Saturday, 27 September 2014

Sekilas Pandang Batu Pahat

Oleh: Zulqarnain


Saya mengambil sedikit kesempatan dalam kekalutan musim submission untuk mengikuti Muktamar PAS yang ke-60 yang diadakan di Batu Pahat, Johor. Muktamar ini pastinya dinanti-nanti oleh seluruh pemerhati politik tanah air untuk melihat lakaran sejarah baru politik Malaysia. Kalaulah boleh kita kiaskan, suka saya ibaratkan Johor sebagai tanah asal bagi UMNO sebelum berkembang ke seluruh Tanah Melayu, seperti mana PAS yang bermula di Gunung Semanggol, Perak tetapi sekadar bertapak di kawasan Pantai Timur Malaysia.

Menceroboh tanah asal adalah mesej yang cukup berani. Boleh jadi terkulai layu. Boleh jadi menangis berlagu (ubah suai peribahasan Melayu; “menangis tak berlagu” yang membawa maksud tangisan kesedihan).

Pada awalnya saya melihat muktamar PAS (yang juga pembangkang setia tanah air) di Batu Pahat adalah kesediaan PAS untuk menggantikan UMNO selaku pengatur politik Malaysia. General hyphotesis-nya benar. Muktamar di Batu Pahat Johor adalah strategi politik PAS untuk menggantikan label UMNO kepada label PAS. Ibarat botol budu, sekadar ditukar pembalut, isinya tetap sama. (Maafkan saya orang Kelantan. Saya tidak membenci budu).

Hal ini demikian kerana kisah-kisah Muktamar PAS seawal Muktamar Pemuda PAS Malaysia hinggalah ke penutup Muktamar PAS Pusat tidak mencerminkan keupayaan PAS untuk menggantikan UMNO dari sudut isinya. Sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang jauh lebih baik. Bermula dengan episod keluar dewan oleh segelintir pemuda, insiden bacaan doa mengisi perbahasan dasar Tuan Guru Presiden, insiden “boo” oleh para pemerhati (seperti rakaman ucapan pergulungan YB Hanipa Maidin) dan lain-lain.

Kader-kader Jemaah Islam (atau pun sering disebut sebagai abna’ al-harakah) adalah sepatutnya menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat marhaen berkenaan dengan akhlaq seorang muslim. Saya melihat inilah yang pernah ditekankan oleh Suhaizan Kayat (mafhumnya); kader-kader PAS hendaklah menjadi seperti kitab yang terbuka. Walau di mana mereka berada, masyarakat akan merujuk mereka.

Yang jelas, yang paling mudah, adalah untuk merujuk akhlaq seorang anak gerakan. Saya gagal mencari akhlaq (pada fahaman saya) yang membolehkan saya ikuti kecuali akhlaq-akhlaq mereka yang dilabel “tidak jelas fikrah”, “anwarinas”, “erdogan” dan lain-lain yang mungkin saya terlepas pandang sewaktu berbahas ataupun membuat ucapan pergulungan (manakan tidak, banyak sungguh label kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian sesetengah pak ustaz).

Di samping itu, saya juga kehairanan atas tiga perkara yang ingin saya fokuskan di sini – Munafik Haraki, Ibrah Perang Tabuk, perbahasan Muktamar.

Yang pertama adalah insiden terkutuk penyebaran whatsapp AJK Pas Pusat. Penyebaran itu bukan sahaja meyakinkan kita bahawasanya seorang yang menggelarkan mereka pejuang Islam tidak sewajarnya menyebarkan isi perbincangan bahkan betapa pentingnya mereka untuk berakhlaq islami. Tidak ada perkataan yang menghiris hati. Tidak ada sebarang niat mungkir janji. Kisah printscreen ini bukanlah satu taktik baru kerana sebelumnya beberapa printscreen yang lain telah dimuatnaik di Facebook. Malangnya tindakan tersebut tidak dikecam kerana yang menjadi mangsa bukan orang kita.

