Showing posts with label Arkib Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Arkib Sejarah. Show all posts

Tuesday, 7 January 2014

“Si Bangsat Sharon” - Bagaimana dunia harus mengingati Ariel Sharon

karya Abbas Alias
Loren Jenkins( dari Washington Post) menyumpah seranah dengan kerap sekali. Jenkins sedar dengan serta merta bahawa menteri pertahanan Israel tentulah perlu bertanggungjawab ke atas perkara ngeri ini. “Sharon!” dia menjerit. “Si bangsat [Ariel] Sharon! Ini adalah Deir Yassin sekali lagi.”

Berikut merupakan petikan daripada memoir seorang wartawan perang warga British, Robert Fisk yang berjudul Pity the Nation: The Abduction of Lebanon. Robert Fisk merupakan antara wartawan dari Barat yang terawal memasuki kem pelarian Sabra dan Shatila di Lubnan setelah diganasi militan Falangis.

Ariel Sharon


Pada tahun 1981, Israel beberapa kali menyerang kem PLO(Palestine Liberation Organisation) di selatan Lubnan dalam usaha provokasi yang bertujuan untuk membuat PLO menyerang balas. Julai 1981, jet pejuang Israel membunuh dua ratus orang awam di Beirut, dan Ariel Sharon yang ketika itu merupakan menteri pertahanan Israel mengeluarkan pernyataan terkenalnya untuk menghapuskan terus perjuangan(resistance) Palestin. Perjuangan Palestin pada ketika itu diketuai oleh Yasser Arafat dan pertubuhan yang dicop sebagai teroris, Palestine Liberation Organisation yang berpusat di Lubnan, di kem-kem pelarian orang Palestin.

Beirut dibedil dengan teruk sekali oleh Israel pada 1981-1982. PLO dan tentera Lubnan menyerang balas, namun tidak dapat menahan serangan Israel yang menggunakan teknologi yang lebih canggih. Untuk menyelamatkan kem-kem pelarian serta bandar-bandar di Lubnan dari diserang dengan teruk lagi oleh Israel, PLO bersetuju untuk meninggalkan Lubnan, dengan syarat bahawa wanita-wanita dan kanak-kanak mereka di Lubnan diberi perlindungan. Maka, sebuah perjanjian aman di tandatangani, dengan Amerika Syarikat sebagai orang tengah. Ronald Reagan, presiden Amerika Syarikat memberi janji akan memastikan keselamatan mereka yang tertinggal di kem pelarian; yang mana ramai terdiri daripada wanita, orang tua, dan kanak-kanak. PLO menuju ke Tunisia dengan membawa janji tertulis dari Amerika Syarikat bahawa keluarga mereka tidak akan diapa-apakan.

Namun begitu, mereka di khianati. Pada 16 September, Ariel Sharon melanggar perjanjian aman dan mengarah tenteranya mengepung kem-kem pelarian di Sabra dan Shatila. Tentera Israel menghalang penduduk kem tersebut keluar,dan membiarkan pengganas Falangis membuat sesuka hati mereka terhadap populasi kem pelarian yang sudah ketiadaan lelaki-lelaki dewasa yang boleh melindungi mereka. Pada waktu malam pula, tentera Israel menyalakan kegelapan malam dengan api flare untuk memberi cahaya kepada pengganas Falangis dalam perbuatan mereka merogol dan membunuh penduduk di Sabra dan Shatila.



Dua hari selepas itu, Robert Fisk memasuki kem ini dan menulis kata-kata berikut ,


“Mereka di mana-mana, di atas jalan, di lorong-lorong, di kawasan belakang rumah dan bilik-bilik yang pecah, di bawah simen-simen yang hancur dan di atas tong-tong sampah. Apabila kami sudah melihat seratus jumlah mayat, kami berhenti menghitung. Dibawah setiap lorong-lorong, terdapat mayat-mayat manusia -- wanita, remaja lelaki, bayi dan orang-orang tua -- baring bersama dalam keadaan yang teruk dimana mereka telah ditikam atau ditembak sehingga mati. Setiap koridor yang kami lalui menghasilkan lebih banyak mayat. Pesakit-pesakit di sebuah hospital orang Palestin telah menghilangkan diri setelah para pengganas ini memerintahkan para doktor untuk berambus. Dimana-mana kami menjumpai kubur-kubur yang seakan-akan dibuat dengan segera. Walau ketika kami masih di sana, di sebalik bukti-bukti kekejaman ini, kami dapat melihat tentera-tentera Israel melihat kami. Dari atas menara pengawasan, kami dapat melihat mereka melihat kami melalui binokular, dan melihat mayat-mayat yang bergelimpangan ini, dengan lens binokular yang kadang-kadang bersinar akibat pantulan cahaya matahari. Loren Jenkins( dari Washington Post) menyumpah seranah dengan kerap sekali. Jenkins sedar dengan serta merta bahawa menteri pertahanan Israel tentulah perlu bertanggungjawab keatas perkara ngeri ini. “Sharon!” dia menjerit. “Si bangsat [Ariel] Sharon! Ini adalah Deir Yassin sekali lagi.


…….Memang terdapat pembunuhan besar-besaran sebelum ini di Lubnan, namun bukan pada skala yang amat besar sebegini dan tidak pernah pula diawasi oleh tentera biasa yang kononnya berdisiplin. Dalam keadaan panik dan kebencian yang timbul dari peperangan, berpuluh ribu orang telah dibunuh di negara ini. Namun, mereka ini[di Shatila], yang berjumlah ratusan , telah di bunuh dalam keadaan mereka tidak bersenjata. Ini adalah pembunuhan beramai-ramai, sebuah insiden -- betapa senangnya kami menggunakan terma “insiden” di Lubnan -- yang juga pada masa yang sama adalah sebuah kekejian….

