karya Abbas Alias
Loren Jenkins( dari Washington Post) menyumpah seranah dengan kerap sekali. Jenkins sedar dengan serta merta bahawa menteri pertahanan Israel tentulah perlu bertanggungjawab ke atas perkara ngeri ini. “Sharon!” dia menjerit. “Si bangsat [Ariel] Sharon! Ini adalah Deir Yassin sekali lagi.”
Berikut merupakan petikan daripada memoir seorang wartawan
perang warga British, Robert Fisk yang berjudul Pity the Nation: The Abduction of Lebanon. Robert Fisk merupakan
antara wartawan dari Barat yang terawal memasuki kem pelarian Sabra dan Shatila
di Lubnan setelah diganasi militan Falangis.
Ariel Sharon |
Pada tahun 1981, Israel beberapa kali menyerang kem PLO(Palestine
Liberation Organisation) di selatan Lubnan dalam usaha provokasi yang bertujuan
untuk membuat PLO menyerang balas. Julai 1981, jet pejuang Israel membunuh dua
ratus orang awam di Beirut, dan Ariel Sharon yang ketika itu merupakan menteri
pertahanan Israel mengeluarkan pernyataan terkenalnya untuk menghapuskan terus perjuangan(resistance) Palestin. Perjuangan Palestin
pada ketika itu diketuai oleh Yasser Arafat dan pertubuhan yang dicop sebagai
teroris, Palestine Liberation Organisation yang berpusat di Lubnan, di
kem-kem pelarian orang Palestin.
Beirut dibedil dengan teruk sekali oleh Israel pada
1981-1982. PLO dan tentera Lubnan menyerang balas, namun tidak dapat menahan
serangan Israel yang menggunakan teknologi yang lebih canggih. Untuk
menyelamatkan kem-kem pelarian serta bandar-bandar di Lubnan dari diserang
dengan teruk lagi oleh Israel, PLO bersetuju untuk meninggalkan Lubnan, dengan
syarat bahawa wanita-wanita dan kanak-kanak mereka di Lubnan diberi
perlindungan. Maka, sebuah perjanjian aman di tandatangani, dengan Amerika
Syarikat sebagai orang tengah. Ronald Reagan, presiden Amerika Syarikat memberi
janji akan memastikan keselamatan mereka yang tertinggal di kem pelarian; yang
mana ramai terdiri daripada wanita, orang tua, dan kanak-kanak. PLO menuju ke
Tunisia dengan membawa janji tertulis dari Amerika Syarikat bahawa keluarga mereka tidak akan diapa-apakan.
Namun begitu, mereka di khianati. Pada 16 September, Ariel
Sharon melanggar perjanjian aman dan mengarah tenteranya mengepung kem-kem
pelarian di Sabra dan Shatila. Tentera Israel menghalang penduduk kem tersebut
keluar,dan membiarkan pengganas Falangis membuat sesuka hati mereka terhadap
populasi kem pelarian yang sudah ketiadaan lelaki-lelaki dewasa yang boleh melindungi
mereka. Pada waktu malam pula, tentera Israel menyalakan kegelapan malam dengan
api flare untuk memberi cahaya kepada pengganas Falangis dalam perbuatan mereka
merogol dan membunuh penduduk di Sabra dan Shatila.
Dua hari selepas itu, Robert Fisk memasuki kem ini dan
menulis kata-kata berikut ,
“Mereka di mana-mana, di atas jalan, di lorong-lorong, di kawasan belakang rumah dan bilik-bilik yang pecah, di bawah simen-simen yang hancur dan di atas tong-tong sampah. Apabila kami sudah melihat seratus jumlah mayat, kami berhenti menghitung. Dibawah setiap lorong-lorong, terdapat mayat-mayat manusia -- wanita, remaja lelaki, bayi dan orang-orang tua -- baring bersama dalam keadaan yang teruk dimana mereka telah ditikam atau ditembak sehingga mati. Setiap koridor yang kami lalui menghasilkan lebih banyak mayat. Pesakit-pesakit di sebuah hospital orang Palestin telah menghilangkan diri setelah para pengganas ini memerintahkan para doktor untuk berambus. Dimana-mana kami menjumpai kubur-kubur yang seakan-akan dibuat dengan segera. Walau ketika kami masih di sana, di sebalik bukti-bukti kekejaman ini, kami dapat melihat tentera-tentera Israel melihat kami. Dari atas menara pengawasan, kami dapat melihat mereka melihat kami melalui binokular, dan melihat mayat-mayat yang bergelimpangan ini, dengan lens binokular yang kadang-kadang bersinar akibat pantulan cahaya matahari. Loren Jenkins( dari Washington Post) menyumpah seranah dengan kerap sekali. Jenkins sedar dengan serta merta bahawa menteri pertahanan Israel tentulah perlu bertanggungjawab keatas perkara ngeri ini. “Sharon!” dia menjerit. “Si bangsat [Ariel] Sharon! Ini adalah Deir Yassin sekali lagi.
…….Memang terdapat pembunuhan besar-besaran sebelum ini di Lubnan, namun bukan pada skala yang amat besar sebegini dan tidak pernah pula diawasi oleh tentera biasa yang kononnya berdisiplin. Dalam keadaan panik dan kebencian yang timbul dari peperangan, berpuluh ribu orang telah dibunuh di negara ini. Namun, mereka ini[di Shatila], yang berjumlah ratusan , telah di bunuh dalam keadaan mereka tidak bersenjata. Ini adalah pembunuhan beramai-ramai, sebuah insiden -- betapa senangnya kami menggunakan terma “insiden” di Lubnan -- yang juga pada masa yang sama adalah sebuah kekejian….
