranan jam dalam membentuk kehidupan baru - yang serba pantas. Yang pasti, apabila bilangan jam yang diletakkan di tempat-tempat awam bertambah, in mengakibatkan kesedaran orang awam mengenai keberadaan masa; Orang awam mula menyedari peredaran masa yang senantiasa berlaku.

Kita terus berbalik ke zaman 1600-an, yang mana dunia menyaksikan penciptaan alat penjaga masa yang baru - yakni jam yang diselaraskan melalui hayunan bandul (pendulum) berbanding dengan sistem mekanikal (yang mengaplikasikan penggunaan ‘verge and foliot’)

Pada penghujung kurun itu, ketepatan jam bandul telah meningkat secara mendadak, dengan purata kesilapan sekitar 15 minit sehingga sekurang-kurangnya 15 saat dalam masa sehari--suatu pencapaian yang amat menakjubkan pada waktu itu! Ketika itu, kebanyakan jam telah pun mempunyai jarum minit, dan kewujudan jarum saat bakal menyusul tak lama kemudian. Maka bukanlah sesuatu kebetulan, jika penggunaan perkataan ‘punctual’ mula mengakar dalam kehidupan seharian pada sekitar tahun 1660-an.


CCT

Seorang antropologist iaitu John Postill ketika membicarakan perihal ‘Jam dan Waktu kalendar’ (Clock and Calender Time) - kemudiannya beliau menyingkatkan sebutannya kepada CCT- sebagai “salah satu daripada hasil eksport terbaik dari barat”. Bahkan dia menambah lagi dengan mendakwa, “tiada laporan pihak yang benar-benar berjaya menyekat penyebarannya “.

Akibat dari hasil eskport produk barat ini, secara tidak langsung merubah serba sedikit cara hidup masyarakat kepada serba pantas. Inilah realiti yang berlaku walau kita tidak beberapa menyedarinya.

Negara Jepun merupakan satu contoh yang menarik. Ini kerana, negara itu bukan setakat mengaplikasikan jam dan kalendar dalam kehidupan seharian, bahkan lebih daripada itu, dengan menjadi salah satu negara yang paling cepat dan sibuk. Perubahan bermula pada lewat abad ke-19 apabila ekonomi negara Jepun mula dipacu kearah negara berteraskan perindustrian. Pada tahun 1873, buku teks pelajar sekolah telah digubal untuk memberi ruang kepada pelajaran mengenal pasti waktu dengan membaca jam. Malah, bahasa mereka juga turut terpengaruh. Perkataan baru mula diperkenalkan, antaranya adalah  ‘jikan’ (‘masa’ atau ‘jam(60 minit)’,dan secara beransur-ansur mula menggantikan penggunaan perkataan ‘toki’ (yang merujuk kepada waktu yang berpandukan kalendar bulan menurut masyarakat traditional Jepun). Lama-kelamaan, masyarakat jepun mula berbicara dengan perkataan Fun (Minit) dan Byo (saat).

Kini di jepun, sesuatu keretapi itu boleh dikira sebagai ‘lewat’ sekiranya tiba lebih dari satu minit dari jadual yang telah ditetapkan. Berbeza dengan negara lain, definisi ‘lewat’ di England adalah 10 minit, di Perancis adalah 14 minit, di Itali pula 15 minit atau di malaysia adalah tidak sampai langsung (?). Walaubagaimanapun, keinginan untuk mengkoordinasikan segala perjalanan terlalu rigid mengikut jadual boleh membawa kesan yang buruk. Umpamanya pada tanggal 25 April 2005, seorang pemandu keretapi yang menyedari dirinya telah terlewat 90 saat, telah memandu secara tergesa-gesa menuju ke stesen yang berikutnya; bagi menyelaraskan semula perjalanan dengan jadual. Malang tidak berbau apabila keretapi ini terlibat dalam kemalangan yang meragut sehingga 107 jiwa. Perhatikan apa yang dilaporkan dalam akhbar New York Times, “di bahagian lain di dalam dunia, keretapi yang terlewat 90 saat dari jadualnya masih lagi dianggap sebagai masih menepati jadual“.