Saya dan Jenkins sangat terkejut dengan apa yang kami jumpai di Shatila yang pada awalnya, sukar untuk kami menyedari kekejutan kami sendiri. Kami mungkin dapat menerima lagi bukti untuk pembunuhan yang sedikit; mungkin masih boleh menerima jika menemui sedozen mayat, yang terbunuh dalam peperangan. Namun, disini terdapat mayat wanita yang bergelimpangan dengan kain mereka terkoyak sehingga atas pinggang dan kaki terkangkang luas, kanak-kanak dengan leher yang dikelar, barisan remaja lelaki yang ditembak di belakang apabila disuruh berbaris di sebuah dinding. Terdapat bayi-bayi yang sudah kehitaman kerana disembelih sudah lebih 24 jam dan badan mereka melalui proses dekomposisi, dan mereka dibaling ke tong sampah bersama-sama tin makanan tentera Amerika Syarikat, alat-alat perubatan tentera Israel, serta botol-botol whisky kosong.”
Sedutan dari dokumentari grafik Waltz with Bashir yang menggambarkan kejadian Sabra dan Shatila.

Catatan Robert Fisk bertukar menjadi seolah-olah sebuah cerita seram . Beliau menyambung lagi,

“Di seberang sebuah jalan, di tengah-tengah runtuhan, kami menjumpai mayat lima wanita dan beberapa kanak-kanak. Wanita-wanita ini dalam lingkungan separuh umur dan mayat mereka berbaring diatas runtuhan. Seorang dari mereka berbaring terlentang, jubahnya dikoyakkan dan kepala seorang kanak-kanak muncul disebalik badan wanita dewasa itu. Kanak-kanak itu mempunyai rambut ikal yang pendek, matanya memandang terus kearah kami dan wajahnya muram. Kanak-kanak itu sudah mati. Seseorang telah mengelar perut wanita dewasa itu, memotong dari tepi dan kemudiannya memotong ke atas, mungkin dalam cubaannya untuk membunuh bayi didalam kandungan wanita tersebut. Mata wanita tersebut terbuka luas, wajahnya yang gelap kaku dalam kekejaman disekitarnya.”
Sedutan dokumentari grafik Waltz with Bashir.

Dunia pada ketika itu memilih untuk mengenepikan kesedihan Sabra dan Shatila. Seminggu selepas kejadian ini berlaku, media di barat memilih untuk melebihkan liputan kepada insiden kematian Puteri Grace Kelly, seorang artis Hollywood yang berkahwin dengan seorang ahli keluarga diraja Monaco. Media dunia mempercayai cerita Israel yang menggelarkan misi perangnya terhadap Lubnan adalah perang membela keselamatan Israel. Ariel Sharon , dalang kepada serangan keatas Lubnan selepas peperangan ini semakin naik profailnya di persada politik Israel. Dia memenangi pilihan raya dan dipilih menjadi perdana menteri Israel pada 6 Februari 2001. Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, George W. Bush merujuk kepada Sharon dengan jolokan nama “Lelaki Keamanan”.


Kini, Ariel Sharon yang sudah lebih lapan tahun berada di dalam koma menjadi semakin tenat . Media-media barat sudahpun ada yang mengeluarkan artikel untuk mengenangi “jasa” lelaki ini. Majalah terkemuka Time mengenangi jasa Ariel Sharon dengan hanya mengambil kata-kata dari warga Israel mengenai lelaki ini yang banyaknya kepada puji-pujian dan mengenepikan pembunuhan di Sabra dan Shatila. Media mula mengeluarkan cerita bahawa langkah terakhir Ariel Sharon mungkin sebenarnya ke arah keamanan. Ada juga yang membandingkan perjuangan terakhirnya untuk keamanan layak menempatkannya selaras dengan pejuang apartheid yang baru sahaja meninggal dunia, Nelson Mandela.

Masyarakat dunia boleh mimilih untuk mengiktiraf Ariel Sharon seperti seorang lelaki yang berjuang untuk keamanan,ataupun keselamatan Israel. Mungkin banyak lagi artikel-artikel selepas ini yang akan lebih mendalam mengenang perkara-perkara yang dilakukan oleh Sharon,samaada yang baik mahupun buruk. Namun, penulis lebih selesa mengingati lelaki ini seperti mana Loren Jenkins menyebutnya, iaitu seorang bangsat yang bertanggungjawab terhadap Sabra dan Shatila, yang sehingga zaman sedarnya tidak pernah meminta maaf atas kekejian yang didalanginya.


Nota : Terdapat sebuah filem grafik yang dihasilkan oleh seorang veteran perang Israel yang berjudul Waltz with Bashir. Filem dokumentari ini berkisarkan direktor ,Ari Folmann yang pada zaman mudanya menyertai tentera Israel menyerang Lubnan. Dia adalah antara salah seorang tentera Israel yang mengepung kem Sabra dan Shatila. 

Rujukan :

1. Mornings in Jenin, karya Susan Abulhawa

2. Pity the Nation, karya Robert Fisk. Alih bahasa kepada bahasa Melayu petikan buku ini dibuat oleh penulis sendiri, Abbas Alias.

3. Artikel dari Time,"Israel Wakes up to Ariel Sharon as Former Prime Minister Nears Death" 

Thursday, 11 July 2013

5 Peristiwa Sejarah Pada Bulan Ramadan yang Menggoncang Dunia

(Penulis asal ialah Muhammad Wajid Akhter. Dialih bahasa oleh Abbas Alias. Artikel asal muncul di Muslimmatters.org pada Ogos 2012.)
Kita semua tahu bahawa Ramadan ialah bulan untuk berpuasa, menahan diri dan muhasabah. Namun begitu, apa yang mungkin tidak kita ketahui ialah Ramadan juga merupakan satu bulan yang punyai peristiwa bersejarah yang sungguh hebat sehingga membentuk dunia yang kita hidup pada hari ini. Berikut merupakan  top 5 peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan bagi saya :

