Thursday, 27 June 2013

Apa ada dengan TPPA?

Dialih bahasa oleh: Awan Putih
artikel asal oleh Consumer Association of Penang boleh diakses melalui pautan ini (klik sini)



Walaupun secara zahirnya berkisar mengenai perdagangan, perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) mempunyai kesan yang menjangkau lebih daripada konteks  perdagangan barangan dan perkhidmatan. Ini akan memberi kesan kepada masa depan kesihatan, sosial, ekonomi, politik, sivik, pendidikan dan budaya yang melibatkan 28 juta rakyat Malaysia.
Malaysia pada waktu ini sedang berunding  mengenai TPPA bersama-sama Amerika Syarikat serta 9 buah Negara lain untuk membuka kerjasama ekonomi rantau Asia-Pasifik dan merubah cara kawalan perdagangan dan pelaburan di rantau ini. Negara-negara yang mengambil bahagian dalam perundingan TPPA ini adalah Australia, Brunei, Canada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat, dan Vietnam.
Mereka ingin memeterai dan menandatangani perjanjian ini pada Oktober 2013! Jadi, apa sebenarnya yang bermasalah dengan TPPA?

Membiarkan rakyat di dalam Kesamaran
Rundingan dan teks perjanjian (dokumen  yang digunakan dalam proses rundingan) adalah rahsia, dan kesemua kerajaan TPPA telah bersetuju untuk terus menjaga kerahsiaan teks-teks rundingan tersebut sehingga tempoh empat tahun selepas daripada perjanjian itu ditandatangani secara rasmi.
Ini bermakna, katakanlah mereka menandatangani perjanjian ini pada peghujung tahun 2013, tempoh yang paling awal bagi sekalian rakyat untuk kesemua sebelas negara - yang mana pemimpin mereka menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak diri mereka - boleh menyemak cara rundingan itu dijalankan pada lewat tahun 2017 atau awal 2018(ataupun jika rundingan tersebut gagal).
Seolah-olah mereka memberitahu rakyat Malaysia,” Kami telah menulis perjanjian ini bagi pihak anda. Usah risau, kerana kami telah membuat draf ini dengan mempertimbangkan segala kepentingan dan kebajikan anda. Namun begitu, anda tidak dibenarkan tahu apa yang kami tulis, anda hanya boleh berbuat demikian SELEPAS kami tamat rundingan bagi pihak anda, dan anda tidak boleh tahu bagaimana kami membuat rundingan mengenai isi-isi perjanjian dan bagaimana ianya akan dijalankan, sehinggalah EMPAT TAHUN selepas dikuatkuasakan.”
Mahukah dokumen seperti itu ditandatangani bagi pihak anda? Apakah anda tidak mahu menggunakan hak anda untuk melihat draf dokumen tersebut? Untuk menentang perkara-perkara yang anda rasa tidak berapa menyenangkan? Ataupun menolak perjanjian itu sekaligus, kerana menyalahi kepentingan dan kebajikan anda?


