Sunday, 26 January 2014

Pemergian Murabbi Ummah

karya Zulqarnain

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selawat dan salam kepada junjungan besar lagi mulia, Muhammad sallalahualaihi wasallam.

Langit mendung seketika hari ini merelakan pemergian seorang lagi murabbi ummah, allahyarham al-fadhil Tuan Guru Harun Taib. Al-Fatihah.

Kepada ahli keluarga al-fadhil Tuan Guru, takziah dan diucapkan. Inna lillahi wa inna ilaihiraa ji’un. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

Alhamdulillah, kita panjat syukur kepada Allah ‘Azza wa Jalla kerana memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama dengan al-fadhil Tuan Guru dan melepaskan Tuan Guru daripada derita dan ujian dunia.

Pemergian Tuan Guru yang juga merupakan Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat adalah satu kerugian yang besar kepada masyarakat. Namun, seperti akan mengetahui dan menyedari bahawa dunia hanya persinggahan semata, Tuan Guru telah banyak menulis untuk meninggalkan tinta-tinta ‘ilmu kepada masyarakat. Semoga banyak manfaatnya kepada semua.

Pemergian Tuan Guru memberi ingat kepada kita bahawa kita hamba-Nya yang hina pasti akan dipanggil bilamasa sahaja. Justeru, pedoman dan pengajaran untuk kita adalah apakah bekal kita sudah melayakkan kita untuk mengemis belas kasih Allah ‘Azza wa Jalla untuk ditempatkan bersama-sama dengan yang dicintai Muhammad sallalahualaihi wasallam dan orang-orang yang beriman lainnya?


Pemergian Tuan Guru juga pada satu sudut sepatutnya menjadi pembakar semangat kepada abnaul harakah khususnya yang telah mewakafkan diri kepada perjuangan Islam secara amnya dan PAS khususnya. Pendokong perjuangan ini perlu mula mengambil ingat bahawa secara logiknya satu demi satu murabbi ummah akan pergi menyahut seruan yang Esa dan secara logiknya, merekalah yang akan mengambil amanah dan tanggungjawab yang ditinggalkan.

Oleh yang demikian, pendokong jamaah PAS semua secara hukumnya, wajib haraki, untuk menggali sedalam-dalamnya khazanah ‘ilmu Allah ‘Azza wa Jalla dan menyampaikannya kepada masyarakat untuk mendekatkan lagi mereka kepada kehidupan Islam yang sebenar.

Kepada semua pembaca, solat ghaiblah walau di mana jua anda berada. Semoga allahyarham al-fadhil Tuan Guru Harun Taib rahimallahu ta’ala ditempat dalam kalangan orang-orang yang diangkat darjatnya.

Menulislah buat pedoman ummah. Menulislah agar pedoman dan pengajaran kekal dalam lipatan sejarah.

Akhirul kalam, sekali lagi takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga allahyarham Tuan Guru rahimallahu ta’ala. Al-Fatihah.


Wallahua’lam.

Sunday, 19 January 2014

Meneruskan Hidup Merupakan Satu Keberanian

Ajax membunuh dirinya (gambar oleh Perhelion)
Penulis asal: Jennifer Michael Hecht
Diterjemahkan oleh Durratun Naasihin


Gagah, berani, pintar dan berbakat, Ajax merupakan salah seorang pahlawan terulung dalam lagenda mitologi klasik. Beliau menang dalam setiap misi dan peperangan yang beliau sertai, menyebabkan beliau mendapat gelaran Ajax si Penakluk. Namun, seperti mana yang diceritakan oleh Ovid dalam Metamorphoses, “Sang Penakluk, akhirnya beliau sendiri ditakluk kesedihan”: Beliau akhirnya mati setelah memilih untuk jatuh tertikam pedangnya sendiri.

Kisah beliau membunuh diri terjadi selepas kematian tragik pahlawan yang terulung antara mereka, iaitu Achilles, dan Ajax dan Odysseus menafikan segala hukum alam dengan melakukan sesuatu yang tidak masuk akal demi menuntut semula mayat Achilles daripada musuh, iaitu kaum Trojans. Kedua-duanya menunjukkan keberanian yang sangat luar biasa(semasa misi menuntut kembali mayat). Ajax bersusah payah melawan musuh sementara Odysseus menyambar mayat dan membawa mereka semua kembali ke kubu. Selepas (majlis pemakaman Achilles), Majlis telah menetapkan bahawa kedua-dua mereka layak untuk mewarisi perisai sakti yang pernah dipakai Achilles. (Perisai) ini telah ditempa di Gunung Olympus, tempat bersemayamnya para dewa, perisai ini bukan setakat memberi perlindungan yang ekstrem tetapi juga menjadi satu petanda bahawa pemakainya merupakan seorang pahlawan yang terhebat di dunia ketika itu. Untuk menentukan siapa yang lebih layak memilikinya, kedua-dua pahlawan ini menyelesaikan melalui pertarungan, yang akhirnya berkesudahan seri. Akhirnya, mereka cuba pula menyelesaikannya melalui perdebatan, dan oleh kerana Odysseus mampu bertutur dengan lebih petah, Majlis telah menganugerahi beliau perisai tersebut. Ovid memberitahu kita bahawa kekecewaan yang ditanggung oleh Ajax telah mendorongnya untuk membunuh diri. Dalam pementasan mengenai wataknya, Sophocles menceritakan bahawa Ajax merasa sangat dukacita sehingga boleh terperanjat hingga hampir tidak sedarkan diri kerana menyangka sekumpulan biri-biri sebagai musuh, dan membunuh kesemua biri-biri tersebut tanpa sedar. Apabila beliau kembali sedar dan melihat apa yang beliau telah lakukan, beliau merasa sangat malu yang tak tertahan, sehingga memilih untuk membunuh dirinya sendiri.

Perkara yang paling ironi adalah kesemua ini berlaku hanya disebabkan sebuah perisai, yang menyebabkan Ajax tewas kerana tiada perisai yang mampu melindunginya dari perkara ini: tak lain adalah rasa cemburunya, marahnya, malunya, serta kesalnya.
Sepanjang sejarah manusia, para artis dan penulis sering menggambarkan kisah “Ajax yang sedih” kerana kisah ini sangat menyayat hati, serta sangat manusiawi. Kadangkala, kita semua—setiap dari kita—boleh menjadi musuh yang paling berbahaya kepada diri sendiri.


