Sunday, 16 June 2013

Meluaskan Diskusi Israel-Palestin di Malaysia

oleh Awan Putih

Pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di perantauan diberi peluang untuk menyaksikan satu pendekatan yang berlainan dalam pembawaan isu Palestin-Israel. Jika di Malaysia, isu Palestin-Israel hanyalah terhad kepada masyarakat Melayu Muslim, lain pula di Negara-negara dunia pertama di mana isu ini diperjuangkan oleh semua orang tidak kira kaum, jantina, agama atau tahap kealiman(hehe).


Lawatan Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Razak ke Gaza pada tahun 2013.



Rata-rata NGO Palestin di Malaysia memperjuangkan isu Palestin dari kaca mata Islam dan memasukkan unsur-unsur Islam. Ini adalah sesuatu yang baik. Mereka tanpa jemu memperjuangkan isu Palestin, mengadakan roadshow, flashmob dan acara-acara yang amat menarik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat di Malaysia. Namun begitu, penulis teringin melihat isu Palestin ini di perjuangkan juga  oleh mereka yang bukan melayu Islam di Malaysia. Tetapi, disebabkan pembawaan isu Palestin-Israel oleh majoriti masyarakat melayu Islam di Malaysia sendiri, kita mungkin lebih menjauhkan sokongan bangsa lain daripada cuba untuk membawa mereka kedalam diskusi Israel-Palestin. Kenapakah begini? Ada pelbagai faktor yang menyebabkan hal yang sebegini berlaku. Di sini, penulis menyenaraikan beberapa perkara(mengikut pandangan penulis) yang dapat dipastikan sebagai faktor-faktor yang mungkin telah merugikan wacana Palestin di Malaysia oleh masyarakat melayu Malaysia sendiri.


Retorik Anti-Yahudi yang membawa kepada tuduhan anti-semitik


Ini merupakan masalah utama yang menyelubungi perjuangan palestin bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Pihak pro Israel acap kali melemparkan tuduhan anti semitik kepada mereka yang memperjuangkan isu Palestin ini. Anti-semitik merupakan sebuah terma yang digunakan kepada apa-apa sahaja bentuk perkauman terhadap bangsa Yahudi.  Namun begitu, ianya disalah gunakan pula oleh puak-puak pro Israel apabila mengenakan tuduhan ini kepada sesiapa sahaja yang bukanlah anti-Yahudi tetapi menentang polisi-polisi terkutuk kerajaan Israel. Perlu diingatkan bahawa perjuangan membebaskan Palestin bukanlah dengan tujuan untuk berperang dengan Yahudi, namun dengan rejim Zionis Israel. Perjuangan Palestin di luar Negara amat berterus terang untuk menggariskan perbezaan antara anti-semitik dan anti-Israel, dengan logik yang mengatakan bahawa hanya kerana kita mengkritik polisi sesebuah negara itu, tidaklah bermaksud si pengkritik bersifat perkauman terhadap bangsa negara itu. Sebagai contoh, mereka yang mengkritik polisi kerajaan China bukanlah kerana mereka membenci bangsa Cina, tetapi hanya menyatakan ketidaksetujuan mereka dengan tindakan-tindakan zalim oleh kerajaan China terhadap rakyat nya sendiri. Namun begitu, tindakan naïf beberapa masyarakat muslim yang menggunakan slogan-slogan anti-yahudi dalam acara-acara solidariti untuk Palestin menganggu perjuangan Palestin antarabangsa ini.

Perlu diketahui bahawa kita menentang tindakan kerajaan Zionis Israel, bukanlah bangsa Yahudi.  Terdapat orang-orang Yahudi yang turut bersama menentang kekejaman rejim Zionis Israel. Dan jumlah Yahudi pro-Palestin ini semakin berkembang dan membuat Israel dan Zionis semakin gelisah. Kadang-kadang, mereka(aktivis Yahudi) yang lebih vokal dalam mengutuk rejim Zionis. Maka untuk kita berlaku rasis terhadap Yahudi dan memasukkan unsur-unsur itu kedalam perjuangan Palestin di Malaysia amatlah tidak adil sekali. Pertubuhan-pertubuhan di Malaysia perlulah membantu dalam mengikis sifat perkauman dan membetulkan salah faham ini di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Sejarah Islam yang lampau juga mengajar kita bahawa dalam zaman khilafah Islam, masyarakat Yahudi diiktiraf dan beberapa orang Yahudi turut memegang jawatan penting dalam kerajaan Islam.