MASA DAN MASYARAKAT

Walaupun penggunaan jam dan kalendar semakin diterima ramai, tetapi masih lagi wujud perbezaan kadar kecepatan hidup antara satu bangsa dengan bangsa yang lain, dan pastinya seorang pengembara sudah sedia maklum akan perihal ini. Apabila seorang ahli antropologi iaitu Kevin Birth mengarang sebuah buku ‘ Any Time is Trinidad Time’, beliau sebenarnya hanya mengulang kembali ungkapan yang digunakan sendiri oleh penduduk di pulau itu. Bukannya satu masalah yang besar sekiranya lewat sehingga sejam di Brazil, tetapi jika lewat walaupun hanya 10 minit di kota New York, Frankfurt, atau Tokyo, sudah tentu orang yang lewat tadi memerlukan alasan yang munasabah perihal kelewatannya.  

Barangkali kajian yang lebih menyeluruh mengenai perbezaan ‘masa’ telah dijalankan oleh Robert Levine (saya telah menyebutnya dalam sub-topik ‘Jam macet’ sebelum ini). Beliau merupakan seorang ahli psikologi sosial di California State University di Fresno. Hasil daripada kajian yang dilakukannya selama sedekad boleh dilihat melalui karyanya yang amat mengagumkan iaitu A Geography of time. Dalam salah satu fasa kajiannya, beliau dan rakan sekerjanya menggunakan tiga piawaian mudah dalam menetapkan ‘kadar kecepatan hidup’ di 31 negara yang terlibat. Piawaian yang dimaksudkan adalah kepantasan orang awam berjalan kaki di bandar, ketepatan masa yang dipamerkan jam yang terletak di kawasan awam, dan masa yang diambil oleh seorang kerani pos untuk melaksanakan satu tugasan mudah seperti menurunkan cop setem. Negara yang mendapat kedudukan lima tempat terbaik sebagai ‘paling cepat’ adalah Switzerland, Ireland, Germany, Jepun, dan Italy. Manakala negara yang mendapat lima tempat tercorot (yakni negara yang paling lambat kadar hidupnya) adalah Syria,El Salvador, Brazil, Indonesia  dan Mexico. Satu paten yang paling jelas dari kedudukan ini adalah negara yang ‘pantas’ ini secara relatifnya mempunyai ekonomi yang lebih kukuh manakala negara yang ‘perlahan’ mempunyai ekonomi yang lemah secara relatifnya.  Walaupun penulis iaitu Levine tidak memperincikan hubung kait antara keduanya secara mendalam, tetapi dia merumuskannya seperti berikut,
“Economic variables and the tempo tend to be mutually reinforcing; they come in a package”

“Pembolehubah ekonomi dan tempo masyarakat itu cenderung menunjukkan bahawa keduanya saling memperteguhkan; keduanya datang bersama dalam pakej”

Levine turut mengatakan bahawa beliau menyedari perbezaan yang amat ketara mengenai ‘kadar masa’ (temporal life) sewaktu mengajar di Brazil. Beliau menyatakan sewaktu di situ, para pelajarnya lewat hadir ke kelas sehingga satu jam lamanya -- malah para pelajarnya turut tinggal dalam kelas selepas dari tamat kelas pada kadar masa yang sama. Jam - jam yang diletakkan di tempat awam (termasuk jam kepunyaan orang-orang awam) amat berbeza waktunya antara satu sama lain. Menurut beliau lagi, satu kebiasaan di Brazil untuk orang membuat beberapa janji temu dalam masa yang sama -- serta gagal untuk menghadiri salah satu daripada janji temu tersebut.

Semasa di India pula, Levine menceritakan bagaimana dia menghabiskan masanya selama berjam-jam beratur di stesen keretapi. Penduduk tempatan, yang mana sudah biasa dengan suasana beratur yang panjang, ada yang duduk berkelah di lantai stesen tersebut dan menjemput Levine untuk makan bersama mereka. Bilamana sudah tiba gilirannya di tingkap kaunter tiket, beliau diberitahu bahawa tiket yang mahu dibelinya sudah habis. Walaubagaimanapun, beliau masih mampu mendapatkan tiket, itupun terpaksa membayar sedikit  ‘baksheesh’ (rasuah). Setelah melalui kesemua dugaan ini, keretapi yang dinaikinya bertolak lewat daripada jadual, malah tiba di destinasi lebih lewat daripada jadual yang sebenarnya. Ini bukan satu perkara yang penting, kerana orang yang sepatutnya beliau jumpa telah tiba lebih lewat daripada beliau. Haha!