5. Perang Guadalete

Ramadan, tahun 92 Hijrah(711 M) seorang hamba kepada gabenor Umayyah di Afrika dan para askar Berber-nya berdepan dengan raja Visigoth di Sepanyol. Tariq bin Ziyad dilahirkan sebagai seorang hamba dan matinya seorang peminta sedekah, tetapi di tengah-tengah hidupnya dia berjaya menjadi salah seorang jeneral perang terhebat yang pernah disaksikan oleh dunia.
Baru sahaja setelah mendarat di pulau berbatu di bawah Sepanyol(dimana sehingga hari ini dinamakan sempena namanya), Tariq membakar kapal-kapal yang membawanya dan komrad-komrad dari Maghreb. Alat motivasi yang ekstrem ini berjaya dan walaupun jumlah mereka lebih kecil dari musuh pada skala sekurang-kurangnya 1: 3, pihak Muslimin berjaya mengalahkan Raja Visigoth, Raja Roderic pada perang Guadalete dan terus maju kedepan untuk mengambil alih keseluruh Sepanyol dan sebahagian besar Perancis.
Bukan sebuah poskad yang biasa - Tariq bin Ziyad dan askar-askarnya di perlawanan Guadalete

Maka bermulalah 800 tahun pentadbiran dibawah Islam di Andalusia yang merupakan kemuncak peradaban zaman Umayyah, dan melampirkan asas kepada zaman pencerahan di Eropah serta turut membuktikan bahawa orang Islam,Kristian dan Yahudi boleh hidup dalam harmoni - sehinggalah menjelangnya peristiwa Inkuisisi(Inquisition) .

4. Kisah Perang di Hattin

Salahuddin Ayyubi merupakan salah seorang perwira yang amat hebat dalam sejarah Islam. Kita tahu bahawa dialah yang mengalahkan tentera salib dan menakluk semula Baitul Maqdis untuk Islam dan penganutnya setelah hampir seabad dicemar oleh puak Franks. Kita turut tahu bahawa dia berjaya melakukan kesemua ini disamping mempunyai perwatakan yang amat baik,  dengan keperwiraan dan kejujuran antara kualiti-kualiti yang turut diakui oleh para musuhnya.
Tetapi tahukan anda bahawa dia juga mempunyai timing yang amat sempurna? Salahuddin telah sedikit demi sedikit mengelilingi kerajaan tentera salib untuk bertahun lamanya. Dia telah membina kekuatan, meneutralkan poin-poin yang lemah dalam kalangannya sendiri dan yang amat penting sekali, bermain strategi dengan Raja tentera salib. Pada Ramadan 1187 M, permainan itu tiba di kemuncaknya dengan kedua-dua belah pihak berlawan habis-habisan di Hattin. Apa yang terjadi kemudiannya ialah bukan perang semata-mata namun lebih kepada sebuah kelas oleh Salahuddin dalam cara-cara mengalahkan musuh anda dari segi taktik,fizikal dan mental. Apabila kesemuanya telah selesai, pihak Islam telah beroleh kejayaan, ketua-ketua kerajaan tentera Salib dijadikan tahanan penjara dan jalan ke Baitul Maqdis terbuka luas. Oh ya, dan dia juga menakluk semula Baitul Maqdis pada hari Isra dan Mikraj.....seperti yang sudah saya katakan sebelum ini, timing yang begitu sempurna.

3. Pertahanan terakhir di Ain Jalut

Amat sedikit antara orang Islam yang pernah dengar akan Mongolia, apa pula berjumpa dengan seseorang dari sana namun disini terdapat sekumpulan barbarian yang menghancurkan apa sahaja yang berada di jalan mereka. Untuk memberi anda sedikit idea betapa orang-orang Islam berada dalam ketakutan yang amat pada waktu itu, diceritakan bahawa jika seorang perwira Mongolia menyuruh seorang Islam untuk tunggu dalam keadaan berlutut sementara dia mencari pedang untuk membunuh si Muslim tadi, si Muslim akan menunggu dengan sabar daripada mencari risiko kehidupan yang lebih teruk lagi dari kematian!
Keseluruhan dunia Islam telah jatuh apabila berhadapan dengan musuh baru dan menakutkan ini. Oh, bukan keseluruhan. Ada satu outpost terakhir yang tinggal. Di Mesir, Sultan Mamluk, Sultan Qutuz memilih untuk tidak hanya menunggu gilirannya untuk dibunuh. Beliau mengumpulkan askar-askarnya dan membuat satu penahanan terakhir. Di sumber air mata air Jalut (Ain Jalut) tentera terakhir dunia Islam berdepan dengan tentera Mongol yang tidak pernah kalah. Ianya seakan-akan sebuah perlawanan gusti dimana seorang ahli gusti yang kurus dan tidak berpengalaman berlawan dengan ahli gusti yang merupakan juara dunia berkali-kali -- cuma pada perang ini, berjuta-juta nyawa yang di pertaruhkan. Keputusan perang ini bergilir-gilir di antara tentera Islam dan Mongols sehinggalah akhirnya, Qutuz sendiri yang menukarkan keadaan ini dengan mengetuai tenteranya maju jauh ke dalam benteng tentera musuh -- dan Islam(juga dunia lain-lain) telah dapat diselamatkan.


3. Penaklukan Mekah

Penaklukan Mekah merupakan lebih dari sekadar nota kaki dalam sejarah Islam. Ianya merupakan sebuah penamat yang gembira kepada sebuah cerita yang amat menarik. Cerita dimana sekumpulan lelaki dan wanita diseksa dan dikacau di dalam bandar mereka sendiri hanya kerana kepercayaan mereka, bagaimana mereka perlu menyelamatkan diri sebagai pelarian dan dalam masa sedekad kembali semula sebagai penakluk.
Penaklukan Mekah merupakan sebuah turning point dalam sejarah dunia. Islam telah kembali ke rumah di mana ianya telah bermula dan Kaabah sekali lagi di dedikasikan sebagai tempat untuk menyembah Allah sahaja. Setelah Mekah ditakluk, begitu juga kawasan-kawasan lain dalam Arabia dan dalam masa yang diambil untuk berita disebarkan, hampir kesemua puak-puak di Semenanjung Arab menghantar delegasi ke Madinah menyatakan kesetiaan mereka.
Hari ini, lebih 1.6 billion orang Islam yang menghadapkan muka mereka lima kali sehari untuk bersolat, pergi menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali dan menguburkan kesemua jenazah untuk menghadap kearah bandar ini yang ditakluk pada suatu hari di bulan Ramadan. 

