Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Saturday, 27 September 2014

Sekilas Pandang Batu Pahat

Oleh: Zulqarnain


Saya mengambil sedikit kesempatan dalam kekalutan musim submission untuk mengikuti Muktamar PAS yang ke-60 yang diadakan di Batu Pahat, Johor. Muktamar ini pastinya dinanti-nanti oleh seluruh pemerhati politik tanah air untuk melihat lakaran sejarah baru politik Malaysia. Kalaulah boleh kita kiaskan, suka saya ibaratkan Johor sebagai tanah asal bagi UMNO sebelum berkembang ke seluruh Tanah Melayu, seperti mana PAS yang bermula di Gunung Semanggol, Perak tetapi sekadar bertapak di kawasan Pantai Timur Malaysia.

Menceroboh tanah asal adalah mesej yang cukup berani. Boleh jadi terkulai layu. Boleh jadi menangis berlagu (ubah suai peribahasan Melayu; “menangis tak berlagu” yang membawa maksud tangisan kesedihan).

Pada awalnya saya melihat muktamar PAS (yang juga pembangkang setia tanah air) di Batu Pahat adalah kesediaan PAS untuk menggantikan UMNO selaku pengatur politik Malaysia. General hyphotesis-nya benar. Muktamar di Batu Pahat Johor adalah strategi politik PAS untuk menggantikan label UMNO kepada label PAS. Ibarat botol budu, sekadar ditukar pembalut, isinya tetap sama. (Maafkan saya orang Kelantan. Saya tidak membenci budu).

Hal ini demikian kerana kisah-kisah Muktamar PAS seawal Muktamar Pemuda PAS Malaysia hinggalah ke penutup Muktamar PAS Pusat tidak mencerminkan keupayaan PAS untuk menggantikan UMNO dari sudut isinya. Sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang jauh lebih baik. Bermula dengan episod keluar dewan oleh segelintir pemuda, insiden bacaan doa mengisi perbahasan dasar Tuan Guru Presiden, insiden “boo” oleh para pemerhati (seperti rakaman ucapan pergulungan YB Hanipa Maidin) dan lain-lain.

Kader-kader Jemaah Islam (atau pun sering disebut sebagai abna’ al-harakah) adalah sepatutnya menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat marhaen berkenaan dengan akhlaq seorang muslim. Saya melihat inilah yang pernah ditekankan oleh Suhaizan Kayat (mafhumnya); kader-kader PAS hendaklah menjadi seperti kitab yang terbuka. Walau di mana mereka berada, masyarakat akan merujuk mereka.

Yang jelas, yang paling mudah, adalah untuk merujuk akhlaq seorang anak gerakan. Saya gagal mencari akhlaq (pada fahaman saya) yang membolehkan saya ikuti kecuali akhlaq-akhlaq mereka yang dilabel “tidak jelas fikrah”, “anwarinas”, “erdogan” dan lain-lain yang mungkin saya terlepas pandang sewaktu berbahas ataupun membuat ucapan pergulungan (manakan tidak, banyak sungguh label kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian sesetengah pak ustaz).

Di samping itu, saya juga kehairanan atas tiga perkara yang ingin saya fokuskan di sini – Munafik Haraki, Ibrah Perang Tabuk, perbahasan Muktamar.

Yang pertama adalah insiden terkutuk penyebaran whatsapp AJK Pas Pusat. Penyebaran itu bukan sahaja meyakinkan kita bahawasanya seorang yang menggelarkan mereka pejuang Islam tidak sewajarnya menyebarkan isi perbincangan bahkan betapa pentingnya mereka untuk berakhlaq islami. Tidak ada perkataan yang menghiris hati. Tidak ada sebarang niat mungkir janji. Kisah printscreen ini bukanlah satu taktik baru kerana sebelumnya beberapa printscreen yang lain telah dimuatnaik di Facebook. Malangnya tindakan tersebut tidak dikecam kerana yang menjadi mangsa bukan orang kita.

Insiden inilah yang menjadi inti kepada label Munafik Haraki yang diambil ibrahnya daripada kecaman Umar al-Khattab radiyallahu anhu kepada Hatib bin Abi  Balta’ah radiyallahu anhu kerana membocorkan strategi tentera Islam pada waktu ketika itu. Malangnya, ibrahnya hanya dikutip sampai di situ. Teguran Rasulullah SAW kepada Umar yang menyebut sesungguhnya Hatib itu pejuang Badar tidak pula diambil pengajaran oleh mereka. (Mereka melihat teguran Rasulullah SAW tidak menafikan label munafik yang dibuat oleh Umar).

Bagaimana agaknya perasaan kekasih yang dicinta, Rasulullah Muhammad SAW sekiranya berada di hadapan kita melihat akhlaq songsang (pada fahaman saya) ini diterima sebagai suatu yang halal dalam agama? (rujuk: mengambil ibrah yang tidak lengkap dan cepat memberi label kepada manusia yang lainnya).

Cerita bersambung dengan penuh rencam. Seterusnya bertebaran pula ibrah Perang Tabuk ekoran ijtihad fardhi yang diambil oleh YB Abu Urwah dan YB Hasnul baharuddin. Saya pada prinsipnya langsung tidak bersetuju dengan ijtihad fardhi yang dibuat oleh kedua-dua Adun tersebut. Itu bukanlah akhlaq orang yang berbai’ah. Bukan juga akhlaq mereka yang mewaqafkan diri mereka kepada Jemaah.

Ibrah tersebut merujuk bahawasanya Perang Tabuk adalah garisan persempadanan keimanan – antara takwa dan munafik. Kecuaian Ka’ab bin Malik dan sahabat-sahabat yang lain radiyallahu anhum telah menyebabkan mereka terlepas untuk turut sama dalam Perang Tabuk. Ekoran itu, ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Rasulullah SAW. Hukumannya cukup memeritkan.

Sirah mencatatkan mereka dipulau sesungguh-sungguhnya sehinggalah Rasulullah SAW mengumumkan bahawasanya taubat mereka telah diterima. Utusan Rasulullah SAW menyebut bergembiralah, wahai Ka’ab. Dalam konteks ini saya melihat bahawasanya pulauan itu dibuat bukanlah dengan niat membenci sebaliknya dengan penuh terpaksa, taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya. Begitulah sifat hukuman pasca Perang Tabuk.