Insiden inilah yang menjadi inti kepada label Munafik Haraki yang diambil ibrahnya daripada kecaman Umar al-Khattab radiyallahu anhu kepada Hatib bin Abi  Balta’ah radiyallahu anhu kerana membocorkan strategi tentera Islam pada waktu ketika itu. Malangnya, ibrahnya hanya dikutip sampai di situ. Teguran Rasulullah SAW kepada Umar yang menyebut sesungguhnya Hatib itu pejuang Badar tidak pula diambil pengajaran oleh mereka. (Mereka melihat teguran Rasulullah SAW tidak menafikan label munafik yang dibuat oleh Umar).

Bagaimana agaknya perasaan kekasih yang dicinta, Rasulullah Muhammad SAW sekiranya berada di hadapan kita melihat akhlaq songsang (pada fahaman saya) ini diterima sebagai suatu yang halal dalam agama? (rujuk: mengambil ibrah yang tidak lengkap dan cepat memberi label kepada manusia yang lainnya).

Cerita bersambung dengan penuh rencam. Seterusnya bertebaran pula ibrah Perang Tabuk ekoran ijtihad fardhi yang diambil oleh YB Abu Urwah dan YB Hasnul baharuddin. Saya pada prinsipnya langsung tidak bersetuju dengan ijtihad fardhi yang dibuat oleh kedua-dua Adun tersebut. Itu bukanlah akhlaq orang yang berbai’ah. Bukan juga akhlaq mereka yang mewaqafkan diri mereka kepada Jemaah.

Ibrah tersebut merujuk bahawasanya Perang Tabuk adalah garisan persempadanan keimanan – antara takwa dan munafik. Kecuaian Ka’ab bin Malik dan sahabat-sahabat yang lain radiyallahu anhum telah menyebabkan mereka terlepas untuk turut sama dalam Perang Tabuk. Ekoran itu, ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Rasulullah SAW. Hukumannya cukup memeritkan.

Sirah mencatatkan mereka dipulau sesungguh-sungguhnya sehinggalah Rasulullah SAW mengumumkan bahawasanya taubat mereka telah diterima. Utusan Rasulullah SAW menyebut bergembiralah, wahai Ka’ab. Dalam konteks ini saya melihat bahawasanya pulauan itu dibuat bukanlah dengan niat membenci sebaliknya dengan penuh terpaksa, taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya. Begitulah sifat hukuman pasca Perang Tabuk.

Namun demikian, sebarang bentuk hukuman yang tidak berakhlaq itu bukanlah ibrah daripada Perang Tabuk. Itu tidak lain tidak bukan adalah cetusan emosi yang tidak dapat dibendung, tidak dikawal oleh iman. IttaquLlah. Zuhudlah dalam berhujah. Zuhudlah dalam membenarkan hujah. Zuhudlah, dalam apa jua keadaan. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta. Menghukumlah dengan bait-bait doa. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta, bukan mengangkat hina.

Yang terakhir dalam introspeksi ini adalah merujuk kepada perbahasan sepanjang muktamar. Dari sudut teknikalnya, wakil-wakil setiap negeri gagal membedakan apa itu perbahasan ucapan dasar TG Presiden dengan medan melepaskan geram, medan meluahkan rasa. Tidak selayaknya diangkat perbahasan yang sekadar memetik satu dua poin ucapan dasar lalu mengulasnya dengan unjuran ke belakang.

Kader-kader PAS seharusnya sedar bahawasanya untuk mereka terus kekal relevan sebagai pendakwah politik, muhasabah itu sentiasa perlu, tetapi bukan sewaktu perbahasan ucapan dasar. Perbahasan adalah medan berbahas inti ucapan, bukan batang tubuh TG Presiden. Apatah lagi membaca doa yang melebihi masa yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Cadangan kepada poin ucapan dasar harus dibuat sebagai tanda mereka menyokong ucapan dasar. Hujjah penolakan yang bersifat rasional harus dikemukakan sekiranya ada wakil negeri yang tidak bersetuju dengan poin-poin ucapan dasar.

Wakil-wakil perlu sedar, tidak dinamakan menyokong kalau sekadar menutup ucapan perbahasan dasar dengan lafaz, “perwakilan yang sekian-sekian menyokong ucapan dasar TG Presiden”. Pada lafaznya mungkin ya, tetapi lafaz yang sia-sia dalam konteks perbahasan ucapan dasar. Lafaz yang tidak terungkap melalui buah fikir yang bernas!