1. Perang Badr  

Ibu kepada semua masa-masa yang genting -- perang Badr tanpa diragukan lagi ialah perang terpenting antara kebaikan dan kejahatan dalam sejarah manusia. Pada satu pihak, Nabi terakhir s.a.w dan hanya lebih 300 pengikutnya. Pihak satu lagi, penyembah berhala orang-orang Quraish dengan bilangan yang jauh lebih besar,serta senjata-senjata dan kekayaan yang turut jauh lebih banyak.
Apa yang terjadi kemudiannya ialah sebuah perang yang epik yang masih lagi dirasai oleh orang Islam seluruh dunia. Sebenarnya- perkataan 'epik' tidak langsung memaknakan betapa penting dan besarnya perang ini. Apa signifikan perang ini? Sebelum perang bermula, Nabi s.a.w menadah tangan dan mengucapkan ,"Jika kumpulan kecil ini terhapus hari ini, maka tiadalah lagi orang yang tinggal untuk menyembah mu di muka bumi ini." Mereka semua tidak dihapuskan dan sehingga kini, semua yang bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad ialah rasulNya berasa amat bersyukur.
Sebuah tanah gersang....ataupun sebuah tempat yang menyaksikan perang terhebat dalam sejarah manusia?

Pengajaran dari Sejarah?

Untuk melihat Ramadan sebagai bulan untuk refleksi spiritual dan tazkiyah semata-mata sebenarnya meninggalkan  contoh sebenar erti pengorbanan, jihad yang telah pun menjadi sebuah ciri bulan Ramadan di sepanjang sejarah kita. Ramadan kali ini, aktifkan lah diri anda dalam sebuah projek dan buatlah perubahan kepada orang-orang Islam di komuniti anda serta di seluruh dunia.
Mengenai penulis; Walaupun berasal dari India, Wajid membesar di Riyadh, Saudi Arabia di mana beliau mula belajar ilmu-ilmu Islam sejak dari umur yang kecil. Selepas berpindah ke UK, beliau belajar di sekolah medik dimana beliau memulakan University of London Union Islamic Socienties(ULU ISoc) dan projek Charity Week for Orphans pada 2003. Beliau sekarang bertugas di Badan Penasihat untuk projek tersebut. Beliau seorang yang bersemangat dalam menyatukan golongan muda mudi Islam secara jeneralnya, dan sejarah Islam .

Friday, 5 April 2013

Jika UMNO Tidak Rasuah, Tidak Sombong dan Mendengar Keluhan Rakyat - Pas Tidak Lagi Menjadi Masalah



Saya sertakan wawancara yang berlaku suatu ketika dahulu (boleh baca di Mukadimah untuk penjelasan lanjut). Saya amat tertarik bila membaca dan merenung kembali apa yang dibicarakan di sini. Ternyata PAS telah banyak berubah dan semakin matang berpolitik. Mungkin konsep "Negara Berkebajikan" adalah satu manifestasi jelas kematangan politik PAS. Bayangkan betapa berbezanya PAS yang dikritik oleh Tuan Syed jika dibandingkan dengan PAS yang wujud pada saat dan ketika ini. Selamat Membaca! - Durratun Naasihin



MUKADIMAH


KEKALAHAN teruk Pas dalam pilihan raya umum ke-11 yang baru lalu yang menyaksikan parti itu tergugat di Kelantan dan kehilangan tempat di Terengganu menimbulkan satu persoalan besar tentang masa depan dan hala tuju parti itu. Kepada tokoh pemikir Islam, Prof. Datuk Dr. Syed Hussein Alatas, kekalahan Pas itu bukanlah kerana ia mengemukakan dasar Islam sebagai asas perjuangannya tetapi lebih kerana barisan kepimpinannya yang ada sekarang tidak menarik minat masyarakat.


"Kepimpinan ulama tidak sesuai kerana bukan matlamat ulama untuk mencurahkan pemikirannya di situ,'' katanya kepada wartawan HASSAN MOHD. NOOR, NOOR AZAM SHAIRI dan RAMLI ABDUL KARIM dalam satu wawancara, Khamis lalu.


Sambil menyifatkan bahawa kepimpinan Pas adalah "nakhoda yang mengikuti latihan zaman kapal layar'' beliau berkata: "Sudah tentu kita memerlukan nakhoda yang boleh melayarkan kapal pada zaman sekarang".


Tentang masa depan Pas, Syed Hussein percaya bahawa ia sudah tentu akan mengubah gaya kepimpinannya pada masa depan dengan memberikan laluan kepada mereka yang bukan daripada golongan ulama.


Pada masa yang sama, beliau merumuskan bahawa sokongan yang diterima oleh Pas selama ini dalam keadaan kepimpinannya yang tidak sesuai dengan zaman itu adalah kerana protes masyarakat yang marah kepada UMNO.

Tentang UMNO pula, Syed Hussein berpendapat kemenangan besarnya dalam pilihan raya umum lalu adalah peluang terbaik untuk parti itu membersihkan diri daripada pelbagai gejala yang boleh merosakkan masa depannya.
Menurut Syed Hussein apa yang beliau bangkitkan tentang Pas itu bukanlah kerana masalah peribadi ``tetapi kerana ideologinya salah'' manakala apa yang disuarakannya tentang UMNO adalah kerana rasa sayangnya kepada parti itu.


MINGGUAN: Bagaimanakah Prof. menilai prestasi Pas dalam pilihan raya lepas?

SYED HUSSEIN: Sudah terang bahawa Pas mengalami kekalahan yang besar dengan jatuhnya Terengganu dan hampir kehilangan Kelantan. Keputusan itu adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali dan ia sangat mengejutkan.
Barisan Nasional (BN) hanya mengharapkan kerusi-kerusinya di kedua-dua negeri itu bertambah. Ia tidak menduga keputusannya akan jadi begitu. Orang ramai juga begitu. Ada juga tanggapan bahawa Pas akan menambah kerusi di Kedah walaupun tidak sampai menumbangkan BN tetapi itu tidak berlaku.
Seperkara lagi yang menarik dalam hal ini ialah bagaimana tidak mempannya propaganda Pas untuk menumbangkan BN. Ramai yang memihak kepada BN. Ini menunjukkan cara propaganda Pas itu tidak sesuai lagi.
Tentang masa depan Pas, saya sudah hampir 30 tahun tidak percaya bahawa Pas akan menguasai Malaysia. Saya hanya percaya Pas akan menguasai sementara Kelantan dan Terengganu, seperti semasa tahun 1959 dulu.

