Dialih bahasa oleh: Awan Putih
artikel asal oleh Consumer Association of Penang boleh diakses melalui pautan ini (klik sini)
Walaupun secara zahirnya berkisar mengenai perdagangan, perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) mempunyai kesan yang menjangkau lebih daripada konteks perdagangan barangan dan perkhidmatan. Ini akan memberi kesan kepada masa depan kesihatan, sosial, ekonomi, politik, sivik, pendidikan dan budaya yang melibatkan 28 juta rakyat Malaysia.
Malaysia pada waktu ini sedang berunding mengenai TPPA bersama-sama Amerika Syarikat serta 9 buah Negara lain untuk membuka kerjasama ekonomi rantau Asia-Pasifik dan merubah cara kawalan perdagangan dan pelaburan di rantau ini. Negara-negara yang mengambil bahagian dalam perundingan TPPA ini adalah Australia, Brunei, Canada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat, dan Vietnam.
Mereka ingin memeterai dan menandatangani perjanjian ini pada Oktober 2013! Jadi, apa sebenarnya yang bermasalah dengan TPPA?
Membiarkan rakyat di dalam Kesamaran
Rundingan dan teks perjanjian (dokumen yang digunakan dalam proses rundingan) adalah rahsia, dan kesemua kerajaan TPPA telah bersetuju untuk terus menjaga kerahsiaan teks-teks rundingan tersebut sehingga tempoh empat tahun selepas daripada perjanjian itu ditandatangani secara rasmi.
Ini bermakna, katakanlah mereka menandatangani perjanjian ini pada peghujung tahun 2013, tempoh yang paling awal bagi sekalian rakyat untuk kesemua sebelas negara - yang mana pemimpin mereka menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak diri mereka - boleh menyemak cara rundingan itu dijalankan pada lewat tahun 2017 atau awal 2018(ataupun jika rundingan tersebut gagal).
Seolah-olah mereka memberitahu rakyat Malaysia,” Kami telah menulis perjanjian ini bagi pihak anda. Usah risau, kerana kami telah membuat draf ini dengan mempertimbangkan segala kepentingan dan kebajikan anda. Namun begitu, anda tidak dibenarkan tahu apa yang kami tulis, anda hanya boleh berbuat demikian SELEPAS kami tamat rundingan bagi pihak anda, dan anda tidak boleh tahu bagaimana kami membuat rundingan mengenai isi-isi perjanjian dan bagaimana ianya akan dijalankan, sehinggalah EMPAT TAHUN selepas dikuatkuasakan.”
Mahukah dokumen seperti itu ditandatangani bagi pihak anda? Apakah anda tidak mahu menggunakan hak anda untuk melihat draf dokumen tersebut? Untuk menentang perkara-perkara yang anda rasa tidak berapa menyenangkan? Ataupun menolak perjanjian itu sekaligus, kerana menyalahi kepentingan dan kebajikan anda?
Pelabur-pelabur Asing Boleh Menyaman
Terdapat beberapa cadangan untuk mengenakan sistem Investor-to-State Dispute Settlement (ISDS), yang mana akan membolehkan para pelabur asing untuk menyaman mana-mana kerajaan yang menandatangani TPPA untuk apa-apa jenis tindakan - walaupun tindakan tersebut dilakukan atas alasan untuk melindungi atau mempromosikan pendidikan, kebajikan masyarakat, mahupun alam sekitar - sekiranya tindakan itu dilihat mengancam hak para pelabur.
Pelbagai kes membuktikan bahawa perkara ini tidak mustahil--malah telah pun berlaku : sebagai contoh, setelah Kanada mengharamkan penggunaan methylcyclopentadienyl manganese tricarbonyl(MMT) kerana wujud kebimbangan mengenai bahaya penggunaannya terhadap masyarakat, kerajaan Kanada telah disaman oleh pembuat MMT tersebut - Ethyl Corporation - di tribunal antarabangsa, dan seterusnya terpaksa membayar wang pampasan kepada syarikat terbabit dan menarik semula pengharaman tersebut. Jumlah pampasan yang paling besar yang diketahui secara umum setakat ini adalah terhadap Ekuador iaitu sebanyak USD 2.4 Billion!
Tambahan lagi, piagam pelaburan akan memberi kuasa yang lebih kepada syarikat-syarikat asing untuk menghiraukan dan mengatasi badan kehakiman dan undang-undang domestik serta sistem parlimen di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan juga pembahagian kuasa yang unik dan bersejarah antara kerajaan persekutuan dan negeri di Malaysia yang telah pun dibangunkan setelah beberapa dekad. Peruntukan yang lain pula boleh mengekang keupayaan kerajaan untuk mengimbangi kepentingan masyarakat dan hak kemanusian terhadap kepentingan syarikat-syarikat swasta.
Ubat-Ubat yang Lebih Mahal
Sebanyak 80% ubat-ubat yang digunakan oleh rakyat Malaysia merupakan ubat-ubatan generik, yang jauh lebih murah dan bersifat mampu-milik berbanding ubat-ubatan yang ‘asli’ dan yang telah dipatenkan. Sebagai contoh, di Malaysia, ubat-ubatan yang dipatenkan boleh menjadi 1055% lebih mahal dari ubat-ubatan generik yang sama sifatnya. Kerajaan Malaysia sudah pun menyediakan perlindungan yang sewajarnya untuk kajian-kajian serta produk-produk syarikat farmaseutikal, yang mana kerajaan cuba mengimbanginya dengan keperluan untuk akses kepada ubatan yang mampu milik.