Saya cukup khuatir sekiranya hanya inilah kualiti – sebuah parti dari sudut politiknya, sebuah jamaah dari sudut yang lainnya – yang melaungkan keinginan untuk menggantikan UMNO selaku pentadbir Malaysia. Jujur saya katakan saya lebih menyokong untuk memantapkan atau mengubah kebobrokan itu melalui jalan yang sedia ada iaitu meng-islah-kan Barisan Nasional sekiranya inilah jalan ceritanya, walaupun, sejarah telah mencoretkan Anwar Ibrahim tersungkur di Penjara Kemunting, mufaraqah sudah al-fadhil Ustaz Nakhai’e dan syahidnya Ibrahim Libya si pejuang Mamali.

Walaupun sering ditekankan bahawasanya mengubah kerosakan (yang dibuat oeleh UMNO-Barisan Nasional) itu adalah seperti menggonyoh kuali hitam, biarlah kita lelah menggonyohnya sampai hilang hitam legam itu. Apakan daya, kita tidak mampu membeli kuali baru. Kalaupun beli, belum tentu boleh kita menggoreng dengan elok. Apa guna kuali baru, kalau menggoreng pun melekat-lekat! Isinya tak masak elok. Presentasinya pula sungguhlah teruk.

Namun demikian, seperti bisik saya kepada cermin, jangan pernah putus asa. Jalan juang ini tidak pernah senang. Fasbir Sabran Jamila. Berapa banyak kisah nabi-nabi yang lelahnya tetap berdakwah kepada ummat untuk menyampaikan risalah tauhid, kemudian kita membaca kisah-kisah itu untuk merasa lemah. Ingat, piala kemenangan itu bukan untuk dijulang di kehidupan yang ini!

Berjuang bukanlah semata-mata untuk melihat hidup senang pada hayat kita tetapi biarlah perjuangan ini adalah pencetus kepada kebahagiaan walaupun entah di mana pengakhiran perjuangan (kebahagiaan yang ingin dicapai) ini. Pengakhiran yang baik tidak mungkin pada logik akalnya tidak pernah bermula. Seperti mana pembukaan Kota Constantinople bermula pada Perang Khandak, begitulah perjuangan ini. Bermula dengan kesungguhan kita untuk mengubah dan kesabaran menghadapi lelahnya ujian.

Masa depan PAS akan cerah sekiranya tekad pemuda tak pernah pudar. Seperti mana kematangan Dewan Muslimat PAS sewaktu muktamar mereka. Membincangkan isu-isu nasional yang berkait dengan rakyat. Mungkin kasih sayang para ibu yang tidak sanggup melihat anak-anak mereka menderita. Nah, siapa kata muslimat tidak boleh menjadi pemimpin kalau inilah kematangan yang ditunjukkan oleh mereka. Dari sudut kemampuannya pula kita nilai setelah mereka melaksanakan tugas mereka. Majulah YB Kak Lah untuk Perdana Menteri Malaysia!







Thursday, 10 July 2014

Umat Islam Tidak Boleh Berbuat Apa-apa, Mengapa Perlu Menjadi Muslim?


Di alih bahasa oleh Awan Putih dari pautan asal.


“Jangan bertanyakan kepadaku tentang apa yang telah aku tinggalkan (ditentukan), sesungguhnya  umat sebelummu telah dimusnahkan oleh kerana terlalu banyak bertanya dan tidak bersetuju dengan Nabi mereka. Jadi jika aku menyuruh kamu dengan sesuatu, maka lakukan sebanyak mana yang kamu mampu, dan jika aku melarang kamu daripada sesuatu maka jauhkanlah diri daripadanya.”  - Nabi Muhammad s.a.w. (Muslim)


‘Aku tidak boleh melakukan ini lagi’

“Umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa, “ kata lelaki itu.