Namun demikian, sebarang bentuk hukuman yang tidak berakhlaq itu bukanlah ibrah daripada Perang Tabuk. Itu tidak lain tidak bukan adalah cetusan emosi yang tidak dapat dibendung, tidak dikawal oleh iman. IttaquLlah. Zuhudlah dalam berhujah. Zuhudlah dalam membenarkan hujah. Zuhudlah, dalam apa jua keadaan. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta. Menghukumlah dengan bait-bait doa. Menghukumlah dengan penuh rasa cinta, bukan mengangkat hina.

Yang terakhir dalam introspeksi ini adalah merujuk kepada perbahasan sepanjang muktamar. Dari sudut teknikalnya, wakil-wakil setiap negeri gagal membedakan apa itu perbahasan ucapan dasar TG Presiden dengan medan melepaskan geram, medan meluahkan rasa. Tidak selayaknya diangkat perbahasan yang sekadar memetik satu dua poin ucapan dasar lalu mengulasnya dengan unjuran ke belakang.

Kader-kader PAS seharusnya sedar bahawasanya untuk mereka terus kekal relevan sebagai pendakwah politik, muhasabah itu sentiasa perlu, tetapi bukan sewaktu perbahasan ucapan dasar. Perbahasan adalah medan berbahas inti ucapan, bukan batang tubuh TG Presiden. Apatah lagi membaca doa yang melebihi masa yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Cadangan kepada poin ucapan dasar harus dibuat sebagai tanda mereka menyokong ucapan dasar. Hujjah penolakan yang bersifat rasional harus dikemukakan sekiranya ada wakil negeri yang tidak bersetuju dengan poin-poin ucapan dasar.

Wakil-wakil perlu sedar, tidak dinamakan menyokong kalau sekadar menutup ucapan perbahasan dasar dengan lafaz, “perwakilan yang sekian-sekian menyokong ucapan dasar TG Presiden”. Pada lafaznya mungkin ya, tetapi lafaz yang sia-sia dalam konteks perbahasan ucapan dasar. Lafaz yang tidak terungkap melalui buah fikir yang bernas!

Saya cukup khuatir sekiranya hanya inilah kualiti – sebuah parti dari sudut politiknya, sebuah jamaah dari sudut yang lainnya – yang melaungkan keinginan untuk menggantikan UMNO selaku pentadbir Malaysia. Jujur saya katakan saya lebih menyokong untuk memantapkan atau mengubah kebobrokan itu melalui jalan yang sedia ada iaitu meng-islah-kan Barisan Nasional sekiranya inilah jalan ceritanya, walaupun, sejarah telah mencoretkan Anwar Ibrahim tersungkur di Penjara Kemunting, mufaraqah sudah al-fadhil Ustaz Nakhai’e dan syahidnya Ibrahim Libya si pejuang Mamali.

Walaupun sering ditekankan bahawasanya mengubah kerosakan (yang dibuat oeleh UMNO-Barisan Nasional) itu adalah seperti menggonyoh kuali hitam, biarlah kita lelah menggonyohnya sampai hilang hitam legam itu. Apakan daya, kita tidak mampu membeli kuali baru. Kalaupun beli, belum tentu boleh kita menggoreng dengan elok. Apa guna kuali baru, kalau menggoreng pun melekat-lekat! Isinya tak masak elok. Presentasinya pula sungguhlah teruk.

Namun demikian, seperti bisik saya kepada cermin, jangan pernah putus asa. Jalan juang ini tidak pernah senang. Fasbir Sabran Jamila. Berapa banyak kisah nabi-nabi yang lelahnya tetap berdakwah kepada ummat untuk menyampaikan risalah tauhid, kemudian kita membaca kisah-kisah itu untuk merasa lemah. Ingat, piala kemenangan itu bukan untuk dijulang di kehidupan yang ini!

Berjuang bukanlah semata-mata untuk melihat hidup senang pada hayat kita tetapi biarlah perjuangan ini adalah pencetus kepada kebahagiaan walaupun entah di mana pengakhiran perjuangan (kebahagiaan yang ingin dicapai) ini. Pengakhiran yang baik tidak mungkin pada logik akalnya tidak pernah bermula. Seperti mana pembukaan Kota Constantinople bermula pada Perang Khandak, begitulah perjuangan ini. Bermula dengan kesungguhan kita untuk mengubah dan kesabaran menghadapi lelahnya ujian.

Masa depan PAS akan cerah sekiranya tekad pemuda tak pernah pudar. Seperti mana kematangan Dewan Muslimat PAS sewaktu muktamar mereka. Membincangkan isu-isu nasional yang berkait dengan rakyat. Mungkin kasih sayang para ibu yang tidak sanggup melihat anak-anak mereka menderita. Nah, siapa kata muslimat tidak boleh menjadi pemimpin kalau inilah kematangan yang ditunjukkan oleh mereka. Dari sudut kemampuannya pula kita nilai setelah mereka melaksanakan tugas mereka. Majulah YB Kak Lah untuk Perdana Menteri Malaysia!







Monday, 23 December 2013

Kes Rasuah AKP di Turki



Ketua Polis Istanbul (Huseyin Capkin) meninggalkan stesen polis di Istanbul (18 Disember 2013). Gambar dari Reuters/Osman Orsal

Artikel asal karya Kadri Gursel, dari almonitor.com. Boleh dibaca dalam bahasa asal disini.

Dialih bahasa oleh Awan Putih.

Sejak pagi 17 Disember, masyarakat awam di Turki sedang mengalami kejutan gempar berikutan keputusan operasi anti-korupsi yang dijalankan secara besar-besaran, yang secara terus ada perkaitan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dan partinya  Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP). Terdapat tuduhan rasuah yang begitu berat terhadap empat menteri kerajaan yang penting yang juga dikenali sebagai mereka yang rapat dengan perdana menteri. Mereka ini ialah : Erdogan Bayraktar, menteri alam sekitar dan pembandaran; Muammer Guler, menteri dalam negeri, Zafer Caglayan, menteri ekonomi, dan Egemen Bagis, menteri hal ehwal EU.


