Friday, 8 November 2013

Kenapa Anda Perlu Mengambil Kisah Mengenai Perubahan Iklim

karya Awan Putih

Sebuah agensi pelancongan yang ingin menarik pelancong-pelancong untuk menggunakan pakej lawatannya menggunakan tarikan bunga sakura di Jepun, dengan menjanjikan sesiapa yang pergi dengan pakej mereka akan dapat menikmati saat-saat pertama bunga sakura mula mekar, dalam minggu pertama festival sakura di Jepun. Sakura merupakan simbol nasional untuk orang-orang Jepun, dan jika di Malaysia kita biasa dengan ramalan kaji cuaca untuk melihat jika esoknya hujan atau tidak, di Jepun ,setiap kali musim bunga (Januari - Mac), ramalan saat bunga sakura mekar di bandar-bandar Jepun pula yang menggamit perhatian rakyat Jepun serta para pelancong.



Malang pula agensi pelancongan kita ini telah terlepas apa yang mereka janjikan ; tempoh seminggu mereka melawat Jepun, bunga sakura belum lagi mekar. Pelancong-pelancong pulang ke destinasi masing-masing dengan hampa. Festival bunga sakura bermula lambat pada tahun itu. Apakah kaitan bunga sakura dengan topik perbincangan artikel ini, iaitu perubahan iklim?

Kita lihat pula senario yang lebih dekat dengan kedudukan kita, iaitu penyu. Penyu merupakan antara haiwan yang dilindungi kerana diancam kepupusan spesis. Tahukah anda bahawa penentuan jantina dalam telur-telur penyu ditentukan oleh suhu ? Jika suhu pada waktu inkubasi itu tinggi, kesemua telur-telur itu akan menetaskan anak-anak penyu betina. Untuk menghasilkan anak penyu jantan, suhu pada waktu embrio itu membesar perlulah suhu yang rendah.  

Bumi mencatatkan peningkatan suhu yang mendadak sejak Revolusi Indusri bermula di Eropah sekitar abad ke 18. Peningkatan suhu ini berkait rapat dengan saat bunga sakura mula mekar dan juga jantina generasi-generasi penyu. Jika cuaca semakin panas, musim bunga sakura akan terganggu dan lari dari ramalan. Penyu yang dihasilkan akan melebihkan penyu betina dari penyu jantan, dan ini merupakan ancaman terus kepada kelangsungan spesis penyu.

Fakta Perubahan Iklim ; Peningkatan Karbon Dioksida di Udara dan Suhu


Laporan IPCC(International Panel of Climate Change)yang kelima baru telahpun dikeluarkan pada bulan Oktober, dan menerima sambutan yang berbeza.  IPCC merupakan sebuah kumpulan saintis yang terbesar dalam sejarah yang mengumpulkan saintis dari setiap pelosok dunia untuk mengkaji dan menyediakan laporan khusus mengenai satu isu sahaja : Perubahan Iklim. IPCC yang ditubuhkan oleh dua badan dunia World Meteorological Organisation serta United Nations mengeluarkan laporan pertama pada tahun 1990. Laporan IPCC ini dikeluarkan setiap lima tahun untuk mengkaji dan menentukan kadar peningkatan gas-gas rumah hijau , peningkatan suhu dunia serta suhu air laut, dan juga kenaikan aras laut. Selain dari tiga komponen penting ini, aspek-aspek lain dalam perubahan iklim juga dibincangkan seperti keasidan laut yang semakin meningkat, serta pemantauan glasier yang malangnya, semakin menghilang. Laporan IPCC ini kemudian akan digunakan sebagai bukti saintifik untuk negara-negara di dunia supaya berusaha untuk mencapai kesepakatan dalam membantu mengurangkan kontribusi manusia dalam perubahan iklim. 

Perubahan iklim memang tidak dinafikan sudah acap kali berlaku dalam sejarah planet Bumi yang berumur 4.5 bilion tahun. Era ais berganti dengan iklim panas berulang, ini dapat disahkan dari rekod dari kolum ais dari benua Antartika, dan dikukuhkan lagi oleh tahap karbon dioksida yang diambil dari kulit cengkerang sejenis mikroorganisma yang bernama foraminifera. Rekod-rekod ini mencatatkan perubahan tahap karbon dioksida di bumi ini sejak berpuluh ribu tahun yang lalu. Kadar peningkatan dan penurunan suhu bumi juga dihasilkan daripada rekod ini. Seperti yang dipaparkan oleh gambar dibawah, tahap karbon dioksida di bumi memang mempunyai naik turunnya sendiri. 