Dewasa ini, badan ketenteraan menghadapi krisis yang kian meruncing. Kita (penterjemah:merujuk kepara rakyat USA) telah kehilangan lebih ramai tentera akibat kes membunuh diri berbanding daripada mereka yang mati di medan perang. Sebahagian daripadanya berpunca dari PTSD—posttraumatic stress disorder(gangguan stress pascatrauma)—tetapi sebuah kajian terkini yang dikeluarkan oleh Pentagon yang mengkaji dari tempoh 2008 hingga 2011 mendapati hampir 52% kes bunuh diri melibatkan mereka yang langsung tidak pernah turun ke medan perang.

Pada tahun lepas(2012), kes bunuh diri yang melibatkan kakitangan tentera mencapai kadar hampir seorang bagi setiap hari. Veteren tentera pula membunuh diri pada kadar hampir seorang untuk setiap jam, kira-kira 22 orang dalam sehari. Baru-baru ini, peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan tentera naik mendadak sehingga ditempatkan pada muka hadapan The New York Times serta muka hadapan majalah Time. Kadarnya adalah lebih tinggi untuk tahun ini jika dibandingkan pada waktu yang sama untuk tahun lepas.

Kadar kes bunuh diri turut meningkat dalam kalangan rakyat USA pada kadar yang membimbangkan: 10 tahun yang lampau sudah cukup memeranjatkan para pemerhati sekiranya mencecah kadar 30, 000 setahun. Namun dewasa ini bilangannya hampir 40,000. Di seluruh dunia dan juga dalam USA sendiri, terdapat lebih banyak kes bunuh diri berbanding kes bunuh. Untuk mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, membunuh diri merupakan tiga faktor utama penyebab kematian. Untuk mereka yang lebih tua pula adalah 10 faktor utama penyebab kematian, walaupun golongan ini mencatat kadar tertinggi kes bunuh diri (terdapat faktor lain penyebab kematian yang berpunca daripada penyakit-penyakit tua). Wanita lebih ramai yang cuba membunuh diri, tetapi selalunya lelaki yang berjaya melakukannya—faktor utamanya kerana mereka mendapat akses yang lebih mudah kepada senjata api, kaedah efektif untuk mati.

Sekiranya populasi masyarakat awam dibandingkan dengan demografi para tentera (berdasarkan faktor usia, jantina, dan kaum), antara tahun 2002 hingga 2009 (tahun terakhir kami mempunyai data yang boleh dipercayai) kadar kes bunuh diri meningkat sebanyak 15 peratus. Berdasarkan data yang diperoleh dari Pentagon, kadar kes bunuh diri dalam kalangan tentera untuk tempoh masa yang sama telah meningkat sebanyak 80 peratus. Perbezaan yang besar antara kadar keduanya masih belum dapat menggambarkan masalah yang sebenar, kerana Pentagon turut mengira bilangan tentera yang ditugaskan walaupun hanya beberapa hari bagi tahun yang berkenaan, memungkinkan kadar ini menjadi lebih rendah sekiranya Pentagon hanya mengira data mereka yang dipanggil bertugas untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, umpamanya.

Masalah ini bukan sahaja benar-benar berlaku, tetapi juga sebenarnya sangat baru. Sejak kita mula merekodkan kes bunuh diri bermula penghujung kurun ke 19, para tentera merekodkan kadar kes bunuh diri yang lebih tinggi berbanding masyarakat awam secara umumnya, namun sekiranya dibandingkan pada kategori yang sama dengan masyarakat—mengambil kira faktor usia dan jantina, umpamanya—para tentera menunjukkan kadar kes bunuh diri yang lebih rendah berbanding masyarakat awam.

Para pengulas menjelaskan hal ini disebabkan proses pemilihan yang ketat untuk menjadi tentera, penjelasan ini diterima pakai sejak sekian lama kerana umumnya mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai warganegara. Penjelasan yang lebih tepat mungkin merujuk kepada semangat keakraban dan juga rasa tujuan yang sama membuatkan mereka lebih cekal menghadapi kesengsaraan hidup. Jika merujuk kepada seluruh tentera serta masyarakat awam, kes bunuh diri selalunya menurun sewaktu peperangan. Masyarakat lebih merasa kebersamaan dan mempunyai tujuan yang sama ketika mereka diancam oleh pihak luar.

Kenapa perlindungan itu tidak berlaku dalam peperangan dewasa ini? Sekumpulan penyelidik yang mengkaji kes bunuh diri dalam kalangan tentera, seperti National Center for Veterens Studies, mencadangkan bahawa kehidupan tentera lebih terasing berbanding masa lampau: lebih ramai tentera yang ditugaskan di markas berbanding dahulu, dan mereka yang ditugaskan di markas mungkin dibenarkan mempunyai bilik persendirian beserta television sendiri, berbanding tentera dahulu yang terpaksa menetap di berek secara berkumpulan atau dalam bilik umum. Malah turut perlu dipertimbangkan kesan penyakit yang timbul daripada peperangan sudah menular dewasa ini—seperti trauma dan juga PTSD—secara khususnya mengancam mereka yang sememangnya lebih cenderung untuk dilanda kemurungan atau ketidakstabilan emosi.

Tapi bukan mereka yang dilanda kemurungan klinikal sahaja yang membunuh diri sendiri. Ramai kalangan tentera yang membunuh dirinya lantaran nasib malang yang menimpa: seperti penceraian, masalah kewangan, dikenakan hukuman perundangan, dan juga sebab-sebab yang lain. Sebuah kajian terbaru dari Pentagon mendapati hampir separuh daripada kes bunuh diri dalam kalangan tentera melibatkan mereka yang pernah mengalami masalah rumah tangga, selalunya dalam tempoh beberapa bulan sebelum membunuh diri. Dalam kajian yang lain pula mendapati kebanyakan kes bunuh diri terjadi kepada mereka yang berumur bawah 25 tahun. Keluarga atau kenalan yang pernah kehilangan seseorang akibat membunuh diri selalunya memberitahu bahawa suspek terlibat dengan masalah perundangan atau masalah kewangan, atau keduanya; bahawa suspek mempunyai ketagihan dadah atau alcohol; bahawa suspek kembali dari medan perang dan berubah sama sekali; atau mereka tersangat berasa kecewa tidak ditempatkan di medan perang.