“Semuanya dilarang – seni, falsafah, membaca buku yang tiada unsur keagamaan, menulis fiksyen atau puisi, menonton wayang atau televisyen, mendengar muzik, menyanyi, menari, dan juga kelihatan cantik, demi kebaikan!”

Apabila saya bercakap dengan mereka yang bergelut teruk dalam meneruskan kepercayaan mereka, selalunya berada di ambang meninggalkan Islam, saya mendapati dalam kebanyakan kes, kesakitan itu berpunca dari kesulitan untuk menyesuaikan keagamaan dan kerohanian.

Apabila jiwa kita, minda dan kehidupan membawa kita ke satu arah, dan jiwa kita membawa kita ke arah yang lain, kita seringkali menjadi lemah dan berkata kepada diri sendiri, “aku tidak boleh melakukan ini lagi.”
Tetapi dalam kebanyakan kes, kontradiksi jelas antara kita dan jiwa kita berpunca dengan bagaimana kita telah datang untuk memahami Islam--yang bukan dari tuntutan agama itu sendiri.


Refleksi dari Journal Saya

Beberapa bulan yang lalu, sewaktu saya sedang merenung kembali satu lagi kisah mengenai seorang bekas Muslim, saya mencatit buah fikiran ini dalam journal saya:

‘Rakan adik perempuan saya telah meninggalkan Islam, dan apabila ditanya kenapa, dia menjawab, “ Ia terlalu sukar.”

‘Tetapi saya tidak dapat mengawal dari mempersoalkan daripada mana dia mempelajari agama dia, kerana Nabi s.a.w bersabda, “[Malaikat] jibril datang kepadaku dan memberi khabar gembira, ‘Sesungguhnya, sesiapa yang mati dalam kalangan umatmu tanpa menyekutukan sesuatu dengan Allah akan masuk Syurga.’ “Salah seorang sahabat, Abu Zar (semoga Allah merahmatinya) bertanya dalam keadaan terkejut, “Walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri? “ dan Nabi SAW menjawab, “Walaupun dia melakukan zina dan mencuri.” Abu Zar bertanya kembali, “walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri?” dan Nabi SAW menjawab lagi, “Walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri.” Dan, masih, Abu Zar bertanya, “Walaupun dia telah melakukan zina dan mencuri?” Dan, lagi, Nabi  SAW menjawab, “Walaupun dia melakukan zina dan mencuri” (Sahih Muslim).

‘Maka sesiapa yang meninggalkan Islam kerana mereka merasakan menjadi umat Islam itu terlalu sukar, mungkin tidak mengetahui takrif Islam.’



Realiti yang menyayat hati

Ia adalah salah satu perkara yang paling menyayat hati untuk disaksikan: kebanyakan lelaki dan wanita masuk Islam atau membesar di dalam rumah keluarga Islam, yang nekad untuk menyerahkan segala apa yang mereka ada “hanya kerana Allah.” Namun, bertahun (atau berbulan) kemudian, mereka berjalan dalam keadaan cedera dan dikalahkan, hampir sahaja melepaskan Islam mereka – ataupun mereka telah melepaskan Islam secara keseluruhan.

Setiap kali Allah memberi peluang kepada saya untuk bercakap dengan umat Islam yang bersusah payah atau menghampiri murtad, saya mendapati seringkali sebab biasa yang diutarakan tidak lari daripada dua perkara (kalau bukan kedua-duanya) : definisi mereka terhadap Islam adalah berdasarkan kepada kumpulan tertentu, ideologi, sheikh atau sekolah pemikiran (dan mereka tidak dapat mematuhi “peraturan” itu lagi); atau mereka telah dizalimi berulang kali oleh umat Islam, seringkali di atas nama Islam (dan mereka enggan mendedahkan diri mereka kepadanya lagi).(nota penterjemah: seperti halnya yang terjadi kepada Wafa Sultan dan Ayaan Hirsi Ali)


Anda tidak menentukan ‘apa’ itu Islam, hanya Allah yang berhak.