Namun demikian, terdetik juga di fikiran penulis, mungkin bukan salah orang Malaysia sendiri jika bertindak begitu kerana sudah terlalu lama dibentuk dengan retorik-retorik anti yahudi. Susah juga untuk mempercayai kewujudan orang Yahudi yang baik dan pro-Palestin apabila kita melihat tentera Israel yang membunuh saudara kita di Palestin adalah kesemuanya bangsa Yahudi. Namun, kita tidak membenci keseluruhan rakyat Amerika kerana kita dapat membezakan polisi kerajaan mereka, dan bukan rakyat Amerika biasa yang telah menyerang saudara-saudara kita di banyak tempat dunia ketiga. Untuk mengambil contoh yang lebih dekat lagi dengan Malaysia, kita menerima orang Thailand serta meminjam budaya dan makanan mereka, tetapi pada masa yang sama tetap mengutuk keras tindakan kerajaan Thailand yang menindas penduduk Islam di Selatan Thailand.


FAKTA untuk berhujah, bukan meminta belas kasihan semata-mata


Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kita mempunyai banyak NGO-NGO Palestin di Malaysia. Badan-badanbukan kerajaan ini telah menjalankan aktiviti yang sungguh mantap dalam menjayakan program-program Palestin mereka. Pujian patut diberikan kepada betapa mereka berjaya meraih derma yang mencecah ratusan ribu untuk diberi kepada projek-projek yang menguntungkan di Palestin. Mereka juga amat kreatif dalam menjana wang dengan mengadakan acara-acara seperti walkathon, larian amal, konsert amal, dan film screening.

Penulis mempunyai beberapa cadangan untuk NGO sebegini. Penulis merasakan pentingnya untuk fokus kepada pendidikan dan bukan sekadar meminta simpati dan membuat orang menangis meratapi nasib umat Islam di Palestin.  

Masyarakat Muslim di Malaysia sudah peka dan sedar akan kepentingan menentang dan mengutuk perbuatan Israel terhadap Palestin, namun mereka tidak dibekalkan dengan informasi dan pendidikan yang secukupnya untuk berhujah kenapa mereka memilih untuk berpihak kepada Palestin. Kita di Malaysia sudah hafal mungkin sebab kenapa kita sebagai orang Islam perlu menyokong dan berdoa untuk Palestin, namun begitu, kita tidak punyai info untuk menyokong  hujah kita sebagai seorang yang bukan hanya menyokong Palestin kerana sama agama semata-mata, dan mengemukakan alasan yang tidak semestinya terletak dalam kerangka Islamik ,i.e, memandang Palestin dari pandangan kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Untuk mempengaruhi masyarakat antarabangsa lain yang bukan Islam, kita perlu hujah-hujah yang tidak berpaksikan Islam. Sebagai contoh, hujah-hujah seperti Israel perlu ditentang kerana telah acap kali mencabul hak-hak rakyat Palestin seperti yang telah digariskan dalam beratus-ratus Undang-undang dan Resolusi PBB. Israel perlu menghentikan pembinaan rumah-rumah di tanah Palestin kerana ianya haram disisi undang-undang dunia. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh Israel bukan hanya khusus kepada menumpahkan darah rakyat Palestin, tetapi juga termasuklah menyekat kemasukan barang-barang asas kehidupan ke Gaza, serta menyekat pergerakan penduduk Tebing Barat dengan pembinaan Tembok Pemisah yang sudahpun diisytiharkan sebagai haram dan menyalahi undang-undang oleh Mahkamah Keadilan Dunia.  Fakta di mana Israel mencabuli hak-hak nelayan Gaza untuk menangkap ikan di perairan mereka sendiri, hak-hak kanak-kanak di Tebing Barat dan Gaza untuk mendapat pendidikan dan bermacam-macam lagi hujah yang menyokong Palestin.