Secara kasarnya, kebanyakan manusia membunuh diri dewasa ini atas alasan yang sama seperti Ajax: hidup ini sangat mengecewakannya, tidak adil , dan menyakitkan, dan kita acap kali melakukan sesuatu yang membuatkan kita berasa sangat malu pada kemudian hari. Perasaan kecewa yang dialami oleh Ajax pastinya lebih besar dan dahsyat kerana, sebagai pahlawan yang disegani, beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap dirinya. Pada dewasa ini kita juga meletakkan pengharapan yang tinggi. Kita hidup dalam budaya yang mengkehendaki kita semua menjadi seseorang yang istimewa, dan tahap ke’istimewa’an itu akan senantiasa meningkat. Kadangkala menyebabkan kita berasa hampa.

Sekiranya seseorang itu terperangkap dengan perasaan untuk membunuh diri, adalah amat penting baginya untuk mencari bantuan dari pakar kesihatan mental. Sesi kaunseling mampu membantu, memberi pemahaman akan situasi sendiri.  Antidepressent boleh membantu mengurangkan kesengsaraan buat sementara waktu supaya pesakit mendapat sedikit masa untuk merenung dan memikirkan kembali kehidupannya. Namun kita juga boleh membantu menyelesaikannya bermula dari rohani si pesakit, dan dengan merujuk sejarah perkembangan idea.

Untuk menyelamatkan diri kita pada masa hadapan daripada terjebak membunuh diri, kita perlu memulakan usahanya dari sekarang. Kem Persediaan dan juga latihan tambahan boleh membantu tentera untuk bersedia sebelum ke medan peperangan. Dalam situasi di mana kebanyakan daripada manusia sudah menyerah kalah dan melarikan diri, tentera pula telah dilatih untuk terus bertahan serta melawan dan cuba untuk pulang dalam keadaan hidup. Orang ramai jarang bercakap mengenainya, tetapi kehidupan harian para tentera atau masyarakat seperti mereka boleh menjadi sangat kejam sehingga mereka perlu dilatih untuk menghadapinya sebelum terjadinya krisis. Kita semua juga perlukan kem persediaan untuk persediaan jiwa dan semangat kita.

Melewati saat berlakunya krisis, seseorang itu tidak mahu mati kerana membunuh dirinya sama seperti seseorang yang terperangkap di tengah medan pertempuran dan akhirnya mati terbunuh—kedua-duanya hanya tidak terlatih serta tidak bersedia. Seorang ahli falsafah dari Jerman iaitu Ludwig Wittgenstein pernah menulis bahawa membunuh diri ini selalunya berkaitan seseorang merampas dirinya secara tiba-tiba, tindakan yang terburu-buru dalam mempertahankan diri. Seperti mana pertahanan diri yang lain, bahagian untuk melawan bunuh diri boleh diperkukuhkan. Dari sekian banyak maklumat menunjukkan bahawa kecenderungan  untuk membunuh diri ini hanya berlaku dalam tempoh yang pendek. (Kemudian) emosi itu berlalu pergi. Satu kajian telah dibuat susulan daripada 515 orang yang berjaya diselamatkan daripada terjun dari Jambatan Golden Gate lebih dari 20 tahun yang lampau dan mendapati hanya lima hingga tujuh peratus orang yang sebenarnya benar-benar mahu menamatkan riwayat hidupnya sendiri. Melalui kajian yang lain pula mendapati kebanyakan mereka yang telah cuba untuk membunuh diri benar-benar merasa bersyukur kerana mereka tidak mati.

Seseorang yang tidak terlatih yang dilanda kekecewaan yang teramat atau kemurungan mungkin akan membenarkan bahagian dirinya yang mahu untuk membunuh diri untuk menguasai dirinya pada hari tersebut . Sesiapa sahaja dari kita mungkin mahu pergi ke suatu tempat yang mana bahagian daripada dirinya yang mahu mati dapat dikawal untuk seketika. Jangan biarkannya terjadi. Sematkan dalam fikiran bahawa idea untuk membunuh diri bukanlah satu pilihan. Hal ini perlu dilakukan oleh setiap orang. Mereka yang tidak pernah mengalami masalah dalam yang teruk seharusnya jangan memandang rendah keupayaannya (menghancurkan hidup anda). Seperti mana doktor Robert Burton yang hidup pada kurun ke-17 menulis dalam bukunya The Anatomy of Melancholy: “Hope, ye miserable. Ye happy, take heed.” (terjemahannya: Berharap, engkau sangat dukacita. Engkau gembira, ambil endah. Semua orang menderita; tiada siapa boleh terlepas. Apabila nasib malang menimpa, seakan-akan malang itu tiada berkesudahan. Namun ia tetap akan berhenti. Kita mesti memikirkan mengenainya sekarang supaya persediaan menghadapinya akan berbaloi kelak dan mampu menyelamatkan nyawa kita dan juga nyawa kenalan kita.  

Salah satu sebab mengapa saya tulis “nyawa kenalan kita” adalah kerana salah satu faktor utama untuk meramalkan kecenderungan membunuh diri adalah mengenali seseorang yang pernah membunuh dirinya sendiri. Kita sangat mempengaruhi antara satu sama lain dalam hidup ini. Ibubapa yang membunuh dirinya sendiri meninggalkan anak-anak yang tiga kali ganda lebih berpotensi untuk membunuh dirinya sendiri berbanding anak-anak yang berjaya mencecah usia 18 tahun yang hidup bersama ibu bapa. Bukan sahaja ibubapa. Menurut kajian ilmu sosiologi, satu kes bunuh diri dalam suatu masyarakat sering kali akan membawa kepada peningkatan kadar kes bunuh diri oleh mereka yang mengenali si mati, atau yang mengetahui si mati, atau yang merasakan diri mereka mempunyai persamaan dengan si mati dalam suatu sudut, terutamanya dari sudut umur, jantina, dan pekerjaan. Dalam buku saya yang terbaru, Stay, Saya telah mengumpulkan sejumlah besar kajian yang menunjukkan kes bunuh diri yang berjangkitan ini benar-benar berlaku. Penemuan ini tidak seharusnya mengejutkan kita, kerana kajian tersebut telah membuktikan perkara seperti berat, merokok, berbasikal dan pilihan-pilihan yang lain, orang ramai sebenarnya melakukan perkara yang serupa dengan apa yang mereka fikir orang disekitar mereka lakukan. Sehinggakan pilihan yang berkekalan seperti mendapatkan tatu atau ingin memperoleh anak ketiga, seorang manusia mengikut manusia yang lainnya. Selepas satu kejadian bunuh diri, kadar kes bunuh diri di kawasan yang sekitar juga meningkat secara tidak semena-mena. Ini terjadi di sekolah; ini terjadi dalam bidang pekerjaan yang sama; ini terjadi selepas selebriti membunuh diri; dan hal inilah yang terjadi dalam tentera kita sekarang ini.