Rekod peningkatan dan penurunan suhu dan karbon dioksida di udara dari kolum ais Antartika. Kadar peningkatan karbon dioksida (jalur biru) menunjukkan loncatan secara mendadak dalam masa yang singkat.


Persoalannya, jika tahap karbon dioksida dan suhu bumi memang mempunyai pasang surut nya sendiri, jadi, bukankah perubahan iklim yang sedang dirasai sekarang ini merupakan suatu aturan yang semula jadi? Jika jawapan kepada persoalan ini ya, maka tidak perlulah manusia menyalahkan diri sendiri dalam mengakibatkan peningkatan suhu bumi memandangkan memang sistem bumi berfungsi sedemikian, hanya kita spesis manusia pada zaman sekarang berada di period yang agak malang kerana kebetulan bumi sedang mengalami peningkatan suhu.

Alasan-alasan begini menjadi asas kepada sebuah idea yang dipanggil “Climate-change denial” ataupun penolakan kepada isu perubahan iklim. Sewaktu laporan IPCC kelima dikeluarkan, media-media penting di Barat ada juga yang merendah-rendahkan kredibiliti IPCC dan ribuan saintis yang bekerja untuk laporan ini. Mereka yang ekstrem pula dengan lancang menuduh ini semua merupakan sebuah konspirasi. Perubahan iklim yang merupakan teori santifik yang benar dan sah digolongkan dalam kumpulan konspirasi seperti New World Order, gerakan Anti-Vaksin dan “9-11 truthers”(mereka yang mempercayai kejadian 11 September merupakan angkara Amerika Syarikat sendiri).

Memang benar mengikut rekod perubahan iklim di bumi, suhu dan tahap karbon dioksida di udara ada naik dan ada turunnya. Namun begitu, pada seratus tahun yang terakhir, kadar peningkatan tahap karbon dioksida di udara serta suhu meningkat secara mendadak dan dalam masa yang begitu singkat jika dibandingkan dengan peningkatan yang sebelum-sebelumnya.


Seiring dengan penolakan terhadap perubahan iklim oleh media dan golongan masyarakat awam, kerajaan-kerajaan besar juga turut meremehkan kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh saintis-saintis dunia. Amerika Syarikat sehingga kini bukan merupakan anggota kepada Protokol Kyoto yang  merupakan piagam untuk memastikan negara-negara industrial mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida. Mereka lebih mementingkan ekonomi daripada kesihatan bumi. China, antara penyumbang terbesar kepada pengumpulan karbon dioksida di udara, dengan angkuh tidak mahu mengurangkan pelepasan karbon dioksida kerana dikhuatiri akan meletakkan kilang-kilangnya dalam ancaman muflis.

Salah Faham terhadap fakta Perubahan Iklim


Walaupun kepekaan masyarakat dunia kepada isu perubahan iklim boleh dikatakan pada tahap yang tinggi ( rata-rata semua orang pernah mendengar isu atau terma Perubahan Iklim/Climate Change) namun perlu diakui fakta mengenai isu ini selalu diputarbelitkan atau disalah faham. Terutama sekali apabila Hollywood dan industry sains fiksyen menyertai diskusi ini. Filem seperti Day After Tomorrow yang merupakan filem bertaraf box-office di merata dunia adalah antara punca utama masyarakat awam mempunyai tanggapan yang salah dan jauh tersasar mengenai isu perubahan iklim.

Didalam filem ini, kesan perubahan iklim berlaku sungguh pantas sekali. Bandaraya metropolitan seperti London dan New York dalam semalam sahaja dilitupi oleh ais yang tebal, penduduknya menjadi beku dalam hanya sekelip mata ( ala si Tanggang) dan banyak lagi perkara yang tidak masuk akal. Pada awalnya, dunia saintis memandang enteng mengenai isu ini, kerana filem memang merupakan sebuah gelanggang untuk memasukkan unsur-unsur kreatif walaupun perkara-perkara yang tidak disokong logik sains. Namun demikian, amat dikesali apabila sesetengah masyarakat awam mengambil contoh-contoh dalam filem ini sebagai sesuatu yang benar dan menggunakan contoh ini untuk melihat menguji ramalan saintis terhadap perubahan iklim.


Laporan demi laporan dikeluarkan IPCC sejak lebih sepuluh tahun yang lalu, dan komentar-komentar di forum dan ruang komen di alam maya dipenuhi dengan ayat-ayat sarkastik oleh mereka yang menolak perubahan iklim. Hanya kerana golongan ini tidak menyaksikan perubahan iklim didepan mata mereka sendiri, mereka menolak sekaligus ujikaji ratusan(malah ribuan) saintis yang mengkaji isu berkaitan perubahan iklim.