Fakta dan hujah sebeginilah yang perlu untuk kita didik kepada masyarakat Malaysia supaya apabila mereka hendak berhujah dengan masyarakat Malaysia yang bukan beragama Islam(ataupun yang beragama Islam tetapi tidak menyokong Palestin), mereka tidak menggunakan hujah-hujah Al Quran dan Hadis yang sudah tentu tidak diyakini oleh mereka yang bukan Islam.

Jika kita melihat laman-laman web atau pergi ke program NGO palestin di luar Negara, pembaca dan pengunjung akan dihidangkan dengan fakta-fakta konkrit seperti yang telah dijelaskan di atas. NGO-NGO di Malaysia perlulah memberi pendidikan sebegini kepada masyarakat Melayu, memandangkan mereka sudah pun mendapat sokongan penuh dari rakyat Malaysia. Namun demikian, penulis juga sedar bahawa ada beberapa NGO yang memang telahpun memulakan program pendidikan seperti yang disebutkan diatas.


Progresif, bukan Reaktif 


Ianya bukanlah terletak keatas bahu NGO sahaja untuk mendidik masyarakat. Masyarakat Melayu Islam Negara ini perlu mengambil inisiatif untuk menyediakan diri dengan info-info sebegini. Ianya sungguh senang, ada beratus-ratus laman web di alam maya yang menyediakan info-info sebegini.

              Satu perkara yang amat dikesali penulis ialah apabila adanya program-program berunsur ilmiah dan fakta mengenai isu Palestin Israel, rata-rata dari kita memekakkan telinga dan tidak menghiraukannya. Kebanyakan remaja kita hanya mahu melihat gambar-gambar yang menyedihkan. Kita hanya mahu menangis, tidak lebih dari itu. Penulis sendiri beberapa kali menyertai acara-acara seperti Malam Mengenangi Palestin. Acara sebegini selalunya dimulakan dengan video-video sedih dengan muzik yang menyedihkan untuk menimbul rasa belas dan kesal dengan keadaan umat di Palestin. Kemudian, masuklah pula ke slot dimana penceramah yang telah sendiri pergi ke Gaza menceritakan pengalamannya sendiri. Namun begitu, apabila penceramah mula memberi fakta-fakta yang panjang lebar dan tidak lagi menceritakan pengalamannya beramah mesra dengan penduduk Gaza, audiens mula hilang fokus dan bercakap sesama sendiri. Penulis kira, ada tiga acara yang dihadiri penulis dimana masuk sahaja slot penceramah dengan bersemangat ingin mendidik pelajar, namun pelajar ada yang sudah berdengkur atau bercakap sesama sendiri. Mereka hanya ingin menangis dan melihat video. Ini adalah pelajar yang berusia sekitar 18 ke 23 tahun, bukannya pelajar sekolah rendah.

            Hasilnya, setelah berpuluh-puluh tahun usaha NGO-NGO sebegini untuk mendidik masyarakat, masyarakat Islam di Malaysia masih gagal untuk menumpukan fokus atau usaha ke arah sesuatu yang progresif, bukannya reaktif. Progresif di sini ialah dengan mengambil langkah-langkah yang konkrit yang akan membawa kepada pembelaan rakyat Palestin, bukan hanya dengan lancaran tabung derma atau demo-demo tiap kali Israel mengebom Palestin. Aktivis-aktivis di negara-negara Barat sudahpun memulakan langkah-langkah yang positif kearah pembelaan nasib rakyat Palestin seperti mendesak kerajaan mereka supaya menarik balik pelaburan ke syarikat-syarikat yang terlibat dengan penindasan terhadap Palestin, seperti aksi aktivis BDS terhadap Veolia, pelajar-pelajar universiti yang memutuskan untuk tidak membenarkan jualan barangan Israel di kampus mereka.


Berita mengenai Majlis Pelajar-Pelajar di Universiti Sidney yang meluluskan motion BDS. Pautan asal.

      Apa yang hendak penulis keluhkan disini ialah, kelemahan masyarakat Malaysia dalam memobilisasikan aktiviti-aktiviti yang benar-benar akan melemahkan Israel. Israel tidak akan hairan kalau rakyat Malaysia berdoa bersolat hajat beramai-ramai empat tahun sekali(iaitu apabila jet-jet Israel mengebom Gaza), Israel tidak juga sakit jika rakyat Malaysia turun ramai-ramai berdemo, ini kerana Malaysia memang pun sudah secara terang-terangan menyatakan posisi mereka mengenai isu Palestin-Israel.

       Namun, ianya akan menggigit ekonomi Israel jika kita menguatkuasakan embargo terhadap Israel ; jangan mengeksport barangan Malaysia kepada Israel contohnya. Ataupun mengkoordinasikan sebuah kempen boikot yang realistik dan boleh memberi impak maksimum kepada ekonomi Israel. Masyarakat sivil Palestin telahpun mengeluarkan seruan BDS (ketahui apa itu seruan BDS disini), dan kebanyakan aktivis-aktivis barat telahpun menyahut seruan ini sehingga menemui kejayaan di beberapa tempat, bila pula giliran masyarakat Malaysia?


Kempen terhadap syarikat Veolia


Mengambil cakna mengenai penindasan yang menimpa masyarakat lain 



           Sebagai umat Islam, kita perlulah mengambil berat mengenai semua manusia, tanpa mengira warna kulit, agama dan kerakyatan. Sebagaimana kita merasa sedih dengan penindasan terhadap saudara kita di Palestin, begitu juga kita perlu merasa belas dengan penindasan yang dilakukan terhadap orang-orang Tibet, atau keganasan terhadap masyarakat Tamil di Sri Lanka oleh kerajaan mereka sendiri. Sebagaimana kita terharu dan gembira apabila mereka yang bukan islam turut sama melaungkan slogan-slogan untuk pembebasan Palestin, sudah tentu masyarakat-masyarakat Tamil atau mereke yang menyokong Tibet akan terharu dan menghargai sokongan yang kita berikan tehadap kaum-kaum ini. 

          Untuk meluaskan diskusi Israel-Palestin di Malaysia, mungkin kita sendiri dahulu yang perlu meluaskan diskusi kemanusiaan yang kita halakan. Penulis amat mengagumi gereja-gereja Kristian yang amat progresif dalam memperjuangkan hak-hak rakyat tertindas walaupun masyarakat tertindas itu bukanlah dari golongan penganut agama mereka. Tahukan anda, semakin ramai gereja-geraja di negara-negara Barat sudahpun mengambil keputusan untuk tidak lagi memberi sokongan kepada Israel, dan memboikot barangan-barangan dari penempatan haram Israel? Komuniti Islam di Malaysia,malahan di dunia perlulah juga aktif dalam menyatakan sokongan kepada masyarakat tertindas yang lain.




Kesimpulannya, sudah 65 tahun Palestin dijajah, mungkin sudah tiba masanya untuk kita meluaskan diskusi Israel Palestin dan membuatkannya sebuah diskusi yang inklusif; dengan penglibatan semua bahagian masyarakat di Malaysia, Muslim Islamik/Sekular, dan juga non muslim yang lain. Malaysia sudahpun mempunyai sokongan yang kuat terhadap rakyat Palestin, dan ini amat membantu NGO-NGO Palestin untuk membuat pelbagai projek yang menguntungkan rakyat-rakyat Palestin. Namun begitu, sudah tiba juga masanya NGO-NGO Palestin di Malaysia untuk merancang strategi BDS yang dapat menggunakan sepenuhnya sokongan kuat rakyat Malaysia, di samping memperkasakan ilmu mengenai konflik Israel-Palestin.

      



No comments:

Post a Comment

Popular Posts