Anak-anak lelaki kepada tiga menteri pertama disebutkan diatas telahpun ditahan polis pada pagi 17 Disember atas kesalahan merasuah dan menggunakan pengaruh. Pada 19 Disember, mereka disoal oleh pihak polis.



Pada hari yang sama, polis Istanbul melancarkan tiga operasi anti-rasuah yang berlainan dan menahan 52 orang. Di pusat operasi pertama ialah seorang warga Iran berbangsa Azeri yang bernama Reza Zarrab. Menurut maklumat yang dikeluarkan kepada pihak awam, Zarrab aktif dalam menyeludup wang ke Iran melalui Russia dan China. Ianya dikatakan bahawa Zarrab telah menubuhkan saluran-saluran rasuah dengan Guler,Caglayan dan Bagis, samaada secara terus ataupun melalui anak-anak mereka. Zarrab dituduh mengedarkan $63 million duit rasuah kepada menteri-mentari terbabit. Menurut laporan berita, Caglayan dituduh mengambil $51.5 milion dalam rasuah; Guler, $10 milion; dan Bagis,$1.5 milion.


Pada hari 19 Disember, suratkhabar harian Taraf menyiarkan rakaman polis keatas perbualan-perbualan telefon dan pengawasan visual keatas hubungan rasuah Guler dan Bagis.

Di pusat operasi kedua pula ialah Bayraktar, yang bertanggungjawab keatas badan Sosial dan Pentadbiran Perumahan(TOKI). Sebelum menjadi seorang menteri, Bayraktar merupakan pengerusi kepada TOKI yang berkuasa,antaranya mengkoordinasikan pelaburan-pelaburan perumahan negeri. Antara 22 orang yang ditahan berhubung kes ini ialah pemilik-pemilik kepada tiga firma pembinaan yang besar: Ali Agaoglu, Emrullah Turanli, dan Osman Agca. Mereka dikenali sebagai memang rapat dengan kerajaan dan menerima pulangan besar dari kontrak-kontrak TOKI. Abdullah Ogus Bayraktar, anak kepada Menteri Bayraktar, juga antara yang ditahan. Mereka ditahan atas tuduhan aktiviti pembinaan yang haram, serta memberi dan menerima rasuah.


Operasi ketiga adalah terhadap daerah Fatih di Istanbul yang dikawal oleh AKP. 33 orang, diketuai oleh Datuk Bandar Mustafa Demir telahpun ditahan. Antara kesalahan yang sedang disiasat adalah rasuah bernilai jutaan dolar yang ditujukan untuk mendapatkan permit pembinaan untuk sebuah projek yang dapat membahayakan system keretapi bawahlaut Marmaray, yang menghubungkan kawasan Asia dan Eropah bandar Istanbul.



Pendakwa Zekeriya Oz -  yang terkenal di kalangan mereka yang mengikuti penyingkiran pimpinan rejim tentera di Turki - mengkoordinasikan ketiga-tiga siasatan ini. Sebelum ini, Oz merupakan pendakwa dalam percubaan Ergenekon keatas bekas-bekas tentera dan orang awam yang dituduh merancangkan perampasan kuasa, serta kes Odatv, iaitu merupakan sebuah kes terhadap para wartawan yang mensasarkan gerakan Gulen.



Protes rakyat Turki keatas dakwaan rasuah dalam kerajaan AKP



Terdapat dua dimensi kepada operasi 17 Disember yang berjaya dirahsiakan dari kerajaan; pertama, korupsi berleluasa yang benar-benar mencabar kerajaan dan Erdogan; kedua, pendedahan kepada amalan-amalan korup, yang berlaku bukan kerana hasil pendakwa yang berkecuali dan professional, tetapi sebuah manifestasi kepada pergolakan yang dramatik antara parti AKP dan gerakan Gulen.



Namun demikian, korupsi adalah korupsi, dan legitimasi mereka yang melawan korupsi tidak akan dibahaskan. Pergolakan antara AKP dan Gulen adalah perebutan kuasa antara dua kuasa politik yang dahulunya merupakan rakan politik. Sesiapa sahaja pengikut media yang berpengetahuan sudah tentunya senang sahaja membuat kesimpulan ini.



Sejak operasi 17 Disember menjadi publik, pihak media - terutama sekali media yang rapat dengan gerakan Gulen, bersungguh-sungguh melaporkan maklumat siasatan yang sepatutnya dibiarkan tersimpan dari pengetahuan awam. Berlainan pula dengan media yang pro-kerajaan yang tidak melaporkan tuduhan-tuduhan rasuah, mahupun bukti yang telah dijumpai serta bahan-bahan visual yang telahpun diberi kepada pihak media. Media pro-kerajaan sebaliknya menyebarkan dakwaan bahawa operasi tersebut merupakan sebuah konspirasi untuk menumbangkan kerajaan yang dijalankan oleh kumpulan asing.


Pergolakan tidak simetri antara AKP (parti Erdogan) dan gerakan Gulen semakin hari semakin menampakkan perang saudara didalam negara. Ianya seolah-olah tiada pemenang yang akan muncul dari pertarungan ini, maka adalah penting untuk melihat siapa yang akan mendapat kerugian yang lebih besar. Pada saat ini, kerosakan yang paling serius sedang dikenakan terhadap Erdogan dan kerajaannya.


Satu perkara yang boleh dipersoalkan ; Kenapa tiga operasi berbeza ,yang melibatkan suspek berlainan namun semuanya berhubungkait dengan pemerintahan AKP dan korupsi menteri, dijalankan pada hari yang sama?

Jawapannya, dengan realiti Turki, adalah ; Jika dijalankan berasingan, maka dua lagi operasi sudah tentu tidak dapat dijalankan, kerana kerajaan akan terus menghalangnya.