Propaganda bagaimana yang ditolak itu?

SYED HUSSEIN: Rakyat menolak Pas bukan kerana ia mengemukakan dasar Islam sebagai perjuangannya; bukan itu yang menyebabkan ia tidak berkesan. Ia tidak berkesan kerana sifat pimpinan Pas itu. Parti itu dipimpin bukan oleh mereka yang ahli dalam masalah politik zaman sekarang.
Dalam gerakan Islam yang sangat berkesan di mana-mana pun di dunia ini, pimpinannya bukan daripada golongan yang tidak ada latar belakang pendidikan zaman sekarang.
Ambil kelahiran negara Pakistan sebagai contoh. Kita boleh melihat bagaimana rakyatnya termasuk para pemimpin madrasah dan lebai-lebai yang menyokong kelahiran Pakistan itu mengangkat Muhammad Ali Jinnah sebagai pemimpin. Ketika itu ada banyak pemimpin yang berpengaruh di Pakistan tetapi mereka mengangkat Jinnah.



Adakah maksudnya kepimpinan ulama tidak sesuai dalam politik zaman ini?

SYED HUSSEIN: Betul. Kepimpinan ulama tidak sesuai kerana bukan matlamat ulama untuk mencurahkan pemikirannya di situ. Lagi pula, latar belakang ulama tradisi tidak cukup memahami masalah dunia dan langsung tidak ada latihan ke arah itu.
Gerakan Islam di Indonesia umpamanya bermula pada tahun 1912 melalui Sarekat Islam (SI) tetapi ia dipimpin oleh Haji Omar Said Tjokroaminoto, dan bukannya tokoh-tokoh dari pesantren. Namun SI mendapat sokongan kuat daripada pesantren.


Selepas Indonesia merdeka, gerakan Islamnya dipimpin oleh Masyumi. Para pemimpin Nahdatul Ulama sekarang juga banyak yang mempunyai pendidikan moden.
Kalau kita lihat Revolusi Iran digerakkan oleh Imam Khomenei. Tetapi sebaik saja berjaya, tokoh yang dilantik sebagai Perdana Menteri ialah Mehdi Bazargan, seorang jurutera dan bukannya Ayatollah. Menteri-menteri yang lain juga begitu, ada doktor, jurutera dan sebagainya.
Saya katakan begini saja. Pada zaman ini, kita tidak boleh mencari nakhoda yang mengikuti latihan zaman lampau, latihan zaman kapal layar. Sudah tentu kita memerlukan nakhoda yang boleh melayarkan kapal zaman sekarang.

Adakah Pas sedar masalah ini kerana pada tahun 1999 itulah juga nakhodanya dan mereka mendapat sokongan yang besar ketika itu?

SYED HUSSEIN: Kalau kita hendak menentukan sejauh mana kita boleh melompat, kita tidak melihat kepada lompatan pertama atau kedua. Soalnya, setinggi mana dia boleh melompat pada kali ketiga?
Mereka boleh menang pilihan raya di Kelantan dan Terengganu sekali atau dua kali tetapi tidak lebih daripada itu. Mereka mesti boleh mencapai lebih jauh daripada pencapaian sebelumnya.

Prof. menyebut tentang latar belakang yang tidak lagi sesuai. Untuk mereka itu faham, keadaan zaman sekarang ini sebenarnya bagaimana?

SYED HUSSEIN: Saya tidak mahu menyebut nama. Di kalangan ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pas, ada beberapa orang yang boleh kita anggap menepati kehendak zaman ini. Tetapi kebanyakan wakil rakyatnya tidak dapat mengambil bahagian dengan berkesan dalam perbahasan di Dewan.
Saya hendak tanya, apakah pemikiran yang sudah mereka keluarkan di Parlimen atau di DUN? Ada kekecualian pada dua tiga orang yang dapat memahami dan mengulas sesuatu isu dengan berkesan tetapi kebanyakannya tidak dapat.


Kalau kita kumpulkan perbahasan wakil rakyat Pas semenjak parti itu masuk Parlimen pada tahun 1955 sehingga sekarang, jelas bahawa mereka tidak dapat mengupas isu-isu ekonomi, sumber manusia, pembangunan, pendidikan dan soal-soal pengangkutan.
Pendek kata, mereka tidak menguasai isu-isu yang ada kena-mengena dengan kehidupan dan nasib masyarakat.
Apa yang diperlukan daripada mereka bukannya keahlian membaca al-Quran atau hadis tetapi memimpin negara. Rasulullah sendiri sewaktu mengangkat petugas-petugasnya bukan melihat kepada keahlian mereka dalam agama serta watak ibadahnya.

Lihat dalam sejarah Islam bagaimana Rasulullah tidak melantik Abu Dzar untuk tugas-tugas demikian sedangkan dia itu paling rapat, paling disayangi dan paling setia dengan baginda. Dari segi keimanan, jarang ada sahabat yang boleh dibandingkan dengan Abu Dzar tetapi Rasulullah tidak menyuruhnya memimpin perang.
Malah tugas itu diberikan kepada Khalid ibnu Walid kerana keahliannya memang dalam berperang walaupun dia tidak masuk Islam dari awal. Itu juga yang berlaku kepada Usamah bin Zaid yang walaupun masih muda remaja tetapi dilantik oleh Rasulullah memimpin perang melawan tentera Rom. Itulah yang seharusnya berlaku dalam politik. Kita mesti melantik mereka yang mahir dalam bidang itu.

Tetapi kita diberitahu bahawa kepimpinan Pas adalah kesinambungan pewaris nabi.

SYED HUSSEIN: Itu hanya kata-kata yang tidak ada dukungan daripada sejarah. Di mana pernah ada kepimpinan ulama dalam sejarah Islam sehingga sekarang? Apa yang dimaksudkan dengan hadis itu ialah kepimpinan ulama dalam pemikiran dan masalah agama, bukannya kepimpinan negara.
Semua imam mazhab dalam Islam juga malah mengelak daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan. Inilah yang dimaksudkan dengan kepimpinan ulama. Ini kembali kepada masalah Pas; pengertian dan pemikirannya tentang Islam pun tidak tepat apalagi tentang hal-hal yang lain.
Ucapan-ucapan pemimpinnya seperti mengundi Pas dapat pahala dan masuk syurga, apa itu? Begitu juga dengan konsep negara Islam yang dimajukannya. Itu bukan konsep. Itu hanya susunan ayat-ayat al-Quran.
Mereka pun tidak faham apa maknanya konsep negara Islam. Mereka tidak mengaitkannya dengan permasalahan sekitar; bagaimana kaitannya dengan sistem ekonomi dan pendidikan? Tidak ada di situ. Apa yang ada hanyalah dasar-dasar. Banyak lagi aspek negara Islam yang tidak ada dalam dokumen itu.


Tetapi dalam keadaan begitu pun ia berjaya mempengaruhi masyarakat bahawa Pas itu Islam?

SYED HUSSEIN: Pas berhasil kerana kelemahan UMNO, kerana UMNO tidak memikirkan masalah ini, masalah agama.


Usrah bulanan Pas Kelantan. Kredit gambar Dato Wan Rahim.



Adakah kekuatan Pas itu kerana kelemahan dan kekosongan dalam UMNO?

SYED HUSSEIN: Ya, politik wang, petugas-petugas parti yang makan rasuah dan keperibadian wakil rakyatnya yang tidak disukai oleh masyarakat. Rakyat marah kepada hal-hal ini lalu terpikat kepada Pas. Mereka didorong oleh keadaan dalam UMNO supaya menyokong Pas.
Kalau wakil rakyat UMNO betul-betul bekerja, tidak mengamalkan politik wang, tidak menggunakan parti sebagai batu loncatan untuk mencari rezeki, para pemimpinnya di pelbagai peringkat ada perjuangan Islam dan mempunyai daya fikir untuk menjelaskan masalah-masalah rakyat, dekat dengan rakyat - maksud saya semua apa yang sekarang ini dikehendaki oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak mungkin parti-parti lain ada kesempatan untuk meraih sokongan.
Sokongan kepada parti-parti yang lain itu adalah protes kepada UMNO.



Adakah kemenangan besar UMNO baru-baru ini tanda protes itu sudah menurun?

SYED HUSSEIN: Kemenangan itu adalah kerana ada tanda-tanda perubahan dalam UMNO sendiri untuk dekat dengan rakyat seperti yang ditunjukkannya sebelum pilihan raya.

Sekiranya protes itu turun ke tahap yang lebih rendah apakah Pas akan berkubur?

SYED HUSSEIN: Sampai ke tahap terkubur itu tidak mungkin tetapi ia tidak akan mempunyai pengaruh yang besar. Lagi pula ada baiknya kalau ada pembangkang kepada UMNO.

Sebelum 1987, Pas tidak ada pengaruh. Ia menang di Kelantan kerana adanya krisis dalam UMNO, adanya Semangat 46. Itu juga yang berlaku pada 1999 kerana adanya Keadilan. Bagaimanakah keadaan sekarang ini ketika Keadilan sendiri semakin lemah?

SYED HUSSEIN: Pas bermula sendiri, telah bergerak sendiri sejak lama dulu sehingga menjadi besar kerana ada pengikutnya yang setia.
Saya lihat Pas akan mengubah gaya kepimpinannya pada masa depan. Golongan yang bukan ulama akan memimpin Pas, bukan sekarang tetapi mungkin dalam jangka waktu yang dekat, kalau ada pemimpinnya yang muncul.

Apakah sudah ada pemimpinnya?

SYED HUSSEIN: Bakat-bakatnya ada tetapi sejauh mana mereka itu boleh berhasil kita tidak tahu.

Tetapi golongan ulama itu dilihat akan terus cuba bertahan.

SYED HUSSEIN: Memang betul tetapi kalau masa perubahan itu sudah datang, ia dengan sendirinya akan terjadi.

Bagaimana kalau Pas menyanggah pandangan-pandangan Prof. ini?

SYED HUSSEIN: Bagus sekali. Kalau itu terjadi, sayalah yang pertama akan melompat-lompat gembira. Ini membolehkan saya memberikan jawapan kepada mereka.
Malah saya sudah beberapa kali mengatakan bahawa kalau saya dijemput oleh seluruh Dewan Ulama Pas ke Terengganu atau Kelantan seorang diri untuk berbahas dengan mereka tentang isu ini, saya suka. Saya akan datang dan boleh kita berbahas.


Setakat ini saya tidak pernah disanggah atau disangkal oleh Pas. Malah tulisan saya di Mingguan Malaysia sebelum pilihan raya umum 1999 yang meminta Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta maaf kepada Nabi Muhammad kerana meletakkan kedudukan baginda lebih rendah daripada sahabat, itu juga tidak dijawab oleh Pas.
Isu itu serius. Meminta maaf kepada rakyat kerana keputusan pilihan raya baru-baru ini boleh, tetapi meminta maaf kepada Nabi tidak boleh.

Dalam konteks parti-parti Islam di dunia, di manakah kedudukan Pas?

SYED HUSSEIN: Pas sangat-sangat terkebelakang dalam pemikiran mengenai dasar dan ideologinya. Pemimpin parti-parti Islam di negara lain lebih matang dan tahu berfikir. Berbanding dengan Indonesia misalnya, parti Islam di sana jauh lebih tinggi, mendalam dan maju dalam pemikiran serta perjuangan Islam. Itu sebabnya Pas tidak boleh berkembang.

Apakah ahli-ahli UMNO tidak sedar bahawa kelemahannya menjadi sumber kekuatan Pas?

SYED HUSSEIN: Masalah ini berlaku kerana pimpinan semua peringkat dalam UMNO membiarkannya. Politik wang sudah meresap dalam darah daging UMNO sehingga terpaksa ditegur beberapa kali. Politik projek juga menular. Malah politik parti juga ditentukan oleh unsur-unsur begini. Bagaimanakah parti seperti itu boleh menarik orang?
Kembalinya UMNO ke tahap kekuasaan sekarang ini adalah kerana sudah bermula perubahan sebelum pilihan raya. Ada kesedaran di Kelantan dan Terengganu tentang perlunya satu etika politik yang lain berbanding dulu.
Kalau UMNO kembali seperti dulu, saya melihat Pas akan timbul balik. Tetapi kalau jalan perubahan ini terus diikuti, tidak ada cara Pas akan kembali.
Pas tidak dapat menarik minat umat Islam dari segi ideologi. Ia hanya dapat meraih sokongan kalau ada kemarahan orang kepada UMNO. Ini macam orang berkahwin yang bertengkar. Sudah bertengkar baru cari yang lain, bukan kerana yang lain itu menarik (ketawa).






Apakah yang tidak diharapkan berlaku di kalangan pimpinan UMNO menjelang pemilihan UMNO tidak lama lagi?

SYED HUSSEIN: Saya sebenarnya setiap hari sejak bertahun-tahun sudah mengharap bukan hanya sekarang ini saja, supaya ahli-ahli UMNO jangan berpolitik macam budak-budak.
Budak-budak kalau bermain selalu bergaduh, hendak berebut ini dan itu, ada yang jadi samseng dan kalau kalah merajuk. Budak-budak tidak duduk merancang secara mendalam seperti orang dewasa.
Harapan saya jangan berpolitik seperti budak-budak. Mereka mesti menunjukkan satu watak politik yang matang dan tidak dipengaruhi oleh emosi.
Misalnya tentang pertandingan. Kenapa mesti takut bertanding seolah-olah ia satu dosa? Itu kepada saya sikap budak-budak. Orang dewasa kalau hendak bertanding, bertandinglah, tidak akan ada apa-apa.
Dasar kita demokrasi. Bagaimana dalam demokrasi tidak ada pertandingan? Kalau tidak mahu tidak mengapa tetapi kenapa kita mesti mengambil keputusan jangan ditandingi jawatan itu dan ini. Kalau parti itu mahir dan tidak dipengaruhi oleh emosi, selepas pertandingan menang atau kalah tidak akan menjadi masalah.


Ini maksud saya dengan politik budak-budak. Kalau kita hendak bahaskan kenapa watak politik yang matang perlu dibentuk, kita boleh bercakap mengenainya selama berjam-jam. Biasanya kanak-kanak tidak memikirkan hal-hal yang penting, untuk negeri dan bangsa. Mereka hanya memikirkan masalah permainan - siapa hendak main apa?
UMNO mesti menunjukkan daya fikirnya dalam masalah-masalah yang besar. Wakil rakyatnya mesti dididik mampu membahaskan masalah masyarakat secara mendalam. Para pemimpinnya mesti menunjukkan kekuatan berfikir dalam pelbagai masalah. Orang Melayu berdepan dengan beratus masalah. Tumpuan mereka mesti ke situ, bukannya tentang jawatan dan pertandingan.
Saya hairan kenapa setiap kali pemilihan parti perkara yang dibahaskan ialah siapa naik, siapa jatuh.

Cadangan supaya jawatan tertentu tidak ditandingi timbul kerana pengalaman perpecahan akibat pertandingan sebelum ini.

SYED HUSSEIN: Pengalaman apa? Bohong! Jangan ingat saya tidak ambil berat masalah UMNO. Saya turut serta mendirikan UMNO di Istana Besar, Johor Bahru pada tahun 1946. Ketika itu saya masih bersekolah, tinggal di rumah Datuk Onn dan membantu menyiapkan tempat bersidang penubuhannya.
Takut perpecahan apa? Sekali tidak ada pertandingan selepas tahun 1987, itu tidak mengapa kerana parti baru melalui krisis. Tetapi selepas itu kenapa perlu terus dihalang pertandingan?

Maksudnya UMNO sekarang bukan diambang krisis yang boleh sekali lagi memecahbelahkan parti jika ada pertandingan?

SYED HUSSEIN: Bukan masa krisis, dan jangan lupa rakyat sedang memerhatikan UMNO. Kalau kita tanya mana-mana pemimpin tidak ada yang kata mereka takut bertanding. Kalau ada pertandingan dan kalau ahli-ahli UMNO masih budak-budak pemikirannya, mesti mereka bergaduh. Kalau pemimpin UMNO kata parti akan berpecah kerana pertandingan maknanya ahli-ahli UMNO macam budak-budak.
Kalau semua setuju bahawa ahli-ahli UMNO ini bukan budak-budak dan semua kata tidak takut bertanding, jadi apa masalahnya untuk ada pertandingan. Saya lihat perkembangan ini semacam kembali kepada sikap dan reaksi selepas tahun 1987.


Orang sebenarnya lebih menghormati pemimpin yang melalui pertandingan. Sebabnya apabila mereka menang menunjukkan yang mereka mendapat sokongan kuat.
Ini juga mengesahkan nilai dan dasar demokrasi kita. Itu jangan dipermain-mainkan. Kalau kita mula mempermainkannya, nanti kita akan mempermain-mainkan semuanya. Pemikiran bersimpang-siur semacam itu tidak boleh diterima.

Mungkin ada pemimpin yang memang tidak ingin bertanding.

SYED HUSSEIN: Mereka yang tidak berani bertanding, tidak ada hak bercakap. Seumpama orang yang tidak berani terjun untuk berenang ke dalam laut, dia tiada hak bercakap "jangan terjun'' kepada orang lain.

Bagaimanakah Prof. melihat keadaan UMNO pada hari ini?

SYED HUSSEIN: Dengan kemenangan besar dalam pilihan raya lalu, ini adalah kesempatan untuk UMNO merobah dirinya daripada keadaan dulu yang dipengaruhi oleh politik wang, perpecahan, surat layang dan fitnah-memfitnah. Ini kesempatan besar UMNO membersihkan dirinya. Kalau diri UMNO sudah bersih, tiada masalah. Pas juga tidak lagi menjadi masalah.

Apakah yang boleh berlaku sekiranya UMNO tidak mengambil langkah itu?