Pelabur-pelabur Asing Boleh Menyaman

Terdapat beberapa cadangan untuk mengenakan sistem Investor-to-State Dispute Settlement (ISDS), yang mana akan membolehkan para pelabur asing untuk menyaman mana-mana kerajaan yang menandatangani TPPA untuk apa-apa jenis tindakan - walaupun tindakan tersebut dilakukan atas alasan untuk melindungi atau mempromosikan pendidikan, kebajikan masyarakat, mahupun alam sekitar - sekiranya tindakan itu dilihat mengancam hak para pelabur.
Pelbagai kes membuktikan bahawa perkara ini tidak mustahil--malah telah pun berlaku :  sebagai contoh, setelah Kanada mengharamkan penggunaan methylcyclopentadienyl manganese tricarbonyl(MMT) kerana wujud kebimbangan mengenai bahaya penggunaannya terhadap masyarakat, kerajaan Kanada telah disaman oleh pembuat MMT tersebut - Ethyl Corporation - di tribunal antarabangsa, dan seterusnya terpaksa membayar wang pampasan kepada syarikat terbabit dan menarik semula pengharaman tersebut. Jumlah pampasan yang paling besar yang diketahui secara umum setakat ini adalah terhadap Ekuador iaitu sebanyak USD 2.4 Billion!
Tambahan lagi, piagam pelaburan akan memberi kuasa yang lebih kepada syarikat-syarikat asing untuk menghiraukan dan mengatasi badan kehakiman dan undang-undang domestik serta sistem parlimen di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan juga pembahagian kuasa yang unik dan bersejarah antara kerajaan persekutuan dan negeri di Malaysia yang telah pun dibangunkan setelah beberapa dekad. Peruntukan yang lain pula boleh mengekang keupayaan kerajaan untuk mengimbangi kepentingan masyarakat dan hak kemanusian terhadap kepentingan syarikat-syarikat swasta.




Ubat-Ubat yang Lebih Mahal
Sebanyak 80% ubat-ubat yang digunakan oleh rakyat Malaysia merupakan ubat-ubatan generik, yang jauh lebih murah dan bersifat mampu-milik berbanding ubat-ubatan yang ‘asli’ dan yang telah dipatenkan. Sebagai contoh, di Malaysia, ubat-ubatan yang dipatenkan boleh menjadi 1055% lebih mahal dari ubat-ubatan generik yang sama sifatnya. Kerajaan Malaysia sudah pun menyediakan perlindungan yang sewajarnya untuk kajian-kajian serta produk-produk syarikat farmaseutikal, yang mana kerajaan cuba mengimbanginya dengan keperluan untuk akses kepada ubatan yang mampu milik.
Sekiranya termeterai TPPA, akses kepada ubat-ubatan mampu milik dan ‘life-saving’ untuk berjuta-juta orang akan terancam, kerana perjanjian ini memberi perlindungan yang lebih tinggi kepada paten dan data klinikal untuk syarikat-syarikat gergasi farmaseutikal, lantas menyukarkan syarikat generik untuk menghasilkan ubat generik yang mampu-milik, malah melambatkan serta menyekat akses kepada ubatan generik. Semua ini tidak mustahil melalui cadangan-cadangan yang berikut:
  • PERLINDUNGAN PATEN YANG LUAS yang meliputi segala bentuk baru, kegunaan dan kaedah untuk menggunakan bahan-bahan yang diketahui. Piawaian paten yang rendah ini akan meluaskan lagi monopoli farmaseutikal untuk variasi kecil untuk produk-produk lama, termasuklah untuk yang langsung tidak diketahui kemujarabannya.(?)
  • MELANJUTKAN TEMPOH PATEN yang menjangkau sehingga 20 tahun lamanya untuk satu-satu paten
  • RANGKAIAN PATEN yang menyekat pendaftaran ubat-ubatan generik, justeru membuka ruang kepada penyalahgunaan akta.
  • MENYINGKIRKAN PEMANTAU yang memantau sebarang penyalahgunaan paten
  • SYARAT PROSEDUR YANG BERAT SEBELAH  yang menganggap mempersoalkan paten adalah sah, dan mengira kerugian berdasarkan taksiran pemegang paten
  • HAK EKSKLUSIF DATA yang menghalang pihak kesihatan yang berautoriti untuk bergantung kepada mana-mana data ujian klinikal untuk mendaftarkan versi generik sesuatu jenis ubatan
  • UKURAN SEMPADAN yang boleh menjurus kepada perampasan ubatan generik yang tidak berasas.

ANCAMAN TERHADAP UBATAN GENERIK
Untuk tahun 2004, kos bulanan yang diperlukan untuk merawat seorang pesakit HIV dapat dikurangkan dari RM1200 setiap pesakit kepada hanya RM200 hingga RM220 setiap persakit, ini dapat dijalankan dengan menggantikan ubatan paten kepada ubatan generik. Secara tidak langsung, jumlah pesakit yang dapat dirawat meningkat kepada 4000 orang berbanding hanya 1500 orang pesakit sebelumnya. Bayangkan dengan pelaksanaan TPPA, bekalan ubatan generik yang lebih murah ini akan terjejas. Dan segala manfaat ini tidak lagi dapat diperoleh.

Akses kepada maklumat yang terhad
TPPA juga boleh melanjutkan tempoh berkuatkuasa hakcipta melebihi tempoh 50 tahun selepas kematian pematennya (sehingga tempoh 120 tahun, sekiranya cadangan Amerika Syarikat diterima). Ini akan memberi kesan kepada program pendigitalan di perpustakaan, yang boleh menyebabkan banyak hasil kerja yang telah digitalkan untuk akses orang awam dibuang dari simpanan data, menghadkan penggunaan semula atau penggunaan kerja yang sepatutnya bebas dari hakcipta;
Meningkatkan harga barangan perpustakaan; sekaligus  kepada pengurangan pembelian barangan oleh perpustakaan. Bukan sahaja perpustakaan yang akan menerima kesannya, malah yang turut terjejas sammenjurusa adalah orang awam serta para pelajar, misalnya mereka yang mahu membuat salinan fotokopi  untuk buku teks. Tuntasnya, akses langsung rakyat Malaysia untuk informasi serta ilmu pengetahuan itu sendiri akan terjejas, dan ini sudah tentu akan memberi implikasi buruk kepada sektor penyelidikan dan pendidikan negara.

Menghadkan kebebasan internet
Pembekal perkhidmatan Internet (ISP) mungkin boleh menghalang pengguna daripada mengakses internet kerana melanggar peraturan hak cipta.

Jangan biarkan mereka menggadaikan masa depan anda
Perundingan TPPA ini mencadangkan beberapa usul yang mana akan memberi kesan buruk kepada ubat-ubatan mampu milik, pemuliharaan alam sekitar dan juga kemampuan untuk mengurus pelbagai bidang yang melibatkan kepentingan orang awam, malah ini akan menguatkan kuasa gergasi korporat serta kepentingannya tetapi dalam masa yang sama menjejaskan kepentingan kita sebagai rakyat.
Marilah bersama-sama bersolidariti dengan rakyat yang lain, serta sebarang gerakan yang menuntut hak mereka untuk hidup, kesihatan, mata pencarian, keadilan, kesaksamaan, makanan, alam sekitar, maklumat dan sistem tradisi kehidupan daripada didobrak oleh TPPA.
Usah bertangguh, lakukan sesuatu SEKARANG! jangan tunggu sehingga tanah air kita serta hidup rakyat Malaysia ini rosak.

  • Kaji perkara ini lebih mendalam! Untuk sebaranng informasi mengenai TPPA, sila layari www.ftamalaysia.org
  • Sertailah gerakan di seluruh Negara yang menolak TPPA
  • Hubungi ahli parlimen kawasan anda untuk menyeru mereka agar mendesak untuk mengeluarkan teks perjanjian ini
  • Tulis kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Sri Mohd najib untuk menyatakan bahawa sebagai rakyat malaysia menolak perjanjian ini
  • Anda juga boleh menurunkan tandatangan anda di petisyen ini: http://www.gopetition.com/petitions/suspend-tppa-and-eu-malaysia-fta-talks.html
  • Anda juga boleh sertai Facebook Group FTA - http://www.facebook.com/groups/ftamalaysia/

Tanah Airku bukan untuk dijual!
Jangan Biarkan TPPA Merosakkan masa depan kita

Sunday, 16 June 2013

Meluaskan Diskusi Israel-Palestin di Malaysia

oleh Awan Putih

Pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di perantauan diberi peluang untuk menyaksikan satu pendekatan yang berlainan dalam pembawaan isu Palestin-Israel. Jika di Malaysia, isu Palestin-Israel hanyalah terhad kepada masyarakat Melayu Muslim, lain pula di Negara-negara dunia pertama di mana isu ini diperjuangkan oleh semua orang tidak kira kaum, jantina, agama atau tahap kealiman(hehe).


Lawatan Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Razak ke Gaza pada tahun 2013.



Rata-rata NGO Palestin di Malaysia memperjuangkan isu Palestin dari kaca mata Islam dan memasukkan unsur-unsur Islam. Ini adalah sesuatu yang baik. Mereka tanpa jemu memperjuangkan isu Palestin, mengadakan roadshow, flashmob dan acara-acara yang amat menarik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat di Malaysia. Namun begitu, penulis teringin melihat isu Palestin ini di perjuangkan juga  oleh mereka yang bukan melayu Islam di Malaysia. Tetapi, disebabkan pembawaan isu Palestin-Israel oleh majoriti masyarakat melayu Islam di Malaysia sendiri, kita mungkin lebih menjauhkan sokongan bangsa lain daripada cuba untuk membawa mereka kedalam diskusi Israel-Palestin. Kenapakah begini? Ada pelbagai faktor yang menyebabkan hal yang sebegini berlaku. Di sini, penulis menyenaraikan beberapa perkara(mengikut pandangan penulis) yang dapat dipastikan sebagai faktor-faktor yang mungkin telah merugikan wacana Palestin di Malaysia oleh masyarakat melayu Malaysia sendiri.


Retorik Anti-Yahudi yang membawa kepada tuduhan anti-semitik


Ini merupakan masalah utama yang menyelubungi perjuangan palestin bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Pihak pro Israel acap kali melemparkan tuduhan anti semitik kepada mereka yang memperjuangkan isu Palestin ini. Anti-semitik merupakan sebuah terma yang digunakan kepada apa-apa sahaja bentuk perkauman terhadap bangsa Yahudi.  Namun begitu, ianya disalah gunakan pula oleh puak-puak pro Israel apabila mengenakan tuduhan ini kepada sesiapa sahaja yang bukanlah anti-Yahudi tetapi menentang polisi-polisi terkutuk kerajaan Israel. Perlu diingatkan bahawa perjuangan membebaskan Palestin bukanlah dengan tujuan untuk berperang dengan Yahudi, namun dengan rejim Zionis Israel. Perjuangan Palestin di luar Negara amat berterus terang untuk menggariskan perbezaan antara anti-semitik dan anti-Israel, dengan logik yang mengatakan bahawa hanya kerana kita mengkritik polisi sesebuah negara itu, tidaklah bermaksud si pengkritik bersifat perkauman terhadap bangsa negara itu. Sebagai contoh, mereka yang mengkritik polisi kerajaan China bukanlah kerana mereka membenci bangsa Cina, tetapi hanya menyatakan ketidaksetujuan mereka dengan tindakan-tindakan zalim oleh kerajaan China terhadap rakyat nya sendiri. Namun begitu, tindakan naïf beberapa masyarakat muslim yang menggunakan slogan-slogan anti-yahudi dalam acara-acara solidariti untuk Palestin menganggu perjuangan Palestin antarabangsa ini.

Perlu diketahui bahawa kita menentang tindakan kerajaan Zionis Israel, bukanlah bangsa Yahudi.  Terdapat orang-orang Yahudi yang turut bersama menentang kekejaman rejim Zionis Israel. Dan jumlah Yahudi pro-Palestin ini semakin berkembang dan membuat Israel dan Zionis semakin gelisah. Kadang-kadang, mereka(aktivis Yahudi) yang lebih vokal dalam mengutuk rejim Zionis. Maka untuk kita berlaku rasis terhadap Yahudi dan memasukkan unsur-unsur itu kedalam perjuangan Palestin di Malaysia amatlah tidak adil sekali. Pertubuhan-pertubuhan di Malaysia perlulah membantu dalam mengikis sifat perkauman dan membetulkan salah faham ini di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Sejarah Islam yang lampau juga mengajar kita bahawa dalam zaman khilafah Islam, masyarakat Yahudi diiktiraf dan beberapa orang Yahudi turut memegang jawatan penting dalam kerajaan Islam.

Namun demikian, terdetik juga di fikiran penulis, mungkin bukan salah orang Malaysia sendiri jika bertindak begitu kerana sudah terlalu lama dibentuk dengan retorik-retorik anti yahudi. Susah juga untuk mempercayai kewujudan orang Yahudi yang baik dan pro-Palestin apabila kita melihat tentera Israel yang membunuh saudara kita di Palestin adalah kesemuanya bangsa Yahudi. Namun, kita tidak membenci keseluruhan rakyat Amerika kerana kita dapat membezakan polisi kerajaan mereka, dan bukan rakyat Amerika biasa yang telah menyerang saudara-saudara kita di banyak tempat dunia ketiga. Untuk mengambil contoh yang lebih dekat lagi dengan Malaysia, kita menerima orang Thailand serta meminjam budaya dan makanan mereka, tetapi pada masa yang sama tetap mengutuk keras tindakan kerajaan Thailand yang menindas penduduk Islam di Selatan Thailand.


FAKTA untuk berhujah, bukan meminta belas kasihan semata-mata


Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kita mempunyai banyak NGO-NGO Palestin di Malaysia. Badan-badanbukan kerajaan ini telah menjalankan aktiviti yang sungguh mantap dalam menjayakan program-program Palestin mereka. Pujian patut diberikan kepada betapa mereka berjaya meraih derma yang mencecah ratusan ribu untuk diberi kepada projek-projek yang menguntungkan di Palestin. Mereka juga amat kreatif dalam menjana wang dengan mengadakan acara-acara seperti walkathon, larian amal, konsert amal, dan film screening.

Penulis mempunyai beberapa cadangan untuk NGO sebegini. Penulis merasakan pentingnya untuk fokus kepada pendidikan dan bukan sekadar meminta simpati dan membuat orang menangis meratapi nasib umat Islam di Palestin.  

Masyarakat Muslim di Malaysia sudah peka dan sedar akan kepentingan menentang dan mengutuk perbuatan Israel terhadap Palestin, namun mereka tidak dibekalkan dengan informasi dan pendidikan yang secukupnya untuk berhujah kenapa mereka memilih untuk berpihak kepada Palestin. Kita di Malaysia sudah hafal mungkin sebab kenapa kita sebagai orang Islam perlu menyokong dan berdoa untuk Palestin, namun begitu, kita tidak punyai info untuk menyokong  hujah kita sebagai seorang yang bukan hanya menyokong Palestin kerana sama agama semata-mata, dan mengemukakan alasan yang tidak semestinya terletak dalam kerangka Islamik ,i.e, memandang Palestin dari pandangan kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Untuk mempengaruhi masyarakat antarabangsa lain yang bukan Islam, kita perlu hujah-hujah yang tidak berpaksikan Islam. Sebagai contoh, hujah-hujah seperti Israel perlu ditentang kerana telah acap kali mencabul hak-hak rakyat Palestin seperti yang telah digariskan dalam beratus-ratus Undang-undang dan Resolusi PBB. Israel perlu menghentikan pembinaan rumah-rumah di tanah Palestin kerana ianya haram disisi undang-undang dunia. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh Israel bukan hanya khusus kepada menumpahkan darah rakyat Palestin, tetapi juga termasuklah menyekat kemasukan barang-barang asas kehidupan ke Gaza, serta menyekat pergerakan penduduk Tebing Barat dengan pembinaan Tembok Pemisah yang sudahpun diisytiharkan sebagai haram dan menyalahi undang-undang oleh Mahkamah Keadilan Dunia.  Fakta di mana Israel mencabuli hak-hak nelayan Gaza untuk menangkap ikan di perairan mereka sendiri, hak-hak kanak-kanak di Tebing Barat dan Gaza untuk mendapat pendidikan dan bermacam-macam lagi hujah yang menyokong Palestin.