Kerajaan Turki pula tidak lambat dalam campur tangan dalam siasatan-siasatan tersebut. Walaupun kedua-dua pendakwa yang ditugaskan dengan siasata itu tidak meminta banyak perkara, pada 18 Disember, dua lagi pendakwa diletakkan ke kes-kes ini oleh pendakwa raya Istanbul.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan





Satu lagi perkara menarik berlaku dalam institusi polis. Seramai 29 ketua polis ditugaskan semula dari jawatan mereka di Ankara dan Istanbul. Walaunpun kebanyakannya bersetuju bahawa penugasan semula ini merupakan suatu perbuatan untuk menghukum ketua polis yang menyembunyikan operasi itu dari orang atasan mereka,ataupun menyingkirkan polis-polis yang dirasakan rapat dengan gerakan Gulen, ada juga yang mempercayai bahawa tindakan tersebut sebenarnya bertujuan untuk menghalang siasatan lanjut dilakukan.



Kesemua ini menunjukkan percubaan AKP untuk mengawal kerosakan.


Sementara itu, kita boleh membuat catatan mengenai kerosakan-kerosakan yang dibawa oleh kerajaan hasil dari operasi-operasi pada 17 Disember:

Pertama : Hasil dari siasatan-siasatan tersebut, Erdogan dan partinya mengalami kerosakan yang serius dan kehilangan kredibiliti di ambang suatu acara politik yang sangat kritikal, termasuklah pilihanraya lokal pada Mac 2014 dan pilihanraya presiden serta pilihanraya utama pada pertengahan tahun 2015. Ini mungkin boleh menghasilkan kekecewaan dalam kalangan pengundi dan akan mempengaruhi keputusan pilihan raya secara negatif untuk pihak AKP.



Kedua : Kerajaan telah membuatkan orang awam mengesyaki kewibawaannya apabila ia masuk campur dalam siasatan korupsi keatas ahli-ahlinya, walaupun terdapat bukti kukuh. Jika campur tangan ini masih lagi berlaku disaat pilihanraya kecil semakin menghampiri, kehilangan jumlah pengundi akan mencerminkan kehilangan kepercayaan mereka.



Ketiga : Oleh kerana kerajaan tidak dapat menunjukkan menteri-menterinya tidak bersalah dengan bukti yang kukuh, dakwaan terhadap menteri-menteri seakan-akan benar.



Keempat : AKP di Turki telahpun melakukan taboo terbesar di Turki,iaitu taboo korupsi. Sejak tahun 2008, pihak media tidak pernah menyiarkan walaupun satu laporan rasuah yang mungkin akan mengapa-apakan kepentingan kerajaan disebabkan kawalan ketat keatas pihak media oleh kerajaan AKP. Seseorang yang tidak menyedari realit di Turki mungkin akan berfikir bahawa Turki pada pemerintahan AKP sudah tidak ada lagi kes rasuah. Operasi 17 Disember ini, membuktikan sebaliknya. Rasuah amatlah berleluasa di negara ini dan sudah pun mencapai paras yang merbahaya.



Kelima : Berkaitan dengan taboo korupsi, suatu lagi taboo telah berakar melalui kawalan ketat terhadap pihak media. Taboo ini, yang berkenaan dengan hal ehwal perniagaan, pelaburan dan tabiat perbelanjaan keluarga-keluarga parti pemerintah, maka, “taboo keluarga parti pemerintah” turut juga telah dilakukan oleh AKP. *


Keenam : Pemerintahan AKP telah mewujudkan media yang partisan dengan membenarkan surat khabar dan stesen-stesen TV yang mengalami krisis kewangan diambil alih oleh kerajaan kepada kroni-kroni pemilik. Ianya tidak musnah , namun sudah tentu kehilangan kuasa mereka disebabkan siasatan-siasatan ini. Kawalan ketat terhadap media tidak dapat memberhentikan aliran berita mengenai kes rasuah ini. Dalam masa artikel ini disiapkan, Huseyin Capkin, ketua polis Istanbul, dimasukkan kedalam senarai polis-polis yang dibuang dari jawatan mereka.

* AKP merupakan sebuah parti politikal Islam dan berbangga dengan imej mereka yang bersih dan bebas rasuah. Oleh kerana ini, terdapat beberapa taboo dalam pemerintahan AKP yang biasanya dilakukan oleh kerajaan-kerajaan sebelumnya tetapi oleh kerana imej Islamik AKP, orang dan AKP sendiri beranggapan rasuah dan korupsi tidak mempunyai tempat dalam pemerintahan Erdogan. Dengan adanya kes rasuah Disember 17 ini, AKP dilihat seperti telah melakukan dua perkara yang amat bertentangan dengan imej yang dipaparkan, lantas dikatakan sebagai melakukan taboo. (nota pengalih bahasa)






Sunday, 28 July 2013

Kompilasi Tweet dan Gambar dari Tahrir (Penyokong Tentera dan Anti-Morsi) pada 27 July

disediakan oleh Abbas Alias

Semalam Cakna Anak Perantau telah membuat kompilasi tweet dan gambar dari protes pro-Morsi.Pada masa yang sama, terdapat juga sebahagian besar rakyat Mesir berkumpul di Tahrir.  Gambar dari udara menunjukkan beratus ribu rakyat Mesir berkumpul di Dataran Tahrir semalam (27 July 2013) untuk memberikan sokongan kepada Jeneral Al-Sisi. Difahamkan bahawa kesemua media swasta Mesir membatalkan rancangan Ramadan mereka untuk menyiarkan secara langsung keadaan dari Dataran Tahrir, yang sangat berlainan dari Masjid Rabaa(tempat protes pro-Morsi) yang terjadi pertumpahan darah. Gambar-gambar lain dari dataran Tahrir semalam menunjukkan suasana iftar yang sungguh festive, dengan pihak polis bergaul mesra dengan para penyokong tentera, serta turut mengagihkan minuman apabila tiba waktu berbuka puasa.





Raywa Rageh merupakan wartawan Al Jazeera yang membuat liputan dari Dataran Tahrir.




Menteri Dalam Negara Mesir mengeluarkan pernyataan meminta para penyokong Morsi untuk meninggalkan protes mereka di Rabaa(Masjid Rabea al Adawiyah).


Friday, 31 May 2013

Bagaimana untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya

Diolah semula oleh: Durratun Naasihin



Penjelasan ringkas mengenai penipuan pilihan raya untuk mereka yang senantiasa sibuk



Tidak kira sebanyak mana undian yang telah dibuat, tetapi undian yang benar-benar diambil kira - sepatutnya - adalah bilangan undian pada hari pengundian itu sendiri. Maka untuk nasihat bagaimana melakukan penipuan yang kompleks, tentunya adalah sesuatu yang tidak sesuai. Umpamanya sekiranya anda pergi untuk memukul pengundi parti lawan, atau menyorok peti undi atau menambah peti undi untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya, adalah amat tidak sesuai kerana pasti dan pasti ada seseorang akan mengadu kepada pihak yang bertanggungjawab. Hal ini akan membangkitkan kemarahan orang ramai sekaligus merosakkan reputasi dan nama baik anda.

Anda boleh memanipulasi undian melalui cara yang lebih radikal, seperti yang tercatat dalam artikel ini (klik sini ), tetapi kami ingin menawarkan alternatif bagaimana menjalankan pilihanraya yang tampak elok secara zahir tetapi masih lagi mampu menjamin keputusan yang anda inginkan. Malah --kami yakin-- tiada siapa akan membantah ketelusannya. Syaratnya cuma anda perlu mematuhi peraturan pilihanraya--yang anda sendiri merangka segala peraturannya terlebih dahulu.
Pertama sekali , kita mulakan dengan televison. Ini kerana, kebanyakan pengundi (terutamanya golongan miskin serta mempunyai tahap pendidikan yang rendah) akan memperoleh kebanyakan berita daripada television. Jangan terlalu menekan atau mendominasi stesyen television secara melampau -- malah ini hanya membuatkan anda kelihatan lemah. Sebaliknya, benarkan sedikit sebanyak ruang untuk parti lawan untuk keluar television. Sekurangnya 10 minit masa siaran sepanjang 2 minggu berkempen.Kelebihannya, anda akan mempunyai kesedaran mengenai apa yang berlaku, tahu mengenai manifesto-manifesto dan isu-isu yang dimainkan parti lawan.Malah Anda boleh menggembleng tenaga selepas dari itu untuk menjawab atau membidas kembali parti lawan. 


(Petikan akhbar Sinar Harian)
Rais Yatim: Tempoh siaran 10 minit manifesto di RTM hanya sekali
(untuk sepanjang tempoh berkempen iaitu selama 2 minggu?)

Kembali semula kepada perbincangan, pastikan anda juga mempunyai proksi yang akan mengawal siaran television arus perdana. Saluran television ini akan melaporkan segala kejayaan anda, dan mempersembahkan imej anda sebagai seorang negarawan, dan mungkin juga menggambarkan betapa maskulinnya anda kerana menggemari sukan lasak, disamping menggambarkan anda juga seorang yang prihatin kerana menggemari kerja-kerja kemasyarakatan.


Menteri berjiwa rakyat :)
Ini semua bakal menjadikan anda mengecapi populariti yang dominan dalam kalangan pengundi. Oh, jangan lupa satu lagi perkara, jentera propaganda anda juga perlu menonjolkan parti lawan mempunyai kaitan dengan kuasa luar, buatlah seolah mereka ini seakan pengkhianat mahupun seperti orang asing. Anda juga perlu memainkan sebarang isu yang mampu memecahbelahkan mereka, yang membuatkan mereka bertegang leher.Jangan lupa juga untuk mendedahkan kelemahan peribadi lawan anda (bagi anda pula, sudah tentu ada perlu bijak menyorokkan  aib sendiri, jadikan seolah seperti rahsia dan urusan negara)


Ini akan memudahkan lagi misi dan langkah yang seterusnya. Tak lain dah tak bukan adalah penyempadanan semula (Gerrymandering) iaitulah merupakan satu senjata yang ampuh. Dalam pilihanraya parlimen, kumpulkan pengundi lawan anda di serata tempat yang mana jumlah mereka tidak memberi kesan yang ketara impaknya, manakala pastikan pula taburan pengundi anda banyak terletak dalam kerusi-kerusi marginal. Jika anda tidak mengerti perihal ini, lihatlah bagaimana ini dilakukan di Malaysia. Kemudian, selesaikan urusan daftar pemilih; mithalnya anda mengetatkan kelayakan untuk mendaftar sebagai pengundi agi para pengundi yang telah dikenalpasti tidak menyukai pentadbiran anda. Anda juga boleh mengharapkan undi dari para banduan, para tentera dan lainnya, maka pastikan kesemua mereka ini didaftarkan secara beramai-ramai.
Jangan dilupakan juga bahawa anda juga boleh mengubal undang-undang untuk mengawal segala tindak-tanduk pemimpin ini; Jadikan hidup mereka penuh dengan kesulitan. Ini pastinya akan melelahkan mereka-- dan sekiranya mereka berjaya mengharunginya dengan baik, anda sudah tentu boleh menarik kembali penyertaan mereka daripada menjadi calon. Anda dan parti anda secara tidak langsung akan mengawal keseluruhan jentera kerajaan sebagai keldai tunganggan bagi memudahkan segala kemahuan dan keperluan anda. Dengan sedikit twist, anda bukan sahaja mampu menjinakkan parti lawan dan merubahnya kepada beberapa bentuk/sifat yang anda kehendaki. Anda juga sebenarnya mengalih perhatian pesaing sebenar anda daripada isu yang lebih kritikal.
Benarkan agensi asing atau badan pemerhati bebas dari luar negara untuk memantau proses pengundian . Permudahkan urusan badan-badan yang mesra dengan anda (seperti meraka yang mempunyai idealogi yang sama seperti anda atau pun wakil dari negara yang autokratik) . Badan-badan yang jenis tukang sibuk dari barat pun boleh sahaja dibenarkan, tetapi dengan syarat! Iaitu mereka hanya dibenarkan hadir memantau pada minit-minit akhir hari pengundian, pada waktu yang mana amat suntuk sehingga mereka tidak sempat  untuk mengatur gerak kerja mereka secara teratur. Cemarkan nama baik badan pemerhati pilihan raya tempatan dengan mendakwa mereka menerima dana daripada negara asing atau 'musuh negara' serta bersikap partisan (menyebelahi parti lawan anda!). Anda perlu mencanangkan keputusan kemenangan anda dan betapa telusnya pilihan raya yang telah berjalan: secara tidak langsung ini akan sekaligus dapat menyangkal sebarang aduan dari badan-badan luar negara--yang mana stesyen television tunganggan anda boleh berhujah--mempunyai agenda tertentu untuk menjatuhkan negara anda!


PRU-13 telus, pembangkang perlu terima keputusan

Perkara Mengarut dan tidak masuk akal
Tidak perlu membuang masa banyak masa untuk berkempen. Apa-apa yang sekadar merangkumi himpunan kemenangan yang biasa hanya menampakkan anda sebagai ahli politik yang biasa sahaja. Sebaliknya, anda perlu memperlihatkan diri anda sebagai terlalu sibuk menguruskan hal ehwal negara--dan pastikan diri anda diperlihatkan melakukan hal yang sedemikian dalam stesyen television.

Pada hari pengundian , anda boleh mengagihkan berbagai-bagai makanan percuma dan cenderamata di kawasan-kawasan miskin. Manakala untuk kawasan pengundian yang kurang menunjukkan sokongan kepada anda, anda boleh membuatkan pusat pengundian di tempat itu untuk dibuka lewat tetapi ditutup awal. Sekiranya perlu, anda boleh membekalkan kertas undi yang alang-kepalang. Juga , barisan yang berbanjar-banjar adalah penghalang untuk orang-orang yang sibuk daripada turun mengundi, anda seharusnya memanfaatkan perkara ini.
Sebagai langkah tambahan, anda juga perlu mempertimbangkan cara untuk memalsukan keputusan pilihan raya.Sekiranya negara anda menggunakan sistem undian secara elektronik.Paastikan sistem itu dilaksanakan yang nampak seperti telus tetapi sebenarnya boleh diakses keputusannya,ini merupakan suatu bonus. Sekiranya peti undian digunakan, pastikan peti itu disimpan semalaman di suatu tempat, membolehkan anda menambahkan atau mengurangkan bilangan undian sekiranya perlu. Sekiranya anda ditangkap, anda boleh menuduh si penuduh itu sebagai cuba mencemarkan nama baik anda serta menimbulkan kesangsiaan atas ketelusan anda. Anda boleh juga menuduh mereka sebagai tidak memahami prosedur dan sengaja mencipta isu.

Tiada satu pun daripada apa yang disenaraikan di sini dapat membantu anda mentadbir negara sekiranya anda menang nanti. Namun, siapa yang kata politik ini sesuatu yang mudah? Urusan mentadbir negara sudah tentu berbeza dengan urusan bagaimana untuk menipu pilihan raya. Jadi fikirkan masak-masak sebelum mula untuk menipu.


Artikel ini diolah semula dari artikel asal terbitan The Economist: Weighing the votes yang diterbitkan pada 3 Mac 2013.

Friday, 3 May 2013

Respons kepada video PRU13:Misi Dajjal dan Misi Israel

oleh Awan Putih

Sebuah video yang telah mula disebarkan di laman web ialah sebuah video yang kononnya mengukuhkan lagi dakwaan bahawa apabila Pakatan Rakyat memerintah, Malaysia akan mengiktiraf Israel/ menjalankan hubungan diplomatik dengan Israel.
Penulis mula dapat tahu kewujudan video ini pada 28 April 2013, daripada sebuah page majority Kristian di Facebook yang membincangkan isu politik. Video asalnya yang bertajuk “Malaysia Prophecy from Jerusalem sepanjang 16 minit mendapat respons yang positif dari penganut Kristian yang berada di dalam page tersebut. Positif disini dimaksudkan dengan mengiyakan dan mengaminkan video ini. Secara terus terang, penulis hanya menyaksikan beberapa minit terawal video ini. Ianya hanyalah secara umumnya doa-doa dibuat dari personaliti-personaliti Kristian di Jerusalem yang mendoakan agar keputusan PRU13 ini akan membawa perubahan yang baik bagi hubungan Malaysia-Israel. Bagi yang malas untuk melihat video penuh tersebut tetapi ingin mengetahui apa yang dibincangkan, sila pergi ke sini.
Penulis terus menghantar video ini kepada seorang sahabat melalui inbox FB, sekadar ingin berkongsi. Sahabat penulis memberi amaran bahawa video itu akan menjadi viral dan akan memberi impak yang negatif kepada persepsi masyarakat Islam di Malaysia terhadap Pakatan Rakyat. Penulis mentertawakan sahabat ketika itu, kerana tidak merasakan ianya akan menjadi isu. Kerana memanglah ada terdapat nya perkataan Israel, tetapi ianya hanyalah merupakan doa-doa dari satu kumpulan Kristian yang pro-zionis. Samalah seperti doa-doa yang dibuat oleh ulama-ulama Pas terhadap kemenangan Pakatan Rakyat dan mengaitkannya kepada kebangkitan Islam. Penulis berfikir, barangkali video-video ulama Pas ini di sebarkan kepada orang bukan Islam di Malaysia untuk menakutkan mereka pula. Lawak.
Lagipun, video itu dalam bahasa Inggeris, dan amat panjang dan agak bosan. Masyarakat Melayu kita pula kebanyakannya jarang menonton video Inggeris yang tidak mempunyai sari kata, dan jarang lagi menonton dokumentari-dokumentari yang muziknya seperti satu iklan agensi pelancongan.
Tetapi akhirnya, betul juga jangkaan sahabat itu mengenai video ini. Memanglah video itu tidak menarik kerana muziknya yang tak berapa gempak. Namun, semua ahli konspirasi sejati tahu kalau diletakkan
1) muzik ala-ala The Arrivals,
2) masukkan terma-terma seperti Dajjal, Yakjuj wa Makjuj,
3) memberi sari kata yang tak berapa nak padan,
4) pendekkan minit video
sudah tentu video itu akan laris dan mula dikongsikan oleh sesetengah masyarakat Islam di Malaysia. Maka, muncullah sebuah video yang mengaitkan perkara diatas dengan Dajjal dan Israel dan memainkan lagi isu hubungan malaysia-Israel yang akan terjalin jika PR memerintah.Penulis rasa, kalau penulis ambil video iklan universiti penulis yang mengiklankan pendaftaran untuk semester yang baru, dan masukkan unsur-unsur yang penulis sebutkan tadi, sudah tentu video itu akan laku dan dipercayai sebagai satu agenda Dajal untuk memperdayakan rakyat Malaysia di perantauan.

Baiklah, disini penulis akan cuba men-debunk-kan mitos video ini dan menceraikan video ini dari kaitannya kepada Pakatan Rakyat.
Tujuan asal video ini di buat
“I thank you Lord for your heart of compassion for Malaysia. I thank you Lord for the invasion of your army in this election. I thank you Lord that you gonna stop the enemy in His tracks.”
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi rahmat kepada Malaysia. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana datangnya askar-askar mu didalam pilihan raya ini. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana Kau akan memberhentikan musuh-musuh di jalan-Mu.
“Let Malaysia new government to do the new thing. Let the new government to open their door to Israel and have good connection with Israel.”
“Biarlah kerajaan baru Malaysia membuat satu perkara baru. Biarlah kerajaan baru nanti membuka pintu kepada Israel dan mempunyai perhubungan yang baik dengan Israel.
Dari dua quotes di atas, jelas nampak bahawa tujuan doa-doa mereka didalam video ini adalah untuk mendoakan supaya kerajaan baru Malaysia mengiktiraf Israel dan berbaik-baik dengan Israel.
Err..apakah masalahnya disini? Penulis faham kenapa ianya dikaitkan untuk memburukkan Pakatan Rakyat. Ianya sejajar dengan percubaan kerajaan Barisan Nasional yang cuba menakut-nakutkan penduduk Islam di Malaysia bahawa Anwar ialah seorang yang pro-Israel dan akan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri. Namun penulis kurang faham kenapa sesetengah orang dengan mudah percaya kepada dakwaan ini melalui video sebegini. Ini adalah kerana, tiada dalam video ini disebutkan kaitan mereka dengan Pakatan Rakyat, atau tiada tertulis dalam video tersebut bahawa Pakatan Rakyat meng-endorse video ini. JIkalau lah  ada orang yang terlibat dengan video ini merupakan seorang ahli atau penyokong Pakatan Rakyat, itu merupakan pandangan peribadi mereka.
Kita perlu tahu bahawa di dunia ini, terdapat bermacam-macam kumpulan Kristian. Ada di antaranya yang menentang tindakan rejim Zionis dan berpihak kepada rakyat Palestin. Sebagai contoh, gereja-gereja di Amerika, Ireland dan Afrika Selatan yang secara umum mengecam tindakan Israel dan memulakan aktiviti memboikot produk Israel. Desmond Tutu, seorang biskop Afrika Selatan merupakan seorang tokoh dari gereja Anglican yang mempunyai pandangan sebegini. Terdapat juga kumpulan Kristian yang sebaliknya, iaitu begitu vocal memberi sokongan kepada Israel dan menentang Palestin. Kumpulan-kumpuan sebegini dapat disaksikan dengan banyak sekali di Amerika Syarikat. Contoh pastor yang berpandangan sebegini ialah John Hagee. Ada juga kumpulan gereja Kristian yang neutral atau tidak menyatakan pendirian mereka terhadap isu Israel-Palestine.
Juga ingin diberitahu disini, bahawa dalam kalangan penganut Kristian di Malaysia, terdapat juga mereka yang mempunyai pandangan dan fahaman seperti kumpulan kedua yang penulis nyatakan diatas, iaitu golongan penganut Kristian yang Pro-Israel.
 Adakah mereka ini menjadi ancaman? Penulis berpendapat bahawa ianya merupakan hak setiap orang untuk memilih ideology,fahaman dan pandangan masing-masing. Isu Palestin mungkin merupakan isu nadi umat Islam dimana semua Muslim dijangka akan secara otomatik menyebelahi rakyat Palestin, tapi  janganlah pula kita mahu paksa penganut agama lain ataupun orang bukan Islam untuk mempunyai pendirian yang sama. Disini, apa yang boleh kita lakukan ialah untuk menyebarkan kepekaan terhadap isu Palestin ini kepada mereka,mengatakan bahawa ini bukan khususnya masalah umat Islam, tetapi juga masalah kemanusiaan. Terdapat juga komuniti Kristian di Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis ini.Namun, terpulanglah kepada mereka jika mereka mahu menerimanya atau tidak.
Siapakah disebalik video asal?
Video asal dikeluarkan oleh sebuah gereja yang ditubuhkan di Florida, Amerika Syarikat yang bernama Living Bread International Church. Penulis tidak mahu masuk dengan lebih dalam lagi dengan menceritakan perbezaan teologi dalam agama Kristian(dan penulis bukanlah merupakan seorang yang pakar dalam bidang ini), namun cukuplah untuk memberitahu bahawa gereja ini adalah antara gereja yang tergolong dalam kumpulan yag pro-Israel.
Soalan yang ingin penulis utarakan disini , adakah Malaysia akan betul-betul menjadi rakan Israel apabila bertukar kerajaan nanti seperti amaran yang disebut juga dalam video kedua(PRU MISI DAJAL)?
Ianya mustahil dan disini penulis senarai TIGA sebab utama kenapa.
1. Peratus yang mempunyai pandangan Pro-Israel amat sedikit di Malaysia
Ancaman pengZionisasi Malaysia tidak akan berlaku hanya kerana bertukar kerajaan. Ini kerana peratus penganut Kristian di Malaysia amatlah sedikit, 9 peratus pada Julai 2012 menurut laman ini. Ianya sama juga seperti tuduhan tidak berasas yang mengatakan Negara kita akan mengiktiraf perkahwinan sama jenis jika PR memerintah. Ianya tidak berasas kerana peratus orang yang mengaku homoseksual di Malaysia amatlah sedikit(penulis tidak mempunyai statistic, ianya dibuat berdasarkan keadaan Malaysia yag masih konservatif,dan tidak ramai yang berani mengaku dirinya homoseksual). Ini kerana didalam system demokrasi, sesuatu pindaan terhadap undang-undang hanya dapat dilakukan jika ada sura majoriti yang menyokongnya.
