Showing posts with label zulqarnain. Show all posts
Showing posts with label zulqarnain. Show all posts

Friday, 3 October 2014

HARAPAN KEPADA PEMUDA.

Oleh: Zulqarnain

1.

Saudara Suhaizan Kayat sewaktu Muktamar Pemuda PAS Malaysia tempoh hari telah mengangkat “Politik Budiman” sebagai pendekatan politik pemuda. Hal ini dilihat sebagai hujjah atau jawapan balas kepada tindakan politik Pemuda PAS Malaysia (PPM) sewaktu menghadapi krisis Selangor tempoh hari. Politik Budiman yang dinyatakan Suhaizan Kayat adalah;

  1. Politik berdasarkan hujah dan ilmu.
  2. Membudayakan adab al-ikhtilaf dalam menguruskan perbezaan pandangan.
  3. Berpolitik berakhlak dan etika yang tinggi. Jauhi politik fitnah dan caci maki.
  4. Budaya Syura sebagai kunci muafakat.
  5. Inklusif dalam membina jaringan dalam masyarakat.
  6. Jujur dan berani menyelesaikan konflik.
  7. Integritik dan akauntabiliti.

Gagasan Politik Budiman bukanlah blueprint yang penuh retorik. Bagi merealisasikan Politik Budiman agar ianya larut dalam masyarakat marhaen ataupun bersifat inklusif, saudara Suhaizan Kayat telah mencernakan ianya dalam yang dinamakan Agenda bertindak Pasca Muktamar;

  1. Mencetuskan dan menjuarai isu rakyat secara konsisten, sistematik dan berkesan.
  2. Memantapkan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat, gerakan masyarakat madani, NGO Islam, media, entiti anak muda dan organisasi luar negara.
  3. Menggerakkan agenda bersepadu untuk menguasai sokongan pengundi muda melayu.
  4. Meneroka pendekatan dakwah yang lebih kreatif dan berkesan.
  5. Memperkukuhkan pengurusan tarbiyah dan pengkaderan dengan lebih dinamik.
  6. Memperkasa sistem pengurusan komunikasi dalam organisasi.

Muktamar PPM yang diadakan tempoh hari sedikit sebanyak telah terpalit dengan tindakan keluar dewan oleh segelintir pemuda. Namun demikian, muslim sejati seharusnya melihat kebaikan lebih utama daripada keburukan. Gagasan Politik Budiman adalah satu gagasan politik masa hadapan dan menepati kehendak politik masa sekarang. Dan, sepatutnya gagasan inilah yang diangkat ke dalam masyarakat, bukan isu-isu murahan seperti  episod keluar dewan dan lain-lain.

Tahniah buat Suhaizan Kayat. Tahniah buat keseluruhan Ahli Jawatankuasa PPM. Muktamar tempoh hari adalah signal yang jelas bahawasanya PPM mempunyai keupayaan untuk mencorak dan menjuarai politik baru. Selamat menunaikan AMANAH MUKTAMAR – melunaskan janji Agenda bertindak Pasca Muktamar seperti mana telah disokong dan diluluskan oleh keseluruhan muktamirin.

2.

Politik Budiman seperti yang telah disebut di awal ulasan, merupakan cerminan kehendak politik masa kini dan satu unjuran awal politik masa hadapan. Hal ini secara tidak langsung adalah foundation utama kepada apa yang disebut sebagai kerajaan tanpa pembangkang, gagasan politik DS TG Haji Abdul Hadi Awang.

Kader-kader PAS (abna’ al-Harakah PAS) sepatutnya menyedari gagasan politik DS TGHA tidak dapat dicapai selagi mana tidak wujud etika politik yang betul, dan etika ini melibatkan kesemua pihak dari para pemain politik sehinggalah kepada masyarakat marhaen.

Justeru, amatlah sukar untuk melihat gagasan ini direalisasikan selagi mana tidak ada pendekatan murni terhadap isu-isu perbezaan pendapat ataupun ijtihad-ijtihad politik, kepelbagaian Jemaah (ta’adud Jemaah) dalam sebuah masyarakat, multi rasial dan idealisme masyarakat itu sendiri.

Oleh yang demikian, Politik Budiman amat berkait rapat dengan pembinaan sebuah tamadun bangsa. Dr Siddiq Fadzil menyebut (mafhumnya); pemurnian budaya politik merupakan satu keperluan yang tiada kompromi sekiranya semua pihak ingin membina tamadun di abad ini, dalam satu Majlis Dialog Masa Hadapan Negara di London suatu ketika dahulu.

Sifir mudahnya, gagasan politik kerajaan tanpa pembangkang adalah gaya politik sebuah masyarakat yang bertamadun dan Politik Budiman adalah inti kepada pembinaan politik yang bertamadun.

Sekiranya benar anda cintakan DS TG Haji Abdul Awang, selayaknya inilah yang terzahir dalam akhlak seharian. Seperti mana hadis Jibril, begitulah makam cinta kita kepada Tuan Guru. Ada yang hanya cinta dalam hati. Ada yang hanya cinta pada lafaz. Ada yang cinta dengan tindakan, yakni bukan demo cinta Tuan Guru, tetapi merealisasikan hasrat Tuan Guru dengan akhlak yang murni dan pendekatan yang syar’ie.

Semoga anak-anak kita mampu hidup dalam suasana yang lebih aman dan islami. InshaAllah amin. Bismillahirrahmanirrahim.

Saturday, 27 September 2014

Sekilas Pandang Batu Pahat

Oleh: Zulqarnain


Saya mengambil sedikit kesempatan dalam kekalutan musim submission untuk mengikuti Muktamar PAS yang ke-60 yang diadakan di Batu Pahat, Johor. Muktamar ini pastinya dinanti-nanti oleh seluruh pemerhati politik tanah air untuk melihat lakaran sejarah baru politik Malaysia. Kalaulah boleh kita kiaskan, suka saya ibaratkan Johor sebagai tanah asal bagi UMNO sebelum berkembang ke seluruh Tanah Melayu, seperti mana PAS yang bermula di Gunung Semanggol, Perak tetapi sekadar bertapak di kawasan Pantai Timur Malaysia.

Menceroboh tanah asal adalah mesej yang cukup berani. Boleh jadi terkulai layu. Boleh jadi menangis berlagu (ubah suai peribahasan Melayu; “menangis tak berlagu” yang membawa maksud tangisan kesedihan).

Pada awalnya saya melihat muktamar PAS (yang juga pembangkang setia tanah air) di Batu Pahat adalah kesediaan PAS untuk menggantikan UMNO selaku pengatur politik Malaysia. General hyphotesis-nya benar. Muktamar di Batu Pahat Johor adalah strategi politik PAS untuk menggantikan label UMNO kepada label PAS. Ibarat botol budu, sekadar ditukar pembalut, isinya tetap sama. (Maafkan saya orang Kelantan. Saya tidak membenci budu).

Hal ini demikian kerana kisah-kisah Muktamar PAS seawal Muktamar Pemuda PAS Malaysia hinggalah ke penutup Muktamar PAS Pusat tidak mencerminkan keupayaan PAS untuk menggantikan UMNO dari sudut isinya. Sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang jauh lebih baik. Bermula dengan episod keluar dewan oleh segelintir pemuda, insiden bacaan doa mengisi perbahasan dasar Tuan Guru Presiden, insiden “boo” oleh para pemerhati (seperti rakaman ucapan pergulungan YB Hanipa Maidin) dan lain-lain.

Kader-kader Jemaah Islam (atau pun sering disebut sebagai abna’ al-harakah) adalah sepatutnya menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat marhaen berkenaan dengan akhlaq seorang muslim. Saya melihat inilah yang pernah ditekankan oleh Suhaizan Kayat (mafhumnya); kader-kader PAS hendaklah menjadi seperti kitab yang terbuka. Walau di mana mereka berada, masyarakat akan merujuk mereka.

Yang jelas, yang paling mudah, adalah untuk merujuk akhlaq seorang anak gerakan. Saya gagal mencari akhlaq (pada fahaman saya) yang membolehkan saya ikuti kecuali akhlaq-akhlaq mereka yang dilabel “tidak jelas fikrah”, “anwarinas”, “erdogan” dan lain-lain yang mungkin saya terlepas pandang sewaktu berbahas ataupun membuat ucapan pergulungan (manakan tidak, banyak sungguh label kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian sesetengah pak ustaz).

Di samping itu, saya juga kehairanan atas tiga perkara yang ingin saya fokuskan di sini – Munafik Haraki, Ibrah Perang Tabuk, perbahasan Muktamar.

Yang pertama adalah insiden terkutuk penyebaran whatsapp AJK Pas Pusat. Penyebaran itu bukan sahaja meyakinkan kita bahawasanya seorang yang menggelarkan mereka pejuang Islam tidak sewajarnya menyebarkan isi perbincangan bahkan betapa pentingnya mereka untuk berakhlaq islami. Tidak ada perkataan yang menghiris hati. Tidak ada sebarang niat mungkir janji. Kisah printscreen ini bukanlah satu taktik baru kerana sebelumnya beberapa printscreen yang lain telah dimuatnaik di Facebook. Malangnya tindakan tersebut tidak dikecam kerana yang menjadi mangsa bukan orang kita.

Insiden inilah yang menjadi inti kepada label Munafik Haraki yang diambil ibrahnya daripada kecaman Umar al-Khattab radiyallahu anhu kepada Hatib bin Abi  Balta’ah radiyallahu anhu kerana membocorkan strategi tentera Islam pada waktu ketika itu. Malangnya, ibrahnya hanya dikutip sampai di situ. Teguran Rasulullah SAW kepada Umar yang menyebut sesungguhnya Hatib itu pejuang Badar tidak pula diambil pengajaran oleh mereka. (Mereka melihat teguran Rasulullah SAW tidak menafikan label munafik yang dibuat oleh Umar).

Bagaimana agaknya perasaan kekasih yang dicinta, Rasulullah Muhammad SAW sekiranya berada di hadapan kita melihat akhlaq songsang (pada fahaman saya) ini diterima sebagai suatu yang halal dalam agama? (rujuk: mengambil ibrah yang tidak lengkap dan cepat memberi label kepada manusia yang lainnya).

Cerita bersambung dengan penuh rencam. Seterusnya bertebaran pula ibrah Perang Tabuk ekoran ijtihad fardhi yang diambil oleh YB Abu Urwah dan YB Hasnul baharuddin. Saya pada prinsipnya langsung tidak bersetuju dengan ijtihad fardhi yang dibuat oleh kedua-dua Adun tersebut. Itu bukanlah akhlaq orang yang berbai’ah. Bukan juga akhlaq mereka yang mewaqafkan diri mereka kepada Jemaah.

Ibrah tersebut merujuk bahawasanya Perang Tabuk adalah garisan persempadanan keimanan – antara takwa dan munafik. Kecuaian Ka’ab bin Malik dan sahabat-sahabat yang lain radiyallahu anhum telah menyebabkan mereka terlepas untuk turut sama dalam Perang Tabuk. Ekoran itu, ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Rasulullah SAW. Hukumannya cukup memeritkan.

Sirah mencatatkan mereka dipulau sesungguh-sungguhnya sehinggalah Rasulullah SAW mengumumkan bahawasanya taubat mereka telah diterima. Utusan Rasulullah SAW menyebut bergembiralah, wahai Ka’ab. Dalam konteks ini saya melihat bahawasanya pulauan itu dibuat bukanlah dengan niat membenci sebaliknya dengan penuh terpaksa, taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya. Begitulah sifat hukuman pasca Perang Tabuk.

Namun demikian, sebarang bentuk hukuman yang tidak berakhlaq itu bukanlah ibrah daripada Perang Tabuk. Itu tidak lain tidak bukan adalah cetusan emosi yang tidak dapat dibendung, tidak dikawal oleh iman. IttaquLlah. Zuhudlah dalam berhujah. Zuhudlah dalam membenarkan hujah. Zuhudlah, dalam apa jua keadaan. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta. Menghukumlah dengan bait-bait doa. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta, bukan mengangkat hina.

Yang terakhir dalam introspeksi ini adalah merujuk kepada perbahasan sepanjang muktamar. Dari sudut teknikalnya, wakil-wakil setiap negeri gagal membedakan apa itu perbahasan ucapan dasar TG Presiden dengan medan melepaskan geram, medan meluahkan rasa. Tidak selayaknya diangkat perbahasan yang sekadar memetik satu dua poin ucapan dasar lalu mengulasnya dengan unjuran ke belakang.

Kader-kader PAS seharusnya sedar bahawasanya untuk mereka terus kekal relevan sebagai pendakwah politik, muhasabah itu sentiasa perlu, tetapi bukan sewaktu perbahasan ucapan dasar. Perbahasan adalah medan berbahas inti ucapan, bukan batang tubuh TG Presiden. Apatah lagi membaca doa yang melebihi masa yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Cadangan kepada poin ucapan dasar harus dibuat sebagai tanda mereka menyokong ucapan dasar. Hujjah penolakan yang bersifat rasional harus dikemukakan sekiranya ada wakil negeri yang tidak bersetuju dengan poin-poin ucapan dasar.

Wakil-wakil perlu sedar, tidak dinamakan menyokong kalau sekadar menutup ucapan perbahasan dasar dengan lafaz, “perwakilan yang sekian-sekian menyokong ucapan dasar TG Presiden”. Pada lafaznya mungkin ya, tetapi lafaz yang sia-sia dalam konteks perbahasan ucapan dasar. Lafaz yang tidak terungkap melalui buah fikir yang bernas!

Saya cukup khuatir sekiranya hanya inilah kualiti – sebuah parti dari sudut politiknya, sebuah jamaah dari sudut yang lainnya – yang melaungkan keinginan untuk menggantikan UMNO selaku pentadbir Malaysia. Jujur saya katakan saya lebih menyokong untuk memantapkan atau mengubah kebobrokan itu melalui jalan yang sedia ada iaitu meng-islah-kan Barisan Nasional sekiranya inilah jalan ceritanya, walaupun, sejarah telah mencoretkan Anwar Ibrahim tersungkur di Penjara Kemunting, mufaraqah sudah al-fadhil Ustaz Nakhai’e dan syahidnya Ibrahim Libya si pejuang Mamali.

Walaupun sering ditekankan bahawasanya mengubah kerosakan (yang dibuat oeleh UMNO-Barisan Nasional) itu adalah seperti menggonyoh kuali hitam, biarlah kita lelah menggonyohnya sampai hilang hitam legam itu. Apakan daya, kita tidak mampu membeli kuali baru. Kalaupun beli, belum tentu boleh kita menggoreng dengan elok. Apa guna kuali baru, kalau menggoreng pun melekat-lekat! Isinya tak masak elok. Presentasinya pula sungguhlah teruk.

Namun demikian, seperti bisik saya kepada cermin, jangan pernah putus asa. Jalan juang ini tidak pernah senang. Fasbir Sabran Jamila. Berapa banyak kisah nabi-nabi yang lelahnya tetap berdakwah kepada ummat untuk menyampaikan risalah tauhid, kemudian kita membaca kisah-kisah itu untuk merasa lemah. Ingat, piala kemenangan itu bukan untuk dijulang di kehidupan yang ini!

Berjuang bukanlah semata-mata untuk melihat hidup senang pada hayat kita tetapi biarlah perjuangan ini adalah pencetus kepada kebahagiaan walaupun entah di mana pengakhiran perjuangan (kebahagiaan yang ingin dicapai) ini. Pengakhiran yang baik tidak mungkin pada logik akalnya tidak pernah bermula. Seperti mana pembukaan Kota Constantinople bermula pada Perang Khandak, begitulah perjuangan ini. Bermula dengan kesungguhan kita untuk mengubah dan kesabaran menghadapi lelahnya ujian.

Masa depan PAS akan cerah sekiranya tekad pemuda tak pernah pudar. Seperti mana kematangan Dewan Muslimat PAS sewaktu muktamar mereka. Membincangkan isu-isu nasional yang berkait dengan rakyat. Mungkin kasih sayang para ibu yang tidak sanggup melihat anak-anak mereka menderita. Nah, siapa kata muslimat tidak boleh menjadi pemimpin kalau inilah kematangan yang ditunjukkan oleh mereka. Dari sudut kemampuannya pula kita nilai setelah mereka melaksanakan tugas mereka. Majulah YB Kak Lah untuk Perdana Menteri Malaysia!







Sunday, 26 January 2014

Pemergian Murabbi Ummah

karya Zulqarnain

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selawat dan salam kepada junjungan besar lagi mulia, Muhammad sallalahualaihi wasallam.

Langit mendung seketika hari ini merelakan pemergian seorang lagi murabbi ummah, allahyarham al-fadhil Tuan Guru Harun Taib. Al-Fatihah.

Kepada ahli keluarga al-fadhil Tuan Guru, takziah dan diucapkan. Inna lillahi wa inna ilaihiraa ji’un. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

Alhamdulillah, kita panjat syukur kepada Allah ‘Azza wa Jalla kerana memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama dengan al-fadhil Tuan Guru dan melepaskan Tuan Guru daripada derita dan ujian dunia.

Pemergian Tuan Guru yang juga merupakan Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat adalah satu kerugian yang besar kepada masyarakat. Namun, seperti akan mengetahui dan menyedari bahawa dunia hanya persinggahan semata, Tuan Guru telah banyak menulis untuk meninggalkan tinta-tinta ‘ilmu kepada masyarakat. Semoga banyak manfaatnya kepada semua.

Pemergian Tuan Guru memberi ingat kepada kita bahawa kita hamba-Nya yang hina pasti akan dipanggil bilamasa sahaja. Justeru, pedoman dan pengajaran untuk kita adalah apakah bekal kita sudah melayakkan kita untuk mengemis belas kasih Allah ‘Azza wa Jalla untuk ditempatkan bersama-sama dengan yang dicintai Muhammad sallalahualaihi wasallam dan orang-orang yang beriman lainnya?


Pemergian Tuan Guru juga pada satu sudut sepatutnya menjadi pembakar semangat kepada abnaul harakah khususnya yang telah mewakafkan diri kepada perjuangan Islam secara amnya dan PAS khususnya. Pendokong perjuangan ini perlu mula mengambil ingat bahawa secara logiknya satu demi satu murabbi ummah akan pergi menyahut seruan yang Esa dan secara logiknya, merekalah yang akan mengambil amanah dan tanggungjawab yang ditinggalkan.

Oleh yang demikian, pendokong jamaah PAS semua secara hukumnya, wajib haraki, untuk menggali sedalam-dalamnya khazanah ‘ilmu Allah ‘Azza wa Jalla dan menyampaikannya kepada masyarakat untuk mendekatkan lagi mereka kepada kehidupan Islam yang sebenar.

Kepada semua pembaca, solat ghaiblah walau di mana jua anda berada. Semoga allahyarham al-fadhil Tuan Guru Harun Taib rahimallahu ta’ala ditempat dalam kalangan orang-orang yang diangkat darjatnya.

Menulislah buat pedoman ummah. Menulislah agar pedoman dan pengajaran kekal dalam lipatan sejarah.

Akhirul kalam, sekali lagi takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga allahyarham Tuan Guru rahimallahu ta’ala. Al-Fatihah.


Wallahua’lam.

Friday, 13 September 2013

Manusia Melayu Islam

karya Zulqarnain


i. Pendahuluan


“Bila kita lihat manusia terbiar larat,
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat,
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas,
Harus kita tegas sembah seluruh sara belas.”



Kita Ini Tetamu Senja, A. Samad Said (rangkap 4)

ii. Kisah Besi Putih



Gambar hiasan. Diambil dari 'Walk of Life' oleh fotografer Che Ahmad Azhar



Sambil menelaah karya Faisal Tehrani – Tuhan Manusia, saya sempat memerhatikan gelagat pemuda pemudi kota. Seperti kebiasaan hujung-hujung minggu, warga kota mengambil peluang ke Jalan TAR, SOGO, KLCC dan bermacam lagi.

Mata terlekat seketika pada helaian kertas putih itu tatkala membaca perenggan ini -



“Mereka rasa lebih moden, lebih progresif. Islam pula selama ini pun telah dimomokkan sebagai agama konservatif, ortodoks, mengekang hak asasi, anti kemajuan dan pembangunan, dan tak kurang pula yang mengaitkan Islam dengan terorisme.


Saya memejam mata, menghela nafas dan mendengar suaranya begitu dekat di telinga saya, “Institusi keluarga Melayu telah runtuh, nilai tradisionalnya telah digantikan dengan nilai sekular. Rempuhan globalisasi pula mengancam kepupusan kita.”” (Tuhan Manusia, pg 24)



Saya tergamam. Tembakannya tepat kena pada jiwa. Lalu saya memerhati gelagat warga kota di sekeliling. Apakah sekadar telahan semata-mata atau pun adalah benar perkara itu wujud dalam kalangan masyarakat kita, umumnya Melayu-Islam.


Saya memerhati jauh dari ekor besi putih – yang kadangkalanya menjadi kepala, Anak-anak muda mengambil tempat duduk yang dikhaskan kepada golongan yang memerlukan. Saya memerhati lagi, warga tua berdiri memenuhi segenap ruang besi putih.

Kita tidak sekadar diserang pelbagai sudut oleh isme-isme malah hancurnya sopan santun budi bahasa. Melayu yang dimomokkan hanya tinggal nama. Melayu yang dipertahankan bagi melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Kini tiada lagi Melayu yang benar-benar Melayu. Melayu yang tikamnya dengan pantun. Tegurnya penuh sopan santun.

Setelah dinilai ditimbang menggunakan sukatan Islam, Melayu masa kini ternyata telah kurang nilai adab dan nilai akhlak. Nilai-nilai yang diasimilasikan cantik molek dengan budaya masharakat Melayu. Tuhan Manusia yang ditulis pada lewat 2007 itu menduga dengan tepat sekali. Lantaran demikian, ad-deen yang dianjurkan oleh Islam hilang praktiknya dalam masharakat.

Islam dilihat seolah-olah terhad pada agama yang dirujuk pada kad pengenalan diri. Islam terhad pada sambutan Maulidur Rasul. Islam terhad pada kalimah Allah. Islam terhad pada cuti-cuti umum (perayaan). Islam terhad pada solat, zakat dan haji. Kesilapan hanya mampu didiamkan daripada terus menjadi buah mulut masharakat dengan pergi umrah berkali-kali. Umrah yang tidak ada kesan pada diri.


Gambar Hiasan


Lantas Islam dipersalahkan kerna praktik yang tidak kena oleh penganutnya. Penganut yang memilih-milih Islam mana yang mahu dijadikan praktik diri.

“Bila kita lihat manusia lupa tempat,
Atau segera sesat puja pangkat puja darjat,
Segera kita insaf—kita punya kiblat,
Segera kita ingat— kita punya tekad.”

Kita Ini Tetamu Senja, A. Samad Said (rangkap 3)


iii. Manusia dan Budaya.


Setiap manusia itu fizikalnya sama. Punya dua mata, dua telinga, dua tangan dan dua kaki. Persoalannya, kenapa mereka tidak sama? Perbandingan antara fizikal dan juga gaya hidup mereka. Fizikal manusia itu sama tetapi yang membezakan mereka ialah gaya hidup. Bagaimana mereka menghidupkan kehidupan?

Manusia akan dididik sejak kecil oleh budaya setempat. Andai baik budaya itu, maka baiklah generasi harapan. Andai buruk budaya itu, maka gelaplah masa depan. Hang Tuah terkenal dengan; “Takkan Melayu hilang di dunia.” Ya benar, Melayu tidak akan hilang di dunia. Tetapi Melayu hanya akan tinggal pada nama. Melayu yang telah hilang budaya mereka.

Menelusuri budaya masharakat Melayu, kita boleh bersetuju bahawa Melayu pasca globalisasi mempunyai krisis identiti yang sangat membimbangkan. Jika dahulunya aktiviti sosial seperti clubbing adalah budaya masharakat barat namun pada masa kini, budaya itu dilihat sebagai budaya dunia, budaya gloabalisasi dan masharakat Melayu antara masharakat yang terjebak dengan gejala ini.

Oleh yang demikian, kita mahu tidak mahu boleh bersetuju bahawa gejala-gejala yang tidak sihat ini adalah antara punca (selain daripada sikap masharakat setempat, sistem pendidikan et al) kenapa masharakat masa kini dibelenggu dengan masalah-masalah seperti kelahiran anak luar nikah, rogol, kes-kes kecurian dan lain-lain lagi.

Harus kita segera ingat, kita pegang erat-erat, jangan kita lepas, jangan kita mahu terlalu bebas— Islam datang sebagai solusi, jangan kita memilih Islam mana yang mahu dipakai pada diri.

Perkara-perkata seperti kesedaran sivik juga masih rendah dalam masharakat kita walaupun Pengajian Sivik telah pun diperkenalkan dalam silibus pengajian hampir 8 tahun yang lalu.  8 tahun yang tiada kesan pada masharakat, malah hari ke hari semakin melarat.

Ke mana mahu kita tuding jari lagi?



Permasalahan-permasalahan ini sekiranya tidak segera diubat, nescaya makin liat untuk dikerja buat. Masharakat yang sedar (kaum muda utamanya) perlu melihat masalah ini adalah masalah mereka. Masalah yang perlu difikirkan dan diusahakan jalan penyelesaiannya bersama-sama.


Saya percaya kerja buat ini memakan masa, tetapi jika bukan kita alamaknya mungkin hilang ‘lah asal identiti diri. Masharakat perlu diajak untuk kembali kepada asal jalan kehidupan dan teman-teman sekeliling, rakan-rakan sebaya—adalah sasaran kita yang pertama. Perubahan itu mesti demi anak-anak kita. Masa depan mereka tidak boleh dibiarkan selamanya kelam. Perlu ada mentari untuk menunjuk jalan dan siapa lagi mahu menjadi mentari itu kalau bukan kita sendiri.

“Kalau hidup ingin merdeka,
Tiada tercapai hanya berkata,
Ke muka maju sekata, maju kita,

Melemparkan jauh jiwa hamba.”

Jiwa Hamba, Usman Awang (rangkap 3)

Gambar Hiasan

iv. Penutup



“Celakalah saya makilah saya,

Akan ku sambut bertahan hati,
Ada yang suka ada yang benci,
Hiasan hidup di alam maya.”

Nikmat Hidup, HAMKA (rangkap akhir)



Thursday, 15 August 2013

Surat Untuk Ayyas

Oleh Zulqarnain

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Sebuah motivasi bagi mereka yang bergelar ansarullah.

Tidak seperti hari-hari biasa yang dilaluinya, hari ini Ayyas bersiap lebih awal dari kebiasaan untuk ke kelas. Entah kenapa hatinya cukup resah selepas mimpi yang dia alami semalam. Cukup menyentuh hati hingga dia terbangun dari tidurnya . Serta merta dia menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim di awal pagi.

******
Jam berdetik menunjukkan angka dua belas tengah hari. Empat jam non-stop lecture hari ini, sedikit sebanyak memenatkan otak yang masih ligat berfikir cuba mengingati kembali tajuk-tajuk penting.”Masih ada satu kelas lagi sebentar lagi, bertahan Ayyas!”, bisik hati kecilnya. Berehat sebentar di perpustakaan universiti sebelum meneruskan kelas jam satu petang nanti. Seperti biasa, dia mengeluarkan telefon bimbit dari beg sambil disambung headphone ke telinganya.


Di mana mujahid,
Yang cintakan keamanan,
Kembalikan nafas jihad,
Semarakkan kesedaran ummah.

Keamanan mekar segar,bersendikan pohon iman
Ayuh sedia wahai pejuang jika mahu ambil pengajaran


Sejak akhir-akhir ini, lirikan lagu ini sungguh menyuntik semangat Ayyas. Dia sememangnya meminati lapangan nasyid sebagai salah satu hiburan yang dibenarkan dalam Islam. Seketika kemudian, Ayyas terus log in ke akaun facebook bagi mengetahui berita-berita terbaru.

Tidak semena-mena Ayyas terkejut dan bibirnya pantas mengucap, “Allahuakbar!”. Terduduk dia menerima berita dari Bumi Kinanah. Kezaliman kudeta As-Sisi & jenteranya, membaham rakus rakyat yang tidak bersalah, seakan-akan dahagakan darah manusia.





Ayyas teringatkan sahabatnya di sana. “ Ziyad..”, bisik hati kecilnya. Lantas Ayyas menghantar satu private message di laman sosial facebook. “Harap-harap internet masih bernyawa di sana”, kata Ayyas dengan penuh harapan agar dia dapat menghubungi Ziyad.


Assalamua’laikum wbt Ziyad sahabatku,
Di saat ini, aku begitu terkejut menerima perkhabaran dari Bumi Mesir.Melihat gambar-gambar para syuhada’ yang ditembak & mayat bergelimpangan.Mana mungkin aku masih masih mampu bersabar mendengar dan melihat kezaliman boneka Israel Laknatullah. Sungguh aku mengharapkan ini semua adalah satu mimpi ngeri. Aku teringin sekali bangun dari tidur yang panjang & terjaga dari mimpi yang buruk ini. Aku perlu bergegas. Sampaikan padaku suatu berita tentang keadaan engkau dan saudara seakidah kita disana. Doa dari sini sentiasa aku titipkan untuk Mesir, in shaa Allah.

Wassalam,
Ayyas

******

Jam hampir ke pukul satu petang. Ayyas tidak tenang sama sekali, selagi Ziyad tidak membalas pertanyaan khabarnya. “Lepas kelas, in shaa Allah mungkin Ziyad akan balas”, bisik hati kecilnya, cuba menenangkan hati. Tepat jam dua setengah petang, Ayyas bergegas keluar dari kelas dan berlari mendapatkan cab uni untuk pulang ke rumah. Di dalam perjalannya, tanpa disangka-sangka radio menyiarkan berita di Kaherah,Mesir.

“The Health ministry has put the figure at 56 people killed and this number expected to increase today in two Cairo protest camps set up by supporters of Egypt’s ousted president Mohamed Morsi.”




Pedih hati mendengar perkhabaran dari sana. Sebaik sahaja sampai di rumah, Ayyas terus mengetuk papan kekunci laptopnya untuk mengetahui keadaan semasa. “Alhamdulillah, Ziyad dah reply”.



Assalamu’alaikum wbt buat sahabatku Ayyas yang jauh di sana,
semoga keadaanmu jauh lebih baik berbanding kami disini.
Fi Amanillah untuk kita semua yang jauh & dekat.


Ayyas,
Benar engkau tidak tidur.
Benar, engkau tidak bermimpi.
Jauh sekali ini bukan fantasi.


Engkau melihat perkara yang benar, yakni kezaliman semakin menggila saat ini.
Andai engkau yang jauh masih terkejut menerima berita ini, apatah lagi kami yang tinggal begitu hampir di dua dataran suci ini.


Ayyas,
kamu tahu apa yang aku sedang lakukan? Aku menangis
Aku menangis bukan kerana takut dengan peluru hidup yang tidak mengenal mangsa.
Aku menangis melihat kerakusan binatang bertopengkan manusia dan bergelar boneka.
Aku menangis, kerana saat ini, saat aku mengetuk papan kekunci ini, aku melihat dengan mata kepalaku sendiri, begitu ramai para syuhada’ di hadapan kediamanku.
Aku menangis, kerana wanita, anak kecil dan warga tua ditembak tanpa ada perikemanusiaan.



Aku menangis wahai Ayyas, kerana aku melihat darah manusia menghiasi permukaan jalan-jalan disini. Darah itu darah suci. Darah para huffaz. Darah para ulama’.
Aku menangis wahai sahabat, kerana saat ini aku begitu rindukan Rasullulah SAW
Entah kenapa saat ini rindu pada Baginda menggunung tinggi.Terlalu rindu.
Aku menggambarkan Baginda bersama-sama dalam pertempuran ini.
Seperti mana peperangan pertama umat Islam Badar Kubra.
Menyuntik semangat melawan kejahatan.


Namun, disebalik tangis ini, aku kagum melihat rakyat di sini.
Andai engkau tahu Ayyas, aku belajar erti sebenar tarbiyyah di sini.
Baru aku faham, erti tarbiyyah dari pengorbanan rakyat di sini.
Sama sekali tarbiyyah yang kita belajar dari kulit ke kulit buku itu hanya sedikit.
Bila mana laungan syahid itu bergema, engkau akan merasa seakan-akan sirah yang engkau pelajari selama ini dari kitab-kitab, benar-benar di alam nyata.
Laungan takbir membelah alam & menjadi benteng tembakan rambang dari seluruh arah.