Kerana fenomena seperti ini, membunuh diri juga sebenarnya adalah kes bunuh—anda juga turut membawa seseorang bersama-sama dengan anda. Apabila anda menamatkan riwayat anda sendiri, anda telah melakukan normalisasi kepada mereka yang rapat dengan anda dan juga yang seperti anda. Sekiranya angka itu mencecah suatu angka yang besar, seperti yang terjadi kepada tentera dewasa ini, maka ianya adalah pembunuhan beramai-ramai. Kita perlu mengambil berat kehidupan satu sama lain dengan memaksa untuk menyelamatkan diri kita sewaktu tempoh dilanda tekanan emosi. Apa yang saya ingin sampaikan kepada para tentera dan veteran perang adalah hal ini: sekiranya anda mahukan rakan-rakan seperjuangan anda untuk terus hidup, anda juga perlu mencari jalan untuk terus hidup. Memilih untuk terus hidup menghadapi kesengsaraan merupakan sumbangan terbesar anda kepada masyarakat. Anda pada hari ini atau suatu hari nanti mungkin merasakan diri anda seolah-olah tidak berguna, seperti dunia ini lebih baik tanpa kewujudan diri anda. Namun tanggapan ini sebenarnya silap. Anda mungkin ada melakukan sesuatu kesilapan, malah kesilapan yang sangat besar, tetapi anda bakal melakukan kerosakan yang jauh lebih besar—kerosakan yang tidak terbayang dek akal—sekiranya anda memilih untuk menamatkan riwayat hidup sendiri. Ini sudah pasti bukan satu pilihan.

Tidak dinafikan, seseorang itu tiada upaya untuk memilih supaya tidak berasa putus asa, atau memilih untuk tidak memikirkan langsung kemungkinan untuk membunuh diri, tetapi seseorang itu boleh memilih untuk tidak melakukan perkara tersebut. Fikirkan mengenai ini, contohnya, terdapat satu taboo yang sangat berpengaruh yang mengecam tindakan membunuh diri oleh wanita yang mempunyai anak yang kecil telah mengakibatkan kadar bunuh diri yang sangat rendah bagi golongan berkenaan. Tidak bermakna mereka kurang menghadapi kemurungan—50 hingga 80 peratus daripada wanita mengalami suatu keadaan yang digelar postpartum blues, dan dalam sekitar 10 hingga 15 peratus pula mengalami meroyan. Tiada satu pun yang mencadangkan bahawa mereka kurang mengalami perasaan untuk membunuh diri, tetapi mereka melawan perasaan itu. Sekiranya wanita mampu melakukan hal ini kepada anak mereka, maka apatah lagi para tentera boleh melakukannya demi komrad, keluarga, serta untuk dirinya sendiri pada masa yang akan datang.


Salah satu kejadian bunuh diri yang masyhur dari zaman lampau adalah kisah yang melibatkan seorang ahli falsafah Roman yang juga negarawan, Seneca. Namun, hanya mereka yang berada pada zaman itu sahaja yang menganggap perbuatannya dengan cara sedemikian: sebenarnya Maharaja Nero yang memerintah beliau untuk melakukannya, maka yang tepatnya, perbuatannya itu adalah pelaksanaan hukuman mati. Mengapa kisah ini dianggap sebagai kisah membunuh diri adalah disebabkan Seneca banyak menulis perihal kemurungan semasa hayatnya. Namun Seneca tidak pernah menganjurkan tindakan bunuh diri dalam tulisannya. Malah, beliau sebenarnya memberitahu para pembacanya untuk berjuang melawan sebarang keinginan untuk mati. Beliau banyak merakamkan pengalaman hidupnya sewaktu dilanda kedukaan sehingga beliau ada mencuba untuk menamatkan riwayat hidupnya, namun apabila memikirkan nasib yang bakal dihadapi ayahnya yang lanjut usia menghalangnya dari berbuat demikian. “Saya bukan melihat keberanian saya untuk mati, tetapi semangatnya patah atas sebab kehilangan saya. Maka saya berkata kepada diri saya, ‘Anda mesti terus hidup.’ Kadangkala untuk terus hidup merupakan perbuatan yang berani.”

Ramai tokoh sepanjang sejarah manusia mengatakan sesuatu mengenai keberanian yang diperlukan untuk terus hidup. Keberanian tersebut seakan keberanian yang berbeza dengan jenis keberanian yang diperlukan semasa berperang, namun persamaan antara keduanya tetap ada. Dalam sesetengah keadaan, keberanian di medan perang dianggap oleh ramai pihak sebagai sesuatu yang membolehkan si pelakunya dianugerahi pingat, namun semasa berperang hanya sesetengah orang sahaja yang mampu menunjukkan keberanian yang luar biasa. Tindakan heroik juga memberikan kepuasan yang mendalam kepada pelakunya. Keberanian untuk terus hidup walaupun dibelenggu perasaan untuk bunuh diri dan masih mampu kekal hidup tidak menyebabkan pelakunya dianugerahi sebarang pingat, namun perbuatan itu tetap menyebabkan mereka yang mengetahui keadaan kamu untuk timbul rasa hormat dan ini mampu melahirkan rasa puas yang tidak terhingga.