SYED HUSSEIN: Kalau terus seperti UMNO dulu, Pas sedikit demi sedikit akan kembali mendapat pengaruh. Lebih teruk lagi ialah kemungkinan berlaku perpecahan dari dalam parti. Ia bukan kerana perebutan jawatan atau pertandingan.
Tetapi perpecahan dalaman yang disebabkan mereka tidak bersetuju dasar-dasarnya. Orang akan mula berkata ``kita tidak boleh lagi berada di sini (dalam UMNO)''. Kalau itu terjadi, UMNO akan jadi sebuah parti yang bukan lagi penentu sebaliknya sekadar membantu perikatan kerajaan baru.
Amat penting masalah ini difikirkan secara mendalam. Saya sendiri sangat sedih kalau UMNO lenyap. Walaupun sehingga sekarang saya ini ibarat duduk di bawah pokok di pesisir laut. Kapal lalu, kita tidak diajak naik (ketawa).



Pas nampaknya mengamalkan politik budak-budak yang hanya hendak menang?

SYED HUSSEIN: Ya. Itu kerana dia hanya hendak menang sendiri. Memang lucu. Sepatutnya tidak perlu mereka katakan bahawa yang mereka menang itu baik tetapi di kawasan yang kalah tidak betul.
Tentang mereka hendak protes sehingga ke mahkamah, itu tidak mengapa. Memang kalau diyakini ada kes sebegitu, ia perlu dikemukakan ke mahkamah. Tetapi saya percaya kesudahannya nanti tetap tidak mempengaruhi keseluruhan keputusan pilihan raya.

Tidakkah dengan menyalahkan pihak lain itu Pas seperti cuba menutup kesilapan sendiri daripada dilihat oleh ahli-ahlinya?

SYED HUSSEIN: Jelas bahawa akan ada sebahagian ahlinya yang akan mempercayainya.

Bagaimanakah kedudukan kerajaan Pas di Kelantan pada masa ini pada pandangan Prof.?

SYED HUSSEIN: Sangat kritikal. Mungkin dalam enam bulan akan ada dua atau tiga orang wakil rakyatnya yang keluar tetapi maksud saya bukan kerana dibeli. Sebaliknya mereka melompat parti kerana menganggap kapal akan tenggelam. Sebelum tenggelam baik mereka lompat dulu.
Jangan lupa bahawa tikus-tikus politik banyak. Tikus politik ini ada di semua kapal. Inilah masanya tikus ini melompat dari satu kapal ke kapal lain.

Tentang Terengganu, dengan sejarah kekalahan BN pada 1999, apakah pesanan Prof. kepada pimpinan BN khususnya UMNO supaya apa yang dialami oleh Pas di negeri itu tidak berulang kepada BN pula?

SYED HUSSEIN: Ada tiga yang paling mustahak dalam parti politik. Kalau tidak ada ketiga-tiganya, parti itu hancur. Mungkin soalnya hanya masa bila ia akan hancur.
Pertama, hapuskan rasuah. Kedua, mesti sudi mendengar tentang kesusahan dan keluhan masyarakat. Ketiga, jangan sombong. Ini satu penyakit yang terlalu besar kesalahannya. Jangan bongkak kerana kedudukan.
Kalau seorang pemimpin itu tidak rasuah, tidak sombong dan sedia mendengar apa-apa keluhan, ada hubungan rapat dengan rakyat, tidak ada masalah. Langsung tidak ada masalah.



Tetapi kini sudah ada tanda-tanda ketiga-tiga perkara itu sedang ditangani.

SYED HUSSEIN: Kita menunggu bagaimana panduan daripada Abdullah ini akan diterima dan turun ke peringkat bawahan. Kalau tidak sepenuhnya pun tetapi lebih 80 peratus ketua cawangan yang mematuhi ketiga-tiga perkara tadi, walaupun ada segelintir yang tidak, parti masih boleh berjalan.

Dari awal Prof. memberi gambaran bahawa Pas dan UMNO perlu berubah. Sekiranya kedua-dua parti sedia melakukan perubahan seperti yang Prof. sebutkan, bagaimanakah bentuk politik yang akan kita lihat nanti?

SYED HUSSEIN: Kalau kedua-duanya berubah, bentuk politik yang akan kita lihat nanti lebih sihat dan lebih memanfaatkan masyarakat. Kalau ada dua parti Melayu yang bersaing atas dasar pemikiran dan jujur, bukannya kerana kepentingan peribadi atau politik projek, kita akan dapat menilai dasar parti mana yang lebih baik.
Kalau UMNO menganggap dirinya parti yang boleh memberi manfaat kepada Melayu, itu bagus. Tetapi ia mesti berfikir lebih mendalam berbanding parti lain.
Jika pemikirannya cetek dan parti lain lebih mendalam, rakyat akan menyokong parti tersebut. Ini biasa berlaku di Eropah apabila rakyatnya menyokong sesebuah parti kerana dasar-dasarnya.
Kalau kita mahir berpolitik dan parti-parti bertanding atas dasar perancangan dan pemikiran tentang dasar-dasar tertentu, itu satu keuntungan bagi rakyat.


Adilkah kita membandingkan diri dengan Eropah yang mana masyarakatnya lebih matang dan terbuka?

SYED HUSSEIN: Betul. Tetapi ke manakah arah tujuan kita? Contohnya, mereka dapat mengawal rasuah sehingga tidak merosakkan negara. Adakah kita tidak mahu menuju ke arah itu? Takkan kita hendak berpaling kepada negara yang rosak kerana rasuah? Dalam Islam juga tujuan kita mestilah mencari yang terbaik.

Apakah lagi pesanan Prof. kepada UMNO atau BN?

SYED HUSSEIN: Mereka harus membina satu hubungan yang baik dengan pembangkang. Berikan kesempatan kepada pembangkang menyuarakan pendapat dan berunding dengan BN. Anggaplah mereka sebagai rakan kongsi dalam memajukan negara. Ia tidak akan merugikan UMNO malah akan menguntungkan parti.
Kalau kita mengatakan pembangkang mestilah mengkritik secara membina, pemerintah juga mesti begitu. Kalau kerajaan hendak mengkritik pembangkang mestilah juga dengan membina.


© Utusan Melayu (M) Bhd

Popular Posts