Kesan daripada perubahan iklim bukan hanya dengan zaman ais yang secara tetiba melitupi bandaraya Kuala Lumpur. Sesungguhnya kesan perubahan iklim telahpun dirasai oleh setiap organisma di muka bumi ini, selain gangguan terhadap aturan semula jadi seperti hujan dan perubahan musim. Untuk Malaysia dan rantau tropika, peningkatan kejadian-kejadian seperti taufan, banjir dan kadar kemarau yang semakin berpanjangan adalah antara kesan daripada peningkatan suhu dunia. Mungkin anda , seperti jua penulis pernah terdengar keluhan nenek ataupun ibu anda sendiri mengenai cuaca yang tidak tentu pada zaman sekarang, ataupun panas yang seperti tidak pernah mereka rasakan beberapa dekad yang lalu. Suhu yang meningkat mengganggu tekanan udara;tiupan angin yang berkait rapat degan gradien tekanan udara juga turut terganggu, tetapi kesannya tidak sekata di muka bumi. Ada tempat yang akan merasai lebih banyak kejadian-kejadian ribut taufan ataupun taufan yang lebih kuat (super hurricane) seperti Amerika Tengah dan Filipina, manakala tempat lain pula akan mengalami kemarau, seperti Australia dan New Zealand.


Jika di Australia ini telah menghasilkan kekerapan “bush fires/wild fires” (kebakaran hutan), di New Zealand pula musim panas yang luar biasa mencatatkan kemarau yang menyaksikan beratus-ratus ternakan lembu dan kambing mati, dan ini sedikit sebanyak melumpuhkan ekonomi negara tersebut yang bergantung kepada eksport yang berkaitan dengan susu. Kebakaran hutan di Australia turut juga mencatatkan angka korban manusia selain daripada binatang-binatang dan tumbuhan.

Hurricane Sandy yang melanda Amerika Syarikat pada Oktober 2012. Gambar NASA via Getty Images.

Hurricane Sandy yang melanda kawasan pantai timur Amerika Syarikat telah melumpuhkan bandaraya New York selama beberapa hari (antara imej yang paling banyak diedarkan di alam maya adalah bandaraya New York yang biasanya dipenuhi lampu oleh bangunan pencakar langit bertukar menjadi gelap gelita kerana kegagalan sumber kuasa), meranapkan puluhan bangunan manakala ratusan warga New York terpaksa tidur di kawasan perlindungan.

Gambar Reuters, kesan Hurricane Sandy.

Terbaru, Taufan Haiyan yang pada saat artikel ini ditulis sedang melanda Filipina. Taufan ini digelarkan "Super Typhoon" kerana merupakan satu dari empat taufan terkuat dalam rekod dunia. 

Kenaikan Aras Laut


Kenaikan aras laut mungkin tidak dirasai oleh kita di Malaysia, dan juga majoriti negara-negara lain. Namun begitu, kenaikan aras laut merupakan sebuah ancaman yang sangat besar untuk negara-negara pulau-pulau seperti Maldives, pulau-pulau di Caribbean (Barbados, Grenada dan lain-lain) dan lautan Pasifika ( seperti Nauru, Samoa dll). Maldives yang tidak mempunyai kawasan tanah tinggi menyaksikan hakisan pantai yang telahpun menumbangkan berpuluh-puluh pokok kelapa selain menelan kawasan tanah mereka. Negara mereka sibuk membina benteng-benteng pantai untuk menghalang kenaikan air (Krisis yang melanda Maldives telah didokumentarikan dalam sebuah filem menarik berjudul The Island President). Bangladesh, antara sebuah negara termiskin di dunia mempunyai jutaan penduduk yang tinggal di kawasan pantai. Dianggarkan jutaan penduduk ini akan menjadi pelarian perubahan iklim apabila kenaikan aras laut akan menelan tempat tinggal mereka. Negara kaya seperti Singapura yang turut menghadapi ancaman ini mungkin dapat mengatasi masalah kenaikan aras laut kerana memiliki ekonomi yang stabil, namun begitu amat susah untuk negara miskin seperti Maldives dan Bangladesh untuk menghadapi ancaman dari kenaikan aras laut. 