Parlimen Malaysia, sejak dari PRU yang pertama sehinggalah kini, masih mempunyai majoriti wakil yang beragama Islam. Dan juga ingin ditekankan, bahawa tidak semua penganut Kristian yang cakna akan isu Isreal-Palestin merupakan seorang yang pro kepada Israel. Sesuatu yang kita perlu tahu bahwa diskusi Israel Palestin di Malaysia masih lagi terhad kepada masyarakat Islam. Kebanyak masyarakat bukan Islam tidak ambil kisah dengan isu ini. Dan juga ingin dikatakan bahawa wakil-wakil di Parlimen kita yang bukan beragama Islam juga menyebelahi Palestin. Ini dapat dilihat apabila parlimen mengusulkan untuk mengutuk tindakan kerajaan Israel yang menyerang Gaza ,dan kesemua wakil-wakil di Parlimen mengangkat tangan tanda bersetuju dengan usul itu, termasuklah semua wakil DAP .
2. Kerajaan BN memang pun sudah mempunyai hubungan ekonomi dengan Israel
Haih….Ini sangat ironi. Ironi tahap menara KLCC kebanggaan Tun Mahathir. Sudah dibuktikan di beberapa blog bahawa Malaysia mengeksport minyak kelapa sawit kepada Israel. Dan apa yang lagi lucu, dua MP dari DAP telah dihalau dari Parlimen kerana mengutarakan isu ini.
Er Teck-Hwa(note : seorang wakil berbangsa cina,DAP) inginkan Mustapa Mohamed (note : seorang Islam, UMNO)yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa untuk menjelaskan mengenai status hubungan ekonomi antara Malaysia dan Israel. Satu soalan mudah, ya atau tidak. Namun, Speaker Pandikar Amin merasakan soalan itu tidak patut ditanya kerana Mustapa telah pun duduk. Kalaupun begitu, Mustapa Mohamed perlu juga menjelaskan isu itu diluar parlimen, namun, tiada jawapan dari kementeriannya.
Jadi, jika benar orang yang mengatakan kerajaan Malaysia yang diambil oleh PR akan mengiktiraf Israel, dan menakut-nakutkan masyarakat islam di Malaysia dengan tuduhan itu, apa pula pendirian yang perlu masyarakat Islam di Malaysia ambil untuk sebuah kerajaan yang sudahpun menjalankan hubungan ekonomi dengan Israel?
3. Syeikh Yusuf Qaradhawi menyokong Pakatan Rakyat untuk PRU13
Walau bagaimana banyak pun tuduhan yang mengatakan Anwar Ibrahim seorang yang pro-Israel, Syeikh Yusuf Qaradhawi masih lagi menyatakan sokongan kepadanya dan Pakatan Rakyat. Ini boleh disaksikan dari gesaannya kepada rakyat Malaysia untuk mengundi PR. Ingin dinyatakan disini, Sheikh Qaradhawi turut menyebut Parti DAP didalam mesej tersebut.
Kenapa sokongan Syeikh Yusuf Qaradhawi ini penting dalam isu Israel-Palestin? Sudah tentu kerana personaliti ini antara yang paling vokal mengutuk kerajaan Israel ataupun mana-mana yang bersekongkol dengan Israel. Betapa banyak tulisan,ceramah, dan video beliau yang mudah didapati di internet yang memperlihatkannya sebagai seorang ulama Islam yang paling aktif dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Jika tokoh ini pun sudah tanpa ragu menyatakan sokongan kepada PR, ini membuatkan tuduhan yang mengatakan kita akan menjalin hubungan dengan Israel sungguh dangkal dan tidak relevan.
Mungkin mereka boleh mengatakan bahawa Syeikh seorang yang duduk jauh dan tidak tahu mengenai isu politik Malaysia. Maaf, seorang presiden ulama-ulama sedunia bukan kerjanya hanya duduk dan goyang kaki dalam bilik yang berhawa dingin. Personaliti ini disegani bukan kerana jubah, janggut dan kopiah nya, tetapi kerana beliau memang merupakan seorang cendiakawan dan juga seorang komentator sosial, yang sentiasa cakna dengan isu-isu dunia, dan tidak munasabah untuk dia membuat sesuatu pernyataan tanpa benar-benar membuat penyelidikan.
Apa akan jadi jika semua yang penulis katakan adalah salah dan kerajaan Pakatan Rakyat akan mengiktiraf Israel?
Mari kita buat satu situasi hipotetikal.
Jikalau selepas PRU13 , Pakatan Rakyat benar-benar menang dan menguasai Parlimen, jikalau wakil-wakil rakyat yang majoriti nya Islam, terutama yang dari PAS benar-benar juga bersetuju dengan usul untuk mengiktiraf Israel, dan jikalau Agong yang mempunyai kuasa juga bersetuju dengan usul tersebut, dan jikalau dalam masa undang-undang itu didebatkan dan dibincangkan masyarakat Malaysia langsung tidak menyuarakaan bantahan, maka Malaysia pun mengiktiraf Israel. Tony Fernandez dengan cepat membuat promosi penerbangan Air Asia X ke Tel Aviv tiga kali seminggu.
    
Agak mustahil bukan?
Namun begitu, jika situasi hipotetikal ini benar-benar berlaku, maka, kita sebagai rakyat mempunyai tanggung jawab dan kuasa untuk memaksa wakil rakyat kawasan kita untuk membantah keputusan ini dalam masa usul itu diperdebatkan.
Walaupun, jika difikirkan lagi, penulis agak ragu-ragu jika rakyat Malaysia akan secara vokal menyatakan kegusaran mereka, kerana dengan kerajaan yang sedia ada yang sudahpun menyumbang kepada rejim Zionis Israel itu pun kita masih boleh berdiam diri.


Popular Posts