karya Zulqarnain
i. Pendahuluan
“Bila kita lihat manusia terbiar larat,
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat,Harus kita lekas sedar penuh pada tugas,
Harus kita tegas sembah seluruh sara belas.”
Kita Ini Tetamu Senja, A. Samad Said (rangkap 4)
ii. Kisah Besi Putih
Sambil menelaah karya Faisal Tehrani – Tuhan Manusia, saya sempat memerhatikan gelagat pemuda pemudi kota. Seperti kebiasaan hujung-hujung minggu, warga kota mengambil peluang ke Jalan TAR, SOGO, KLCC dan bermacam lagi.
Mata terlekat seketika pada helaian kertas putih itu tatkala membaca perenggan ini -
“Mereka rasa lebih moden, lebih progresif. Islam pula selama ini pun telah dimomokkan sebagai agama konservatif, ortodoks, mengekang hak asasi, anti kemajuan dan pembangunan, dan tak kurang pula yang mengaitkan Islam dengan terorisme.
Saya memejam mata, menghela nafas dan mendengar suaranya begitu dekat di telinga saya, “Institusi keluarga Melayu telah runtuh, nilai tradisionalnya telah digantikan dengan nilai sekular. Rempuhan globalisasi pula mengancam kepupusan kita.”” (Tuhan Manusia, pg 24)
Saya tergamam. Tembakannya tepat kena pada jiwa. Lalu saya memerhati gelagat warga kota di sekeliling. Apakah sekadar telahan semata-mata atau pun adalah benar perkara itu wujud dalam kalangan masyarakat kita, umumnya Melayu-Islam.
Saya memerhati jauh dari ekor besi putih – yang kadangkalanya menjadi kepala, Anak-anak muda mengambil tempat duduk yang dikhaskan kepada golongan yang memerlukan. Saya memerhati lagi, warga tua berdiri memenuhi segenap ruang besi putih.
Kita tidak sekadar diserang pelbagai sudut oleh isme-isme malah hancurnya sopan santun budi bahasa. Melayu yang dimomokkan hanya tinggal nama. Melayu yang dipertahankan bagi melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Kini tiada lagi Melayu yang benar-benar Melayu. Melayu yang tikamnya dengan pantun. Tegurnya penuh sopan santun.
Setelah dinilai ditimbang menggunakan sukatan Islam, Melayu masa kini ternyata telah kurang nilai adab dan nilai akhlak. Nilai-nilai yang diasimilasikan cantik molek dengan budaya masharakat Melayu. Tuhan Manusia yang ditulis pada lewat 2007 itu menduga dengan tepat sekali. Lantaran demikian, ad-deen yang dianjurkan oleh Islam hilang praktiknya dalam masharakat.
Islam dilihat seolah-olah terhad pada agama yang dirujuk pada kad pengenalan diri. Islam terhad pada sambutan Maulidur Rasul. Islam terhad pada kalimah Allah. Islam terhad pada cuti-cuti umum (perayaan). Islam terhad pada solat, zakat dan haji. Kesilapan hanya mampu didiamkan daripada terus menjadi buah mulut masharakat dengan pergi umrah berkali-kali. Umrah yang tidak ada kesan pada diri.
Gambar Hiasan |
Lantas Islam dipersalahkan kerna praktik yang tidak kena oleh penganutnya. Penganut yang memilih-milih Islam mana yang mahu dijadikan praktik diri.
“Bila kita lihat manusia lupa tempat,
Atau segera sesat puja pangkat puja darjat,
Segera kita insaf—kita punya kiblat,
Segera kita ingat— kita punya tekad.”
Kita Ini Tetamu Senja, A. Samad Said (rangkap 3)
iii. Manusia dan Budaya.
Setiap manusia itu fizikalnya sama. Punya dua mata, dua telinga, dua tangan dan dua kaki. Persoalannya, kenapa mereka tidak sama? Perbandingan antara fizikal dan juga gaya hidup mereka. Fizikal manusia itu sama tetapi yang membezakan mereka ialah gaya hidup. Bagaimana mereka menghidupkan kehidupan?
Manusia akan dididik sejak kecil oleh budaya setempat. Andai baik budaya itu, maka baiklah generasi harapan. Andai buruk budaya itu, maka gelaplah masa depan. Hang Tuah terkenal dengan; “Takkan Melayu hilang di dunia.” Ya benar, Melayu tidak akan hilang di dunia. Tetapi Melayu hanya akan tinggal pada nama. Melayu yang telah hilang budaya mereka.
Menelusuri budaya masharakat Melayu, kita boleh bersetuju bahawa Melayu pasca globalisasi mempunyai krisis identiti yang sangat membimbangkan. Jika dahulunya aktiviti sosial seperti clubbing adalah budaya masharakat barat namun pada masa kini, budaya itu dilihat sebagai budaya dunia, budaya gloabalisasi dan masharakat Melayu antara masharakat yang terjebak dengan gejala ini.
Oleh yang demikian, kita mahu tidak mahu boleh bersetuju bahawa gejala-gejala yang tidak sihat ini adalah antara punca (selain daripada sikap masharakat setempat, sistem pendidikan et al) kenapa masharakat masa kini dibelenggu dengan masalah-masalah seperti kelahiran anak luar nikah, rogol, kes-kes kecurian dan lain-lain lagi.
Harus kita segera ingat, kita pegang erat-erat, jangan kita lepas, jangan kita mahu terlalu bebas— Islam datang sebagai solusi, jangan kita memilih Islam mana yang mahu dipakai pada diri.
Perkara-perkata seperti kesedaran sivik juga masih rendah dalam masharakat kita walaupun Pengajian Sivik telah pun diperkenalkan dalam silibus pengajian hampir 8 tahun yang lalu. 8 tahun yang tiada kesan pada masharakat, malah hari ke hari semakin melarat.
Ke mana mahu kita tuding jari lagi?
Permasalahan-permasalahan ini sekiranya tidak segera diubat, nescaya makin liat untuk dikerja buat. Masharakat yang sedar (kaum muda utamanya) perlu melihat masalah ini adalah masalah mereka. Masalah yang perlu difikirkan dan diusahakan jalan penyelesaiannya bersama-sama.
Saya percaya kerja buat ini memakan masa, tetapi jika bukan kita alamaknya mungkin hilang ‘lah asal identiti diri. Masharakat perlu diajak untuk kembali kepada asal jalan kehidupan dan teman-teman sekeliling, rakan-rakan sebaya—adalah sasaran kita yang pertama. Perubahan itu mesti demi anak-anak kita. Masa depan mereka tidak boleh dibiarkan selamanya kelam. Perlu ada mentari untuk menunjuk jalan dan siapa lagi mahu menjadi mentari itu kalau bukan kita sendiri.
“Kalau hidup ingin merdeka,
Tiada tercapai hanya berkata,
Ke muka maju sekata, maju kita,
iv. Penutup
“Celakalah saya makilah saya,
Akan ku sambut bertahan hati,
Ada yang suka ada yang benci,
Hiasan hidup di alam maya.”
Nikmat Hidup, HAMKA (rangkap akhir)
No comments:
Post a Comment