Kenaikan aras laut ini merupakan kesan terus dari suhu yang meningkat. Benda yang panas akan mengalami pengembangan. Begitu juga dengan air laut, apabila ianya panas, ianya turut mengalami pengembangan dan menaikkan aras permukaan laut. Selain dari itu, cuaca yang semakin panas menyebabkanpencairan ais. Ais-ais di benua Antartika dan Greenland dan Iceland di hemisfera utara sedang giat dipantau oleh ratusan saintis. Beberapa glasier-glasier dan kawasan ais di Antartika telahpun hilang atau jatuh kedalam laut. 


Gambar bongkah ais yang jatuh kedalam laut. Antartika menyaksikan lebih banyak bongkah ais yang dibolosi air laut dan jatuh serta cair di dalam air lautan.

Peningkatan Tahap Keasidan Lautan (Ocean Acidification)

Sebuah lagi komponen perubahan iklim adalah lautan yang menjadi semakin asidik. Lautan memang merupakan sebuah stor karbon dioksida kerana menyerap gas ini dari udara. Namun begitu, oleh kerana tahap yang amat tinggi pengumpulan karbon dioksida di udara, lautan kita telah menyerap terlalu banyak karbon dioksida. Tindak balas kimia menghasilkan lebihan hidrogen ion yang menurunkan pH lautan ke tahap yang lebih asidik dari biasa. Banyak organisma di lautan mempunyai cengkerang yang dihasilkan dari kalsium karbonat. Apabila air laut menjadi semakin asidik, cengkerang mereka akan terhakis. Ujikaji saintifik telah membuktikan cengkerang suatu spesis penting di laut, iaitu diatom yang merupakan makanan penting dalam rangkaian makanan laut menjadi semakin nipis dan banyak juga yang dihasilkan cacat. Organisma lain yang menggunakan kalsium karbonat dalam badan mereka juga turut terancam, seperti landak laut dan pelbagai jenis kerang. Kebanyakan yang terancam terus oleh laut yang lebih asidik merupakan makanan utama dan di tahap-tahap awal dalam rangkaian makanan di laut. Jika kita kehilangan spesis-spesis ini ataupun spesis-spesis ini mencatatkan penurunan dalam bilangan, ianya akan memberi kesan kepada ikan-ikan serta lain-lain binatang di laut yang menjadikan mereka sebagai makanan. Dan sememangnya, ikan-ikan semakin kehilangan sumber makanan mereka di lautan Antartika dengan penurunan jumlah sejenis spesis yang dinamakan krill. 

Kesimpulan


Banyak lagi komponen-komponen perubahan iklim yang tidak dimasukkan ke dalam artikel ini. Ynag diatas hanyalah merupakan sedikit sahaja kesan-kesan perubahan iklim. Perubahan iklim adalah sesuatu yang benar dan sedang berlaku. Lambakan ujikaji saintifik selain dari pemantauan yang dibuat di serata dunia mengesahkan perkara ini. Bumi bukan sesuatu yang sentiasa ada ataupun infinit, dan bumi tidak dapat men-serviskan dirinya sendiri. Perubahan cuaca yang tidak tentu seperti yang selalu dikatakan oleh orang-orang tua kita adalah sesuatu yang serius. Ekonomi sesebuah negara akan terganggu juga akibat dari kesan-kesan perubahan iklim. Sebagai contoh negara Flilipina akibat Taufah Haiyan perlulah membelanjakan jutaan wang untuk menyelamatkan rakyatnya dan membina kembali kawasan yang dihancurkan oleh taufan. Jutaan pelarian perubahan iklim akan terhasil, menambahkan lagi kepada jumlah pelarian-pelarian yang tidak terbela. 

Aturan semula jadi mempunyai keseimbangannya yang sendiri. Manusia sering membanggkan dirinya sebagai sebuah spesis yang paling terkedepan dalam setiap aspek. Namun manusia yang bijak pandai ini jugalah yang mengganggu keseimbangan ini, dan sudah tentulah impaknya akan kembali terkena kepada kita. Apa yang boleh kita lakukan sebagai warga dunia ialah untuk memberi tekanan kepada pemimpin-pemimpin kita untuk mengambil langkah-langkah yang lebih "hijau", peka terhadap kesan karbon yang dihasilkan oleh negara kita (carbon footprint) dan mendesak industri negara kita untuk mengehadkan pelepasan karbon dioksida ke udara. Mungkin sudah tiba masanya untuk pakar ekonomi turut sama berganding dengan pakar sains untuk membuat pelan tindakan khusus untuk negara Malaysia untuk kembali "menghijaukan" negara kita. Sistem pendidikan dan media di Malaysia juga perlu lebih banyak membuat liputan dalam isu perubahan iklim untuk membina kepekaan masyarakat awam di Malaysia.

 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts