Oleh: Zulqarnain
1.
Saudara Suhaizan Kayat sewaktu Muktamar Pemuda PAS Malaysia tempoh hari telah mengangkat “Politik Budiman” sebagai pendekatan politik pemuda. Hal ini dilihat sebagai hujjah atau jawapan balas kepada tindakan politik Pemuda PAS Malaysia (PPM) sewaktu menghadapi krisis Selangor tempoh hari. Politik Budiman yang dinyatakan Suhaizan Kayat adalah;
- Politik berdasarkan hujah dan ilmu.
- Membudayakan adab al-ikhtilaf dalam menguruskan perbezaan pandangan.
- Berpolitik berakhlak dan etika yang tinggi. Jauhi politik fitnah dan caci maki.
- Budaya Syura sebagai kunci muafakat.
- Inklusif dalam membina jaringan dalam masyarakat.
- Jujur dan berani menyelesaikan konflik.
- Integritik dan akauntabiliti.
Gagasan Politik Budiman bukanlah blueprint yang penuh retorik. Bagi merealisasikan Politik Budiman agar ianya larut dalam masyarakat marhaen ataupun bersifat inklusif, saudara Suhaizan Kayat telah mencernakan ianya dalam yang dinamakan Agenda bertindak Pasca Muktamar;
- Mencetuskan dan menjuarai isu rakyat secara konsisten, sistematik dan berkesan.
- Memantapkan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat, gerakan masyarakat madani, NGO Islam, media, entiti anak muda dan organisasi luar negara.
- Menggerakkan agenda bersepadu untuk menguasai sokongan pengundi muda melayu.
- Meneroka pendekatan dakwah yang lebih kreatif dan berkesan.
- Memperkukuhkan pengurusan tarbiyah dan pengkaderan dengan lebih dinamik.
- Memperkasa sistem pengurusan komunikasi dalam organisasi.
Muktamar PPM yang diadakan tempoh hari sedikit sebanyak telah terpalit dengan tindakan keluar dewan oleh segelintir pemuda. Namun demikian, muslim sejati seharusnya melihat kebaikan lebih utama daripada keburukan. Gagasan Politik Budiman adalah satu gagasan politik masa hadapan dan menepati kehendak politik masa sekarang. Dan, sepatutnya gagasan inilah yang diangkat ke dalam masyarakat, bukan isu-isu murahan seperti episod keluar dewan dan lain-lain.
Tahniah buat Suhaizan Kayat. Tahniah buat keseluruhan Ahli Jawatankuasa PPM. Muktamar tempoh hari adalah signal yang jelas bahawasanya PPM mempunyai keupayaan untuk mencorak dan menjuarai politik baru. Selamat menunaikan AMANAH MUKTAMAR – melunaskan janji Agenda bertindak Pasca Muktamar seperti mana telah disokong dan diluluskan oleh keseluruhan muktamirin.
2.
Politik Budiman seperti yang telah disebut di awal ulasan, merupakan cerminan kehendak politik masa kini dan satu unjuran awal politik masa hadapan. Hal ini secara tidak langsung adalah foundation utama kepada apa yang disebut sebagai kerajaan tanpa pembangkang, gagasan politik DS TG Haji Abdul Hadi Awang.
Kader-kader PAS (abna’ al-Harakah PAS) sepatutnya menyedari gagasan politik DS TGHA tidak dapat dicapai selagi mana tidak wujud etika politik yang betul, dan etika ini melibatkan kesemua pihak dari para pemain politik sehinggalah kepada masyarakat marhaen.
Justeru, amatlah sukar untuk melihat gagasan ini direalisasikan selagi mana tidak ada pendekatan murni terhadap isu-isu perbezaan pendapat ataupun ijtihad-ijtihad politik, kepelbagaian Jemaah (ta’adud Jemaah) dalam sebuah masyarakat, multi rasial dan idealisme masyarakat itu sendiri.
Oleh yang demikian, Politik Budiman amat berkait rapat dengan pembinaan sebuah tamadun bangsa. Dr Siddiq Fadzil menyebut (mafhumnya); pemurnian budaya politik merupakan satu keperluan yang tiada kompromi sekiranya semua pihak ingin membina tamadun di abad ini, dalam satu Majlis Dialog Masa Hadapan Negara di London suatu ketika dahulu.
Sifir mudahnya, gagasan politik kerajaan tanpa pembangkang adalah gaya politik sebuah masyarakat yang bertamadun dan Politik Budiman adalah inti kepada pembinaan politik yang bertamadun.
Sekiranya benar anda cintakan DS TG Haji Abdul Awang, selayaknya inilah yang terzahir dalam akhlak seharian. Seperti mana hadis Jibril, begitulah makam cinta kita kepada Tuan Guru. Ada yang hanya cinta dalam hati. Ada yang hanya cinta pada lafaz. Ada yang cinta dengan tindakan, yakni bukan demo cinta Tuan Guru, tetapi merealisasikan hasrat Tuan Guru dengan akhlak yang murni dan pendekatan yang syar’ie.
Semoga anak-anak kita mampu hidup dalam suasana yang lebih aman dan islami. InshaAllah amin. Bismillahirrahmanirrahim.