Saya dan Jenkins sangat terkejut dengan apa yang kami jumpai di Shatila yang pada awalnya, sukar untuk kami menyedari kekejutan kami sendiri. Kami mungkin dapat menerima lagi bukti untuk pembunuhan yang sedikit; mungkin masih boleh menerima jika menemui sedozen mayat, yang terbunuh dalam peperangan. Namun, disini terdapat mayat wanita yang bergelimpangan dengan kain mereka terkoyak sehingga atas pinggang dan kaki terkangkang luas, kanak-kanak dengan leher yang dikelar, barisan remaja lelaki yang ditembak di belakang apabila disuruh berbaris di sebuah dinding. Terdapat bayi-bayi yang sudah kehitaman kerana disembelih sudah lebih 24 jam dan badan mereka melalui proses dekomposisi, dan mereka dibaling ke tong sampah bersama-sama tin makanan tentera Amerika Syarikat, alat-alat perubatan tentera Israel, serta botol-botol whisky kosong.”
Catatan Robert Fisk bertukar menjadi seolah-olah sebuah
cerita seram . Beliau menyambung lagi,
“Di seberang sebuah jalan, di tengah-tengah runtuhan, kami menjumpai mayat lima wanita dan beberapa kanak-kanak. Wanita-wanita ini dalam lingkungan separuh umur dan mayat mereka berbaring diatas runtuhan. Seorang dari mereka berbaring terlentang, jubahnya dikoyakkan dan kepala seorang kanak-kanak muncul disebalik badan wanita dewasa itu. Kanak-kanak itu mempunyai rambut ikal yang pendek, matanya memandang terus kearah kami dan wajahnya muram. Kanak-kanak itu sudah mati. Seseorang telah mengelar perut wanita dewasa itu, memotong dari tepi dan kemudiannya memotong ke atas, mungkin dalam cubaannya untuk membunuh bayi didalam kandungan wanita tersebut. Mata wanita tersebut terbuka luas, wajahnya yang gelap kaku dalam kekejaman disekitarnya.”
Dunia pada ketika itu memilih untuk mengenepikan kesedihan Sabra
dan Shatila. Seminggu selepas kejadian ini berlaku, media di barat memilih
untuk melebihkan liputan kepada insiden kematian Puteri Grace Kelly, seorang
artis Hollywood yang berkahwin dengan seorang ahli keluarga diraja Monaco.
Media dunia mempercayai cerita Israel yang menggelarkan misi perangnya terhadap
Lubnan adalah perang membela keselamatan Israel. Ariel Sharon , dalang kepada
serangan keatas Lubnan selepas peperangan ini semakin naik profailnya
di persada politik Israel. Dia memenangi pilihan raya dan dipilih menjadi
perdana menteri Israel pada 6 Februari 2001. Presiden Amerika Syarikat pada
ketika itu, George W. Bush merujuk kepada Sharon dengan jolokan nama “Lelaki
Keamanan”.
Kini, Ariel Sharon yang sudah lebih lapan tahun berada di dalam
koma menjadi semakin tenat . Media-media barat sudahpun ada yang mengeluarkan
artikel untuk mengenangi “jasa” lelaki ini. Majalah terkemuka Time mengenangi jasa Ariel Sharon dengan
hanya mengambil kata-kata dari warga Israel mengenai lelaki ini yang banyaknya
kepada puji-pujian dan mengenepikan pembunuhan di Sabra dan Shatila. Media mula mengeluarkan cerita bahawa langkah terakhir Ariel Sharon mungkin
sebenarnya ke arah keamanan. Ada juga yang membandingkan perjuangan terakhirnya untuk keamanan layak menempatkannya
selaras dengan pejuang apartheid yang baru sahaja meninggal dunia, Nelson
Mandela.
Masyarakat dunia boleh mimilih untuk mengiktiraf Ariel
Sharon seperti seorang lelaki yang berjuang untuk keamanan,ataupun keselamatan
Israel. Mungkin banyak lagi artikel-artikel selepas ini yang akan lebih
mendalam mengenang perkara-perkara yang dilakukan oleh Sharon,samaada yang baik
mahupun buruk. Namun, penulis lebih selesa mengingati lelaki ini seperti mana
Loren Jenkins menyebutnya, iaitu seorang bangsat yang bertanggungjawab terhadap
Sabra dan Shatila, yang sehingga zaman sedarnya tidak pernah meminta maaf atas
kekejian yang didalanginya.
Nota : Terdapat sebuah filem grafik yang dihasilkan oleh seorang veteran perang Israel yang berjudul Waltz with Bashir. Filem dokumentari ini berkisarkan direktor ,Ari Folmann yang
pada zaman mudanya menyertai tentera Israel menyerang Lubnan. Dia adalah antara
salah seorang tentera Israel yang mengepung kem Sabra dan Shatila.
Rujukan :
1. Mornings in Jenin, karya Susan Abulhawa
2. Pity the Nation, karya Robert Fisk. Alih bahasa kepada bahasa Melayu petikan buku ini dibuat oleh penulis sendiri, Abbas Alias.
3. Artikel dari Time,"Israel Wakes up to Ariel Sharon as Former Prime Minister Nears Death"
No comments:
Post a Comment