Selain daripada kepuasan, ianya juga memberikan seseorang itu hikmah. Kebanyakan manusia merasakan saat itu seperti mereka telah terperangkap dalam lubang yang sangat dalam dan mereka tidak mampu keluar daripadanya. Tiada siapa yang mahu melalui perkara ini, tetapi ini merupakan satu proses kematangan yang penting. Dari hero perang, pemimpin yang kita segani, dan pemikir hebat dalam segala bidang, kita mendegar lagi dan lagi bahawa ilmu yang sebenar datang dengan jalan sukar. Hidup dengan kesakitan batin ini membuatkan kita hilang rasa bongkak, rasa pentingkan diri, dan rasa tidak peduli kita. Melalui inilah kita berjaya memperoleh kesantunan dan rasa tanggungjawab, kematangan, dan kebolehan untuk memimpin.  

Sejarah memberitahu kita bahawa terdapat suatu zaman yang mempunyai mesej yang sangat tegas terhadap perbuatan membunuh diri berbanding zaman ini. Semasa era Krsitian Eropah, Gereja Roman katolik dan, kemudiannya, gereja Protestan memandang perbuatan membunuh diri termasuk dosa-dosa besar: bukan sahaja roh tersebut akan dihukum masuk neraka, malah keluarga si mati tidak layak mewarisi sebarang harta si mati. Mayat orang yang mati membuuh diri akan ditikam dengan kayu menerusi jantungnya, kemudian diheret dengan kuda—atau di Perancis, diheret dan dibelah empat—atau diikat dan ditinggalkan untuk menjadi makanan burung dan anjing. Mayat tersebut juga tidak akan ditanam di tanah perkuburan gereja. Membunuh diri dianggap sebagai perbuatan mengikut telunjuk syaitan. Walaupun kejam dan tidak berperikemanusiaan, tetapi penghinaan ini berjaya memperoleh hasil yang positif. Penghinaan seperti ini membuatkan orang terus hidup walaupun mempunyai perasaan untuk membunuh diri—mereka yang kemudiannya menanggap pengalaman pahit ini sebagai perjuangan melawan syaitan. Kita juga boleh memberi kepercayaan kepada apa yang pihak berkuasa pada ketika itu katakana mengenai perbuatan mereka, sebagai menghalang si mati daripada memburu mereka yang masih hidup. Walaupun kita tidak mempercayai makhluk halus, perbuatan membunuh diri dikatakan memburu mangsa yang terselamat daripadanya secara psikologi. Amalan kejam ini memang bertujuan untuk menunjukkan betapa buruknya perbuatan membunuh diri, dan membantu orang daripada rasa terpanggil untuk menyahut perasaan itu.

Ahli falsafah, pejangga, dan ahli bijak pandai telah bersungguh-sungguh menyediakan hujah menentang perbuatan membunuh diri. Plato berkata bahawa seseorang itu perlu meneruskan hidupnya seperti mana seorang pengawal tidak akan mengabaikan tempat kawalannya. Aristotle pula berkata kita terhutang kepada negara dan masyarakat untuk terus hidup walaupun dilanda tempoh kesusahan. Ahli bijak pandai dari abad pertengahan iaitu Maimonides menulis bahawa mereka yang menghancurkan dirinya sebenarnya menghancurkan dunia.

Kita hidup dalam zaman yang lebih mementingkan individu berbanding masyarakat, dan hingga sekarang apa yang paling menarik perhatian kita adalah individu yang berjaya dengan sangat cemerlang sehingga membuatkan sebahagian dari kita berasa kerdil dan dilupakan. Kita mesti mengakui betapa kita memerlukan satu sama lain. Mungkin hal ini tidak beberapa menonjol dalam budaya kita, tetapi tidak bermakna hal ini tersembunyi.

Dua lagi pemikir yang boleh dimasukkan dalam senarai panjang mereka yang menyatakan perbuatan membunuh diri itu adalah salah. Ahli falsafah pencerahan iaitu Immanuel Kant menulis dalam karyanya, Groundwork of the Metaphysics of Morals bahawa kita semua membahayakan manusia sejagat apabila kita menyingkirkan diri kita daripada dunia. Penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan yang berasal dari Perancis iaitu Albert Camus pula menulis bahawa membunuh diri itu salah kerana perbuatan itu seperti penyerahan kepada kematian. Beliau juga menulis bahawa hidup ini absurd dan daripada kita membunuh diri sebagai respon kepadanya, kita seharusnya menerima absurditas dunia ini dan terus hidup.

Dewasa ini, perbahasan-perbahasan seperti itu, baik yang datangnya dari agama mahupun dari falsafah, kesemuanya telah lenyap. Kita melihat membunuh diri itu sebagai suatu penyakit yang mana manusia tidak berdaya melawannya. Budaya-budaya yang memandang membunuh diri sebagai pilihan yang tidak bermoral, serta keji, berjaya membuatkan mereka yang ingin membunuh diri untuk terus hidup sementara menanti hari yang lebih baik: Hamlet mampu bertahan dari keinginannya untuk membunuh diri sebahagiannya disebabkan kerana dia menerima perintah agama yang melarangnya:

O that this too too solid flesh would melt,
Thaw, and resolve itself into a dew!
Or that the Everlasting had not fix’d
His canon ’gainst self-slaughter! …

Watak dalam karya sastera sering memberitahu satu sama lain bahawa membunuh diri bukan sahaja salah malah kita perlu setkan minda kita untuk melawannya. Pencerita novel Steppenwolf karya Herman Hesse berkata bahawa sesetengah orang mesti berjuang melawan perasaan untuk membunuh diri seperti mana seorang yang berpenyakit kleptomania melawan perasaan untuk mencuri. Dalam Les Misérables, Victor hugo menulis beberapa petikan yang sangat menarik berkaitan penderitaan jiwa yang sangat mendalam dan peranan kita untuk terus bertahan dan hidup melaluinya dengan tabah:

Anda mahu mati, saya juga mahukannya, saya yang sedang berbicara denganmu, tapi saya tidak mahu perasaan seperti hantu perempuan yang meletak tangannya mencekik saya..Matilah, jika itu yang kamu mahukan, tetapi jangan sesekali menyebabkan kematian orang lain….Membunuh diri harus dilarang…sebaik sahaja perkara itu terjangkit kepada orang yang dekat dengan kamu, perbuatan membunuh diri itu sebenarnya adalah pembunuhan.