Di Nepal, Levine membuang masanya selama 4 hari menunggu penyelia/kerani di pejabat telekomunikasi di Kathanadu untuk menyambungkan panggilan antarabangsa. semua orang perlu menunggu pada kadar masa yang sama -- dan tiada siapa pun yang merungut. Mungkin sudah terbiasa atau sudah redha(?).

Walaubagaimanapun, Levine amat berhati-hati agar tidak menghakimi  ‘slow-paced culture’, bahkan beliau memperingatkan pihak lain supaya turut tidak melakukan perkara itu;
“when we attribute a Braziliian’s tardiness to irresponsibility, or a Moroccan’s shifting of attention to their lack of focus, we are being both careless and ethnocentrically narrow-minded”
Terjemahannya:
“bilamana kita mensifatkan sikap sering lewat masyarakat Brazil sebagai tidak bertanggungjawab, ataupun sikap berubah-ubah perhatian masyarakat Morocco disebabkan ketidak fokusan mereka, kita sebenarnya telah cuai (careless) dan secara etnosentriknya berminda sempit”

Namun beliau ada juga menyatakan, sekurang-kurangnya masyarakat minoriti di Amerika Syarikat membezakan ‘kadar waktu hidup’ masyarakat mereka dengan ‘kadar waktu hidup’ masyarakat anglo-amerika yang sudah tentunya lebih pantas. Seperti contohnya, masyarakat India di Amerika ada menggunakan frasa “hidup dalam waktu india”, beliau menambah, masyarakat Mexico di Amerika turut membezakan antara ‘hora Inglesia’ --yang merujuk kepada waktu sebenar dalam jam-- dan ‘hora mexicana’-- yang mana waktu dalam jam diperlakukan secara santai dan bersahaja. Lebih menarik lagi, sewaktu di mexico, Levine menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan borang soal selidik ke dalam Bahasa Spanish. Ini kerana, dia ingin bertanyakan tiga soalan:

1. Bilakah waktu mereka ‘jangka’(expect) seseorang untuk tiba dalam janji temu?

2. Bilakah waktu mereka ‘mengharapkan’(hoped) seseorang itu untuk tiba?

3. Berapa lamakah waktu mereka sanggup untuk ‘tunggu’(wait) sehingga orang tersebut sampai?

Dan dia mendapati bahawa dalam Bahasa Spanish, ketiga-tiga perkataan tadi menggunakan kata kerja yang sama, iaitu ‘esperar’.



Rujukan:

1. Dan Falk, ‘In Search of Time: The History, Physics, and Philosophy of Time’, St Martin Press, New York, 2010

2. Asmah Hj Omar, ‘Malay Perception of Time’, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2013


3. Amol Titus, ‘Breaking the ‘Jam Karet’ Habit’, in The Jakarta Post, 5 Julai 2006, akses pada 2 Jun 2013, < http://www.thejakartapost.com/news/2006/07/05/breaking-039jam-karet039-habit.html >.

4. Robert Levine, The Geography of Time, Oneworld Publications, England, 2006, akses pada 2 Jun 2013, < http://www.cycle-planet.com/paleo/AGeographyofTime.pdf >.

5. Haji Abdul Malik Karim Amrullah(HAMKA), ‘Bohong di Dunia’, Pustaka Dini.

6. Hishamuddin Rais, ‘Puasa dan ingatan berpuasa’ dalam Malaysiakini.com. Akses pada 28 Jun 2013, <http://www.malaysiakini.com/columns/206012>.

7. ‘Amagasaki Train Crash’ dalam wikipedia. Akses pada 28 Jun 2013,<http://en.wikipedia.org/wiki/Amagasaki_rail_crash>

8. Professor Philip Zimbardo, ‘The Secret Power of Time’, Akses pada 28 jun 2013,<http://www.youtube.com/watch?v=A3oIiH7BLmg>.



No comments:

Post a Comment

Popular Posts