Sebenar-benar perjuangan adalah perjuangan jihad & syahid, Ayyas.
Tidak sekali-kali Yahudi akan melepaskan umat Islam selagi mana, kita masih berpegang teguh dengan Al-Qur’an & ajaran Islam.Selagi mana kita tidak tunduk pada telunjuk mereka.
Engkau tahu Ayyas, rakyat yang menentang penggulingan ini, hanya bersenjatakan Al-Qur’an. Biarpun ratusan nyawa sebagai galang gantinya, Al-Qur’an masih dan akan tetap ada.
Itu janji Allah.Kalamullah akan tetap tertegak dengan izin dan kuasaNya.


Wahai sahabat yang sangat aku sayangi,
Umat Islam akan tetap ditindas selagi mana, kita sendiri masih belum keluar dari kepompong jahiliyyah & zon selesa yang kita cipta sendiri. Mana mungkin perjuangan itu mudah andai syurga itu mahal? Selama ini aku begitu takut & gerun untuk mengucapkan kalimah ‘syahid’ dan ‘jihad’ kerana aku sendiri masih banyak yang perlu diperbaiki.


Namun, sampai kapan kita mahu duduk di takuk lama?
Sampai kapan kita hanya mampu melihat keadaan umat Islam sejagat?
Sampai kapan, kita hanya mampu bercakap berdasarkan fakta, tanpa ada implementasi?
Sampai kapan kita mahu bergantung pada yang lain ?
Sekalipun terpaksa menjual agama?


Sampai saat kita pula tiba?


Aku tidak hairan dengan kekuatan rakyat Mesir disini,
Aku tidak hairan semangat juang meraka di sini,
As-Syahid Syed Qutub, Zainab Al-Ghazali, As-Syahid Hassan Al-Banna.
Semuanya lahir di tanah ini, tanah Musa & Fir’aun.


Cuma aku khuatir,
Aku khuatir, saat masa kita tiba, kita cabut lari sebelum tembakan dihalakan.
Aku khuatir  saat kita pula, kita futur sebelum gas pemedih mata dilepaskan.
Aku khuatir jika ini berlaku, maka siapa yang akan mengambil tempat sebenar pejuang?
Aku khuatir, kita gagal.


Kita terlalu banyak mencipta alasan.
Terlalu manja dengan tawaran dunia, hingga buta dengan balasan akhirat


Ayyas,
Aku mengingati diriku & dirimu serta semua sahabat & saudara seakidah kita,
Islam hanya satu-satunya cara penyelesaian untuk setiap masalah.
Generasi muda kini, adalah pemangkin & penentu untuk masa hadapan.


Aku sedih melihat masih ada remaja mampu ketawa berdekah-dekah,
melayan perkara-perkara yang jauh dari agama.
Menyanjung barisan artis yang disangka hebat tetapi para ulama’ ditentang kuat?
Zaman apakah ini?Aku yang tertinggal atau mereka yang ketinggalan?
Walhal mereka ini, golongan berpelajaran tinggi.
Golongan bijak pandai tetapi berpaksikan nafsu bukan ajaran Tuhan.


Ayyas,
Masih hangatkah darah perjuangan dalam dirimu?
Jangan sekali-kali putus asa kerana kemenangan akan datang.
Dengan izin Allah.Janji Allah tidak pernah silap dan sentiasa tepat.


Akhir kalam,
Gengamlah kata-kata ini dan sematkan dalam jiwamu,
“Barangsiapa yang membela agama Allah, nescaya Allah akan membelanya (mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian” [Muhammad :7]


Engkau tahu kenapa Mesir begini?
Mengapa rakyatnya bermati-matian mempertahankan tanah ini?
Kerana Mesir, adalah abang sulung negara-negara Islam.


Aku tahu kamu letih dengan apa yang sedang kamu lakukan. Tetapi sedarlah wahai sahabat, seletih-letih kita, letih lagi saudara kita di sini. Namun mereka tidak pernah mengalah. Bertahanlah. Perhebatkan imanmu, teguhkan pendirianmu. Hasbunallah Wani’mal Wakeel.


Hingga ketemu lagi,
andai bukan di sini,
di syurga nanti.
In shaa Allah.

Wallahu ta’ala ‘alam,
Tariq Ziyad,

--------

Ayyas menutup mata rapat-rapat membiarkan linangan air matanya mengalir deras. Janjinya, biarlah ini kali terakhir dia menangis. Selepas ini, tidak mahu lagi ada keluh kesah dalam melakukan kerja-kerja yang harus digalas.

“Sahabat,semoga engkau berjaya, semoga kita berjaya. Islam tetap akan menang. Jika bukan sekarang, akan datang. Allahummansuril Islam Wal Musmiln!”, tekad Ayyas lantas menutup skrin laptop dan bergegas menunaikan solat Maghrib.







Gambar-gambar yang digunakan dalam post ini adalah dari flickr Mosa'aberising. Wartawan yang bertanggungjawab dengan gambar ini adalah antara wartawan yang maut angkara kekejaman pasukan keselamatan Mesir. Moga beliau ditempatkan dalam kalangan para syuhada'. 



Popular Posts