Perhatikan perasaan belas kasihan yang terkandung dalam ayat tersebut. Walaupun boleh mengambil pendekatan klinikal, peranan sebagai pemerhati, tetapi penulis mengambil pendekatan menanggapi keinginan seseorang untuk membunuh diri dengan mengakui bahawa dirinya juga menginginkan perkara yang sama malah turut mengingatkan bahawa perbuatan membunuh diri sepatutnya ditegah kerana kesannya terhadap orang lain, sehingga mendorong orang lain untuk mati.

G. K. Chesterton seorang penulis Inggeris yang mengarang novel The Man Who Was Thursday telah menulis dalam Orthodoxy, buku apologetic Kristian, beliau menolak perbuatan membunuh diri berdasarkan asas moral:

Dalam kesemua hal ini saya mendapati diri saya agak keras terhadap mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai Liberal dan Humanis. Bukan sahaja membunuh diri itu satu dosa, perbuatan itu sememangnya dosa. Malah perbuatan itu tersangat jahat dan keji, keengganan untuk mengambil bahagian dalam kewujudan; merupakan keengganan untuk mengambil perjanjian setia dengan kehidupan.

Mereka yang berkhidmat dalam tentera cenderung mempunyai komitmen yang tinggi untuk mempamerkan diri sebagai seorang yang gagah dan dominan. Kesemua ini boleh menghalang mereka daripada mencari pertolongan. Mereka sepatutnya tahu bahawa sepanjang sejarah manusia menganggapnya sebagai tindakan yang sangat terpuji untuk menolak kematian dan memberikan komitmen untuk hidup.

Perbincangan kita mengenai tindakan membunuh diri dewasa ini sangat tidak menyenangkan. Kita terbiasa menggunakan bahasa yang menggambarkannya sebagai suatu penyakit sehingga akhirnya menyebabkan kita mengstigmakan kemurungan, walhal yang sebaliknya kemurungan adalah realiti yang berlaku kepada setiap manusia. Merujuk kepada peringkat negara, kita (rakyat amerika) mengambil berjuta-juta jenis pil bagi merawat kesedihan kita, walaupun kita kelihatan bebas daripada masalah sepanjang masa, namun akhirnya membuatkan kita semua terasa seperti keseorangan dalam perjuangan masing-masing. Kita sering membaca dan menulis pelbagai kisah perihal kelemahan dan penderitaan jiwa, tetapi kesemua kisah tadi hampir kesemuanya mengenai mereka yang telah sembuh dari kedukaan. Kita semua sudi untuk berbicara mengenainya apabila masalah itu telah selesai, tetapi apabila seseorang itu sedang berada titik paling rendah dalam hidupnya mereka sering merasa terasing dan berasa malu untuk berkongsi masalahnya. Kita seharusnya paling kurang mengetahui bahawa masalah dalaman merupakan perkara lumrah dan sememangnya begitu sejak azali.


Setelah banyak mengkaji dan memerah otak mengenai subjek ini, saya menyimpulkan salah satu sebab utama yang menyumbang kepada kadar bunuh diri yang tinggi dalam tentera adalah hasil kesan bola salji (snowball effect). Membunuh diri itu sangat berleluasa sehinggakan kebanyakan daripada mereka mengenali seseorang yang pernah mati kerananya, dan ini secara tidak langsung mengnormalisasikan perbuatan ini sebagai cara penyelesaian menghadapi masalah. Satu kematian menyumbang kepada kematian yang berikutnya, dan akhirnya menjadi budaya membunuh diri seperti yang terjadi kini.

Berikut merupakan sesuatu yang saya rasakan perlu untuk kita diberitahu kepada para tentera kita:

Marilah bersama-sama kita membanteras budaya membunuh diri. Jangan sesekali kita biarkannya mengambil nyawa kita dan mereka yang dekat dengan kita. Perbuatan ini tidak ada bezanya dengan tindakan menempuh api yang marak demi menyelamatkan nyawa rakan seperjuangan. Dengan terus hidup sebenarnya satu tindakan seorang hero.
Untuk melatih diri dengan sikap heroik ini pada masa hadapan, tentukan pilihan anda sekarang untuk tidak membenarkan kesedihan dan kesengsaraan membunuh diri anda. Luangkan sedikit masa untuk merenung mengenai sumpah untuk kesetiaan kepada kehidupan. Sekiranya perasaan untuk mati datang menganggu hati anda, jangan melawannya dengan rasa takut, tetapi berhadapanlah dengannya dan ketahulilah bahawa itu bukanlah satu pilihan. Sekiranya membunuh diri telah tersemat dalam minda anda sebagai tindakan yang berbahaya, maka anda akan terbiasa untuk menolak perasaan ini. Ingatlah bahawa anda terhutang kepada komuniti untuk terus bertahan, menunggu sehingga masalah berlalu pergi. Anda juga sebenarnya terhutang kepada diri anda sendiri yang akan hidup pada masa hadapan.

Banyak penyelasaian yang diperlukan bagi menghentikan gejala membunuh diri ini. Ini merupakan salah satu cara yang langsung tidak menghilangkan penderitaan; tetapi hanya menahan daripada membunuh diri. Penyelesaian ini mampu menahan seseorang itu sehinggalah dia berjumpa penyelesaian masalahnya atau mungkin sehingga masalah itu sendiri berlalu pergi. Dalam salah satu sonetanya yang mahsyur, John Milton menulis, “Mereka juga sebenarnya menyumbang walaupun hanya berdiri dan menunggu,” dan ramai yang berjaya mendapat manfaat daripada petikan itu. Milton telah kehilangan daya penglihatan sewaktu beliau mula-mula menyusun petikan tersebut—beliau menyuruh anak perempuannya untuk membantu menulis mengenai “On His Blindness”—dan merasakan dirinya tiada berguna untuk hidup di dunia. Namun pada tahun yang berikutnya beliau berjaya menyiapkan Paradise Lost.


Kita seharusnya memikirkan mengenai isu ini secara mendalam dan mengambil pendirian sekarang supaya apabila kita dilanda penderitaan, kita ada rasa tanggungjawab untuk mengelakkan dari membunuh diri. Kita seharusnya mengetahui betapa perbuatan membunuh diri itu sangat salah. Kita harus membaca mengenainya, mendengarnya, atau berkata mengenainya, secara perseorangan (one-on-one) dan dalam himpunan manusia.