Fakta dan hujah sebeginilah yang perlu untuk kita didik kepada masyarakat Malaysia supaya apabila mereka hendak berhujah dengan masyarakat Malaysia yang bukan beragama Islam(ataupun yang beragama Islam tetapi tidak menyokong Palestin), mereka tidak menggunakan hujah-hujah Al Quran dan Hadis yang sudah tentu tidak diyakini oleh mereka yang bukan Islam.

Jika kita melihat laman-laman web atau pergi ke program NGO palestin di luar Negara, pembaca dan pengunjung akan dihidangkan dengan fakta-fakta konkrit seperti yang telah dijelaskan di atas. NGO-NGO di Malaysia perlulah memberi pendidikan sebegini kepada masyarakat Melayu, memandangkan mereka sudah pun mendapat sokongan penuh dari rakyat Malaysia. Namun demikian, penulis juga sedar bahawa ada beberapa NGO yang memang telahpun memulakan program pendidikan seperti yang disebutkan diatas.


Progresif, bukan Reaktif 


Ianya bukanlah terletak keatas bahu NGO sahaja untuk mendidik masyarakat. Masyarakat Melayu Islam Negara ini perlu mengambil inisiatif untuk menyediakan diri dengan info-info sebegini. Ianya sungguh senang, ada beratus-ratus laman web di alam maya yang menyediakan info-info sebegini.

              Satu perkara yang amat dikesali penulis ialah apabila adanya program-program berunsur ilmiah dan fakta mengenai isu Palestin Israel, rata-rata dari kita memekakkan telinga dan tidak menghiraukannya. Kebanyakan remaja kita hanya mahu melihat gambar-gambar yang menyedihkan. Kita hanya mahu menangis, tidak lebih dari itu. Penulis sendiri beberapa kali menyertai acara-acara seperti Malam Mengenangi Palestin. Acara sebegini selalunya dimulakan dengan video-video sedih dengan muzik yang menyedihkan untuk menimbul rasa belas dan kesal dengan keadaan umat di Palestin. Kemudian, masuklah pula ke slot dimana penceramah yang telah sendiri pergi ke Gaza menceritakan pengalamannya sendiri. Namun begitu, apabila penceramah mula memberi fakta-fakta yang panjang lebar dan tidak lagi menceritakan pengalamannya beramah mesra dengan penduduk Gaza, audiens mula hilang fokus dan bercakap sesama sendiri. Penulis kira, ada tiga acara yang dihadiri penulis dimana masuk sahaja slot penceramah dengan bersemangat ingin mendidik pelajar, namun pelajar ada yang sudah berdengkur atau bercakap sesama sendiri. Mereka hanya ingin menangis dan melihat video. Ini adalah pelajar yang berusia sekitar 18 ke 23 tahun, bukannya pelajar sekolah rendah.

            Hasilnya, setelah berpuluh-puluh tahun usaha NGO-NGO sebegini untuk mendidik masyarakat, masyarakat Islam di Malaysia masih gagal untuk menumpukan fokus atau usaha ke arah sesuatu yang progresif, bukannya reaktif. Progresif di sini ialah dengan mengambil langkah-langkah yang konkrit yang akan membawa kepada pembelaan rakyat Palestin, bukan hanya dengan lancaran tabung derma atau demo-demo tiap kali Israel mengebom Palestin. Aktivis-aktivis di negara-negara Barat sudahpun memulakan langkah-langkah yang positif kearah pembelaan nasib rakyat Palestin seperti mendesak kerajaan mereka supaya menarik balik pelaburan ke syarikat-syarikat yang terlibat dengan penindasan terhadap Palestin, seperti aksi aktivis BDS terhadap Veolia, pelajar-pelajar universiti yang memutuskan untuk tidak membenarkan jualan barangan Israel di kampus mereka.