Satu persoalan yang saya tidak berupaya untuk menjelaskan untuk suatu jangka masa yang panjang ialah mengapa ramai umat Islam yang mengajak orang lain ke arah Islam atau sesiapa yang mengajar kelas agama tidak dapat mentakrifkan Islam sebagaimana Allah lakukan dan Pesuruh-Nya dan cukup terhenti setakat itu.
Islam pertamanya dan terutama sekali ialah berdasarkan kepercayaan dalam KeEsaan kepada Tuhan dan memperakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, dan mematuhi kepercayaan ini sehingga hujung nyawa. Pada dasarnya, kepercayaan ini terbahagi kepada dua kategori: iman dan penyerahan.

Iman kita (kepercayaan dalaman) merangkumi 6 perkara : kepercayaan kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab, Pesuruh-Nya, hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar; dan penyerahan kita (tindakan luaran) merangkumi 5 perkara : memberi keterangan untuk mempercayai Allah (baca: mengucap dua kalimah syahadah) solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan Haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup ( bagi mereka yang berkemampuan).

Sudah tentu, tidak salah untuk mengajar melebihi dari perkara asas ini, tetapi pengajaran tambahan tidak bersesuaian di dalam kelas-kelas yang bertujuan untuk mengajar agama Islam itu sendiri, khususnya kepada umat Islam baru atau pelajar-pelajar yang membayangkan mereka sedang belajar sesuatu yang asas.

Walaupun ia tidak dapat dinafikan bahawa perkara-perkara bukan asas boleh memberikan kita pemahaman yang lebih mendalam tentang Islam, amatlah penting untuk diingatkan bahawa ia tidak dapat mentakrifkan Islam. Kepada kebanyakan daripada kita, ini mungkin kelihatan seperti perkara kecil. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam yang sedang bersusah payah dan hampir murtad, memahami ini merupakan perbezaan antara ‘kekal menjadi Islam’ atau ‘melepaskannya’.


Berserah kepada Tuhan atau kepada Syeikh?

Saya terimbau beberapa tahun lalu, sewaktu saya sendiri bersusah payah untuk memahami sesetengah pendapat “Islamik”. Saya sangat tertekan sehinggakan ia memberi kesan buruk kepada Iman saya. Sewaktu itu, Islam bagi saya sangat mengelirukan dan sukar sehinggakan secara jujurnya saya merasakan yang saya tidak mampu pergi lagi. Dan apa yang membuatkan perasaan ini sangat menakutkan ialah saya betul-betul mahu bertahan, tetapi saya tidak dapat lagi menanggung senarai haram yang tidak berkesudahan (perkara-perkara yang dilarang)

Hampir di mana-mana sahaja yang saya cari, tidak kira kumpulan apa, syeikh, atau sekolah pemikiran yang umat Islam mengaku mengikuti, amalan Islam mereka secara dasarnya menjurus kepada mengikuti “hukum” dari imam yang disukai, ulama’ atau syeikh – bukannya ajaran-ajaran yang jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri.

Dan ini membingungkan saya.

.. Sehinggalah saya sedar yang shahadah saya (pengakuan keimanan) hanyalah mempunyai dua bahagian – dan “hukum-hukum” ini bukanlah dari kedua-duanya.



‘Umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa, Mengapa menjadi Muslim?’

Apabila saya memikirkan kembali kesusahan saya sendiri sebelum akhirnya memahami perbezaan antara apa yang Allah hendakkan dari saya dan apa yang kebanyakan umat Islam mengaku Allah hendakkan dari saya, saya secara jujurnya faham bagaimana sesorang  boleh percaya yang umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak, ia sememangnya tidak benar. Tetapi ia boleh difahami bagaimana sesorang boleh mempercayai sebegitu.

Jadi untuk mengelak kekeliruan yang tidak diperlukan. Ia hanyalah paling baik untuk mentakrifkan Islam dari hanya dua sumber – Allah dan Pesuruh-Nya.

Selepas ini, jika seseorang mahu mengikuti kumpulan yang diminati, mengikuti syeikh tertentu, atau mematuhi sesetengah sekolah pemikiran, mereka bebas untuk melakukan sedemikian.

Tetapi marilah kita memanggil pilihan ini apa ia sebenarnya – dan ia bukan “Islam.”

Popular Posts