Pendapat ini tidak merangkumi sekalian kisah yang ada: Mereka yang menghadapi kemurungan secara biologi, masalah kewangan yang besar, menghidap ketagihan dadah yang kronik, atau nasib malang dalam percintaan. Untuk mengatasi masalah ini pada peringkat negara, dalam kalangan tentera mahupun masyarakat, kita harus mempunyai akses yang lebih baik mengenai perkhidmatan kesihatan mental dan juga ekonomi yang lebih baik. Tetapi idea juga sangat penting.
Sejarah dan falsafah menunjukkan bahawa seseorang itu boleh beroleh kekuatan dengan hanya menegetahui penderitaan yang dihadapi oleh si hero, baik hero dari sumber sejarah mahupun dari mitos. Apabila dilanda masalah, adalah sangat sukar untuk berfikir secara positif, maka kita perlu melakukan persediaan sebelum detik hitam itu tiba. Hidup ini sangat bermakna, dan betapa bermaknanya kehidupan itu kadang-kala tersembunyi daripada pengetahuan kita pada sesetengah masa, mungkin kerana ketidakmatangan atau kerana pengaruh emosi. Maka percayalah kepda hikmah usia dan bersabarlah untuk memperoleh hikmah yang lebih bermakna dan hidup yang lebih baik. Kehidupan ini akan menjadi baik semula. Berlatihlah untuk meletakkan kepercayaan pada hal ini.

Jennifer Michael Hecht merupakan penulis buku Stay: A History of Suicide and the Philosophies Against It, yang telah diterbitkan pada November 2013.



Tuesday, 7 January 2014

“Si Bangsat Sharon” - Bagaimana dunia harus mengingati Ariel Sharon

karya Abbas Alias
Loren Jenkins( dari Washington Post) menyumpah seranah dengan kerap sekali. Jenkins sedar dengan serta merta bahawa menteri pertahanan Israel tentulah perlu bertanggungjawab ke atas perkara ngeri ini. “Sharon!” dia menjerit. “Si bangsat [Ariel] Sharon! Ini adalah Deir Yassin sekali lagi.”

Berikut merupakan petikan daripada memoir seorang wartawan perang warga British, Robert Fisk yang berjudul Pity the Nation: The Abduction of Lebanon. Robert Fisk merupakan antara wartawan dari Barat yang terawal memasuki kem pelarian Sabra dan Shatila di Lubnan setelah diganasi militan Falangis.

Ariel Sharon


Pada tahun 1981, Israel beberapa kali menyerang kem PLO(Palestine Liberation Organisation) di selatan Lubnan dalam usaha provokasi yang bertujuan untuk membuat PLO menyerang balas. Julai 1981, jet pejuang Israel membunuh dua ratus orang awam di Beirut, dan Ariel Sharon yang ketika itu merupakan menteri pertahanan Israel mengeluarkan pernyataan terkenalnya untuk menghapuskan terus perjuangan(resistance) Palestin. Perjuangan Palestin pada ketika itu diketuai oleh Yasser Arafat dan pertubuhan yang dicop sebagai teroris, Palestine Liberation Organisation yang berpusat di Lubnan, di kem-kem pelarian orang Palestin.

Beirut dibedil dengan teruk sekali oleh Israel pada 1981-1982. PLO dan tentera Lubnan menyerang balas, namun tidak dapat menahan serangan Israel yang menggunakan teknologi yang lebih canggih. Untuk menyelamatkan kem-kem pelarian serta bandar-bandar di Lubnan dari diserang dengan teruk lagi oleh Israel, PLO bersetuju untuk meninggalkan Lubnan, dengan syarat bahawa wanita-wanita dan kanak-kanak mereka di Lubnan diberi perlindungan. Maka, sebuah perjanjian aman di tandatangani, dengan Amerika Syarikat sebagai orang tengah. Ronald Reagan, presiden Amerika Syarikat memberi janji akan memastikan keselamatan mereka yang tertinggal di kem pelarian; yang mana ramai terdiri daripada wanita, orang tua, dan kanak-kanak. PLO menuju ke Tunisia dengan membawa janji tertulis dari Amerika Syarikat bahawa keluarga mereka tidak akan diapa-apakan.

Namun begitu, mereka di khianati. Pada 16 September, Ariel Sharon melanggar perjanjian aman dan mengarah tenteranya mengepung kem-kem pelarian di Sabra dan Shatila. Tentera Israel menghalang penduduk kem tersebut keluar,dan membiarkan pengganas Falangis membuat sesuka hati mereka terhadap populasi kem pelarian yang sudah ketiadaan lelaki-lelaki dewasa yang boleh melindungi mereka. Pada waktu malam pula, tentera Israel menyalakan kegelapan malam dengan api flare untuk memberi cahaya kepada pengganas Falangis dalam perbuatan mereka merogol dan membunuh penduduk di Sabra dan Shatila.



Dua hari selepas itu, Robert Fisk memasuki kem ini dan menulis kata-kata berikut ,


“Mereka di mana-mana, di atas jalan, di lorong-lorong, di kawasan belakang rumah dan bilik-bilik yang pecah, di bawah simen-simen yang hancur dan di atas tong-tong sampah. Apabila kami sudah melihat seratus jumlah mayat, kami berhenti menghitung. Dibawah setiap lorong-lorong, terdapat mayat-mayat manusia -- wanita, remaja lelaki, bayi dan orang-orang tua -- baring bersama dalam keadaan yang teruk dimana mereka telah ditikam atau ditembak sehingga mati. Setiap koridor yang kami lalui menghasilkan lebih banyak mayat. Pesakit-pesakit di sebuah hospital orang Palestin telah menghilangkan diri setelah para pengganas ini memerintahkan para doktor untuk berambus. Dimana-mana kami menjumpai kubur-kubur yang seakan-akan dibuat dengan segera. Walau ketika kami masih di sana, di sebalik bukti-bukti kekejaman ini, kami dapat melihat tentera-tentera Israel melihat kami. Dari atas menara pengawasan, kami dapat melihat mereka melihat kami melalui binokular, dan melihat mayat-mayat yang bergelimpangan ini, dengan lens binokular yang kadang-kadang bersinar akibat pantulan cahaya matahari. Loren Jenkins( dari Washington Post) menyumpah seranah dengan kerap sekali. Jenkins sedar dengan serta merta bahawa menteri pertahanan Israel tentulah perlu bertanggungjawab keatas perkara ngeri ini. “Sharon!” dia menjerit. “Si bangsat [Ariel] Sharon! Ini adalah Deir Yassin sekali lagi.