Berita mengenai Majlis Pelajar-Pelajar di Universiti Sidney yang meluluskan motion BDS. Pautan asal.

      Apa yang hendak penulis keluhkan disini ialah, kelemahan masyarakat Malaysia dalam memobilisasikan aktiviti-aktiviti yang benar-benar akan melemahkan Israel. Israel tidak akan hairan kalau rakyat Malaysia berdoa bersolat hajat beramai-ramai empat tahun sekali(iaitu apabila jet-jet Israel mengebom Gaza), Israel tidak juga sakit jika rakyat Malaysia turun ramai-ramai berdemo, ini kerana Malaysia memang pun sudah secara terang-terangan menyatakan posisi mereka mengenai isu Palestin-Israel.

       Namun, ianya akan menggigit ekonomi Israel jika kita menguatkuasakan embargo terhadap Israel ; jangan mengeksport barangan Malaysia kepada Israel contohnya. Ataupun mengkoordinasikan sebuah kempen boikot yang realistik dan boleh memberi impak maksimum kepada ekonomi Israel. Masyarakat sivil Palestin telahpun mengeluarkan seruan BDS (ketahui apa itu seruan BDS disini), dan kebanyakan aktivis-aktivis barat telahpun menyahut seruan ini sehingga menemui kejayaan di beberapa tempat, bila pula giliran masyarakat Malaysia?


Kempen terhadap syarikat Veolia


Mengambil cakna mengenai penindasan yang menimpa masyarakat lain 



           Sebagai umat Islam, kita perlulah mengambil berat mengenai semua manusia, tanpa mengira warna kulit, agama dan kerakyatan. Sebagaimana kita merasa sedih dengan penindasan terhadap saudara kita di Palestin, begitu juga kita perlu merasa belas dengan penindasan yang dilakukan terhadap orang-orang Tibet, atau keganasan terhadap masyarakat Tamil di Sri Lanka oleh kerajaan mereka sendiri. Sebagaimana kita terharu dan gembira apabila mereka yang bukan islam turut sama melaungkan slogan-slogan untuk pembebasan Palestin, sudah tentu masyarakat-masyarakat Tamil atau mereke yang menyokong Tibet akan terharu dan menghargai sokongan yang kita berikan tehadap kaum-kaum ini. 

          Untuk meluaskan diskusi Israel-Palestin di Malaysia, mungkin kita sendiri dahulu yang perlu meluaskan diskusi kemanusiaan yang kita halakan. Penulis amat mengagumi gereja-gereja Kristian yang amat progresif dalam memperjuangkan hak-hak rakyat tertindas walaupun masyarakat tertindas itu bukanlah dari golongan penganut agama mereka. Tahukan anda, semakin ramai gereja-geraja di negara-negara Barat sudahpun mengambil keputusan untuk tidak lagi memberi sokongan kepada Israel, dan memboikot barangan-barangan dari penempatan haram Israel? Komuniti Islam di Malaysia,malahan di dunia perlulah juga aktif dalam menyatakan sokongan kepada masyarakat tertindas yang lain.




Kesimpulannya, sudah 65 tahun Palestin dijajah, mungkin sudah tiba masanya untuk kita meluaskan diskusi Israel Palestin dan membuatkannya sebuah diskusi yang inklusif; dengan penglibatan semua bahagian masyarakat di Malaysia, Muslim Islamik/Sekular, dan juga non muslim yang lain. Malaysia sudahpun mempunyai sokongan yang kuat terhadap rakyat Palestin, dan ini amat membantu NGO-NGO Palestin untuk membuat pelbagai projek yang menguntungkan rakyat-rakyat Palestin. Namun begitu, sudah tiba juga masanya NGO-NGO Palestin di Malaysia untuk merancang strategi BDS yang dapat menggunakan sepenuhnya sokongan kuat rakyat Malaysia, di samping memperkasakan ilmu mengenai konflik Israel-Palestin.

      



Popular Posts