Sekiranya termeterai TPPA, akses kepada ubat-ubatan mampu milik dan ‘life-saving’ untuk berjuta-juta orang akan terancam, kerana perjanjian ini memberi perlindungan yang lebih tinggi kepada paten dan data klinikal untuk syarikat-syarikat gergasi farmaseutikal, lantas menyukarkan syarikat generik untuk menghasilkan ubat generik yang mampu-milik, malah melambatkan serta menyekat akses kepada ubatan generik. Semua ini tidak mustahil melalui cadangan-cadangan yang berikut:
- PERLINDUNGAN PATEN YANG LUAS yang meliputi segala bentuk baru, kegunaan dan kaedah untuk menggunakan bahan-bahan yang diketahui. Piawaian paten yang rendah ini akan meluaskan lagi monopoli farmaseutikal untuk variasi kecil untuk produk-produk lama, termasuklah untuk yang langsung tidak diketahui kemujarabannya.(?)
- MELANJUTKAN TEMPOH PATEN yang menjangkau sehingga 20 tahun lamanya untuk satu-satu paten
- RANGKAIAN PATEN yang menyekat pendaftaran ubat-ubatan generik, justeru membuka ruang kepada penyalahgunaan akta.
- MENYINGKIRKAN PEMANTAU yang memantau sebarang penyalahgunaan paten
- SYARAT PROSEDUR YANG BERAT SEBELAH yang menganggap mempersoalkan paten adalah sah, dan mengira kerugian berdasarkan taksiran pemegang paten
- HAK EKSKLUSIF DATA yang menghalang pihak kesihatan yang berautoriti untuk bergantung kepada mana-mana data ujian klinikal untuk mendaftarkan versi generik sesuatu jenis ubatan
- UKURAN SEMPADAN yang boleh menjurus kepada perampasan ubatan generik yang tidak berasas.
ANCAMAN TERHADAP UBATAN GENERIK
Untuk tahun 2004, kos bulanan yang diperlukan untuk merawat seorang pesakit HIV dapat dikurangkan dari RM1200 setiap pesakit kepada hanya RM200 hingga RM220 setiap persakit, ini dapat dijalankan dengan menggantikan ubatan paten kepada ubatan generik. Secara tidak langsung, jumlah pesakit yang dapat dirawat meningkat kepada 4000 orang berbanding hanya 1500 orang pesakit sebelumnya. Bayangkan dengan pelaksanaan TPPA, bekalan ubatan generik yang lebih murah ini akan terjejas. Dan segala manfaat ini tidak lagi dapat diperoleh.
Akses kepada maklumat yang terhad
TPPA juga boleh melanjutkan tempoh berkuatkuasa hakcipta melebihi tempoh 50 tahun selepas kematian pematennya (sehingga tempoh 120 tahun, sekiranya cadangan Amerika Syarikat diterima). Ini akan memberi kesan kepada program pendigitalan di perpustakaan, yang boleh menyebabkan banyak hasil kerja yang telah digitalkan untuk akses orang awam dibuang dari simpanan data, menghadkan penggunaan semula atau penggunaan kerja yang sepatutnya bebas dari hakcipta;
Meningkatkan harga barangan perpustakaan; sekaligus kepada pengurangan pembelian barangan oleh perpustakaan. Bukan sahaja perpustakaan yang akan menerima kesannya, malah yang turut terjejas sammenjurusa adalah orang awam serta para pelajar, misalnya mereka yang mahu membuat salinan fotokopi untuk buku teks. Tuntasnya, akses langsung rakyat Malaysia untuk informasi serta ilmu pengetahuan itu sendiri akan terjejas, dan ini sudah tentu akan memberi implikasi buruk kepada sektor penyelidikan dan pendidikan negara.
Menghadkan kebebasan internet
Pembekal perkhidmatan Internet (ISP) mungkin boleh menghalang pengguna daripada mengakses internet kerana melanggar peraturan hak cipta.
Jangan biarkan mereka menggadaikan masa depan anda
Perundingan TPPA ini mencadangkan beberapa usul yang mana akan memberi kesan buruk kepada ubat-ubatan mampu milik, pemuliharaan alam sekitar dan juga kemampuan untuk mengurus pelbagai bidang yang melibatkan kepentingan orang awam, malah ini akan menguatkan kuasa gergasi korporat serta kepentingannya tetapi dalam masa yang sama menjejaskan kepentingan kita sebagai rakyat.
Marilah bersama-sama bersolidariti dengan rakyat yang lain, serta sebarang gerakan yang menuntut hak mereka untuk hidup, kesihatan, mata pencarian, keadilan, kesaksamaan, makanan, alam sekitar, maklumat dan sistem tradisi kehidupan daripada didobrak oleh TPPA.
Usah bertangguh, lakukan sesuatu SEKARANG! jangan tunggu sehingga tanah air kita serta hidup rakyat Malaysia ini rosak.
- Kaji perkara ini lebih mendalam! Untuk sebaranng informasi mengenai TPPA, sila layari www.ftamalaysia.org
- Sertailah gerakan di seluruh Negara yang menolak TPPA
- Hubungi ahli parlimen kawasan anda untuk menyeru mereka agar mendesak untuk mengeluarkan teks perjanjian ini
- Tulis kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Sri Mohd najib untuk menyatakan bahawa sebagai rakyat malaysia menolak perjanjian ini
- Anda juga boleh menurunkan tandatangan anda di petisyen ini: http://www.gopetition.com/petitions/suspend-tppa-and-eu-malaysia-fta-talks.html
- Anda juga boleh sertai Facebook Group FTA - http://www.facebook.com/groups/ftamalaysia/
Tanah Airku bukan untuk dijual!
Jangan Biarkan TPPA Merosakkan masa depan kita
No comments:
Post a Comment