…….Memang terdapat pembunuhan besar-besaran sebelum ini di Lubnan, namun bukan pada skala yang amat besar sebegini dan tidak pernah pula diawasi oleh tentera biasa yang kononnya berdisiplin. Dalam keadaan panik dan kebencian yang timbul dari peperangan, berpuluh ribu orang telah dibunuh di negara ini. Namun, mereka ini[di Shatila], yang berjumlah ratusan , telah di bunuh dalam keadaan mereka tidak bersenjata. Ini adalah pembunuhan beramai-ramai, sebuah insiden -- betapa senangnya kami menggunakan terma “insiden” di Lubnan -- yang juga pada masa yang sama adalah sebuah kekejian….

Saya dan Jenkins sangat terkejut dengan apa yang kami jumpai di Shatila yang pada awalnya, sukar untuk kami menyedari kekejutan kami sendiri. Kami mungkin dapat menerima lagi bukti untuk pembunuhan yang sedikit; mungkin masih boleh menerima jika menemui sedozen mayat, yang terbunuh dalam peperangan. Namun, disini terdapat mayat wanita yang bergelimpangan dengan kain mereka terkoyak sehingga atas pinggang dan kaki terkangkang luas, kanak-kanak dengan leher yang dikelar, barisan remaja lelaki yang ditembak di belakang apabila disuruh berbaris di sebuah dinding. Terdapat bayi-bayi yang sudah kehitaman kerana disembelih sudah lebih 24 jam dan badan mereka melalui proses dekomposisi, dan mereka dibaling ke tong sampah bersama-sama tin makanan tentera Amerika Syarikat, alat-alat perubatan tentera Israel, serta botol-botol whisky kosong.”
Sedutan dari dokumentari grafik Waltz with Bashir yang menggambarkan kejadian Sabra dan Shatila.

Catatan Robert Fisk bertukar menjadi seolah-olah sebuah cerita seram . Beliau menyambung lagi,

“Di seberang sebuah jalan, di tengah-tengah runtuhan, kami menjumpai mayat lima wanita dan beberapa kanak-kanak. Wanita-wanita ini dalam lingkungan separuh umur dan mayat mereka berbaring diatas runtuhan. Seorang dari mereka berbaring terlentang, jubahnya dikoyakkan dan kepala seorang kanak-kanak muncul disebalik badan wanita dewasa itu. Kanak-kanak itu mempunyai rambut ikal yang pendek, matanya memandang terus kearah kami dan wajahnya muram. Kanak-kanak itu sudah mati. Seseorang telah mengelar perut wanita dewasa itu, memotong dari tepi dan kemudiannya memotong ke atas, mungkin dalam cubaannya untuk membunuh bayi didalam kandungan wanita tersebut. Mata wanita tersebut terbuka luas, wajahnya yang gelap kaku dalam kekejaman disekitarnya.”
Sedutan dokumentari grafik Waltz with Bashir.

Dunia pada ketika itu memilih untuk mengenepikan kesedihan Sabra dan Shatila. Seminggu selepas kejadian ini berlaku, media di barat memilih untuk melebihkan liputan kepada insiden kematian Puteri Grace Kelly, seorang artis Hollywood yang berkahwin dengan seorang ahli keluarga diraja Monaco. Media dunia mempercayai cerita Israel yang menggelarkan misi perangnya terhadap Lubnan adalah perang membela keselamatan Israel. Ariel Sharon , dalang kepada serangan keatas Lubnan selepas peperangan ini semakin naik profailnya di persada politik Israel. Dia memenangi pilihan raya dan dipilih menjadi perdana menteri Israel pada 6 Februari 2001. Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, George W. Bush merujuk kepada Sharon dengan jolokan nama “Lelaki Keamanan”.


Kini, Ariel Sharon yang sudah lebih lapan tahun berada di dalam koma menjadi semakin tenat . Media-media barat sudahpun ada yang mengeluarkan artikel untuk mengenangi “jasa” lelaki ini. Majalah terkemuka Time mengenangi jasa Ariel Sharon dengan hanya mengambil kata-kata dari warga Israel mengenai lelaki ini yang banyaknya kepada puji-pujian dan mengenepikan pembunuhan di Sabra dan Shatila. Media mula mengeluarkan cerita bahawa langkah terakhir Ariel Sharon mungkin sebenarnya ke arah keamanan. Ada juga yang membandingkan perjuangan terakhirnya untuk keamanan layak menempatkannya selaras dengan pejuang apartheid yang baru sahaja meninggal dunia, Nelson Mandela.

Masyarakat dunia boleh mimilih untuk mengiktiraf Ariel Sharon seperti seorang lelaki yang berjuang untuk keamanan,ataupun keselamatan Israel. Mungkin banyak lagi artikel-artikel selepas ini yang akan lebih mendalam mengenang perkara-perkara yang dilakukan oleh Sharon,samaada yang baik mahupun buruk. Namun, penulis lebih selesa mengingati lelaki ini seperti mana Loren Jenkins menyebutnya, iaitu seorang bangsat yang bertanggungjawab terhadap Sabra dan Shatila, yang sehingga zaman sedarnya tidak pernah meminta maaf atas kekejian yang didalanginya.


Nota : Terdapat sebuah filem grafik yang dihasilkan oleh seorang veteran perang Israel yang berjudul Waltz with Bashir. Filem dokumentari ini berkisarkan direktor ,Ari Folmann yang pada zaman mudanya menyertai tentera Israel menyerang Lubnan. Dia adalah antara salah seorang tentera Israel yang mengepung kem Sabra dan Shatila. 

Rujukan :

1. Mornings in Jenin, karya Susan Abulhawa

2. Pity the Nation, karya Robert Fisk. Alih bahasa kepada bahasa Melayu petikan buku ini dibuat oleh penulis sendiri, Abbas Alias.

3. Artikel dari Time,"Israel Wakes up to Ariel Sharon as Former Prime Minister Nears Death" 

Popular Posts